Saturday, January 30, 2010

Wasiat Amal Dan Wasiat Keimanan


Tiada yang paling jujur percakapannya kecuali Allah, begitu banyak janji-janji Allah bagi orang yang bertakwa.

Takwa adalah wasiat yang di berikan kepada para nabi-nabi, rasul-rasul dan para wali Allah sebagai bekal ketika berjumpa Allah kelak.

Takwa merupakan faktor utama bagi mendapatkan kebahagiaan dan keselamatan di hari akhirat kelak. Tiadalah kebaikkan lain yang mampu membawa kita ke syurga selain takwa. Dengan takwa, kita akan sentiasa mendapat pertolongan, inayah dan anugerah dari Allah.

Bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bertakwa. Bertakwalah kepada Allah ketika kita duduk, sewaktu kita berdiri, mahu pun ketika kita berbaring. Dengan takwa, hati kita akan menjadi tenang, tidak akan gementar,
tidak akan gundah, tidak akan risau dan takut walau bumi ini di goncang atau diancam dengan tsunami sekalipun, dengan takwa, kita akan sentiasa merasa diri kita di bawah payung perlindungan Allah.

Bertakwalah dengan hati dengan menjunjung tinggi perintah Allah, pancarkan perintah Allah melalui perbuatan dan tindakkan kita, jauhkan diri dari segala larangan Allah, hidupkan detik-detik waktu kita dengan ibadah, suasana kita dengan zikrullah, hati kita dengan muraqabatillahi azzawajal, ikhlas dalam beribadat dan khusyuk dalam mengabdikan diri kepada Allah.

Wujudkan dalam diri kita perasaan antara takut dan harapan ketika melaksanakan ibadah kepada Allah. Perasaan takut apabila marasakan adakah ibadah kita akan diterima oleh Allah. Kadang-kadang dalam beribadah, kita tidak khusyuk, ibadat kita kurang dan tidak sempurna, akan timbul perasaan takut dan risau. Risau ibadat kita yang sedikit itu dan kurang sempurna, menyebabkan ibadat kita tidak diperkenankan oleh Allah.

Tetapi dalam waktu yang sama, ketika beramal, wujud dalam hati perasaan berharap, timbul pengharapan semoga dengan kekurangan, kelemahan dan kekerdilan kita, Allah akan menerima ibadat kita.

Allah yang pertama sekali memperkenalkan kepada kita sifat rahmat sebelum kita dilahirkan, dengan janji Allah kepada kita iaitu bagi Sesiapa yang melakukan amal sebesar zarah sekalipun, Allah akan memperlihatkan balasannya di akhirat kelak, lalu timbullah harapan, lahir ketenangan dan wujud keyakinan dalam hati.
Dengan takwa, kita akan mampu menilai dan membezakan antara perkara kebaikkan dan perkara buruk, antara positif dan negatif, membezakan perkara yang merugikan dan yang menguntungkan, antara yang ma’aruf dan yang munkar.

Takwa itu merupakan batu pemisah di antara yang haq dan yang batil, takwa adalah penyelamat kita dari api neraka. Tiada dari kita seorang pun yang akan selamat menyeberangi neraka jahannam kecuali bagi orang-orang yang bertakwa.

Sabda Nabi Muhamad S.A.W, mafhumnya “ada sebahagian dari umatku apabila ketika dia menyeberangi neraka, tergelincir kaki kanannya, dia pun bertahan dengan kaki kirinya. Kemudian dia terjatuh, dia bertahan pula dengan tangan kanannya, pada ketika itu datang selawat dan salamnya kepadaku, datang sedekahnya yang ikhlas kerana Allah, datang puasanya, datang zikirnya, datang ibadahnya, dan datang takwanya yang seterusnya akan menolong dan menyelamatkannya dari terjatuh kedalam api neraka dan membawanya ke pintu gerbang syurga”.

No comments: