Thursday, February 3, 2011

ILMU SEBAGAI BENTENG PERTAHANAN



Hadirkan rasa cintakan ilmu dalam hati,timbulkan kesedaran mencintai ilmu dalam jiwa, rasa cintakan ilmu akan menghilangkan rasa malas dalam menuntut ilmu,menguatkan anggota tubuh untuk bergerak mencari ilmu dan menghilangkan mengantuk serta rasa jemu. kesedaran ilmu itu penting dalam kita menghadapi dunia serba moden. Apabila dunia semakin moden, maka fitnah pun berubah menjadi moden mengikut perkembangan dunia semasa, begitulah kehancuran dunia ini mula berlaku dan beginilah bagaimana dunia menghampiri penghujung nyawa di akhir zaman.

Dengan begitu banyak hadis-hadis Nabi s.a.w berkaitan ilmu dan begitu tinggi martabat dan kelebihan ilmu telah diriwayatkan, maka amat pentinglah bagi kita untuk menjadikan ilmu itu sebagai keutamaan dalam mencari landasan untuk sampai ke matlamat kehidupan kita. Dalam untuk menghadapi matlamat penciptaan dan hidup ini, dengan takdir Allah s.w.t yang telah menciptakan kita di dunia akhir zaman, maka secara realitinya kita perlu menghadapi fitnah moden pada masa kini.

Maka, sebaik-baik persediaan kita bagi menghadapi fitnah ini ialah dengan mendekati ilmu. Ilmu itu perlu didekati supaya ia dapat meresap ke dalam setiap tubuh badan kita, ilmu itu perlu diserap supaya ia memenuhi ruang otak dan minda kita, ia mengalir bersama dengan aliran darah kita, ia terbina bersama dengan sel-sel kulit kita, ia berkembang bersama tumbesaran kita dan menjadi darah daging kita.

Cara mendekati ilmu itu perlulah dengan cara mendekati majlis-majlis ilmu, mendekati orang-orang yang mencintai ilmu dan orang yang berilmu, mendekati bahan-bahan atau apa sahaja perkara yang mendekatkan kita dengan ilmu. Sesungguhnya ilmu itu perlu dituntut,pertimbangan dalam menuntut ilmu adalah melalui peringkat ehsan dimana kita merasakan Allah tahu ilmu apa yang kita tuntut dan ikhlasnya kita dalam mengamalkan ilmu yang dituntut, kita sedar yang Allah Maha Mengetahui dengan segala-segalanya.

Dengan adanya ilmu kita mengetahui bagaimana untuk mendidik hati, kita tahu bagaimana kaedah terbaik dalam pembawaan hidup kita, kita mengenali perkara-perkara yang halal dan haram dan mengajar kita bagaimana membuat keputusan terbaik dan tindakkan yang patut diambil. Ilmu sangat berperanan sebagai cahaya dalam menyuluh jalan kehidupan yang selamat didunia dan di akhirat.

Ilmu juga menjadikan kita takut kepada Allah, ilmu memperkenalkan kita Pemilik dan Pencipta Alam ini dan menyedarkan kita siapa diri kita yang sebenarnya. Merendah dirilah dalam mendapatkan ilmu, ilmu itu menjadi benteng yang sangat kuat jika kita mendapatkannya dengan cara yang betul dan ilmu itu juga menjadi racun berbisa dan barah jika salah mendapatkannya.

Oleh itu, tuntutlah ilmu bermula dengan kerendahan hati. menyedari bahawa Segala ilmu yang ada di dunia ini adlah milik Allah diberikan kepada hamba-hambanya dengan rahmat dan sifat pemurah Allah s.w.t. menyedari bahawa kita tidak akan mampu mendapatkan semua ilmu ini kerana ilmu Allah itu adlah tanpa batas. merendahkan hati kita dengan orang yang lain, sentiasa menganggap orang lain berilmu dari kita, dan sentiasa bersangka baik terhadap ahli ilmu yang dilantik oleh Allah. Tuntutlah ilmu itu dengan penuh adab dan akhlak, tuntutlah ilmu kerana Allah, untuk beribadat kepada Allah, untuk memenuhi kehendak syariat, untuk membolehkan kita menetap disyurga kelak.

Semoga Allah menurunkan rahmat-Nya kepada kita semua dan memberikan kita petunjuk dan taufik bagi menyelamatkan kita dari fitnah dunia dan fitnah akhirat.. Amin..ya Rab..

No comments: