Friday, November 13, 2015

POLIGAMI DALAM ISLAM


Islam telah datang dengan menetapkan had bilangan isteri yang boleh dikahwini, dan bukan datang dengan membiarkan suami boleh berkahwin lebih tanpa had. Nabi Salla Allahu a’laihi wasalam bersabda:

"Daripada Salim daripada bapanya, bahawa Ghailan ibn Salamah as-Thaqafi memeluk Islam dan mempunyai sepuluh orang isteri, maka Nabi Salla Allahu a’laihi wasalam memerintahkan beliau memilih empat orang sahaja.”
(Riwayat Ahmad dalam Musnadnya, 2/13; dan Ibn Majah dalam Musnadnya, 1/628)

Daripada hadis menjelaskan bahawa Islam menentukan bilangan isteri yang boleh dikahwini dan tidak terdapat suruhan supaya seorang itu berkahwin lagi. Ini kerana berpoligami itu bukan tujuan maksud perkahwinan, tetapi ia dilakukan kerana kepentingan dan sebab-sebab tertentu. Firman Allah:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (An-Nisa’: 3)

Firman Allah, “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat” perlu dihubungkan dengan ayat sebelumnya yang diungkapkan dalam bentuk bersyarat iaitu, “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka).” Demikian juga perlu dihubungkan dengan ayat selepasnya yang mengikat keharusan berbilang isteri dengan syarat berlaku adil. Firman Allah, “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.” (An-Nisa’: 3)

Sesungguhnya sistem berbilang isteri merupakan suatu yang telah masyhur di kalangan orang Arab sebelum kedatangan Islam, demikian juga di kalangan orang-orang Yahudi dan orang-orang Parsi. Sejarah telah menjelaskan kepada kita mengenai raja-raja dan sultan yang telah lalu, mereka membina rumah-rumah besar yang boleh memuatkan kadang-kadang sehingga lebih daripada seribu orang, untuk menempatkan isteri-isteri dan gundik-gundik. Kadang-kadang mereka menjadikannya sebagai hadiah kepada raja-raja yang lain, kemudian mengambil wanita-wanita yang baru pula sebagai ganti. Ini adalah seperti yang terdapat di dalam ajaran dan undang-undang Yahudi hingga sekarang yang mengharuskan berbilang isteri, sedangkan tidak ada sesiapa yang tergamak untuk menyerang mereka sama ada dari segi akidah, agama dan ajaran mereka.

Yang anehnya, mereka menyerang sistem kekeluargaan Islam yang membenarkan suami berkahwin sekali lagi dengan perempuan lain dalam suasana dan keadaan tertentu dan membolehkan berbilang perempuan simpanan tanpa had. Sedangkan perempuan simpanan sebenarnya tidak mendapat hak sebagai isteri. Selain itu tindakan tersebut mengkhianati kaum wanita, mengugurkan haknya, dan mereka tidak diiktiraf sebagai isteri, begitu juga anak-anak yang lahir tanpa nikah. Maka perempuan itu sendirilah yang menanggung beban membayar kos penguguran yang dilakukan sekiranya ingin mengugurkan kandungan, atau hidup tanpa suami untuk membela anak-anak luar nikah. Jadi manakah yang lebih baik antara sistem kekeluargaan Islam yang teratur itu dengan sistem yang mereka amalkan? Firman Allah:
“Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?" (Al-An’am: 81)

Berbilang isteri yang diharuskan di Barat ialah berbilang tanpa tanggungjawab, iaitu berbilang isteri yang tidak mengambil apa-apa tanggungjawab kepada kaum wanita, malahan ia dijadikan hamba oleh kaum lelaki dan menjalani hidup bersamanya tanpa hubungan rasmi. Mereka merampas kehormatannya, kemudian dicampakkan keluar dari hati dan kehidupan mereka bila sudah tidak diperlukan lagi, perlakuan sedemikian sering menyebabkan keluarganya menghadapi penyakit kelamin yang bahaya, disamping anak-anak haram yang selalunya tidak diiktiraf oleh mereka. Disebabkan banyaknya bilangan dan kajian yang dilakukan, memadailah kita mengambil contoh dari negara Barat khasnya di Amerika Syarikat, biarkan angka yang membuktikan:

Pada tahun 1980, seramai 1,553,000 pengguguran dilakukan, 30% daripadanya melibatkan wanita yang berumur di bawah 20 tahun, pihak polis pula melaporkan bahawa bilangan yang sebenar ialah lebih tiga kali ganda ramainya.

Pada tahun 1982, 80% perceraian berlaku dikalangan pasangan berkahwin dalam tempoh 15 tahun.

Pada tahun 1980-1990, di Amerika Syarikat terdapat hampir sejuta wanita yang bekerja sebagi pelacur.

Pada tahun 1995, hasil pelacuran dan pengiklanannya mencecah sebanyak 2,500 juta dollar seperti yang dilaporkan oleh “Kamus Wanita” yang diterbitkan oleh Maahad ad-Dirasat ad-Dauliyah Haulal Mar’ah berpusat di Madrid.

Seorang ahli sains bernama Tus menjelaskan, dengan berkahwin lebih dari satu akan membolehkan anak-anak perempuan menjadi suri rumahtangga. Peraturan memaksa lelaki Eropah hanya boleh berkahwin dengan seorang wanita sahaja menjadikan anak-anak perempuan merempat dan memaksa melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh kaum lelaki. Berapa ramai dari kalangan lelaki berkahwin yang mempunyai anak luar nikah, akhirnya menjadi beban dan keaiban kepada masyarakat.

Seorang penulis lain berkata, “anak-anak perempuan kita berperanan di dalam rumah sebagai pembantu rumahtangga adalah lebih baik dan lebih ringan kesan buruknya daripada membenarkan mereka bekerja di luar rumah. Kerana anak kita akan dicemari dengan pelbagai kegiatan yang tidak sihat yang akan menghilangkan keindahan hidup selama-lamanya. Alangkah baiknya jika negara kita adalah seperti negara-negara Islam yang mempunyai kesopanan, kehormatan dan kesucian di mana pembantu rumah dan hamba sahya lebih menikmati kehidupan yang selesa dan boleh bekerja seperti kanak-kanak yang berada di dalam rumah, dengan ini ia tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam hidup.”

Annie Besant, pemimpin Theosophy antarabangsa dalam bukunya “Agama-agama yang berkembang di India” mengatakan “Apabila kita membuat penilaian dengan saksama, adil dan betul, jelas kepada kita bahawa berbilang isteri dalam Islam yang dapat mengurus, melindungi, memberi pakaian dan makan minum kepada isteri – adalah lebih baik dan lebih terhormat daripada wanita-wanita Barat yang membenarkan kaum lelaki untuk mengambil peprempuan bagi memuaskan nafsu syahwat, kemudian mencampakkannya begitu sahaja apabila sudah tidak diperlukan lagi.”

Dari apa yang dibincangkan telah meyakinkan kita bahawa sistem poligami atau pengharusan berkahwin lebih daripada seorang isteri dalam keadaan dan suasana yang dibenarkan oleh syarak bukanlah sesuatu yang ditolak oleh pemikir-pemikir Barat. Kita telah lihat bagaimana pengakuan sesetengah daripada mereka.

Kesimpulannya, kami menegaskan bahawa Islam membenarkan kaum lelaki berkahwin lebih daripada seorang isteri. Semuanya ini terdapat hikmahnya sebagaimana yang telah dijelaskan. Keharusan itu pula adalah diikat dengan syarat tertentu. Firman Allah:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.” (An-Nisa’: 3)

Di dalam ayat yang lain Allah SWT telah menerangkan kepada kita tentang kepayahan untuk berlaku adil kepada wanita-wanita yang dikahwini. Firman Allah SWT:

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang). (An-Nisa’: 129)

Kita juga telah melihat di dalam hadis Nabi SAW, bahawa baginda tidak menyuruh dalam satu hadis pun sesiapa yang berkahwin dengan seorang isteri hendaklah dia berkahwin lagi. Malahan hadis tersebut menyatakan sebaliknya, iaitu sesiapa yang mempunyai ramai isteri hendaklah diceraikan dan ditinggalkan dengan bilangan tertentu sahaja seperti yang telah disebut di dalam hadis Salim yang telah meriwayat daripada bapanya, bahawa Ghailan ibn Salamah ath-Thaqafi telah memeluk Islam sedangkan beliau mempunyai sepuluh orang isteri, maka baginda bersabda kepadanya pilihlah empat orang sahaja. Riwayat Ahmad dalam Al-Musnad, 2/13; dan Ibn majah dalam Sunannya, 1/628.

Dengan pencerahan di atas, persoalan ini telah nampak jelas dan kekeliruan telah dapat diperbetulkan. Jelas di sini bahawa berkahwin lebih daripada seorang isteri atau berpoligami berdasarkan peraturan syariat Islam pada hakikatnya adalah satu penghormatan kepada kaum wanita. Ini kerana sebagai seorang insan pandangannya mestilah luas dan menyeluruh. Memberi tanggapan yang negatif kepada seorang perempuan yang akan dikahwini oleh seorang lelaki bukan sesuatu yang adil, kerana yang akan dikahwini oleh seorang lelaki itu adalah wanita juga. Syara’ telah memberikan penghormatan kepada wanita dengan mengharuskan kaum lelaki mengahwini wanita yang lain untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan masalah ekonomi. Marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga memberikan pertunjuk dan hidayah mengenai urusan dunia dan akhirat, hanya Allah sahaja tempat kita berdoa. Amin.

Sumber: ‘Penjelasan mengenai persoalan yang menganggu pemikiran’ -  Sohibus Samahah Dr. Ali Jumaah (Mufti Mesir), Majlis Agama Islam Negeri Johor


Monday, November 9, 2015

KEWAJIPAN MEMULIAKAN DAN MENCINTAI AHLUL BAIT


Gambar: al-Habib Ali al-Jufri

Ahlul Bait Nabi salla Allahu a’laihi wassalam termasuklah keluarga sayyidina Ali, keluarga sayyidina Ja’far bin Abu Thalib, Keluarga sayyidina ‘Uqail bin Abu Thalib dan keluarga sayyidina al-Abbas.

Golongan Ahlul Bait mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam berasaskan nas-nas daripada Quran dan Sunah. Sebahagian ulama memperuntukkan bab khusus dalam kitab yang mereka karang mengenai kelebihan Ahlul Bait seperti Imam Ibnu Hajar dan Imam as-Suyuthi dalam kitabnya Ihya’ul Mayt fi Fadha’il Ahlil Bait. Sebahagiannya pula menulis kitab khusus mengenai kelebihan Ahlul Bait. Dalam mazhab Syafie, selawat ke atas keluarga Nabi salla Allahu a’laihi wassalam adalah sunah pada tahiyat akhir dan setengah pula mengatakannya sebagai wajib.

Kedudukan Ahlul Bait seperti yang disebutkan di atas adalah merupakan satu kepercayaan dan amalan yang menjadi pegangan umum di kalangan Ahlus Sunah. Oleh yang demikian persoalan mengenai kedudukan Ahlul Bait ini tidak pernah dibangkitkan selama ini. Para Ulamak mengatakan bahawa mencintai Ahlul Bait itu termasuk dalam bab usul Ahli Sunnah wal Jamaah.

Berasaskan daripada kitab-kitab lughah yang muktabar jelas bahawa “Ahlul Bait” bagi seseorang dalam Bahasa Arab bermaksud isteri, anak, menantu dan orang yang sama keturunan dengannya.

Menurut Ibnu Hajar, ayat 33 surah Al-Ahzab menunjukkan kelebihan Ahlul Bait, kerana Allah menyatakan secara khusus keinginan membersihkan mereka daripada dosa atau syak dalam perkara-perkara berkaitan iman, dan juga membersihkan mereka daripada akhlak yang keji. Setengah riwayat mengatakan maksudnya ialah mengharamkan mereka daripada api neraka iaitu dengan ilham daripada Allah kepada mereka untuk bertaubat dan mengekalkan amal soleh.

Dalam sunah Rasulullah salla Allahu a’laihi wassalam terdapat hadis-hadis yang menyatakan kewajipan mengasihi Ahlul Bait dan menjaga kepentingan mereka. Nabi salla Allahu a’laihi wassalam bersabda:
Sesiapa yang kasih kepada Allah pasti dia kasih kepada Al-Quran, sesiapa yang kasih kepada Al-Quran pasti dia mengasihi aku, barangsiapa yang mengasihi aku, pasti dia mengasihi sahabat-sahabat dan kaum kerabatku”. (H.R al-Dailami)

“Kasihlah akan Allah kerana segala nikmat yang dikurniakan kepada kamu, kasihilah aku kerana kasihkan Allah, dan kasihilah keluargaku kerana kasihkan aku.” (diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim)

“Orang yang paling tetap perjalanannya di atas (titian di hari Kiamat) ialah orang yang paling kasih kepada Ahlul Bait aku dan sahabat-sahabatku”.

“Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara, mencitai Nabimu, mencintai Ahli Baitku dan membaca al-Quran.” (Riwayat Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan at-Tabarani)

Berasaskan nas-nas di atas para ulama Ahlus Sunah sependapat mengatakan bahawa kewajipan umat Islam terhadap Ahlul Bait ialah menaruh rasa kasih sayang terhadap mereka, menjaga kepentingan serta berbuat baik terhadap mereka. Inilah ajaran dan pegangan Ahlus Sunah tentang Ahlul Bait. Saidina Abu Bakar mengatakan :
“Sesungguhnya menghubungkan kerabat Rasulullah s.a.w lebih aku kasihi daripada kerabat aku sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)

Qadi ‘Iyadh berkata:
“Hadis –hadis yang lalu menunjukkan wajib mengasihi Ahlul Bait dan haram yang sangat berat jika membenci mereka”. Ini juga adalah pendapat Baihaqi, Baghawi dan lain-lain, malah imam Syafie telah menyatakan dengan jelas tentang hukum ini dengan katanya:
“Wahai Ahlul Bait Rasulullah! Sesungguhnya kasihkan kamu adalah fardu yang diturunkan Allah di dalam Al-Quran”.

Imam Syafie sangat terkenal dengan kecenderungan dan kasihnya kepada keturunan Saidina Ali r.a sehingga beliau dituduh sebagai Syiah atau Rafidhah. Menjawab tuduhan tersebut, beliau dengan tegas menyatakan:
“Sekiranya kasihkan keluarga Muhammad salla Allahu a’laihi wassalam itu sebagai Rafidhah, maka biarlah jin dan manusia menyaksikan bahawa saya seorang Rafidhah”. (Riwayat Muslim)


Sumber: “Ahlul Bait Menurut Pandangan Sunah dan Syiah”; Datuk Haji Wan Zahidi Bin Wan The (Matan Mufti Wilayah Persekutuan). “Khilafiah: Persoalan & Penjelasan”; Muhadir bin Haji Joll.