Sunday, December 17, 2017

KELEBIHAN MENGAMBIL BERAT MASALAH SESAMA MUSLIM




عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و آله قال: الساعي على الأرملة و المسكين كالمجاهد في سبيل الله و أحسبه قال وكالقائم لا يفتر و كالصائم لا يفطر الساعي على الأرملة و المسكين كالمجاهد في سبيل الله و أحسبه قال و كالقائم الذي لا يفتر و كالصائم الذي لا يفطر (متفق عليه)

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Orang yang mengurus janda dan mengurus orang miskin sama (pahala) seperti orang yang berjihad di jalan Allah.” Dan sepertinya baginda bersabda: “Orang yang selalu solat sepanjang malam tidak pernah letih dan seperti orang yang berpuasa tidak pernah berbuka (setiap hari).” (Muttafaqun ‘Alaih)

قال (Rasulullah bersabda) الساعي (orang yang mengurus) على الأرملة و المسكين (mengurus janda dan orang msikin) كالمجاهد في سبيل الله (adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah) و أحسبه قال (dan sepertinya baginda bersabda) وكالقائم لا يفتر (seperti orang yang bertahajud tanpa jemu dan penat setiap malam) و كالصائم (dan seperti orang yang berpuasa ) لا يفطر (tidak pernah berbuka).

KELEBIHAN MENGAMBIL BERAT URUSAN MUSLIM
Dalam hadith ini Rasulullah SAW menceritakan kelebihan orang Islam yang peduli dan prihatin dalam hal berkaitan masalah dan keperluan sesama muslim, terutama golongan fakir miskin. Dalam Hadith ini Rasulullah SAW menyamakan pahala orang yang mengurus, orang yang menolong, dan orang yang memerhati keperluan janda dan orang miskin akan memperolehi pahala sama seperti orang yang berjihad di jalan Allah SWT, seperti orang yang melakukan tahajud tidak kenal penat dan seperti orang yang berpuasa sepanjang masa.

Hanya dengan mengurus keperluan, membantu, menyelesaikan masalah, menjaga kehormatan dan melindungi janda dan orang miskin, seseorang itu akan mendapat pahala berjihad di jalan Allah, mendapat pahala tahajud dan mendapatkan pahala puasa sepanjang masa.

IBADAH KHUSUS DAN IBADAH UMUM
Semua amal soleh di nilai sebagai ibadah oleh Allah SWT. Ibadah tidak terhad hanya kepada ibadah khusus seperti tahajjud, bertasbih, solawat, membaca al-Qur’an, solat qobliyah ba’diyah, dhuha, witir, tasbih, taubat, hajat, dan istikharah sahaja, malah memberi makan kepada binatang, memberikan pertolongan kepada wanita janda dan orang miskin juga ada nilai pahalanya.

MAKSUD الساعي
Berdasarkan Hadith ini, perkara  pertama yang keluar dari lisan Rasulullah SAW ialah الساعي على الأرملة و المسكين  iaitu orang yang memerhati, orang yang ambil peduli, orang yang menghulurkan pertolongan, melindungi, membantu, dan mengurus janda dan juga orang miskin. Perkataan  الساعي dalam hadith bukan merujuk kepada orang yang memberi duit atau mengeluarkan belanja, ini kerana sebahagian orang tidak mempunyai kemampuan membantu dari segi kewangan namun dia mampu menolong dari segi tenaga. Perkataan الساعي  memberi maksud pertolongan dari segi ilmu, idea, atau memberi makanan.

MAKSUD الأرملة
Perkataan الأرملة bermaksud janda, iaitu seorang perempuan yang suaminya meninggal dunia. Pada zaman dahulu wanita yang kematian suami bukan hanya hilang tempat bergantung malah dia akan hilang punca pendapatan, makanan, keperluan untuk anak-anak dan lain-lain keperluan. Dalam keadaan begini sudah tentu jiwanya lemah, memerlukan keperluan dan bantuan bagi meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anaknya.

MAKSUD ORANG MISKIN
Imam Nawawi berkata bahawa orang miskin itu ialah seseorang yang mencari nafkah tetapi apa yang dia perolehi tidak mencukupkan keperluannya. Mengambil berat terhadap orang miskin adalah tanda kita mencintai mereka, dan dengan mencintai mereka bermaksud kita telah mencontohi baginda Nabi SAW dan membenci mereka bererti kita tidak mengikuti akhlak Rasulullah, ini kerana Rasulullah sangat mencintai orang Miskin sehingga Nabi SAW berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan miskin dan kelak di hari kiamat Nabi SAW berdoa agar dibangkitkan bersama dengan orang-orang miskin.

MUSLIM ITU BERSAUDARA
Muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara, mereka seperti satu jasad. Jika salah satu organ dalam jasad kita sakit maka seluruh jasad akan merasa sakit. Oleh itu, jika ada Muslim yang mengemis dan hidup melarat, hati kita pasti akan merasa kasihan dan hancur.
Dalam sebuah Hadith riwayat Muslim, orang miskin yang mulia itu ialah orang miskin yang tidak mengemis walaupun dia sangat memerlukan. Namun kerap kali orang yang jahil menganggap orang yang tidak mengemis ini adalah orang yang kaya dan sombong kerana tidak mahu meminta-minta. Allah berfirman di dalam al-Qur’an:

يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ
Maksudnya: “Orang-orang yang bodoh menganggap orang-orang yang miskin seperti orang kaya kerana mereka miskin tetapi tidak pernah mengemis.”

Berbeza dengan orang yang berakal, mereka melihat orang Miskin dari aspek pakaiannya, kehidupan sehariannya dan rumahnya, orang yang berakal itu cukup hanya dengan melihat isyarat atau tanda.

Rasulullah SAW bersabda: كالمجاهد في سبيل الله (seperti orang yang berjihad di jalan Allah). Bahkan kata Nabi SAW, seperti orang yang tahajjud tidak pernah berhenti, seperti orang yang berpuasa tak putus-putus. Bukan semua dari kita mampu untuk berjihad di jalan Allah, melakukan tahajjud setiap malam, dan berpuasa setiap hari, akan tetapi melalui Allah memberi jalan kemudahan untuk mendapatkan pahala Jihad, pahala Tahjjud, dan pahala puasa iaitu dengan mengambil perhatian urusan Janda dan orang Miskin.

Nabi Muhammad Saw pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Thabrani: “Mengurus dan mengambil berat, menghulurkan pertolongan dan membantu saudaraku yang Muslim itu lebih aku sukai berbanding beritikaf di Masjid selama sebulan.”

Sumber: Majelisrasullullah.com; kitab Qutuful Falihin; Hadis yang ke 58; Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz