Monday, August 28, 2017

ISLAM AGAMA YANG MUDAH




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عن عائشة رضي الله عنها قالت:إن كان رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم ليدع العمل وهو يحب أن يعمل به خشية أن يعمل به الناس فيفرض عليهم   
(متفق عليه)

Dari Aisyah isteri baginda Nabi Muhammad SAW, Ummul Mukminin RA berkata: “Jika Rasulullah SAW meninggalkan suatu amalan padahal baginda suka mengamalkannya, ini kerana baginda bimbang manusia yang mengamalkannya kemudian diwajibkan ke atas mereka (Muttafaqun ‘Alaih)

Sesungguhnya, baginda SAW meninggalkan amal perbuatan, iaitu amalan ibadah sunah (bukan ibadah yang wajib) padahal Nabi SAW itu sangat suka untuk sentiasa melakukan amalan sunnah di depan sahabatnya agar di contohi.

Mengapa Nabi SAW bertindak metinggalkannya? Tindakan Nabi SAW ini adalah kerana  خشية (bimbang) أن يعمل به الناس (amalan itu nanti dilakukan oleh manusia) para sahabat melakukannya secara beramai-ramai lalu فيفرض عليهم (diwajibkan ke atas mereka) amalan itu oleh Allah SWT. Nabi SAW bimbang amalan itu nanti kemudiannya menjadi beban kepada ummatnya.

Hadith ini menggambarkan kelembut hati Rasulullah SAW, Nabi SAW bimbang kelak kita tidak mampu melakukan amalan yang wajib dan berdosa jika meninggalkannya. Nabi SAW meninggalkan dari melakukannya di hadapan sahabat, tetapi Nabi SAW tetap melakukannya secara sendirian di rumah. Contohnya solat sunat dhuha dan tarawih, jika solat wajib Nabi SAW akan pergi melakukannya di Masjid.

Oleh sebab itu Nabi SAW hanya melakukan solat sunat tarawih bersama sahabat di masjid hanya pada malam-malam awal ramadhan dan kemudiannya Nabi SAW tidak ke Masjid kerana Nabi SAW bimbang jika Nabi SAW berterusan mengimami solat tarawih setiap malam pada bulan ramadhan, kelak solat sunat tarawih diwajibkan. Nabi SAW bersabda: “Aku bimbang solat-solat malam menjadi wajib ke atas kamu dan nanti kamu tidak mampu menjalankannya dan menjadi beban makanya aku tidak keluar pergi ke Masjid”.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Tidaklah-Ku utus kau wahai Muhammad melainkan menjadi manusia pembawa rahmat bagi alam semesta”.

Nabi SAW meninggalkan sesuatu amalan bukan kerana Nabi SAW tidak suka, merasa malas atau kerana bosan melakukan amalan tersebut. Nabi SAW adalah orang yang paling suka beribadah. Nabi SAW sentiasa ingin bermunajat dan menjaga hubungan baginda dengan Allah. Nabi SAW tidak makan bawang kerana tidak mahu mulut Nabi SAW berbau ketika bermunajat kepada Allah. Nabi SAW bersabda: “Aku setiap detik bermunajat pada Allah, jadi aku tidak mahu mulut ini bau”.

Dalam Sohih Bukhari Nabi SAW bersabda: “Agama Islam itu mudah”. Allah SWT berfirman:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”.

Nabi SAW bersabda: “Seandainya aku tidak bimbang kamu dibebani dengan siwak (memberus gigi) maka pasti aku wajibkan kamu semuanya untuk bersiwak setiap kali hendak solat”.

Dalam sohih Bukhari, Nabi SAW bersabda: “Aku ingin memanjangkan solat, tiba-tiba aku mendengar tangisan anak kecil. Maka aku ringkaskan solatku. Aku bimbang panjangnya solat menjadi beban kepada orang tua dan ibu yang ikut solat berjemaah.

Sumber: majelisrasulullah.com, Habib Alwi bin Abdurrahman Al-Habsy, Qutuful Falihin, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz



Thursday, April 20, 2017

SEBAIK-BAIK JIHAD


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و آله و سلم قال (أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر) رواه أبو داود والترمذي و قال حديث حسن

Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik jihad ialah menyatakan 
(perkataan yang adil (benar) dihadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)


Muncul Dari Iman Yang Mantap
Seseorang yang mempunyai keimanan yang mantap akan mempunyai keberanian untuk menyampaikan perkataan yang benar di hadapan seorang pemimpin atau penguasa yang zalim. Keyakinan dan keberanian ini ada di dalam hatinya kerana dia telah menjual dirinya untuk Allah dan dia lebih mengutamakan hak Allah berbanding hak dirinya. Firman Allah SWT:


إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta mereka dengan" 
(balasan) bahawa bagi mereka syurga." (At-Taubah: 111)

Amar Ma’ruf Nahi Munkar 
Menyatakan kebenaran adalah termasuk dalam Amar ma’ruf nahi munkar, oleh itu ia juga adalah salah satu dari bentuk jihad. Mengajak orang lain untuk beramal soleh dan melarang dari melakukan kemungkaran juga akan mendapatkan pahala jihad. Dan Amar Ma’ruf Nahi Munkar di hadapan pemimpin yang zalim adalah lebih afdhol kerana ia memberi impak yang lebih kuat, dan juga kerana berdepan dengan risiko dan mudharat.

Lakukan Dengan Berhikmah
Namun, cara menyatakan kebenaran itu mestilah dengan berhikmah. Nasihat secara individu,  bertemu mata dan melakukannya secara rahsia adalah lebih baik dan lebih diutamakan. Allah Swt berfirman:


“Serulah kepada manusia pada jalan Allah dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pelajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik dengan cara yang paling baik.” (an-Nahl: 125) "...Dan jika kamu bersabar, itu adalah lebih baik." (an-Nahl: 126)

kaedah ini di ajarkan oleh Nabi SAW dan juga para Nabi terdahulu. Nabi Allah Musa dan adiknya Nabi Allah Harun menyampaikan dakwah, mencegah kemungkaran dan kezaliman Firaun yang merupakan seorang raja yang paling zalim. Namun demikian Allah menyuruh Nabi Musa agar menyeru secara hikmah. Firman Allah SWT:

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya(Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut” (Taaha:44)

Menasihati secara sembunyi maka ia adalah nasihat yang benar dan secara tidak langsung menghormati dan menghargai orang yang dinasihatinya itu. Menegur secara terang-terangan bererti dia telah menghina orang yang mahu dinasihatinya”

Jihad Paling Afdhol Bukannya Dengan Perang
Dalam riwayat Imam Nasai: Suatu ketika saat hampir terjadinya peperangan ada seorang menghampiri Rasulullah lalu bertanya, "wahai Rasululullah, apakah jihad yang paling afdhal? Rasulullah SAW menjawab: "Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kebenaran di hadapan seorang pemimpin yang zalim."


Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa jihad yang paling utama bukannya perang, ini kerana soalan sahabat dan jawapan Nabi S.A.W ini adalah saat hampir bermulanya peperangan namun Nabi saw tidak menjawab perang sebagai jihad yang paling afdhol.

Pelbagai Bentuk Jihad
Jihad mempunyai pelbagai bentuk, antaranya ialah bangun malam untuk bertahajjud, puasa sunat, dan membantu orang tua. Setelah perang tamat Nabi  SAW bersabda: 

"kita baru pulang dari medan perang yang kecil menuju jihad yang besar. Lalu sahabat bertanya apakah jihad yang besar? Nabi SAW menjawab: "Jihad melawan hawa nafsu." (HR Al-Baihaqi)


أَفْضَلُ الْجِهَادِ أَنْ يُجَاهَدَ الرَّجُلُ نَفْسَهَ وَ هَوَاهُ

".Jihad yang paling utama adalah seseorang berjihad berjuang melawan dirinya dan hawa nafsunya" (HR Abu Nu’aim dan ad-Daimal)

Daripada Abu Said al-Khudri RA, seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling utama? jawab Baginda SAW, “Iaitu orang Mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri di jalan Allah”. Lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapakah lagi? Baginda menjawab, “yang mengasingkan dirinya di lereng-lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhan-Nya". Dalam satu riwayat yang lain, "...iaitu orang yang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan diri) daripada orang yang melakukan kejahatannya." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dapat kita fahami bahawa melawan nafsu dan sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk bertaqwa kepada Allah SWT serta membelanjakan harta ke jalan yang diredhai Allah juga termasuk dalam kategori jihad.

Menyatakan kebenaran Dengan Cara Demontrasi
Dalam hal berkaitan demontrasi ada 3 pandangan. Pertama adalah pandangan Imam ibnu Abbas dan Imam ibnu Mas’ud. Mereka berpendapat bahawa menyampaikan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim menjadi afdhol jika merasa aman dan terhindar dari mudharat.


Keduanya ialah pandangan Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnul Khattab dan Imam Ibnu Ka’ab, mereka berpendapat bahawa wajib meluruskan kemungkaran dengan apa cara sekali pun.

Dan pendapat yang ketiga ialah cukup dengan mengingkari kemungkaran pemimpin yang zalim dengan hati dan berdoa.

Pertimbangkan Kesannya
Dalam Al-Qur’an ada menceritakan tentang Ashabul Ukhdud (Raja Zalim yang membuat parit), rakyatnya menyampaikan kebenaran di depan sang Raja yang zalim dalam keadaan mereka yakin mereka akan di bunuh. Akhirnya mereka dibunuh dengan  dicampakkan ke dalam parit yang berapi.

Dalam surah Al-Kahfi, diceritakan tentang Ashabul Kahfi. Mereka juga menentang Raja yang zalim dan kemudian melarikan diri dan ditidurkan oleh Allah di dalam sebuah gua.

Dakwah mempunyai pelbagai cara, ketika kita menyampaikan  kebenaran di hadapan seorang pemimpin yang zalim, terlebih dahulu pertimbangkan kesannya sama ada membawa kebaikan atau keburukan.

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Tuesday, March 14, 2017

SETIAP HAMBA AKAN DIBANGKITKAN SESUAI DENGAN KEADAANNYA KETIKA MENINGGAL



يُبْعَثُ كُلُّ عَبْدٍ عَلَى مَا مَاتَ عَلَيْهِ
“Setiap hamba akan dibangkitkan sesuai dengan keadaannya ketika meninggal.” (HR. Muslim)

Hadis ini menerangkan keadaan hamba yang dibangkitkan oleh Allah SWT selepas kematian. Keadaa seorang hamba saat dibangkitkan selepas kematian adalah tergantung pada bagaimana keadaannya saat dia meninggal dunia. Jika dia meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah seperti sedang beribadah, sujud, membaca Al-Qur’an, atau dalam keadaan mendapat redha daripada ibunya maka kelak dia dibangkitkan dalam keadaan yang bahagia. Tetapi jika dia meninggal dalam keadaan su’ul khotimah seperti sedang melakukan maksiat, mabuk, berzina, atau dalam keadaan ibunya murka kepadanya maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan yang penuh dengan penderitaan.

Kematian adalah al-Maut, perkataannya pendek terdiri dari beberapa huruf sahaja tetapi sangat memberi bekas terhadap manusia. Setiap penyakit Allah turunkan bersamanya penawar, kecuali kematian. Sesungguh mana pun kita melupakan kematian namun kematian tidak pernah melupakan kita, sejauh mana pun kita lari dari kematian tetapi kematian itu tetap akan mengejar kita, sejauh mana pun kita bersembunyi dari kematian namun kematian tetap menjumpai kita. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ
“Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu. (Al-Jumu’ah: 8)

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walau kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa’:78) 

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ اْلمـَوْتِ
Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Ali Imran:185, al-Anbiya:35 dan al-Ankabut: 57).

Perkataan “setiap” dalam ayat bermaksud semua kehidupan termasuk malaikat yang meniup sangkakala, apa yang membezakan kita adalah amal yang kita lakukan. Berdasarkan hadis ini kita dianjurkan untuk memperbaiki amal agar amalan kita diterima oleh Allah SWT. Mintalah kepada Allah agar kita meninggal dalam keadaan Khusnul Khotimah, kerana meninggal dalam keadaan Khusnul Khotimah itu hakikatnya bukan kemahuan kita tetapi kemahuan Allah SWT. Mohonlah kasih sayang dan belas kasihan dari Allah SWT, jika Allah sayang pada seseorang hamba, maka hamba tersebut akan diberi Taufiq untuk beramal Soleh sebelum dia meninggal dunia sehingga dia meninggal dalam keadaan khusnul khotimah. Seseorang yang masanya dipenuhi membaca Al-Qur’an, kemungkinan dia meninggal adalah dalam keadaan membaca Al-Qur’an, demikian seseorang yang istiqomah di masjid maka kemungkinan nyawanya dicabut ketika dia berada di masjid.  

Dalam kita banyak beramal jangan kita menghina pelaku maksiat dan pendosa. Mungkin sahaja dia masuk syurga dengan hanya melakukan satu amalan kebajikan dan kita dimasukan ke neraka hanya dengan melakukan sekali perbuatan maksiat. Nabi SAW bersabda bahawa ada orang yang amalanya bagus, beramal dengan amalan ahli syurga dan beribadah siang dan malam, lalu dia melakukan maksiat dan dalam keadaan melakukan maksiat itu nyawanya di cabut lalu dia kelak ditempatkan di neraka. Tanda orang yang dikhuatirkan meninggalnya dalam keadaan Su’ul Khotimah ada empat: Pertama ialah orang yang melalaikan solat, yang kedua ialah orang yang selalu mabuk, yang ketiga ialah orang derhaka kepada ibu dan bapa, dan yang keempat ialah orang yang melakukan kejahatan kepada manusia terutama pada orang yang beriman.  

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Saiyidina Abdullah Bin Umar ketika dia masih kecil, Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Umar: “Jadilah kamu hidup di dunia seperti orang asing atau musafir, apabila engkau berada di petang hari, janganlah kamu menunggu hingga ke pagi hari. Dan apabila kamu berada di pagi hari maka janganlah menunggu hingga ke petang hari. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu. Dan gunakanlah hidupmu sebelum datang kematianmu." (HR. Al-Bukhari)


Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Tuesday, February 28, 2017

DOA IBNU MAS’UD R.A



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
عَنْ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ بَقُوْلُ: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى) رواه مسلم

Dari Ibn Mas’ud ra, Rasulullahullah SAW bersabda: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, penjagaan diri dari maksiat serta kekayaan.” (HR Muslim)

Hadis ini diriwayatkan oleh sahabt Nabi SAW Ibn Mas’ud, nama penuh beliau ialah Abdullah Ibn Mas’ud. Beliau diantara sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dalam perjalanan bersama Sayyidina Abu Bakar Assiddiq dan beberapa orang sahabat pada waktu panas terik matahari di siang hari. Dalam kehausan Rasulullah SAW dan para sahabat terjumpa seorang anak kecil yang mengembala unta, anak kecil itu bernama Abdullah Ibn Mas’ud.

Nabi SAW bertanya kepada Ibn Mas’ud: “Wahai anak kecil, adakah di antara unta-unta ini mempunyai susu yang boleh diminum oleh saya dan sahabat saya?” Ibnu Mas’ud menjawab “Ya, ada. Tetapi saya hanya diamanahkan untuk menjaganya.” Kemudian Rasulullah bertanya: “Apakah ada unta tua yang tidak mempunyai susu?” Ibn Mas’ud menjawab: “Ada seekor unta yang paling tua yang sudah tidak mengeluarkan susu.” Nabi SAW terus memegang kantung susu unta tua tadi, dengan izin Allah SWT kantung susu unta tua tadi membesar dan mengeluarkan susu dengan banyak. Rasulullah SAW bersama Abu Bakar dan para sahabat yang ada waktu itu meminum susu tersebut sehingga kenyang. Setelah itu Nabi SAW memegang sekali lagi kantung susu unta tua tadi dan berkata: “kempislah!” saat itu juga kantung susu unta tua tadi kempis dengan serta merta. Ibn Mas’ud yang melihat kejadian yang menakjubkan itu terus memeluk Islam mendapat hidayah dari Allah SWT berkat Mu’jizat Nabi Kita Muhammad SAW.

Sayyidina Ibn Mas’ud antara sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullahullah SAW dan nama beliau tercatat dalam buku-buku sejarah. Beliau banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW sehingga melebihi 800 hadis, ini kerana beliau sentiasa berada di samping Rasulullah SAW. Oleh kerana Ibnu Mas’ud sentiasa bersama Rasulullah SAW saat turunnya ayat Al-Qur’an maka beliau mengetahui sabab turunnya ayat-ayat Al-Quran. Banyaknya masa beliau bersama Rasulullahullah saw menjadikan beliau sahabat yang paling dekat dengan Rasulullahullah SAW sehingga baginda Nabi SAW menzahirkan cinta baginda kepada beliau dalam bentuk doa: “Allahumma atstsir maalahu wa waalada waa barik fii umrih, (Yaa Allah panjangkan umurnya dia, limpahkan harta dan anak cucu keturuannya).”

Doa baginda Nabi SAW itu dikabulkan Allah SWT, Ibnu Mas’ud wafat pada umur lebih dari 100 tahun. Beliau sempat hidup pada zaman khalifah Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar sehingga Sayyidina Utsman Bin Affan. Anak beliau berjumlah lebih dari 100 orang. Hartanya berlimpah, beliau mempunyai kebun-kebun kurma. Beliau meninggal dikota Madinah, dan dikuburkan bersama puteri-puteri Rasulullahullah SAW.”

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Thursday, February 23, 2017

DOA KETIKA KELUAR RUMAH


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (مَنْ قَلَ يَعْنِيْ إِذَا خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى الله  وَ لاَ حَوْلَ وَ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ يُقَالُ لَهُ هُدِيْتَ وَ كُفِيْتَ وَ وُقِيْتَ وَتَنَحَّى عَنْهُ الشَّيْطَانُ) رواه أبو داود و الترمذي و النسائي و غيرهم و قال الترمذي حديث حسن

Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca ketika keluar dari rumahnya “Dengan Nama Allah, aku telah bertawakkal kepada Allah, tiada daya dan upaya terkecuali atas kuasa Allah”, maka kepada orang itu dikatakan: Kamu telah di beri petunjuk, telah dicukupkan, dan telah diberi penjagaan. Lalu syaitan pun akan menjauhi orang tersebut” (Hadis Hasan Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan An-Nasaai)

Hadis ini mengajar kita tentang dua perkara. Yang pertama ialah kemana sahaja kita pergi dan dimana sahaja kita berada, Allah S.W.T sentiasa ada bersama dengan kita. Yang kedua ialah bertawakal hanya kepada Allah S.W.T. Perkataan rumah dalam hadis juga termasuk tempat kerja, pondok, bangunan atau tempat yang didiami.

Doa yang diajarkan oleh Nabi SAW ini merupakan 3 zikir lengkap yang mengandungi makna dikasihi dan diberkati oleh Allah S.W.T, tawakkal memudahkan urusan, dan dilindungi oleh Allah S.W.T dari musibah.

Rasulullah SAW mengajar kita membaca بِسْمِ اللهِ (Dengan nama Allah S.W.T) pada setiap kali memulakan sesuatu aktiviti termasuklah saat mahu keluar dari rumah. Dengan membaca بِسْمِ اللهِ maka setiap tindakan dan perlakuan kita akan diberkati, diberi pertolongan dan sentiasa dalam jagaan Allah S.W.T. Dengan membaca, تَوَكَّلْتُ عَلَى الله bermakna kita menyerah dan menyandarkan segala urusan kita dan meminta perlindungan hanya kepada Allah S.W.T. Dengan membaca وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ bermaksud kita menginsafi kelemahan kita dan tiada daya dan upaya kecuali dari Allah S.W.T.


Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Friday, February 17, 2017

MULAKAN DAN BUDAYAKAN SUNNAH YANG BAIK


Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa merintis (memulai) dalam agama Islam sunnah (perbuatan) yang baik maka baginya pahala dari perbuatan tersebut juga pahala dari orang yang melakukannya (mengikutinya) setelahnya tanpa berkurang sedikitpun pahala mereka, dan barang siapa merintis dalam Islam sunnah yang buruk maka baginya dosa dari perbuatan tersebut juga dosa dari orang yang melakukannya (mengikutinya) setelahnya tanpa berkurang dosa-dosa mereka sedikitpun” (HR Muslim)

Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang menjadi perintis, pengasas, pelopor, atau penggerak kepada orang lain melakukan kebaikan. Maksud “sesiapa sahaja” dalam hadis termasuk di sini adalah lelaki atau wanita, tua atau muda, Ustaz atau orang biasa yang menjadi sebab kepada orang lain melakukan kebaikan dalam urusan agama atau pun urusan dunia, maka baginya pahala seperti orang yang mengerjakan amal soleh yang dia anjurkan. Orang yang menyarankan orang lain untuk solat maka dia akan mendapat pahala seperti mana orang yang solat.

Jika yang melakukannya seorang maka orang yang menganjur akan mendapat pahala untuk seorang, jika yang melakukannya seramai sepuluh orang maka dia akan mendapat pahala untuk sepuluh orang, makin ramai yang melakukannya maka makin banyak pahala yang diperolehi.

Terdapat perbezaan pendapat ulama berkaitan kadar pahala yang diperolehi. Sebahagian ulama berpendapat bahawa pahala orang yang memulakan adalah berbeza dengan pahala orang yang mengerjakan suatu amalan. Ini berdasarkan kaedah fekah berikut: “Orang yang mengerjakan amalan lebih besar pahalanya”, “Amalan yang lebih banyak pengorbanan, lebih banyak keutamaan.” Rasulullah SAW bersabda: “pahalanya tergantung pada usaha yang dikorbankan.” (HR. Muslim)

Sebagaimana Rasulullah SAW pernah berkata kepada Sayyidah Aisyah: “Pahala kamu berdasarkan sejauh mana kesusahan amal yang kamu kerjakan.” Sayyidah Aisyah pernah bertanya: “Bagaimana jika saya pergi haji dengan berjalan kaki, apakah sama pahalanya dengan menunggang unta?” Nabi SAW menjawab: “Ya, yang lebih susah maka lebih besar pahalanya.” Imam Nawawi  berkata: “Bagi orang yang mengerjakan suatu amalan maka pahalanya lebih besar walaupun orang yang menganjurkan juga mendapat pahala.”

Dan sebahagian ulama berpendapat pahala mereka adalah sama secara hakikat. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa orang yang memberikan anjuran pahalanya adalah sama dengan orang yang mengerjakanya.

Ulama bersepakat bahawa maksud hadis ini melibatkan urusan dunia, jika perkara itu adalah baik maka tetap diberi pahala. Dalam riwayat Ibnu Mas’ud beliau meriwayatkan bahawa ada seseorang telah meminta unta kepda Rasulullah SAW untuk dijadikan tunggangannya. Rasulullah SAW menjawab: “Saya tidak mempunyai unta untuk dijadikan tunggangan.” Tiba-tiba ada seseorang mengangkat tangan dan berkata: “Ya Rasulullah, saya boleh menunjukan kepadanya orang yang boleh memberi kendaraan untuknya.” Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan, maka dia mendapatkan pahala sama seperti orang yang mengerjakannya.”(HR Muslim)

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Setiap ruas tulang manusia wajib bersedekah setiap hari, di mana matahari terbit. Selanjutnya beliau bersabda: Berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, membantu seseorang (yang kesulitan menaikkan barang) pada haiwan tunggangannya, lalu dia membantu menaikkannya ke atas haiwan tunggangannya atau mengangkat barang-barangnya adalah sedekah.” Rasulullah saw. juga bersabda: “Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang dikerahkan menuju salat adalah sedekah dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.” (HR Muslim)

Dalam hadis ini menunjukan bahawa pahala diberikan pahala walau tindakan itu dalam urusan dunia, maka lebih utama lagi jika perkara yang dimulakan itu berkaitan dengan urusan agama.


Sumber: Majelisrasulullah.com; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Wednesday, February 1, 2017

KEAGUNGAN KITAB IHYA’ ULUMUDDIN


Pujian Para Ulama Muktabar Terhadap Kitab Ihya Ulumuddin
Setiap ulama besar zaman berzaman pasti akan mengenali kitab Ihya Ulumuddin karya agung Imam al-Ghazali yang wafat pada tahun 505H. Kitab Ihya’ telah dijadikan sebagai rujukan dalam bidang fekah, manakala para sufi pula menjadikan kitab ini sebagai panduan mendalami ilmu tasawuf. Dalam bidang Tauhid juga telah menjadikan Ihya’ sebagai bahan dasar kajian. 

Al-Imam Al-Faqih Al-Hafiz Abu Zakaria Muhyiddin An-Nawawi: Beliau lebih dikenali dengan nama Imam Nawawi dan mendapat gelaran Mufti dalam mazhab Syafi’e, kata beliau: “Kedudukan kitab Ihya’ hampir menandingi Al-Qur’an”, yang bermaksud kitab Ihya telah dibaca oleh umat Islam sejak zaman berzaman.

Al-Imam Al-Faqih Al-Hafîz Abul Fadhl Al-Iraqi: Beliau merupakan ulama yang mengkaji kitab Ihya’, beliau turut menempatkan Ihya’ sebagai salah satu kitab teragung di tengah-tengah khazanah keilmuan Islam. Beliau mengatakan: “Kitab Ihya’ Ulumuddin termasuk antara kitab Islam paling agung dalam mengetahui halal dan haram, menghimpun hukum hakam zahir, dan mencungkil rahsia-rahsia yang sangat mendalam pemahamannya”. (Ta’rif al-Ahya bi Fadhail al-Ihya)

Al-Hafiz Ibnu Katsir: Beliau berkata tentang kitab Ihya’: “Ia adalah kitab yang bagus, terdiri dari ilmu-ilmu syari’at yang banyak, berisi perkara-perkara lembut dari ilmu tasawwuf dan amalan hati. Akan tetapi di dalamnya banyak hadis gharib, munkar dan palsu, sebagaimana juga terdapat dalam kitab-kitab furu’ lainnya yang dijadikan dalil atas perkara halal dan haram. Adapun kitab Ihya Ulumuddin itu, objektifnya adalah dalam isu Raqaiq, targhib dan tarhib yang urusan hadisnya lebih ringan”. (Al-Bidayah wa an-Nihayah)

Kritikan Terhadap Ihya’: Mengandungi Hadis Palsu
Seperti kitab-kitab lain, Ihya’ juga turut tidak terlepas dari kritikan terutama berkaitan hadis-hadis yang terdapat di dalamnya. Al-Hafiz Abul Faraj Abdurrahman Ibnu Al-Jauzi terkenal sebagai ulama yang banyak mengkritik Ihya’. Menurut beliau, kitab Ihya’ mengandungi banyak hadis-hadis palsu. Al-Hafiz Ibnul Jauzi dalam Talbis al-Iblis berkata: “Dia memenuhi kitabnya (Ihya’ Ulumiddin) dengan hadis-hadis batil yang dia sendiri tidak mengetahui kebatilannya”.

Imam Tajuddin as-Subki juga mengatakan bahawa dalam Ihya’ terdapat hadis-hadis yang lemah, ini kerana menurut beliau al-Ghazali diketahui bukan seorang pakar dalam bidang hadis. Daripada nukilan kedua ulama tersebut maka orang yang mempunyai penyakit dan kekotoran dihatinya bertindak menghina al-Ghazali dan mempertikai kemampuan dan kualiti al-Ghazali dalam bidang ilmu hadis. Hal ini seterusnya membawa kepada tohmahan mengatakan Imam al-Ghazali pemalsu hadis dan lebih teruk lagi ada yang menyeru supaya tidak dibaca dan dibakar kitab Ihya’.

Ancaman Rasulullah saw kepada pemalsu hadis hanya tertuju kepada pemalsu yang dengan sengaja memalsukan hadis bukan kepada mereka yang meriwayatkan atau menulis secara tidak sengaja.

Imam Al-Ghazali Lemah Dalam Bidang Hadis
Pengkritik juga menjadikan pengakuan Imam al-Ghazali untuk mengatakan beliau lemah dalam ilmu hadis. Al-Ghazali juga pernah berkata: “Kekayaanku dalam ilmu hadis sangat sedikit”. Menurut anak murid Imam al-Ghazali bernama Al-Hafizh Abdul Ghafir, Imam al-Ghazali pada akhir hidupnya memberi banyak tumpuan dalam bidang hadis. Al-Hafiz Ibnu Katsir berkata dalam al-Bidayah wan Nihayah: “Kemudian dia kembali ke daerah asalnya di Thus, dan bermuqim disana. Dan banyak masa beliau membaca al-Qur’an dan menghafal hadis-hadis sohih. Dikatakan bahawa di akhir hayatnya, dia lebih suka mendengar hadis dan menghafal Sohih al-Bukhari dan Sohih Muslim”. Pengkritik kemudian menjadikan cerita ini sebagai hujah mengatakan Imam al-Ghazali tidak menguasai bidang hadis.


Pembelaan Ulama Terhadap Ihya’
Al-Hafizh Al-Iraqi: Al-Hafizh Al-Iraqi telah melakukan takhrij lebih dari 4500 hadis di dalam kitab Ihya’ dan menurut beliau hanya ada tiga hadis sahaja yang dikatakan maudhu’. Menurut beliau, selain dari hadis-hadis itu hadis-hadis lainnya ada yang sohih, hasan, dan dhaif. Juga ada hadis-hadis di mana Al-Imam Zainuddin Al-Iraqi tidak mengetahuinya, beliau berkata: “saya belum menjumpai asal usulnya. “ Hadis yang tiada asal menurut al-Iraqi tidak bererti hadis tersebut palsu, ini kerana al-Iraqi belum mengetahui atau belum menjumpainya. Jika dibuat perbandingan hadis-hadis dalam Ihya’, hadis yang diterima jauh lebih banyak sehingga menyamai kitab-kitab hadis seperti Sunan Abu Dawud dan Sunan Nasa’ie. Menurut Al-Hafizh al-Iraqi juga kebanyakan yang disebutkan al-Ghazali bukanlah hadis palsu dan jika ia hadis yang dhaif maka ia dapat diamalkan dalam perkara fadhail. Al-Hafizh al-Iraqi juga menjumpai sanad hadis-hadis yang tidak dijumpai oleh Imam Tajuddin as-Subki.

Imam Ibnu al-Jauzi: Beliau tetap mengiktiraf kitab Ihya’, beliau berkata: “Ketahuilah, bahawa kitab Ihya Ulumuddin di dalamnya terdapat banyak penyimpangan yang tidak diketahui kecuali oleh para ulama”. Kemudian Imam Ibnu Jauzi berkata lagi: “Kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali memiliki beberapa kekurangan yang hanya ahli ilmu menyedarinya. Seperti pada riwayat yang disandarkan kepada Nabi S.A.W namun ternyata maudhu’ atau tidak sohih. Oleh kerana itu, aku menyusun sebuah kitab yang bebas dari masalah tersebut, dengan tetap mempertahankan keutamaan dari kitab aslinya. Dalam kitabku ini, aku bersandar hanya pada riwayat yang asli dan terkenal, dan aku hilangkan atau tambahkan dari kitab aslinya (Al-Ihya) apa yang dirasa perlu.” (Mukhtasar Minhajul Qashidin)

Dari keterangan ini, Ibnul Jauzi mengakui kehebatan kitab Ihya’ dan tidak cuba menjauhkannya dari umat. Ibnu al-Jauzi dalam penulisannya hanya mengutamakan hadis-hadis yang sohih menurutnya, menggugurkan hadis-hadis yang maudhu, dhaif dan mauquf dan kemudian beliau gantikan dengan dalil yang sohih dan hasan. Dan beliau tidak mengatakan kitab tersebut sesat, atau harus disingkirkan.

Imam Muhammad Murtadho Az-Zabidi: Beliau menulis sebuah kitab syarah bagi kitab Ihya’ Ulumuddin setebal sepuluh jilid. Al-Imam Muhammad Az-Zabidi berkata: “Al-Iraqi pernah menyatakan tentang hadis ini dan beliau berkata tidak mengetahui asal usulnya, tetapi saya sudah mendapatkan sumber dan asal usulnya”. Ini bermakna hadis-hadis yang dinilai lemah oleh al-Iraqi atau tidak mempunyai sanad secara marfu’ tetapi ternyata mempunyai sanad dan marfu’. Al-Imam Az-Zabidi juga menjawab kritikan-kritikan ke atas Imam al-Ghazali dan beliau juga menjelaskan beberapa ucapan dalam Ihya’ yang dikatakan bertentangan dengan syari’at.  

Jika menilai hadis-hadis dalam Ihya’ melalui takhrij al-Hafizh al-Iraqi, maka akan didapati hanya ada tiga hadis atau lebih yang disepakati kepalsuannya. Berbeza apabila menilai hadis-hadis Ihya melalui takhrij al-Hafizh Ibnu al-Jauzi yang menurut beliau terdapat sekitar dua puluh lima hadis yang dikatakan maudhuk. Ibnul Jauzi termasuk ulama hadis yang mudah memalsukan sesebuah hadis. Al-Hafiz Al-Iraqi, al-Hafizh Jalaluddin as-Suyuthi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani telah membuat sanggahan khusus terhadap hadis-hadis yang dikatakan palsu oleh Ibnul Jauzi. Setelah diteliti dan dikaji maka para ulama membuat kesimpulan bahawa kebanyakan hadis yang dikatakan palsu oleh Ibnul Jauzi ada yang hadis sohih, hasan atau dhaif.

Imam al-Ghazali Adalah Pakar Hadis
Pengakuan al-Ghazali bahawa beliau mempunyai ilmu yang sedikit dalam bidang hadis menunjukan sikap beliau yang tawadhuk. Pendapat ulama yang mengataka al-Ghazali mempunyai kekurangan dalam ilmu hadis tidak bermakna beliau bukan pakar hadis atau bukan seorang penghafal hadis. Kitab Ihya’ Ulumiddin merupakan bukti bahawa beliau telah menghafal ribuan hadis dan juga takrij hadis Ihya’ yang dilakukan oleh ulama-ulama selepas beliau.

Di akhir usia Imam al-Ghazali, beliau banyak menghabiskan waktunya dengan membaca al-Qur’an dan menghafal hadis. Namun, ini tidak bermakna sebelumnya beliau tidak tidak menghafal atau belajar hadis. Sebanyak 4000 lebih hadis yang dimuatkan dalam Ihya’ Ulumiddin juga terdapat dalam kitab sohih al-Bukhari, sohih Muslim, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah dan lain-lain. Jika dilihat pada kaedah penulisan Ihya’ oleh Imam al-Ghazali, hadis-hadis yang dikatakan lemah atau palsu bukanlah menjadi keutamaan dalam penulisan Imam Ghazali. Hadis-hadis tersebut hanyalah sekadar tambahan dan penyokong bagi dalil sohih dan bilangan hadis-hadis tersebut sangatlah sedikit.

Imam al-Ghazali juga diiktiraf sebagai seorang ulama yang pakar dalam bidang usul fikih, falsafah, akidah dan lain-lain. Bagaimana mungkin seorang ulama yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu tetapi tidak mempunyai pengetahuan tentang hadis. Malah, seseorang yang mempelajari ilmu usul fiqh perlu menguasai ilmu hadis. Kitab al-Mustasfa merupakan karya Imam al-Ghazali membicarakan tentang usul fikih, penulisan beliau dalam kitab ini membuktikan bahawa beliau juga pakar dalam bidang hadis. Dalam kitab tersebut, Imam Ghazali telah membahasakan secara panjang lebar berkaitan kajian hadis, terutamanya berkenaan proses istinbat hukum dan tarjih hadis.

Rujukan:
  1. Ibnu Abdillah al-Katibiy, Kota Santri-Pasuruan, 
  2. Ustaz Nur Hidayat; http://www.aswj-rg.com/





Monday, January 23, 2017

KEHEBATAN KITAB SOHIH AL-BUKHARI

Sebelum zaman Imam Al-Bukhari, kitab-kitab hadis masih bercampur, maka sukar untuk mengenal pasti status hadis kecuali setelah mengkajinya. Imam Al-Bukhari merupakan pelopor dalam pengumpulan ilmu hadis. Beliau telah membuat pengasingan hadis-hadis sohih dengan hadis yang lain melalui pendekatan yang berbeza berbanding ulama-ulama hadis lain. Beliau telah menyusun hadis-hadis sohih dalam kitab yang diberi nama Al-Jami’ Al-Musnad Al-Sohih Al-Mukhtasar Min Umuri Rasulillah SAW wa Sunnatihi wa Aiyamihi, yang bermaksud “Himpunan sanad yang sohih lagi padat mengenai hadis Rasulullah SAW, sunnah dan kehidupannya”.

Al-jami’ bermakna kitab ini menghimpunkan perkara-perkara berkaitan hukum, kelebihan-kelebihan, sastera dan sirah. Perkataan Sohih bermakna tidak terdapat di dalam kitab ini hadis-hadis yang lemah atau dhaif. Manakala perkataan Al-Musnad bermaksud sanad hadis didalamnya bersambung kepada para sahabat sehingga Nabi SAW sama ada dalam bentuk percakapan, ucapan, perbuatan dan pengakuan nabi SAW.

Pendorong Untuk Menyusun Hadis
Pendorong utama Imam Al-Bukhari menyusun kitab sohihnya adalah disebabkan oleh ungkapan  gurunya  bernama  Ishak  bin  Rahawih.  Beliau merupakan guru Imam Al-Bukhari dan seorang yang alim dalam ilmu hadis dan fikah. Ibn Rahawih pernah berkata kepada Imam Al-Bukhari, “alangkah eloknya jika kamu boleh kumpulkan hadis-hadis sohih Rasulullah SAW dalam satu kitab”.

Pendekatan Imam Al-Bukhari Mengarang Sohihnya
Imam Al-Bukhari sebelum beliau menulis sesuatu dalam kitab Al-Jami’ Al-Sohih, terlebih dahulu beliau akan mandi kemudian melakukan solat sunat dua rakaat. Beliau tidak memasukkan hadis ke dalam kitabnya kecuali setelah beliau solat Istikharah dua rakaat terlebih dahulu untuk meminta pertunjuk daripada Allah SWT.

Jangka Masa Penyusunan Kitab
Ketika Imam Al-Bukhari selesai menyusun kitabnya Al-Jami’ Al-Sohih, beliau telah membentangkan kitab itu kepada para Ulama termasuk Yahya bin Mu’in, Ali bin Al-Madini dan Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Al-Bukhari menyusun kitabnya selama 16 tahun bermula pada umurnya 23 tahun.

Imam Al-Bukhari Tidak Memasukkan Semua Hadis Sohih
Walaupun kitab Al-Jami’ Al-Bukhari dimuatkan semua hadis sohih namun Imam Al-Bukhari menyatakan bahawa masih banyak hadis-hadis sohih yang beliau tidak masukkan kerana beliau tidak mahu kitabnya menjadi terlalu besar. Begitu juga Imam Muslim, walau beliau hanya meriwayatkan hadis-hadis yang sohih sahaja dalam kitab Sohihnya namun beliau tidak mengatakan bahawa hadis-hadis yang tidak beliau riwayatkan dalam kitabnya itu merupakan hadis dhaif.

Tujuan Imam Al-Bukhari Dalam Sohihnya
Imam Al-Bukhari begitu iltizam dengan hadis yang sohih sahaja, beliau tidak memasukkan dalam kitabnya kecuali hanya hadis-hadis yang sohih sahaja. Oleh kerana itu beliau menamakan kitabnya sebagai Al-Jami’ Al-Sohih. Dalam kitab ini juga mengandungi persoalan fikah yang menekankan ayat-ayat yang berkaitan dengan hukum-hukum, sirah dan tafsir dengan menghuraikan tentang hadis, fatwa para sahabat, tabi’in dan pendapat ulama tertentu, kemudian memasukkan matan hadis dan cara mendapatkannya dalam bab-bab kitabnya. Imam Al-Bukhari menumpukan usahanya untuk mengeluarkan pelbagai masalah daripada setiap hadis Rasulullah SAW. Oleh kerana itu kebanyakan pendapat ulama terkemuka mengatakan ianya sebagai fikah Imam Al-Bukhari.

Syarat Imam Al-Bukhari Dalam Kitab Sohihnya
Imam Al-Bukhari telah menetapkan suatu syarat bagi menentukan hadis yang diriwayatkan. Syarat yang ditetapkan oleh Imam Al-Bukhari ialah setiap hadis mesti datang dari para sahabat yang masyhur serta sanad perawinya bersambung dan dipercayai. Jika seseorang sahabat itu mempunyai dua riwayat atau lebih maka ia lebih kuat, jika hanya mempunyai satu riwayat sahaja dan cara penentuannya betul, itu sudah memadai. Perawinya juga bukan orang yang mudallis iaitu mereka yang tidak mendengar sendiri dari orang yang mereka riwayatkan atau orang yang banyak melakukan kesilapan kerana umur yang sudah lanjut, buta atau kehilangan nukilannya atau orang yang sezaman dengannya tetapi dia tidak berjumpa dengannya.

Syarat yang ditetapkan oleh Imam Al-Bukhari dalam sohihnya itu menunjukkan kitabnya berada ditahap yang paling tinggi dari segi kesahihan dan kepercayaan, pencarian menukil hadis sohih yang mantap, keprihatinan yang jitu oleh seorang mujtahid, amanah dari segi menukil nas dan perawi, seterusnya menetapkan syarat-syarat yang begitu ketat dalam bidang ini, dengan begitu kuat iltizamnya yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana penyusun dalam bidang ini.

Cara Penyusunan Kitabnya
Penelitian tentang urutan kitab dan bab-bab dalam Sohih Al-Bukhari menunjukkan ketelitian yang menakjubkan dalam menentukan kitab dan bab-bab di dalamnya, sehingga ia menjadi sebuah kitab yang sepadu, mantap dan lengkap, mengandungi simpulan yang tersusun untuk satu matlamat iaitu keindahan dan kesampurnaan. Al-Bukhari memulakan kitabnya dengan menekankan bagaimana permulaan turunnya wahyu. Dimulakan dengan demikian kerana ia sebagai sumber kebaikan, dengan wahyu berjalannya syariat   dan turunnya risalah.

Penyusunan Bab dan Riwayat Hidup Dalam Sohih Al-Bukhari
Dalam penyusunan kitabnya yang mengandungi bab-bab dan riwayat hidup itu merupakan sesuatu yang kompleks dan sukar difahami oleh kebanyakan pensyarah dan ahli-ahli hadis, sehingga pendekatan yang digunakannya itu tidak mampu dilakukan oleh bijak pandai di semua zaman oleh ulama yang hebat-hebat di mana-mana pun. Pengkaji hadis mengakui bahawa bab-bab dan riwayat hidup yang terkandung dalam Al-Jami’ Al-Sohih merupakan satu kajian yang amat mendalam dan memenuhi piawaian, sehingga ia menjadi lambang keistimewaan kitab ini berbanding dengan kitab-kitab yang serupa dengannya seperti Sohih Muslim, kerana ketinggian tahap kualiti dan kehebatan susunannya.

Huraian Al-Jami’ Al-Sohih
Kitab-kitab yang menghuraikan kitab Al-Jami’ Al-Sohih, antaranya:

1.         Kitab Fath Al-Bari bi Syarh Sohih Al-Bukhari
Ditulis oleh Syeikh Al-Islam Al-Hafiz Ahmad bin Ali Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Ahmad Al-Kannani Al-‘Asqolani Al-Masri Al-Syafi’i. Beliau dilahirkan di Mesir pada 13 Sya’ban pada tahun 773 Hijrah dan wafat pada 18 Zulhijjah tahun 852 Hijrah dan disemadikan di Kaherah. Kitab ini ditulis dengan tulisan tangan sebanyak 13 jilid. Pemerintah Al-Athraf meminta kepada Al-‘Asqolani untuk membuat salinan dan dibelinya dengan harga 300 dinar, dari situ kitab ini tersebar ke serata pelusuk dan rantau. Kitab ini terus mendapat sanjungan dari kalangan semua ulama hadis dari dahulu hingga masa kini dan kitab ini terus menjadi sandaran dan rujukan.

2.         Kitab ‘Umdatu Al-Qari fi Syarhi Al-Bukhari
Ditulis oleh Al- Syeikh Al-Allamah Badruddin Mahmud bin Ahmad Al-‘Aini Al-Hanafi. Jangka masa beliau menyiapkan kitabnya itu mengambil masa selama 19 tahun.

3.      Irsyadu Al-Sari Ila Syarhi Sohih Al-Bukhari
Ditulis oleh Syeikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad Al-Khathib Al-Qastholani Al-Qahiri Al-Syafi’i (wafat pada tahun 922 Hijrah). Kitab ini merupakan ringkasan bagi syarah tFathul  Bari  dan Al-Umdah,  kitab  ini juga  terkenal  dengan  Al-Qastholani  sebagaimana  penulisnya. 

Kelebihan dan Pujian

Kitab Al-Jami’ Al-Sohih diperakui merupakan kitab yang paling sohih, hebat dan unggul sekali selepas Al-Quran dan diiktiraf oleh semua ulama hadis di semua tempat dan zaman. Kitab ini membuktikan bahawa Imam Bukhari mempunyai kecekapan, kehebatan dan kepakarannya yang tinggi.

Rujukan: Jabatan Mufti Johor; Dr. Taqiyuddin Al-Nadawi Al-Madzahiri