Friday, August 28, 2015

KELUARGA BAHAGIA


KELUARGA BAHAGIA – Isi kandungan Khutbah Jumaat Masjid Syaikh Yusof, Georgetown Penang, 28 Ogos 2015

Nabi sallallhu a’laihi wassallam bersabda "Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan Aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku." (HR. Tirmizi). Orang yang tidak bahagia maka dia sebenarnya ketandusan dan kemiskinan emosi dan perasaan. TIGA perkara mewujudkan keluarga bahagia.

PERTAMA: Tunjukkan kasih sayang

Kita sayangkan keluarga kita, namun kita tidak tunjukkan rasa sayang kita. Rasa sayang itu boleh ditunjukkan melalui ucapan dan tindakan. Baginda Nabi sallallhu a’laihi wassallam pernah mengucapkan kepada sahabat baginda dengan sabdanya “aku CINTAKAN kamu”. Nabi sallallahu a’laihi wassalam juga mencium anak-anak baginda. Baginda Nabi bersabda, "Man la Yarham, la Yurham.." (Hadis Riwayat Muslim), maksudnya, barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.

KEDUA: Beri perhatian

Baginda Nabi sallallahu a’laihi wassallam sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keluarga baginda. Walaupun Baginda sibuk dengan urusan negara, perang dan urusan umat tetapi Baginda tetap tidak mengabaikan keluarga Baginda. Pernah satu rombongan dari luar negara datang berbincang dengan baginda Nabi, sewaktu berbincang datang anak Baginda Saidatina Siti Fatimah lalu Baginda Nabi terus pergi menyambut anak Baginda. Ini menunjukkan baginda nabi tidak mengabaikan dan sangat memberi perhatian kepada keluarganya.

KETIGA: Memberi Penghargaan

Ucapkan terima kasih kepada ahli keluarga dan meminta maaf jika kita melakukan kesalahan, jangan kita mencari kesalahan mereka dan hanya melihat kepada kesalahan mereka tanpa menghargai kebaikan yang mereka lakukan. Tunjukkan kepada keluarga bahawa kita menghargai kebaikan mereka. Nabi sallallahu a’laihi wassalam bersabda “Tiga perkara yang siapa memilikinya nescaya akan dilindungi Allah dan dilimpahkan rahmat iaitu orang yang apabila diberi dia mengucapkan terima kasih, apabila dia berkuasa dia memaafkan dan apabila dia marah dia menahannya.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Kebahagiaan keluarga adalah seperti kita hidup di dalam taman yang indah. Taman yang indah memerlukan kita bercucuk tanam, menjaganya dan menghiasinya. Maka tanamlah kasih sayang, jagalah dengan menyemai dan memupuk kebahagiaan serta hiasilah keluarga dengan nilai-nilai yang baik.

Wallahu a’lam


Saturday, August 15, 2015

ULASAN USTAZ AZHAR IDRUS BERKAITAN BID'AH


MEMBETULKAN SALAH ANGGAP TERHADAP MAKSUD IMAM SYATIBI

Saya melihat pandangan dari Imam Syatibi (antara ulama yang mula-mula mengatakan bida’ah tidak wujud dhalalah dan hasanah) serta bebeberapa ulama terkini antaranya ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengenai persolalan bida’ah ini adalah suatu yang mesti dihormati oleh semua orang Islam.

Namun perlulah difahami bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa bida’ah terbahagi kepada hasanah (baik) dan dhalalah (sesat). Inilah yang dikatakan khilaf antara ulama dalam mentafsirkan sesuatu dalil. Dalam kita menghadapi khilaf di antara ulama ini maka beberapa perkara dan adab mestilah kita fahami. Namun saya tidaklah bercadang untuk membincangkan mengenai adab-adab yang perlu ada dalam diri seseorang itu bagi menghadapi khilaf para ulama ini.

Jika kita perhatikan secara ikhlas bahawa mereka (ulama-ulama yang tidak bersetuju untuk membahagikan bida’ah kepada dhalalah dan hasanah) tidak pula menghalang atau mengatakan haram dan sesat bagi sesiapa yang melakukan perkara-perkara baik seperti sambutan maulidur rasul, menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat, kenduri tahlil dll.

Malah mereka menyokongnya sepertimana Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa sambutan maulidur rasul adalah baik. Dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili turut memperakukan bahawa menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat adalah sunat.

Jadi bolehlah kita simpulkan di sini bahawa mereka membenarkannya pada persoalan-persoalan dan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan akan tetapi mereka hanya tidak besetuju bahawa bida’ah dibahagikan kepada dhalalah dan hasanah. Perkara yang baik adalah dipuji dan perkara yang buruk (melanggar sunnah) adalah dikeji lagi bida’ah. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama ini.


DI ANTARA BIDA'AH PADA MASA KINI

Mendakwa boleh berijtihad oleh orang yang tidak berkelayakan merupakan di antara seburuk-buruk bidaah dan kerosakan serta kemungkinan yang paling merbahaya yang mengancam syariat Islam. Mereka menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahid bahkan mereka mengangap imam-imam sebagai penentang syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini kononnya cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasululluh S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang bermazhab adalah tergolong sebagai ahli bidaah. Pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang didasari oleh orientalis yang ingin menghancurkan Islam.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi berkata:

“Bermazhab ini adalah bermaksud seorang awam atau orang yang tidak sampai ke taraf untuk berijtihat cuba mengikut mazhab seorang imam mujtahid samada dia memegang satu mazhab tertentu atau berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Sementara tidak bermazhab pula ialah tidak bertaqlid (orang awam atau orang yang tidak sampai taraf mujtahid) kepada seseorang imam yang mujtahid tanpa terikat untuk mengikutnya sepanjang masa.”

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi menambah lagi:

“Kita amat gembira menyandarkan bahawa mereka yang tidak bermazhab kononnya menyandarkan kepada golongan Salafiyyah (atau mana-mana kumpulan yang membawa maksud sama dengan Salafiyyah) sebenarnya itulah mazhab mereka. Mengapa tidaknya justeru mereka pun bertaqlid dengan salah seorang imam-imam mujtahid di mana pandangan-pandangan para imam ini dipindahkan dengan penuh amanah, tidak kiralah samada mereka itu sentiasa berpegang dengan pandangan-pandangan para imam tersebut atau tidak, juga samada mereka mengakui demikian itu ataupun sebaliknya.”

(Kitab: alLa Mazhabiyyah Akhtar Bida’ah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah).



BIDA’AHKAH AMALAN KEBANYAKKAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA?

Pada masa kini terdapat sebahagian kumpulan ini yang terlalu melampau lalu menjadikan setiap perkara baru seperti amalan-amalan kebaikan dan ketaatan yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah S.A.W. adalah bida’ah lagi sesat. Mereka berkata demikian konon-kononya untuk menyucikan amalan-amalan umat Islam sekarang dari sebarang penambahan dan penyelewengan yang tidak pernah dirakamkan di dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun mereka tidak sedar (atau mungkin sengaja lupa) bahawa para sahabat Rasulullah S.A.W. dan para alim ulama adalah lebih memahami dan mengetahui dalam segala urusan agama Islam ini.

Firman Allah Taala bermaksud:

“Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir seandainya kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Nahl: ayat 43).


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Sebaik-baik manusia kurun aku kemudian orang orang yang mengikutnya kemudian orang-orang yang mengikutnya...”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Sahabat-sahabat aku seperti bintang. Sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang kamu turuti kamu mendapat hidayah.”
(Riwayat al-Darqutni, al-Baihaqi, al-Hakim dan ramai lagi).


Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:

“Ke atas kamu sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin...”
(Riwayat Adu Daud dan al-Tarmizi).


Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:

“Turutilah orang-orang selepasku Abu Bakar dan Umar.”
(Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi.”
(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan Abu Daud).

Sepatutnya persoalan yang tidak membawa sebarang kesan kepada tertolaknya akidah dan syariah Islam tidaklah boleh dikatakan sebagai bid’aah lagi sesat terhadap sekiranya seseorang itu ingin mengamalkannya. Antara masalah yang cuba diketengahkan di dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia adalah seperti kenduri tahlil, bacaan al-Quran kepada mayat, bilangan rakaat solat tarawih, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat, talkin, berzikir dengan biji tasbih, berzikir beramai-ramai, sambutan maulid nabi, tawasul, tarikat dan banyak lagi.

Permasalah seperti inilah yang cuba diketengahkan dengan berdalilkan hadis 'setiap bida’ah adalah sesat' tanpa melihat dahulu kepada ulasan para ulama muktabar terlebih dahulu. Jika amalan-amalan seperti itu adalah bida’ah yang menyesatkan maka sudah pastilah majoriti ulama-ulama akan bangun untuk menjelaskan dan menolak segala amalan-amalan itu kerana mereka (ulama-ulama) tidak akan bersepakat atau berdiam diri dengan kesalahan dan kesesatan yang dilakukan oleh umat Islam. Namun perlulah diingatkan janganlah sampai beriktikad bahawa amalan-amalan seperti ini adalah mesti atau wajib dibuat oleh umat Islam dalam apa jua keadaan sekalipun. Juga janganlah sampai terdapat unsur-unsur yang menyalahi syarak ketika membuat segala amalan ini yang mana boleh menjadi illah kepada pengaharaman sesuatu amalan itu.

Kemungkinan besar golongan ini perlu mendalami ilmu usul al-fiqh terlebih dahulu sebelum mengatakan sesuatu amalan itu bidaah ataupun tidak. Saya tidaklah bercadang untuk memperincikan tulisan ini dengan perbahasan usul al-fiqh pula. Contohilah akhlak para ulama muktabar kita yang sentiasa berlapang dada di dalam masalah-masalah khilafiyah seperti ini kerana khilaf di kalangan ulama adalah rahmat bagi umat Islam. Janganlah mudah untuk kita mengatakan seseorang itu ahli bida’ah atau sesat tanpa ada penelitian yang sepatutnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

“Mana-mana orang yang berkata kepada saudaranya wahai kafir sesunggungnya dia terkena satu darinya kecuali engkau kembali ke atasnya.”
(Riwayat muslim).


PERINGATAN PENTING

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.
(Kitab: Al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini secara lebih jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau menuduh bida’ah lagi sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini.

Mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang berpegang dengan perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan mengkafirkan, memfasiqkan dan membida’ahkan golongan tersebut.

Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam semenjak sekian lama. [Wallohu 'Aklam]

-By: Ustaz Azhar Idrus ( Original )

-Fanpage facebook-