Saturday, March 7, 2009

Dari Golongan Manakah Kita??



Penulis dan pemikir Islam sudah banyak menulis mengenai cabaran yang dihadapi umat Islam. Abdul Kadir Awdah, seorang pakar undang-undang Mesir yang gugur syahid di tali gantung pada zaman Jamal Abdel Nasir, pernah mengungkapkan antara cabaran ummah ialah kejahilan ummah itu sendiri dan kelesuan ulama.

Dr.Muhammad Sayyid al-Wakil, profesor sejarah Islam di Universiti Islam Madinah al Munawwarah pula menyentuh tentang perancangan jahat musuh dan kejahilan umat Islam sendiri mengenai agama Islam.

Kefahaman dan penghayatan umat Islam berbeza-beza mengikut taraf hidup dan latar belakang mereka. Secara umumnya terbahagi kepada dua.

I. Pertama, golongan kurang terpelajar atau tidak terpelajar. Golongan ini kadang-kadang tidak memahami langsung akan Islam kecuali maklumat asas mengenai aspek ibadat dalam agama. Keislaman mereka sekadar pak turut semata-mata. Mereka mewakili bahagian terbesar daripada keseluruhan umat Islam. Mereka ini mudah terpengaruh dengan golongan yang pada pandangan mereka adalah terpelajar.

II. Kedua, golongan yang mendapat pendidikan Barat atau yang terpengaruh dengannya. Rata-rata golongan ini dianggap terpelajar di kalangan umat Islam. Mereka mendapat pendidikan daripada sistem pendidikan yang tidak berteraskan wahyu tetapi mereka mempunyai kedudukan yang baik dalam masyarakat

Kelemahan golongan ini berpunca daripada kejahilan mereka mengenai Islam sebagai ad-Din. Berpunca daripada golongan inilah kedengaran suara sumbang seperti Islam tiada hubungan dengan hukum-hakam, syariat Islam sudah tidak sesuai dengan kehidupan zaman moden, sesetengah ajaran Islam payah dan sukar hendak dilaksanakan dan sebagainya.

Bagi golongan yang faham Islam pula, mereka memahami Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna dan menyeluruh yang diturunkan Allah. Mereka inilah yang berusaha melaksanakannya dalam kehidupan kerana meyakini Islam tetap sesuai pada setiap zaman dan tempat kerana ia milik Allah Yang Maha Mengetahui Umat Islam juga sentiasa menghadapi cabaran daripada musuh.

Musuh umat Islam adalah daripada kalangan yang tidak kelihatan seperti nafsu dan syaitan dan ada juga daripada kalangan manusia. Daripada kalangan manusia, Allah menegaskan dalam firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dengan kamu sehingga kamu mengikuti millah mereka. (Surah al-Baqarah: 126)