Saturday, January 9, 2010

Pilihan Antara Tak Mahu Hipokrit atau Dosa



Memakai tudung dan menutup aurat di tempat kerja/sekolah/majlis tertentu/ hari tertentu/ waktu tertentu sahaja?

“Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher)”

“Memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit”

Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung. sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab luaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah sistem dan regulasinya.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).

Hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu.
Jika terus degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh

“Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya”
( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong seseorang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan menunaikan solat, ia bermakna solat itu bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit",

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Sumber rujukan: www.zaharuddin.net, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

No comments: