Saturday, January 30, 2010

Wasiat Amal Dan Wasiat Keimanan


Tiada yang paling jujur percakapannya kecuali Allah, begitu banyak janji-janji Allah bagi orang yang bertakwa.

Takwa adalah wasiat yang di berikan kepada para nabi-nabi, rasul-rasul dan para wali Allah sebagai bekal ketika berjumpa Allah kelak.

Takwa merupakan faktor utama bagi mendapatkan kebahagiaan dan keselamatan di hari akhirat kelak. Tiadalah kebaikkan lain yang mampu membawa kita ke syurga selain takwa. Dengan takwa, kita akan sentiasa mendapat pertolongan, inayah dan anugerah dari Allah.

Bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bertakwa. Bertakwalah kepada Allah ketika kita duduk, sewaktu kita berdiri, mahu pun ketika kita berbaring. Dengan takwa, hati kita akan menjadi tenang, tidak akan gementar,
tidak akan gundah, tidak akan risau dan takut walau bumi ini di goncang atau diancam dengan tsunami sekalipun, dengan takwa, kita akan sentiasa merasa diri kita di bawah payung perlindungan Allah.

Bertakwalah dengan hati dengan menjunjung tinggi perintah Allah, pancarkan perintah Allah melalui perbuatan dan tindakkan kita, jauhkan diri dari segala larangan Allah, hidupkan detik-detik waktu kita dengan ibadah, suasana kita dengan zikrullah, hati kita dengan muraqabatillahi azzawajal, ikhlas dalam beribadat dan khusyuk dalam mengabdikan diri kepada Allah.

Wujudkan dalam diri kita perasaan antara takut dan harapan ketika melaksanakan ibadah kepada Allah. Perasaan takut apabila marasakan adakah ibadah kita akan diterima oleh Allah. Kadang-kadang dalam beribadah, kita tidak khusyuk, ibadat kita kurang dan tidak sempurna, akan timbul perasaan takut dan risau. Risau ibadat kita yang sedikit itu dan kurang sempurna, menyebabkan ibadat kita tidak diperkenankan oleh Allah.

Tetapi dalam waktu yang sama, ketika beramal, wujud dalam hati perasaan berharap, timbul pengharapan semoga dengan kekurangan, kelemahan dan kekerdilan kita, Allah akan menerima ibadat kita.

Allah yang pertama sekali memperkenalkan kepada kita sifat rahmat sebelum kita dilahirkan, dengan janji Allah kepada kita iaitu bagi Sesiapa yang melakukan amal sebesar zarah sekalipun, Allah akan memperlihatkan balasannya di akhirat kelak, lalu timbullah harapan, lahir ketenangan dan wujud keyakinan dalam hati.
Dengan takwa, kita akan mampu menilai dan membezakan antara perkara kebaikkan dan perkara buruk, antara positif dan negatif, membezakan perkara yang merugikan dan yang menguntungkan, antara yang ma’aruf dan yang munkar.

Takwa itu merupakan batu pemisah di antara yang haq dan yang batil, takwa adalah penyelamat kita dari api neraka. Tiada dari kita seorang pun yang akan selamat menyeberangi neraka jahannam kecuali bagi orang-orang yang bertakwa.

Sabda Nabi Muhamad S.A.W, mafhumnya “ada sebahagian dari umatku apabila ketika dia menyeberangi neraka, tergelincir kaki kanannya, dia pun bertahan dengan kaki kirinya. Kemudian dia terjatuh, dia bertahan pula dengan tangan kanannya, pada ketika itu datang selawat dan salamnya kepadaku, datang sedekahnya yang ikhlas kerana Allah, datang puasanya, datang zikirnya, datang ibadahnya, dan datang takwanya yang seterusnya akan menolong dan menyelamatkannya dari terjatuh kedalam api neraka dan membawanya ke pintu gerbang syurga”.

Mengenali Hakikat Taqwa



Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal, r.a.,
daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:

“Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”
[Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi.]

Takwa adalah wasiat Allah yang Agong untuk orang-orang terdahulu & terkemudian. Taqwa adalah Sesuatu yang diletakkan oleh seseorang hamba di antara apa yang ditakuti dari
Allah iaitu murkaNya, dendamNya dan azabNya. Juga termasuk dalam taqwa ialah dengan melakukan perkara wajib dan meninggalkan yang haram.

Orang yang mempunyai sifat takwa akan adalah penghuni syurga. Taqwa adalah sebagai penyebab cinta Allah kepada hambaNya. Dibuka semua pintu barakah yang berada di langit dan di bumi bagi orang yang bertakwa. Allah telah berjanji kepada kita bahawa pertolonganNya sentiasa mengiringi orang bertaqwa dan mempermudahkan bagi mereka urusan dunia dan akhirat. Allah menjanjikan balasan yang baik bagi mereka di dunia dan di akhirat.

Bertakwalah kepada Allah ketika sunyi dan juga terang-terangan, sesungguhnya segala tindakkan dan perbuatan kita sentiasa diperhatikan oleh Allah.


Tanda kesempurnaan iman pada seseorang adalah tidak ada padanya sifat-sifat mazmumah, sifat buruk dan tercela. Bersifatlah dengan sifat mahmudah, iaitu sifat mulia dan terpuji, ambil contoh sifat mahmudah dengan mengambil qudwah dari nabi saw dan mempelajari sirahnya. Dengan sifat mahmudah akan akan menjadikan kita beradab dengan Allah, beradab dengan sesama manusia, sesama keluarga dan sahabat handai.

Taqwa dituntut walaupun di mana sekalipun seorang mukmin itu berada, sama ada di khalayak ramai mahupun ketika keseorangan. lni adalah tanda keikhlasan lman dan taqwa. lslam menolak sifat berpura-pura dan munafik yang hanya mempamerkan kebaikan di depan orang dan berbuat kejahatan apabila jauh daripada pandangan manusia. Melakukan kesalahan adalah tabiat semulajadi manusia. Oleh itu apabila mereka melakukan kesilapan, mereka dituntut agar mengiringi kejahatan tersebut dengan amal soleh kerana ia boleh menghapuskan kejahatan tersebut.

Akhlak dan budi pekerti yang mulia amat dituntut oleh agama. la adalah teras perhubungan dan mu'amalah dalam masyarakat lslam. Dengan akhlak yang baik, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat penyayang dapat dilahirkan.

Friday, January 15, 2010

Keagungan Ulamak Silam



Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

“Allah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya:

"Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadith, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih...?”Tidak...! ”jawabnya. "Dua ratus ribu hadith..?" "Tidak..!.. katanya. "Tiga ratus ribu hadith..?" "Tidak..! Jawabnya. "Empat ratus ribu hadith..? "Juga tidak...! tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.

500 000 hadith dihafaz baru dikatakan sebagai faqeh. Itupun ulamak amat berhati-hati apabila mengeluarkan hukum walaupun sudah hebat dalam ilmunya.

Imam Malik pernah berkata:

“Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)".




Ibn al Qasim berkata:

"Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : "Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti".

Ibn Abi Layla pernah berkata:

"Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasul sallaLLahu 'alaihi wasallam, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya.


Hebat betul ulamak dan para sahabat zaman dahulu, mereka amat warak (berhati-hati) sebab takut untuk mengeluarkan hukum. Takut berdusta atas Allah dan RasulNya. Ini halal dan ini haram hak siapa untuk berkata? Sedangkan ALlah sendiri mengingatkan kita dalam firmanNya :

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (An-Nahl: 116)

Saturday, January 9, 2010

Pilihan Antara Tak Mahu Hipokrit atau Dosa



Memakai tudung dan menutup aurat di tempat kerja/sekolah/majlis tertentu/ hari tertentu/ waktu tertentu sahaja?

“Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher)”

“Memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit”

Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung. sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab luaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah sistem dan regulasinya.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).

Hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu.
Jika terus degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh

“Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya”
( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong seseorang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan menunaikan solat, ia bermakna solat itu bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit",

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Sumber rujukan: www.zaharuddin.net, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Monday, January 4, 2010

Kematian Pasti Akan Tiba...



Kematian adalah permulaan kepada kehidupan baru yang kekal abadi (Akhirat). Yakin dengan sebenar-benar yakin akan alam Akhirat sangat dituntut kerana ia rukun iman yang kelima.

Sabda Rasulullah:
"Perbanyakkanlah mengingati mati, nescaya akan meremehkan berbagai kelazatan ." (An Nasai, Ibnu Majah dari Abu Hurairah)

Ketika Malaikat maut datang menemui Nabi Yaakub AS untuk mencabut nyawa, beliau bertanya,"bukankah aku minta agar dikirimkan utusan terlebih dahulu"

Malaikat maut menjawab,"demi Allah telah banyak utusanku memberi peringantan wahai nabi Allah, Jawab Nabi Yaakub,"aku tidak mengetahui dan mengenalinya," Jawab malaikat maut pula,"Iaitu berupa sakit, uban, pendengaran kurang dan penglihatan kabur."

Rasulullah bersadba,"Berziarahlah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu kepada Akhirat. Mandikan orang mati kerana mengurus jasad orang mati merupakan peringatan yang mendalam. Dan sembahyangkan jenazah kerana ia dapat menyedihkan hati kamu kerana orang yang bersedih dibawah naungan Allah SWT bererti bersedia dengan segala kebajikan.(Dari Abu Dzar)

Barang siapa yang banyak menginggati mati akan mengutamakan 3 perkara:

1.Segera bertaubat, kerana yakin mati akan datang dengan tiba-tiba, tanpa disangka dan tidak mengira tempat.

2.Berhati tenang dan sentiasa mengawasi hati dari dihingapi dan dikotori oleh berbagai mazmumah (sifat keji). Dan sentiasa mengingati Allah SWT.

3.Rajin beribadah dan taat, dunia ini adalah tempat beramal dan akhirat adalah tempat perhitungan

Tanda-tanda orang yang melupai mati

1.Menunda-nunda taubat, akhirnya mati dalam keadaan membawa bersama dosa yang belum bertaubat. Seringkali berangan-angan kerana menyangka mati masih lambat dan umur akan panjang.

2.Tidak rela hidup sederhana akhirnya memburu kesenangan dan kemewahan dunia hingga lalai dari menginggati Allah SWT. Sering merasa kecewa dan putus asa seolah-olah dunia ini segala-galanya. Terlalu mementingkan diri sendiri dan sanggup menindas orang lain

3.Malas beribadah, kelazatan menikmati nikmat dunia menyebabkan lenyapnya kelazatan beribadah pada Allah SWT. Hilang kemanisan ibadah, malah dirasai kosong dan tidak bermanfaat.