Tuesday, September 20, 2016

KEDUDUKAN AKHLAK DALAM ISLAM


Ketinggian Akhlak
Akhlak mempunyai kedudukan yang begitu tinggi dalam Islam, Nabi SAW dalam sabdanya: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”  (Hadith Riwayat Ahmad)

Orang Yang Paling DIkasihi Nabi Muhammad SAW
Nabi SAW dalam sabdanya: “Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi dan orang yang paling rapat kedudukannya denganku di hari kiamat kelak ialah orang yang akhlaknya paling baik dari kalangan kamu. Sebaliknya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya denganku di hari kiamat kelak ialah orang yang bercakap bohong, orang yang tidak berhati-hati dan tidak memelihara percakapannya, orang yang banyak bercakap sehingga menyimpang dari kebenaran (orang yang bercakap dengan sombong dan membesarkan diri)”. (Hadith Riwayat Ahmad)

Nabi SAW dalam sabdanya: “Sesungguhnya Allah SWT Maha Mulia dan sukakan kepada kemuliaan dan sukakan akhlak yang tinggi dan bencikan akhlak yang keji.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi)

Hadis-hadis di atas menunjukkan begitu tingginya kedudukan akhlak. Hadis pertama memberitahu kita bahawa risalah Nabi SAW tertumpu kepada ‘akhlak yang mulia’. Perkataan di dalam hadis di atas membawa maksud mencakupi dan merangkumi. Gaya bahasa yang begitu jitu dan mapan itu adalah untuk mengingatkan setiap muslim betapa tingginya kedudukan akhlak disisi Allah SWT. Malahan akhlak yang mulia itu merupakan tuntutan naluri semula jadi yang sempurna.

Para ulama dan ahli pemikir cerdik pandai telah sepakat bahawa bersifat benar, menunaikan amanah, pemurah, sabar, berani dan menegakkan perkara kebaikan itu merupakan akhlak yang mulia, di mana pelakunya berhak mendapat pujian dan sanjungan, sedangkan bersifat bohong, penipu, pengecut, bakhil merupakan akhlak yang keji dan dihina pelakunya.

Akhlak Yang Paling Mulia
Seorang Islam yang berakhlak ialah yang terhimpun padanya akhlak yang mulia, dan menjauhi daripada akhlak yang buruk. Rasulullah SAW telah memberikan panduan kepada kita tentang akhlak yang terbaik dalam sebuah hadis yang diungkapkan oleh salah seorang sahabatnya iaitu Uqbah ibn ‘Amir di mana baginda bersabda: “Wahai Uqbah, mahukah aku beritahu kamu mengenai akhlak yang paling mulia untuk penduduk dunia dan akhirat? Iaitu engkau hubungkan silaturrahim yang telah terputus, engkau maafkan orang yang membuat aniaya, dan engkau berikan sesuatu kepada orang yang tidak mahu memberi.” (Hadith Riwayat Ahmad)

Tanda-Tanda Orang Yang Berakhlak
Tanda-tanda orang yang berakhlak itu terhimpun dalam beberapa ciri, iaitu malu kerana Allah, suka membuat kebaikan, bercakap benar, kurang bercakap, banyak beramal, meninggalkan perkara yang tidak ada kaitan dengannya, berbakti kepada kedua ibu bapa, merapatkan silaturrahim, penyabar, banyak bersyukur, berlemah lembut, dan menahan diri dari melakukan maksiat.

Akhlak yang mulia itu asasnya ialah tunduk patuh kepada Allah dan bercita-cita tinggi. Berakhlak mulia memberikan kesan yang besar kepada sesebuah masyarakat yang inginkan kemajuan dan pencapaian yang tinggi, apabila akhlak yang mulia dihayati dalam sesebuah masyarakat ia akan membawa kemajuan dan kejayaan, malahan asas sesuatu tamadun yang hakiki ialah ketamadunan manusia dan ketinggian akhlaknya.

Ahmad Syauqi mengungkapkan dalam syairnya: “Sesungguhnya sesuatu umat itu bergantung kepada akhlak mereka, apabila hilang akhlaknya maka akan lenyaplah umat tersebut.”

Justeru akhlak yang mulia merupakan cetusan hati yang suci, jiwa yang hening, akidah yang murni, pemikiran yang rasional, jiwa dan iman yang mantap. Ciri-ciri tersebut akan mencetuskan satu akhlak yang mulia. Manakala akhlak yang rosak terjadi apabila berlaku kecacatan pada sebahagian atau keseluruhan daripada ciri-ciri tersebut. Semoga Allah menyelamatkan kita dan umat Islam seluruhnya daripada kerosakan akhlak.


Sumber: Al-Bayan Lima Yasyghulul Adzhan, Fadhilah Dr. Ali Jum’ah Mufti Besar Mesir, diterbitkan oleh Sekretariat Menangani Isu-Isu Akidah dan Syariah, Majlis Agama Islam Negeri Johor

No comments: