Monday, February 21, 2011

Tujuan Zakat di Dilaksanakan


Islam menekankan pembinaan sebuah masyarakat yang adil, berperikemanusiaan dan bersatu padu. Zakat melindungi manusia dari kelaparan, menjamin keselamatan sosial dan menjaga maruah dan kehormatan insan adalah elemen-elemen yang perlu dalam peraturan masyarakat yang kuat dan berperikemanusiaan. Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa kelaparan adalah satu bentuk tekanan masyarakat yang paling teruk. Oleh itu, Islam mencadangkan institusi zakat sebagai satu mekanisma yang menyelamatkan manusia dari kelaparan, menjamin keadilan sosio ekonomi dalam masyarakat dan menyediakan satu suasana yang membolehkan manusia memelihara kehormatan dan melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah.

Dengan meningkatkan produktiviti masyarakat, zakat menghilangkan rasa iri hati sesama ahli masyarakat, dan seterusnya menghasilkan masyarakat muslim yang aman dan bersatupadu. Oleh itu, zakat telah dirangka untuk memenuhi matlamat yang jelas dalam masyarakat. Secara ringkasnya, zakat telah ditetapkan oleh Allah dengan matlamat utama sebagai satu bentuk jaminan keselamatan sosial bagi mereka yang miskin dan memerlukan dalam masyarakat, membangunkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat, dan juga sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan spiritual

Tidak dapat dinafikan bahawa zakat adalah asas kepada perkembangan ekonomi. Selain itu, zakat juga merupakan suatu cara atau kaedah pengagihan kekayaan dan penyelesaian kepada kemiskinan dan kefakiran yang harus dilaksanakan secara sepenuhnya. Dengan kewajipan zakat, ia dilihat mampu melatih pengeluarnya agar bersifat dengan sifat pemurah dan memupuk sifat-sifat yang mulia serta membuang sifat kedekut dalam diri. Tujuan disyariatkan zakat juga adalah untuk menguatkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang. Apabila setiap org Islam melaksanakan kewajipan zakat dengan mengeluarkan sebahagian hartanya kepada orang-orang yang berhak, ini menggambarkan betapa mesra dan akrabnya hubungan antara orang Islam.

Zakat juga mampu mengurangkan jurang tingkat sosial antara orang miskin dan golongan kaya. Sumbangan zakat mampu membuka peluang-peluang rezeki dan menutup pintu kemiskinan. Zakat juga mampu mengatasi masalah pengangguran, ini kerana antara sebab berlakunya pengangguran ialah golongan miskin tidak mempunyai harta yang mencukupi untuk memulakan perniagaan. Oleh itu, zakat dilihat mampu mmbantu individu untuk memulakan perniagaan dengan kepakaran dan keupayaannya. Tujuan zakat juga ialah untuk membersihkan hati dari perasaan dengki, hasad dan iri hati terhadap orang lain.

Thursday, February 17, 2011

Transkrip Doa Munajat Maulid di Zawiyah Syeikh Abd Malik



Intipati doa munajat yang dibacakan al faqir Walid pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di Zawiyah Syeikh Abdul Malik, Pulau Manis pada 14 Feb. 2011(malam 12 Rabi’ul Awwal 1432H)

Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim…

Demi kemuliaan Rasul Mu صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم kami merintih memohon keampunan dari Mu dan makrifat pada Mu. Di depan pintu Mu yang mulia, dengan kemuliaan kekasih Mu, kami berdiri dengan kehinaan, merayu pada Mu agar dikurniakan kami sekeping hati yang mencintai Mu, yang mencintai Rasul Mu, dengan mencapai hakikat cinta, hancur lebur jiwa ini pada kekasih Mu, fana diri ini dalam ketauhidan pada Mu.

Kurnialah kecintaan yang meleburkan nafsu ammarahku, kecintaan yang membuatku ibadah, kecintaan yang menggoncangkan kerinduan, sehingga tiada yang kami pandang pada alam ini melainkan segalanya adalah wajah Mu, Af’al Mu, Asma’ Mu dan Sifat Mu.

Demi Rasul Mu Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم yang terpuji, yang termulia di antara makhluk Mu, yang paling tercinta di sisi Mu, yang kerananya Engkau ciptakan bagi sekelian alam, kerana cintaMu padanya Engkau ciptakan Adam a.s… Sesungguhnya Engkau mengangkat kenabian sebelum ruh Adam a.s bersatu dengan jasadnya, yang dengannya Engkau merahmati sekelian alam, dan Nur al-Haq ini Engkau telah datangkan bagi segala urusan, menyatakan kerasulannya sebagai cahaya sekalian manusia, Bagindalah Nabi pintu bagi segala ‘Arifbillah, pemegang bagi lautan tajalli asrar-asrar yang indah.

Dari lautan ini ya Allah, kami mohon agar menitis pada hati-hati kami yang keirng ini, yang kering dengan cinta, kering dengan kerinduan, kering dengan ketakutan, kering dengan keikhlasan, kering dengan makrifat… maka Kau basahkan hati kami ini dengan cinta ya Allah, dengan rindu, dengan ketaqwaan, kefakiran, keikhlasan, hakikat, makrifat, redha, sabar, tawakal, zuhud, merasai kehampiran Mu, kemanisan ibadah dan kemanisan persaudaraan.

Ya Allah ya Rahman ya Rahim…

Betapa hidup ini kami lalui dari alam nur menuju kegelapan alam rahim ibu, kemudian berada dalam alam tipu daya ini. Tanpa kasih Mu, tanpa kasih Rasul Mu maka butalah kami di sini ya Allah, butalah kami di sini, butalah kami di sini ya Allah! Binasalah kami di sini.

Kami mengejar dunia, akhirat kami tinggalkan. Menghadap wajah makhluk Mu, wajah Rasul Mu kamu palingkan. Betapa ramai yang hidup tanpa ada hidayah, mereka yang diberi hidayah, sedikit yang istiqamah. Berapa ramai yang ada iman, tapi terlalai dengan ibadah, yang ibadah pula sedikit yang ikhlas, yang ikhlas pula ramai tertipu dengan keikhlasannya.

Ya Allah ya Tuhan kami,

Tolonglah kami yang lemah ini, yang tiada berdaya ini ya Allah… Kami berada di zaman fitnah Dajjal, zaman yang merenggut setiap iman dalam dada kami, zaman yang menjadikan ulama penyembah dunia, zaman yang penuh dengan dusta, zaman golongan muda mencela ulama yang haq, zaman mencela ilmu, para ulama dan auliya, zaman yang benar dikatakan batil, yang batil dikatakan benar, zaman yang mencabut rasa malu di kalangan wanita, zaman yang tiada menghiraukan hari pengadilan, zaman para artis disanjung dan orang soleh dihina, zaman yang memecahkan persaudaraan Islam.
Ya Allah ya Rahman ya Rahim…

Ya Allah, dengan keberkatan hari kelahiran Rasul Mu dan permata hati kami, kami mohon agar Engkau peliharakan diri kami, kaum keluarga kami, para sahabat, saudara, jiran, masyarakat kami, sekelian muslimin dan muslimat daripada kerosakan zaman ini.

Hidupkan jiwa ini dengan mahabbah kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, mencintai sunnahnya, mencintai ahli kelurga dan para sahabat Baginda. Hilangkanlah dari hati kami segala kesombongan, kebencian, kemarahan, tamak, riya dan ujub dan gantikn dengan sgala sifat yang engkau cintai.

Kurniakanlah kami ya Allah, kemanisan dalam munajat kepada Mu, kerinduan pada Rasul Mu, bersyukur atas kewujudan Baginda di setiap nafas kami, air mata yang mengalir kerana cinta ya Allah, kemabukan dalam keasyikan fana di dalam ketauhidan pada Mu.

Ya Allah ya Lathif ya Ghaffar…

Dengan Nur Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, Engkau pancarkan cahaya ketauhidan sehingga tiada dapat kami pandang yang lain melainkan diri Mu yang zahir dan batin, yang awal dan akhir, dan jadikan jiwa kami hanya muraqabah pada Keesaan Mu… “Dan Dia (Allah) bersama kamu di aman kamu berada”, hanya engkau ya Allah… HuwaLlah.. HuwaLlah.. HuwaLlah!

Ya Allah,

Jadikan diri kami ya Allah, dengan Nur Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, merasakan diri Mu sentiasa bersama kami dimana kami berada, dalam setiap penglihatan, pendengaran, percakapan, nafas, dalam pengetahuan, dalam kehendak, dalam gerak dan diam kami. Tenggelam kami dalam kekuasaan dan kebesaran Mu. Hancurlah kami dalam kebesaran Mu ya Allah, yang ada hanya diri Mu ya Allah… “Apabila datang yang Haq, maka akan hancurlah yang batil”.. Ahad, Ahad, Ahad! Hanya Engkau ya Allah, yang Satu ya Allah!

Ya Allah ya Qudus,

Dengan Nur Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, yang sentiasa memimpin kami, bukalah pada kami sehingga dapat bermusyahadah dengan Mu di alam nur yang hakiki, terbukanya tabir alam Lahut, alam asal kejadian kami, alam asal perjanjian kami, alam asal dimana engkau berkhitob “Alastu birabbikum… adakah Aku Tuhan kamu?”, maka kami menjawab “Balaa.. Bala… Benar ya Allah, kami bersaksi…” dengan Nur Nabi Mu yang begitu indah cahayanya.

Kami mohon agar tercabutnya kegelapan hati kami ini, yang membutakan mata kami, memekakkan telinga kami dan sekelian anggota kami… gantilah ia dengan nur yang indah, agar dengannya mata, telinga, seluruh anggota badan kami ini dapat makrifat pada Mu, merasai kehampiran dengan Mu.

Masukkan kami yang berada dalam majlis ini ya Allah, kaum keluarga kami, dalam cahaya Nabi Mu ya Allah, dengan Engkau beri kelapangan bagi mereka yang dalam kesempitan, Engkau kurniakan rezeki yang berkat pada mereka yang kesusahan, Engkau selesaikan segala hutang-hutang mereka yang berhutang, merapatkan hati yang bercerai berai, Engkau limpahkan kasih sayang pada hati-hati yang benci membenci.

Ya Allah, Engkau jadikan anak-anak kuat agamanya dan taat pada ibu bapanya, Engaku jadikan ibu bapa dihidayahkan iman dan dipenuhkan dengan kasih sayang, Kau peliharakan mereka dari segala bahaya dan kejahatan sama ada dari kalangan jin atau manusia.

Ya Allah, Engkau kurniakanlah kesihatan, keberkatan kepada sekelian Guru kami, para ulama, para solehin, pada daie dan seluruh pencinta Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.

Ya Allah…

Berilah kemaafan kepada mereka yang mencela kami, yang memfitnah akan kami. Satukanlah ummah ini, Engkau peliharakanlah negara ini dari bala kehancuran agama, berilah hidayah pada pemimpin yang terlalai, pada ulama yang tertipu dengan ilmunya, para abid yang tertipu dengan ibadahnya.

Kepada Mu kami memohon dan kepada Mu kami berserah diri…

Sumber: http://kuliahaddeen.blogspot.com

SOAL JAWAB BERSAMA SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI

Wednesday, February 16, 2011

PUJILAH JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD S.A.W SEBANYAK-BANYAKNYA DAN SELAYAK-LAYAKNYA



Terlampau Memuji Rasulullah SAW?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN


Sempena menyambut Mawlid al-Rasul SAW, kita tangguhkan sejenak siri perbahasan kita tentang tawassul dan memilih untuk memetik satu tajuk lain iaitu batas pujian terhadap Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam keghairahan majoriti umat Islam memuji dan menjunjung Rasulullah SAW dalam menyambut Mawlid Baginda SAW, terdapat juga suara-suara yang menimbulkan salah-faham dengan mendakwa bahawa puji-pujian terhadap Rasulullah SAW adalah suatu yang melampau dan terpesong daripada ajaran Islam. Antara sandaran utama golongan ini ialah sabda Rasulullah S.A.W:

“Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.”



Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda S.A.W. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik. Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW.

Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilai hadis tersebut. Maksud sebenar hadis ialah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah.

Adapun, orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW adalah hamba Allah dan utusanNya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya tidak disyaki lagi merupakan orang ini adalah yang paling sempurna tauhidnya.

Tepatlah madah Imam al-Busiri RH dalam qasidah Burdahnya yang menegaskan,

“Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati mu; Kerana hakikatnya keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, sehingga mampu lidah mengungkapkannya secara sempurna;



Kemuncak pengetahuan mereka tentang diri Baginda SAW mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu adalah seorang manusia, yang sebenarnya merupakan semulia-mulia dikalangan makhluk Allah seluruhnya.”



Mana mungkin dikatakan bahawa memuji Baginda SAW itu salah sedangkan Allah SWT sendiri memuji NabiNya, melalui beberapa firmanNya termasuk:

“Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (al-Qalam:4) Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW; sama ada ketika berbicara mahupun menjawab panggilannya. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara Nabi.”

(al-Hujuraat:2)

Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita. Allah SWT berfirman:

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.”

(al-Nur:63).

Tapi hari ini ada yang menyatakan bahawa menggelarkan Nabi SAW dengan “Sayyidina” itu sebagai salah dan melampau.

Mana mungkin memuji Nabi SAW itu sesat sedangkan para Sahabat RA yang mulia sering memuji Rasulullah SAW. Antara yang terdekepan dalam bab ini ialah Saidina Hassan bin Thabit RA sehingga telah diletakkan satu minbar khas baginya dalam Masjid Nabawi ketika zaman Nabi SAW lagi untuk memuji dan mempertahankan Baginda SAW. Maka antara syair Hassan ibn Thabit RA ialah:

“Wahai tiang tempat bersandar orang yang bersandar! Tempat berlindung orang yang berlindung kepadanya! Tempat meminta tolong orang yang kesusahan, dan penyelamat orang yang memohon penjagaan! Wahai makhluk pilihan Allah bagi makhlukNya! Maka Allah menganugerahkan kepadanya akhlak yang suci bersih; Engkau adalah Nabi dan sebaik-baik keturunan Adam. Wahai Nabi yang pemurah bagaikan limpahan lautan yang luas!”



Rasulullah SAW juga ada memuji dirinya sendiri agar kita semua tahu kadar kedudukan Baginda SAW seperti sabdanya :

”Aku adalah sebaik-baik golongan kanan (yang beruntung mendapat nikmat syurga).”“Aku adalah sebaik-baik golongan yang lebih dahulu memasuki syurga.”“Aku adalah anak Adam yang paling bertaqwa dan mulia di sisi Allah, tidaklah aku bermegah-megah dengannya.”

(Imam Tabrani dan al-Baihaqi di dalam al-Dala’il)

Pada kesempatan yang lain, Baginda S bersabda:

“Aku adalah manusia yang paling mulia di antara manusia-manusia yang terawal dan terakhir dan tidaklah aku bermegah-megah dengannya.”

(riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi) Di dalam hadith lain pula Abu Sa’id berkata: Sabda Rasulullah SAW:

“Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat; dan tidaklah aku berbangga-bangga dengannya. Di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (bendera yang dipuji); aku juga tidak bermegah-megah dengannya. Tidak ada seorang Nabi pun pada hari itu (Kiamat); baik Adam mahupun yang lain, kecuali semuanya berada di bawah naungan benderaku. Aku juga orang pertama yang dibongkarkan dari bumi dan tidaklah aku berbangga dengannya.”

(Riwayat Imam al-Tirmizi)

Maka sempena Mawlid al-Rasul SAW 1432 Hijriyah ini marilah kita memurnikan kefahaman kita dengan menjauhi sangka buruk terhadap mereka yang memuji, menyanjung dan mengagungkan Nabi SAW. Sesungguhnya kemuliaan Nabi SAW itu begitu tinggi hingga terbuka ruang yang begitu luas untuk kita memuji dan mengungkapkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW dengan secanggih yang kita mampu. Manakala batasannya pula adalah terhad dan sempit iaitu jangan sampai menafikan sifat asasi Nabi sebagai manusia dan hamba Allah SWT. Semoga Allah SWT mengizinkan kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa memuji dan berselawat ke atas kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Sumber : http://ysofaklforms.blogspot.com/2011/02/terlampau-memuji-rasulullah-saw.html

Tuesday, February 15, 2011

HAYATILAH DAN KENANGKAN NABI DALAM HATI DAN SANUBARI



Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Ada orang daripada golongan anti-maulid berkata: "Mereka yang bangun dalam majlis maulid mengkhayalkan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- hadir dalam majlis mereka."

Jawapan:

Ia bukan suatu khayalan wahai orang yang lalai. Mereka yang bangun dalam majlis tersebut mengambil suatu waktu untuk menghayati kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang pada hakikatnya (kehadiran Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-) adalah sepanjang masa dalam kalangan umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-. Mereka yang berdiri dalam majlis-majlis maulid dan sebagainya (khsusunya di mahal al-qiyam) berusaha untuk menzahirkan rasa penghormatan dalam menghayati kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan mereka seharian, samada secara umum mahupun secara khusus.

Banyak sudut dan bukti kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan umat Islam secara umum, maka ada dua sudut.

Pertama: Kehadiran Hati Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- Terhadap Umat Islam Sebelum Kelahiran Mereka

Sedangkan hati Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa hadir mengingati kita sebelum kelahiran kita (seluruh umat Islam), bagaimana hati Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- tidak hadir mengingati kita pula setelah kelahiran kita, dalam seluruh kehidupan kita?

Ada sebuah hadith menyebut cinta dan kerinduan khusus Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada umatnya yang terkemudian (iaitulah kita yang lahir setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-):

أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أتى المقبرة فقال ‏ ‏السلام عليكم دار قوم مؤمنين وإنا إن شاء الله بكم لاحقون وددت أنا قد رأينا إخواننا قالوا أولسنا إخوانك يا رسول الله قال أنتم أصحابي وإخواننا الذين لم يأتوا بعد

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan bersabda: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”.

Sahabat bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?”

Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

“Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah)”

[Hadith riwayat Imam Muslim no: 367. Begitu juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah no: 4296 dan Imam An-Nasa’ie no: 150. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwatha’ no: 53 sebagaimana dalam Al-Muntaqi]

Alangkah malangnya bagi mereka yang tidak pernah cuba untuk menghadirkan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam satu saat pun daripada kehidupan mereka, sedangkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- menghadirkan kita semua dalam kehidupan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sendiri menghayati kehadiran kita sebelum kelahiran kita, bagaimana kita tidak berusaha untuk menghayati kehadiran Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-?

Kedua: Kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam segenap kehidupan umat Islam setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

حياتي خير لكم تحدثون ويحدث لكم ووفاتي خير لكم تعرض علي أعمالكم فما كان من حسن حمدت الله عليه وما كان من سيء استغفرت الله لكم

Maksudnya:

Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan: Alhamdulillah, dan apa saja amal kamu yang aku dapati jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.

Hadith ini diriwayatkanoleh Imam Ad-Dailami daripada Saidina Anas r.a., Imam Al-Harith r.a. daripada Saidina Anas r.a. juga dengan sanad yang mursal. Diriwayatkan juga dalam Kasyf Al-Khafa’ oleh Imam Al-‘Ajluni (19/11). Begitu juga diriwayatkan dalam Musnad Al-Harith (m/s: 969). Diriwayatkan juga dalam Al-Fath Al-Kabir (2/68) pada hadith no: 5886 dengan sanad Mursal. Begitu juga no: 5887. Imam Ibn Hajar Al-Haithami menegaskan bahawasanya perawi-perawi hadith ini adalah berdarjat sahih. Imam As-Suyuti juga meriwayatkannya dalam Al-Marasil (no: 11337 dan 11338). Selain sanad-sanad mursal yang kuat, Imam Al-Bazzar juga meriwayatkannya secara bersambung kepada Saidina Abdullah bin Umar dengan sanad yang kuat (no: 1723).

Hadith ini menunjukkan kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan para umatnya dan sentiasa memerhatikan dan mengetahui perihal umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- walaupun setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-. Dalam riwayat lain, amalan-amalan umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- akan dibentangkan pada setiap malam Isnin dan Khamis.

Ini menunjukkan betapa Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sememangnya hadir dalam kehidupan umat Islam dengan kehadiran yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- sahaja. Namun, sudah pastilah rasa penghormatan yang cuba dizahirkan oleh para umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- juga sampai kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Di zaman serba moden ini, alangkah jumudnya minda orang yang masih menganggap jarak sesuatu tempat menjadi penghalang terhadap suatu hubungan kehadiran antara dua pihak, sedangkan banyak alat-alat telekomunikasi dan perhubungan yang menghubungkan dua orang daripada dua tempat yang sangat jauh jaraknya, yang mana mereka boleh saling menzahirkan penghormatan kepada sesama mereka dari tempat mereka, lalu sampai kepada teman mereka masing-masing. Seumpama, seorang pekerja sahaja boleh menzahirkan penghormatan kepada tuannya melalui alat perhubungan walaupun dipisahkan oleh jarak yang jauh, samada perhubungan seperti panggilan video atau sebagainya.

Bagaimana dengan pendedahan teknologi sebegini, seseorang masih lagi tidak dapat menerima hubungan para pencinta Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang menzahirkan penghormatan mereka dalam sesuatu majlis di negara-negara yang jauh, dengan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- di Al-Madinah Al-Munawwarah sedangkan alam roh itu sendiri tidak dibatasi oleh dimensi seperti alam jasmani dan sebagainya.

Pelajaran daripada Kisah al-Utbi

Daripada Imam al-'Utbi [Abu 'Abdul Rahman Muhammad bin 'Abdullah atau 'Ubaidillah bin 'Amr bin Mu`awiyah bin 'Amr bin 'Utbah bin Abu Sufyan Sakhr bin Harb yang lebih dikenali sebagai Imam al-'Utbi] di mana dia telah berkata: “Adalah aku satu ketika duduk di samping kubur Junjungan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam-, maka telah datang seorang A'raabi (penduduk kampung) mengucapkan salam kepada Junjungan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- dengan katanya:

“Salam kesejahteraan bagimu, wahai Rasulullah, aku telah mendengar Allah Ta`ala berfirman:

وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُوۤاْ أَنْفُسَهُمْ جَآءُوكَ فَٱسْتَغْفَرُواْ ٱللَّهَ وَٱسْتَغْفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُواْ ٱللَّهَ تَوَّاباً رَّحِيماً

[Dan kalaulah mereka ketika menganiayai diri mereka sendiri (dengan membuat dosa dan kesalahan) datang kepadamu (wahai Nabi) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. – Surah an-Nisa’: 64]

Dan aku telah mendatangimu dalam keadaan memohon keampunan dari segala dosaku dan mengharapkan syafaatmu kepada Tuhanku.”

Lalu dia melantunkan beberapa bait syair seperti berikut:-

يا خير من دفنت بالقاع اعظمه * فطاب من طيبهن القاع والأكم

نفسي الفداء لقبر انت ساكنه * فيه العفاف وفيه الجود و الكرم

Maksudnya:

Wahai manusia terbaik bersemadi dalam bumi jasadnya

Maka harumlah lembah dan bukit dengan keharumannya

Jiwaku jadi tebusan kubur yang engkau penghuninya

Dalamnya ada (pribadi) yang suci, pemurah lagi mulia

Al-'Utbi meneruskan ceritanya:

“Kemudian, dia berpaling meninggalkan maqam Junjungan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam-, tiba-tiba dua mataku mengantuk, lalu aku bermimpi melihat Junjungan Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam tidurku dan baginda bersabda kepadaku:

“Wahai 'Utbi, segera pergi berjumpa A'rabi itu dan khabarkan berita gembira kepadanya bahawa Allah telah mengampuninya.”

[Dinukilkan dari kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi; Fasal Mengenai ziarah Qubur Nabi -shollallahu ‘alaihi wasallam- Halaman 206, Dar al-Fikr Beirut- 2002M/1422H. Kisah ini ini sangat masyhur dan dinukilkan oleh para ulama didalam kitab-kitab mereka sepertimana yang aku nyatakan diatas.]

Kisah ini diriwayatkan oleh seorang ulama' besar dalam bidang hadis yang sangat mementingkan sumber-sumber yang sahih dalam periwayatan iaitulah Imam An-Nawawi r.a.. Maka, ini adalah sebahagian daripada contoh di mana Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- hadir dalam kehidupan para pencinta secara khusus dan umat Islam secara umumnya.

Ketiga: Kehadiran Khusus Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- Terhadap Mereka yang Berselawat Ke Atas Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-

Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- juga hadir menerima selawat-selawat yang disampaikan oleh umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- setelah kewafatan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ سَلَّمَ عَلَيَّ إِلا رَدَّ اللَّهُ رُوحِي حَتَّى أَرُدَّ عَلَيْهِ السَّلامُ

Maksudnya: "Tiadalah seseorang yang menyampaikan salam ke atasku melainkan Allah s.w.t. akan mengembalikan rohku sehingga aku menjawab salam ke atasnya".

Hadis ini diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahuyah (atau Rahwaih) dalam musnadnya dengan sanad hasan (perawi-perawi Imam Muslim) no: 460, Imam Ahmad dalam Musnadnya (no: 10591) dengan sanad hasan yang sama, Imam Abu Daud dalam Sunannya dan sebagainya daripada Saidina Abu Hurairah r.a..

Dalam riwayat lain, Saidina Ibn Abbas r.a. berkata:

لَيْسَ أَحَدٌ مِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلَّى عَلَيْهِ صَلاةً إِلا وَهَي تَبْلُغُهُ , يَقُولُ لَهُ الْمَلَكُ : فُلانٌ يُصَلَّى عَلَيْكَ كَذَا وَكَذَا صَلاةً

Maksudnya: "Tiadalah seseorang daripada Umat Muhammad -shollallahu ‘alaihi wasallam- berselawat ke atas Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- melainkan ia akan sampai kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- lalu malaikat berkata kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-: "Si fulan berselawat ke atasmu dengan begini dan begini..."

Ini menunjukkan samada Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- berinteraksi secara langsung dengan umat Islam yang menyampaikan salam dan selawat ke atas Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- ataupun melalui perantaraan malaikat, namun tetap sahaja bentuk amalan yang dilakukan oleh mereka yang menyampaikan salam dan selawat kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sampai kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Maka, mereka yang berdiri dalam majlis maulid ketika menyampaikan ucapan alu-aluan yang mengalu-alukan kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan manusia, telah menghayati betapa penghormatan dalam alu-aluan mereka itu sampai kepada Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- samada dengan kehadiran roh Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- ke dalam majlis-majlis tersebut ataupun sampai kepada Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang berada di Al-Masjid An-Nabawi. Al-Muhim (yang penting), penghayatan mereka betapa mereka diperhatikan oleh Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ketika menzahirkan kegembiraan dan penghormatan tersebut adalah berlandaskan nas-nas syarak yang telah disebutkan dan banyak lagi yang tidak sempat disebutkan di sini.

Bagi mereka yang tidak mendalami nas-nas syarak sebegini secara menyeluruh atau mindanya terbatas dengan kebiasaan adat yang sempit, walaupun dengan ledakan teknologi telekomunikasi semasa, lalu mengingkari amalan berdiri ketika membaca puji-pujian dan alu-aluan dalam maulid yang menjadi simbol penghormatan dan kegembiraan yang disampaikan kepada Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam-, maka mereka perlulah menginsafi betapa mereka jauh daripada penghayatan terhadap kehadiran Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam kehidupan umat Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-. Biarlah para pencinta mengungkapkan cinta dan rindu mereka kepada Saidina Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dengan cara yang sememangnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam sama sekali.

Wallahu a'lam

Sunday, February 6, 2011

HUKUM MENYAMBUT MAULIDUL RASULULLAH S.A.W


Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun inilah umat Islam akan menyambut Maulidul Rasul dengan diadakan pelbagai acara seperti: Membaca al-Quran dan berceramah mengenai sirah baginda S.A.W. ataupun beselawat serta berzanji dan pelbagai acara lagi dan pada akhirnya kadang-kala diadakan sedikit jamuan. Mimbar-mimbar Jumaat juga tidak terlepas dari berkhutbah dengan penuh bersemangat untuk menyatakan cintanya umat ini terhadap baginda S.A.W.

Rasulullah S.A.W. tidak pernah merayakan ulang tahun hari kelahirannya secara khusus. Namun baginda hanya berpuasa pada hari Isnin kerana baginda dilahirkan pada hari itu. Dan perkara ini berlarutan (tidak merayakan sambutan Maulidur Rasul) sehinggalah selepas 300 tahun baginda wafat.

Pelbagai kenyataan dan kajian telah dinyatakan (berlaku sedikit khilaf) mengenai tarikh sebenar dan siapakah yang mula-mula mengadakan sambutan Maulidur Rasul ini. Di antaranya dikatakan bahawa bermula sambutan Maulidur Rasul ini secara besar-besaran pada zaman Fatimiyah di Mesir di bawah penguasa Muiz Lidinillah (memerintah sekitar tahun 341 H hingga 365 H). Dan pendapat lain ada menyatakan bahawa Sultan Atabeq Nuruddin (meninggal pada 569 H) adalah penguasa yang pertama merayakan Maulidur Rasul. Sebahagian ahli sejarah pula menyatakan bahawa Sultan Salahuddin Al-Ayubi adalah tokoh yang pertama merayakan Maulidur Rasul ini (namun pendapat ini disangsikan oleh pelbagai pihak). Pendapat lain lagi mengaitkan Abu Said Kaukabri bin Zainuddin Aly bin Baktikin sebagai orang pertama merayakan Maulidur Rasul ini.

Al-Hadis bermaksud:
"Diringankan Abu Lahab pada tiap-tiap hari Isnin dengan sebab dia membebaskan hambanya Thaubiyah kerana menggembirakannya dengan kelahiran al-Mustafa S.A.W." (Riwayat al-Bukhari).

Kegembiraan seorang penentang Islam di atas kelahiran Rasulullah S.A.W. dapat meringankan siksanya di neraka pada setiap hari Isnin. Jika orang kafir yang di neraka juga diringankan siksanya kerana kegembiraan menyambut kelahiran baginda S.A.W. maka apatah lagi orang Islam yang bergembira dengan kelahiran Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. sendiri membesarkan hari kelahirannya serta mensyukuri segala nikmat pemberian Allah Taala ke atas baginda pada hari tersebut. Semua ini dilahirkan melalui ibadat puasa sunat baginda S.A.W. pada setiap hari Isnin.

Dari Abu Qatadah bermaksud:
"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku." (Riwayat Muslim).

Bergembira dengan Rasulullah S.A.W. adalah dituntut. Firman Allah Taala bermaksud:
"Katakanlah dengan kelebihan Allah dan rahmatNya maka demikian hendaklah mereka bergembira." (Surah Yunus: Ayat 58).

Allah Taala menyuruh kita supaya bergembira dengan rahmatNya maka Rasulullah S.A.W. adalah sebesar-besar rahmat. Firman Allah Taala bermaksud:
"Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam." (Surah Al-Anbiya: Ayat 107).

Maulidur Rasul akan menganjurkan kita untuk sentiasa berselawat dan salam yang sangat dituntut ini kepada baginda S.A.W. Firman Allah Taala bermaksud:
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."(Surah al-Ahzab: ayat 56).

Sambutan maulid adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat. Ia dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:
"Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah." (Riwayat Ahmad).

ANTARA PENDAPAT ULAMA MENGENAI MAULID
Imam Jalaluddin Al-Sayuti (Lihat kitab: Husnul Maqsad Fi Amal Maulid).
Beliau ditanya tentang hukum perayaan Maulid pada bulan Rabiulawal: Apakah orang yang merayakannya mendapat pahala? Beliau menjawab: Perayaan Maulid pada hakikatnya ialah mengumpulkan kebanyakkan orang untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menjelaskan jalan-jalan dakwah sejak mula diutuskannya Rasulullah. Acara itu diisi dengan menghidangkan makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bidaah hasanah yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan Nabi S.A.W. dan menyatakan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. sebagai penghulu umat.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah (Lihat kitab: Iqtidha as-Shirath al-Mustaqin).
Berkata Syeikh Islam Ibnu Taimiyah: Memuliakan Maulid dan merayakannya setiap tahun seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Taala kerana niatnya baik dan memuliakan Rasulullah S.A.W.

Terdapat ramai lagi ulama yang turut membolehkan sambutan Maulidur Rasul ini antaranya seperti: Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad al-Khazraji, al-Muhaddith Syeikh Dr. Al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid Alawi al-Maliki, Syeikh Atiyah Saqar, Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi, Syeikh Prof. Dr. Ali Jumaah dan lain-lain lagi.

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:
Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya. (Sila lihat kitab al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau menuduh bidaah lagi sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini. Mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang berpegang dengan perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan mengkafirkan, memfasiqkan dan membidaahkan golongan tersebut. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam semenjak sekian lama.


Sumber: http://jomfaham.blogspot.com/

Thursday, February 3, 2011

ILMU SEBAGAI BENTENG PERTAHANAN



Hadirkan rasa cintakan ilmu dalam hati,timbulkan kesedaran mencintai ilmu dalam jiwa, rasa cintakan ilmu akan menghilangkan rasa malas dalam menuntut ilmu,menguatkan anggota tubuh untuk bergerak mencari ilmu dan menghilangkan mengantuk serta rasa jemu. kesedaran ilmu itu penting dalam kita menghadapi dunia serba moden. Apabila dunia semakin moden, maka fitnah pun berubah menjadi moden mengikut perkembangan dunia semasa, begitulah kehancuran dunia ini mula berlaku dan beginilah bagaimana dunia menghampiri penghujung nyawa di akhir zaman.

Dengan begitu banyak hadis-hadis Nabi s.a.w berkaitan ilmu dan begitu tinggi martabat dan kelebihan ilmu telah diriwayatkan, maka amat pentinglah bagi kita untuk menjadikan ilmu itu sebagai keutamaan dalam mencari landasan untuk sampai ke matlamat kehidupan kita. Dalam untuk menghadapi matlamat penciptaan dan hidup ini, dengan takdir Allah s.w.t yang telah menciptakan kita di dunia akhir zaman, maka secara realitinya kita perlu menghadapi fitnah moden pada masa kini.

Maka, sebaik-baik persediaan kita bagi menghadapi fitnah ini ialah dengan mendekati ilmu. Ilmu itu perlu didekati supaya ia dapat meresap ke dalam setiap tubuh badan kita, ilmu itu perlu diserap supaya ia memenuhi ruang otak dan minda kita, ia mengalir bersama dengan aliran darah kita, ia terbina bersama dengan sel-sel kulit kita, ia berkembang bersama tumbesaran kita dan menjadi darah daging kita.

Cara mendekati ilmu itu perlulah dengan cara mendekati majlis-majlis ilmu, mendekati orang-orang yang mencintai ilmu dan orang yang berilmu, mendekati bahan-bahan atau apa sahaja perkara yang mendekatkan kita dengan ilmu. Sesungguhnya ilmu itu perlu dituntut,pertimbangan dalam menuntut ilmu adalah melalui peringkat ehsan dimana kita merasakan Allah tahu ilmu apa yang kita tuntut dan ikhlasnya kita dalam mengamalkan ilmu yang dituntut, kita sedar yang Allah Maha Mengetahui dengan segala-segalanya.

Dengan adanya ilmu kita mengetahui bagaimana untuk mendidik hati, kita tahu bagaimana kaedah terbaik dalam pembawaan hidup kita, kita mengenali perkara-perkara yang halal dan haram dan mengajar kita bagaimana membuat keputusan terbaik dan tindakkan yang patut diambil. Ilmu sangat berperanan sebagai cahaya dalam menyuluh jalan kehidupan yang selamat didunia dan di akhirat.

Ilmu juga menjadikan kita takut kepada Allah, ilmu memperkenalkan kita Pemilik dan Pencipta Alam ini dan menyedarkan kita siapa diri kita yang sebenarnya. Merendah dirilah dalam mendapatkan ilmu, ilmu itu menjadi benteng yang sangat kuat jika kita mendapatkannya dengan cara yang betul dan ilmu itu juga menjadi racun berbisa dan barah jika salah mendapatkannya.

Oleh itu, tuntutlah ilmu bermula dengan kerendahan hati. menyedari bahawa Segala ilmu yang ada di dunia ini adlah milik Allah diberikan kepada hamba-hambanya dengan rahmat dan sifat pemurah Allah s.w.t. menyedari bahawa kita tidak akan mampu mendapatkan semua ilmu ini kerana ilmu Allah itu adlah tanpa batas. merendahkan hati kita dengan orang yang lain, sentiasa menganggap orang lain berilmu dari kita, dan sentiasa bersangka baik terhadap ahli ilmu yang dilantik oleh Allah. Tuntutlah ilmu itu dengan penuh adab dan akhlak, tuntutlah ilmu kerana Allah, untuk beribadat kepada Allah, untuk memenuhi kehendak syariat, untuk membolehkan kita menetap disyurga kelak.

Semoga Allah menurunkan rahmat-Nya kepada kita semua dan memberikan kita petunjuk dan taufik bagi menyelamatkan kita dari fitnah dunia dan fitnah akhirat.. Amin..ya Rab..

Wednesday, February 2, 2011

MENGAKUI KEBESARAN-NYA DAN MENGINSAFI KELEMAHAN DIRI


Allah berfirman, "Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada-Nya".
Nabi S.A.W bersabda, "sesungguhnya apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Sesiapa yang redha, maka Allah akan redha kepadanya".

Orang yang redha dengan Allah ialah orang yang redha dengan segala keputusan Allah. Apabila takdir yang ditetapkan oleh Allah bertentangan dengan apa yang keinginannya seperti tidak mendapat sesuatu yang dihajati, kehilangan sesuatu yang dicintai, berlaku sesuatu yang buruk dia tidak menjagkakannya, dilanda musibah, bencana, penyakit atau kesulitan, hatinya tetap redha dengan semua ini. Ini kerana dia yakin bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan n keputusan yang Maha kuasa, Tuan yang memiliki seluruh alam ini, dengan kuasa Allah kta tidak mungkin dapat mengubah dan menentang kuasa Allah.

Seorang hamba tidak boleh mempertikaikan keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah dengan berkata "seandainya.., kalaulah.., mengapa begini.." dan sebagainya,hendaklah kita menyakini bahawa dengan segala yang berlaku adalah dari keputusan dan ketentuan Allah yang Maha bijaksana dan maha Adil. yakinlah bahawa Allah tidak menetapkan sesuatu untuk hamba-Nya yang beriman kecuali adanya kebaikkan dan hikmah yang tersembunyi.

Oleh itu, hendaklah kita berbaik sangka kepada Allah dan jangan kita lalai dari mengingati-Nya.Sedarlah wahai teman-temanku, kita hanyalah hamba yang yg hina, hamba yang lemah, hamba yang tidak memiliki apa-apa, maka tunduk dan patuhlah dengan merendahkan diri kepada ketentuan Allah.

jangan sombong dengan apa yang kita miliki, sesungguhnya ia milik Allah, pinjaman yang perlu dikembalikan semula.bersifat zuhudlah bagi orang-orang yang menyedarinaya...bila Allah mahu kita hancur, maka hancurlah kita....kalau Allah mahu kita dicabut nyawa pada ketika ini, maka redhalah kita.

Sumber: Nasihat-Nasihat Agama dan Wasiat-wasiat keimanan, karya Habib Abdullah bin Alwi al-Hadad.