Thursday, April 20, 2017

SEBAIK-BAIK JIHAD


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و آله و سلم قال (أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر) رواه أبو داود والترمذي و قال حديث حسن

Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik jihad ialah menyatakan 
(perkataan yang adil (benar) dihadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)


Muncul Dari Iman Yang Mantap
Seseorang yang mempunyai keimanan yang mantap akan mempunyai keberanian untuk menyampaikan perkataan yang benar di hadapan seorang pemimpin atau penguasa yang zalim. Keyakinan dan keberanian ini ada di dalam hatinya kerana dia telah menjual dirinya untuk Allah dan dia lebih mengutamakan hak Allah berbanding hak dirinya. Firman Allah SWT:


إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta mereka dengan" 
(balasan) bahawa bagi mereka syurga." (At-Taubah: 111)

Amar Ma’ruf Nahi Munkar 
Menyatakan kebenaran adalah termasuk dalam Amar ma’ruf nahi munkar, oleh itu ia juga adalah salah satu dari bentuk jihad. Mengajak orang lain untuk beramal soleh dan melarang dari melakukan kemungkaran juga akan mendapatkan pahala jihad. Dan Amar Ma’ruf Nahi Munkar di hadapan pemimpin yang zalim adalah lebih afdhol kerana ia memberi impak yang lebih kuat, dan juga kerana berdepan dengan risiko dan mudharat.

Lakukan Dengan Berhikmah
Namun, cara menyatakan kebenaran itu mestilah dengan berhikmah. Nasihat secara individu,  bertemu mata dan melakukannya secara rahsia adalah lebih baik dan lebih diutamakan. Allah Swt berfirman:


“Serulah kepada manusia pada jalan Allah dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pelajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik dengan cara yang paling baik.” (an-Nahl: 125) "...Dan jika kamu bersabar, itu adalah lebih baik." (an-Nahl: 126)

kaedah ini di ajarkan oleh Nabi SAW dan juga para Nabi terdahulu. Nabi Allah Musa dan adiknya Nabi Allah Harun menyampaikan dakwah, mencegah kemungkaran dan kezaliman Firaun yang merupakan seorang raja yang paling zalim. Namun demikian Allah menyuruh Nabi Musa agar menyeru secara hikmah. Firman Allah SWT:

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya(Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut” (Taaha:44)

Menasihati secara sembunyi maka ia adalah nasihat yang benar dan secara tidak langsung menghormati dan menghargai orang yang dinasihatinya itu. Menegur secara terang-terangan bererti dia telah menghina orang yang mahu dinasihatinya”

Jihad Paling Afdhol Bukannya Dengan Perang
Dalam riwayat Imam Nasai: Suatu ketika saat hampir terjadinya peperangan ada seorang menghampiri Rasulullah lalu bertanya, "wahai Rasululullah, apakah jihad yang paling afdhal? Rasulullah SAW menjawab: "Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kebenaran di hadapan seorang pemimpin yang zalim."


Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa jihad yang paling utama bukannya perang, ini kerana soalan sahabat dan jawapan Nabi S.A.W ini adalah saat hampir bermulanya peperangan namun Nabi saw tidak menjawab perang sebagai jihad yang paling afdhol.

Pelbagai Bentuk Jihad
Jihad mempunyai pelbagai bentuk, antaranya ialah bangun malam untuk bertahajjud, puasa sunat, dan membantu orang tua. Setelah perang tamat Nabi  SAW bersabda: 

"kita baru pulang dari medan perang yang kecil menuju jihad yang besar. Lalu sahabat bertanya apakah jihad yang besar? Nabi SAW menjawab: "Jihad melawan hawa nafsu." (HR Al-Baihaqi)


أَفْضَلُ الْجِهَادِ أَنْ يُجَاهَدَ الرَّجُلُ نَفْسَهَ وَ هَوَاهُ

".Jihad yang paling utama adalah seseorang berjihad berjuang melawan dirinya dan hawa nafsunya" (HR Abu Nu’aim dan ad-Daimal)

Daripada Abu Said al-Khudri RA, seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling utama? jawab Baginda SAW, “Iaitu orang Mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri di jalan Allah”. Lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapakah lagi? Baginda menjawab, “yang mengasingkan dirinya di lereng-lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhan-Nya". Dalam satu riwayat yang lain, "...iaitu orang yang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan diri) daripada orang yang melakukan kejahatannya." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dapat kita fahami bahawa melawan nafsu dan sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk bertaqwa kepada Allah SWT serta membelanjakan harta ke jalan yang diredhai Allah juga termasuk dalam kategori jihad.

Menyatakan kebenaran Dengan Cara Demontrasi
Dalam hal berkaitan demontrasi ada 3 pandangan. Pertama adalah pandangan Imam ibnu Abbas dan Imam ibnu Mas’ud. Mereka berpendapat bahawa menyampaikan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim menjadi afdhol jika merasa aman dan terhindar dari mudharat.


Keduanya ialah pandangan Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnul Khattab dan Imam Ibnu Ka’ab, mereka berpendapat bahawa wajib meluruskan kemungkaran dengan apa cara sekali pun.

Dan pendapat yang ketiga ialah cukup dengan mengingkari kemungkaran pemimpin yang zalim dengan hati dan berdoa.

Pertimbangkan Kesannya
Dalam Al-Qur’an ada menceritakan tentang Ashabul Ukhdud (Raja Zalim yang membuat parit), rakyatnya menyampaikan kebenaran di depan sang Raja yang zalim dalam keadaan mereka yakin mereka akan di bunuh. Akhirnya mereka dibunuh dengan  dicampakkan ke dalam parit yang berapi.

Dalam surah Al-Kahfi, diceritakan tentang Ashabul Kahfi. Mereka juga menentang Raja yang zalim dan kemudian melarikan diri dan ditidurkan oleh Allah di dalam sebuah gua.

Dakwah mempunyai pelbagai cara, ketika kita menyampaikan  kebenaran di hadapan seorang pemimpin yang zalim, terlebih dahulu pertimbangkan kesannya sama ada membawa kebaikan atau keburukan.

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Tuesday, March 14, 2017

SETIAP HAMBA AKAN DIBANGKITKAN SESUAI DENGAN KEADAANNYA KETIKA MENINGGAL



يُبْعَثُ كُلُّ عَبْدٍ عَلَى مَا مَاتَ عَلَيْهِ
“Setiap hamba akan dibangkitkan sesuai dengan keadaannya ketika meninggal.” (HR. Muslim)

Hadis ini menerangkan keadaan hamba yang dibangkitkan oleh Allah SWT selepas kematian. Keadaa seorang hamba saat dibangkitkan selepas kematian adalah tergantung pada bagaimana keadaannya saat dia meninggal dunia. Jika dia meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah seperti sedang beribadah, sujud, membaca Al-Qur’an, atau dalam keadaan mendapat redha daripada ibunya maka kelak dia dibangkitkan dalam keadaan yang bahagia. Tetapi jika dia meninggal dalam keadaan su’ul khotimah seperti sedang melakukan maksiat, mabuk, berzina, atau dalam keadaan ibunya murka kepadanya maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan yang penuh dengan penderitaan.

Kematian adalah al-Maut, perkataannya pendek terdiri dari beberapa huruf sahaja tetapi sangat memberi bekas terhadap manusia. Setiap penyakit Allah turunkan bersamanya penawar, kecuali kematian. Sesungguh mana pun kita melupakan kematian namun kematian tidak pernah melupakan kita, sejauh mana pun kita lari dari kematian tetapi kematian itu tetap akan mengejar kita, sejauh mana pun kita bersembunyi dari kematian namun kematian tetap menjumpai kita. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ
“Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu. (Al-Jumu’ah: 8)

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walau kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa’:78) 

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ اْلمـَوْتِ
Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Ali Imran:185, al-Anbiya:35 dan al-Ankabut: 57).

Perkataan “setiap” dalam ayat bermaksud semua kehidupan termasuk malaikat yang meniup sangkakala, apa yang membezakan kita adalah amal yang kita lakukan. Berdasarkan hadis ini kita dianjurkan untuk memperbaiki amal agar amalan kita diterima oleh Allah SWT. Mintalah kepada Allah agar kita meninggal dalam keadaan Khusnul Khotimah, kerana meninggal dalam keadaan Khusnul Khotimah itu hakikatnya bukan kemahuan kita tetapi kemahuan Allah SWT. Mohonlah kasih sayang dan belas kasihan dari Allah SWT, jika Allah sayang pada seseorang hamba, maka hamba tersebut akan diberi Taufiq untuk beramal Soleh sebelum dia meninggal dunia sehingga dia meninggal dalam keadaan khusnul khotimah. Seseorang yang masanya dipenuhi membaca Al-Qur’an, kemungkinan dia meninggal adalah dalam keadaan membaca Al-Qur’an, demikian seseorang yang istiqomah di masjid maka kemungkinan nyawanya dicabut ketika dia berada di masjid.  

Dalam kita banyak beramal jangan kita menghina pelaku maksiat dan pendosa. Mungkin sahaja dia masuk syurga dengan hanya melakukan satu amalan kebajikan dan kita dimasukan ke neraka hanya dengan melakukan sekali perbuatan maksiat. Nabi SAW bersabda bahawa ada orang yang amalanya bagus, beramal dengan amalan ahli syurga dan beribadah siang dan malam, lalu dia melakukan maksiat dan dalam keadaan melakukan maksiat itu nyawanya di cabut lalu dia kelak ditempatkan di neraka. Tanda orang yang dikhuatirkan meninggalnya dalam keadaan Su’ul Khotimah ada empat: Pertama ialah orang yang melalaikan solat, yang kedua ialah orang yang selalu mabuk, yang ketiga ialah orang derhaka kepada ibu dan bapa, dan yang keempat ialah orang yang melakukan kejahatan kepada manusia terutama pada orang yang beriman.  

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Saiyidina Abdullah Bin Umar ketika dia masih kecil, Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Umar: “Jadilah kamu hidup di dunia seperti orang asing atau musafir, apabila engkau berada di petang hari, janganlah kamu menunggu hingga ke pagi hari. Dan apabila kamu berada di pagi hari maka janganlah menunggu hingga ke petang hari. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu. Dan gunakanlah hidupmu sebelum datang kematianmu." (HR. Al-Bukhari)


Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Tuesday, February 28, 2017

DOA IBNU MAS’UD R.A



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
عَنْ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ بَقُوْلُ: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى) رواه مسلم

Dari Ibn Mas’ud ra, Rasulullahullah SAW bersabda: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, penjagaan diri dari maksiat serta kekayaan.” (HR Muslim)

Hadis ini diriwayatkan oleh sahabt Nabi SAW Ibn Mas’ud, nama penuh beliau ialah Abdullah Ibn Mas’ud. Beliau diantara sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dalam perjalanan bersama Sayyidina Abu Bakar Assiddiq dan beberapa orang sahabat pada waktu panas terik matahari di siang hari. Dalam kehausan Rasulullah SAW dan para sahabat terjumpa seorang anak kecil yang mengembala unta, anak kecil itu bernama Abdullah Ibn Mas’ud.

Nabi SAW bertanya kepada Ibn Mas’ud: “Wahai anak kecil, adakah di antara unta-unta ini mempunyai susu yang boleh diminum oleh saya dan sahabat saya?” Ibnu Mas’ud menjawab “Ya, ada. Tetapi saya hanya diamanahkan untuk menjaganya.” Kemudian Rasulullah bertanya: “Apakah ada unta tua yang tidak mempunyai susu?” Ibn Mas’ud menjawab: “Ada seekor unta yang paling tua yang sudah tidak mengeluarkan susu.” Nabi SAW terus memegang kantung susu unta tua tadi, dengan izin Allah SWT kantung susu unta tua tadi membesar dan mengeluarkan susu dengan banyak. Rasulullah SAW bersama Abu Bakar dan para sahabat yang ada waktu itu meminum susu tersebut sehingga kenyang. Setelah itu Nabi SAW memegang sekali lagi kantung susu unta tua tadi dan berkata: “kempislah!” saat itu juga kantung susu unta tua tadi kempis dengan serta merta. Ibn Mas’ud yang melihat kejadian yang menakjubkan itu terus memeluk Islam mendapat hidayah dari Allah SWT berkat Mu’jizat Nabi Kita Muhammad SAW.

Sayyidina Ibn Mas’ud antara sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullahullah SAW dan nama beliau tercatat dalam buku-buku sejarah. Beliau banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW sehingga melebihi 800 hadis, ini kerana beliau sentiasa berada di samping Rasulullah SAW. Oleh kerana Ibnu Mas’ud sentiasa bersama Rasulullah SAW saat turunnya ayat Al-Qur’an maka beliau mengetahui sabab turunnya ayat-ayat Al-Quran. Banyaknya masa beliau bersama Rasulullahullah saw menjadikan beliau sahabat yang paling dekat dengan Rasulullahullah SAW sehingga baginda Nabi SAW menzahirkan cinta baginda kepada beliau dalam bentuk doa: “Allahumma atstsir maalahu wa waalada waa barik fii umrih, (Yaa Allah panjangkan umurnya dia, limpahkan harta dan anak cucu keturuannya).”

Doa baginda Nabi SAW itu dikabulkan Allah SWT, Ibnu Mas’ud wafat pada umur lebih dari 100 tahun. Beliau sempat hidup pada zaman khalifah Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar sehingga Sayyidina Utsman Bin Affan. Anak beliau berjumlah lebih dari 100 orang. Hartanya berlimpah, beliau mempunyai kebun-kebun kurma. Beliau meninggal dikota Madinah, dan dikuburkan bersama puteri-puteri Rasulullahullah SAW.”

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Thursday, February 23, 2017

DOA KETIKA KELUAR RUMAH


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (مَنْ قَلَ يَعْنِيْ إِذَا خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى الله  وَ لاَ حَوْلَ وَ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ يُقَالُ لَهُ هُدِيْتَ وَ كُفِيْتَ وَ وُقِيْتَ وَتَنَحَّى عَنْهُ الشَّيْطَانُ) رواه أبو داود و الترمذي و النسائي و غيرهم و قال الترمذي حديث حسن

Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca ketika keluar dari rumahnya “Dengan Nama Allah, aku telah bertawakkal kepada Allah, tiada daya dan upaya terkecuali atas kuasa Allah”, maka kepada orang itu dikatakan: Kamu telah di beri petunjuk, telah dicukupkan, dan telah diberi penjagaan. Lalu syaitan pun akan menjauhi orang tersebut” (Hadis Hasan Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan An-Nasaai)

Hadis ini mengajar kita tentang dua perkara. Yang pertama ialah kemana sahaja kita pergi dan dimana sahaja kita berada, Allah S.W.T sentiasa ada bersama dengan kita. Yang kedua ialah bertawakal hanya kepada Allah S.W.T. Perkataan rumah dalam hadis juga termasuk tempat kerja, pondok, bangunan atau tempat yang didiami.

Doa yang diajarkan oleh Nabi SAW ini merupakan 3 zikir lengkap yang mengandungi makna dikasihi dan diberkati oleh Allah S.W.T, tawakkal memudahkan urusan, dan dilindungi oleh Allah S.W.T dari musibah.

Rasulullah SAW mengajar kita membaca بِسْمِ اللهِ (Dengan nama Allah S.W.T) pada setiap kali memulakan sesuatu aktiviti termasuklah saat mahu keluar dari rumah. Dengan membaca بِسْمِ اللهِ maka setiap tindakan dan perlakuan kita akan diberkati, diberi pertolongan dan sentiasa dalam jagaan Allah S.W.T. Dengan membaca, تَوَكَّلْتُ عَلَى الله bermakna kita menyerah dan menyandarkan segala urusan kita dan meminta perlindungan hanya kepada Allah S.W.T. Dengan membaca وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ bermaksud kita menginsafi kelemahan kita dan tiada daya dan upaya kecuali dari Allah S.W.T.


Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Friday, February 17, 2017

MULAKAN DAN BUDAYAKAN SUNNAH YANG BAIK


Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa merintis (memulai) dalam agama Islam sunnah (perbuatan) yang baik maka baginya pahala dari perbuatan tersebut juga pahala dari orang yang melakukannya (mengikutinya) setelahnya tanpa berkurang sedikitpun pahala mereka, dan barang siapa merintis dalam Islam sunnah yang buruk maka baginya dosa dari perbuatan tersebut juga dosa dari orang yang melakukannya (mengikutinya) setelahnya tanpa berkurang dosa-dosa mereka sedikitpun” (HR Muslim)

Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang menjadi perintis, pengasas, pelopor, atau penggerak kepada orang lain melakukan kebaikan. Maksud “sesiapa sahaja” dalam hadis termasuk di sini adalah lelaki atau wanita, tua atau muda, Ustaz atau orang biasa yang menjadi sebab kepada orang lain melakukan kebaikan dalam urusan agama atau pun urusan dunia, maka baginya pahala seperti orang yang mengerjakan amal soleh yang dia anjurkan. Orang yang menyarankan orang lain untuk solat maka dia akan mendapat pahala seperti mana orang yang solat.

Jika yang melakukannya seorang maka orang yang menganjur akan mendapat pahala untuk seorang, jika yang melakukannya seramai sepuluh orang maka dia akan mendapat pahala untuk sepuluh orang, makin ramai yang melakukannya maka makin banyak pahala yang diperolehi.

Terdapat perbezaan pendapat ulama berkaitan kadar pahala yang diperolehi. Sebahagian ulama berpendapat bahawa pahala orang yang memulakan adalah berbeza dengan pahala orang yang mengerjakan suatu amalan. Ini berdasarkan kaedah fekah berikut: “Orang yang mengerjakan amalan lebih besar pahalanya”, “Amalan yang lebih banyak pengorbanan, lebih banyak keutamaan.” Rasulullah SAW bersabda: “pahalanya tergantung pada usaha yang dikorbankan.” (HR. Muslim)

Sebagaimana Rasulullah SAW pernah berkata kepada Sayyidah Aisyah: “Pahala kamu berdasarkan sejauh mana kesusahan amal yang kamu kerjakan.” Sayyidah Aisyah pernah bertanya: “Bagaimana jika saya pergi haji dengan berjalan kaki, apakah sama pahalanya dengan menunggang unta?” Nabi SAW menjawab: “Ya, yang lebih susah maka lebih besar pahalanya.” Imam Nawawi  berkata: “Bagi orang yang mengerjakan suatu amalan maka pahalanya lebih besar walaupun orang yang menganjurkan juga mendapat pahala.”

Dan sebahagian ulama berpendapat pahala mereka adalah sama secara hakikat. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa orang yang memberikan anjuran pahalanya adalah sama dengan orang yang mengerjakanya.

Ulama bersepakat bahawa maksud hadis ini melibatkan urusan dunia, jika perkara itu adalah baik maka tetap diberi pahala. Dalam riwayat Ibnu Mas’ud beliau meriwayatkan bahawa ada seseorang telah meminta unta kepda Rasulullah SAW untuk dijadikan tunggangannya. Rasulullah SAW menjawab: “Saya tidak mempunyai unta untuk dijadikan tunggangan.” Tiba-tiba ada seseorang mengangkat tangan dan berkata: “Ya Rasulullah, saya boleh menunjukan kepadanya orang yang boleh memberi kendaraan untuknya.” Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan, maka dia mendapatkan pahala sama seperti orang yang mengerjakannya.”(HR Muslim)

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Setiap ruas tulang manusia wajib bersedekah setiap hari, di mana matahari terbit. Selanjutnya beliau bersabda: Berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, membantu seseorang (yang kesulitan menaikkan barang) pada haiwan tunggangannya, lalu dia membantu menaikkannya ke atas haiwan tunggangannya atau mengangkat barang-barangnya adalah sedekah.” Rasulullah saw. juga bersabda: “Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang dikerahkan menuju salat adalah sedekah dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.” (HR Muslim)

Dalam hadis ini menunjukan bahawa pahala diberikan pahala walau tindakan itu dalam urusan dunia, maka lebih utama lagi jika perkara yang dimulakan itu berkaitan dengan urusan agama.


Sumber: Majelisrasulullah.com; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi