Friday, July 19, 2013

RINGKASAN BAB PUASA

Sejarah Puasa
Amalan puasa telah diketahui dan diamalkan sejak zaman sebelum Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dan para ahli kitab yang hidup sezaman dengan Nabi saw, ia telah menjadi ijmak(kesepakatan) kaum muslimin. Di dalam al-Quran Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang Beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

Puasa bagi umat Islam telah difardhukan pada bulan sya’ban tahun kedua hijrah.

Takrif
Dari segi bahasa bermaksud menahan dari sesuatu. Dari segi istilah syarak ialah menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari di sertai dengan niat.

Penetapan Puasa
1      Rukyah al-Hilal(melihat anak bulan Ramadhan) pada hari 29 sya’ban malam 30 Sya’ban. Dilihat oleh seorang saksi yang adil dan bersaksi di depan qadi bahawa dia telah melihatnya. Jika anak bulan tidak dapat dilihat mungkin kerana awan terlalu tebal atau tiada saksi yang melihatnya maka di cukupkan 30 hari pada bulan sya’ban. Ini kerana pada asalnya bilangan hari pada bulan sya’ban adalah 30 hari.

Apabila satu negeri itu telah menetapkan hari bermulanya puasa, maka negeri-negeri yang berhampiran dengannya juga diwajibkan berpuasa kecuali bagi negeri-negeri yang jauh maka tidak diwajibkan. Ukuran jarak jauh adalah berdasarkan kepada matla’(tempat terbitnya anak bulan).

Kaedah penetapan berdasarkan ilmu falak telah berlaku khilaf, namun ia dipersetujui oleh ramai Ulama moden termasuk Syeikh Ahmad Muhammad Syakir, Syeikh Rashid Redha dan Syeikh Mustafa al-Zarqa.

Puasa bagi Orang yang Berpindah Negeri
Seseorang telah melihat anak bulan puasa kemudian bermusafir ke luar negeri, dia perlu berpuasa seperti mana puasanya orang di negeri tersebut walaupun dia telah menyempurnakan 30 hari puasa. Ini kerana dia dianggap sebahagian dari penduduk di negeri tersebut.

Jika seseorng yang berada dalam negeri yang masih tidak kelihatan anak bulan, kemudian dia bermusafir ke negeri yang telah melihat anak bulan maka dia juga perlu berpuasa dan berhari Raya ‘Aidil Fitri bersama penduduk di negeri tersebut walaupun bilangan puasanya 28 hari atau 29 hari. Dan dia perlu qadha puasa 1 hari jika bilangan puasanya adalah 28 hari dan tidak perlu qadha jika bilangan puasanya adalah 29 hari.

Jika seorang berada pada 1 syawal dan menyambut Hari Raya di suatu negeri kemudian dia bermusafir ke negeri yang mana penduduknya masih berpuasa maka dia perlu menahan dirinya kerana mengikut penduduk tersebut.

Syarat wajib
1  Islam: Orang kafir tidak diwajibkan berpuasa, maka tidak boleh memaksa mereka supaya berpuasa.

2      Taklif (berakal dan baligh): Tidak diwajibkan puasa kepada orang Islam yang tidak berakal dan masih belum baligh. Namun dibolehkan kepada kanak-kanak yang masih belum baligh berpuasa sebagai mendidik dan membiasakan mereka dengan puasa.

3     Tiada keuzuran yang menghalang, seseorang dikira uzur apabila:
i.                  Dalam keadaan haid atau nifas.
ii.        Pengsan atau gila sepanjang hari. Jika tidak sepanjang hari walaupun satu saat masih diwajibkan puasa.
iii.       Sakit atau rasa bimbang yang ada kemungkinan mendatangkan mudharat yang besar jika meneruskan puasa, maka diharuskan baginya berbuka. Jika sakit makin teruk atau bimbang akan mati maka wajib berbuka dengan segera.
iv.    Musafir dengan jarak tidak kurang dari 83km dan memenuhi syarat untuk musafir. Namun jika pada waktu pagi dia berpuasa dalam keadaan dia bermukim kemudian dia bermusafir, maka dia tidak dibenarkan berbuka.
v.                Tidak mampu berpuasa kerana tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh.

Syarat sah/sempurna Puasa
1   Islam: Tiada pahala dan ganjaran bagi orang kafir namun digalakan agar mereka berpuasa bersama sebagai satu kaedah dakwah dan bukan niat menghina atau bermain-main.

2      Berakal: Berpuasa hanya sah dengan niat, orang yang tidak berakal seperti orang gila dan kanak-kanak yang belum mumaiyiz mereka tidak mempunyai niat.

3      Tidak uzur

     Rukun Puasa
1    Niat: Menahan diri dari perkara yang membatalkan dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Niat
Niat di hati, tidak cukup dilafaz dengan lidah sahaja. Dan tidak di syaratkan untuk melafazkannya. Niat perlu dialakukan pada waktu malam sebelum terbitnya fajar. Jika tidak niat sehingga terbit fajar maka puasanya adalah tidak dikira. Perlu menetapkan puasa di bulan Ramadhan tatkala berniat, tidak sah tidak ditetapkan puasa ramadhan.

Perlu diniatkan pada setiap malam Ramadhan kerana puasa adalah ibadat yang berulang-ulang, bukan ibadat yang satu untuk sepanjang bulan Ramadhan. Ini berbeza dengan puasa sunat yang tidak disyaratkan untuk niat sebelum terbit fajar malah boleh niat pada siang hari dan tiada penetapan tertentu, cukup dengan hanya niat untuk berpuasa.

Namun ada pendapat dari sebahagian ulamak yang membolehkan niat dilakukan untuk sebulan.


Menahan diri dari perkara yang membatalkan dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Perkara-perkara yang membatalkan
1.       Makan dan minum
Batal jika dilakukan dengan sengaja walaupun sedikit. Jika tidak disengajakan atau terlupa tidak akan batal walaupun banyak.

2.       ‘Ain(sesuatu) masuk melalui liang yang terbuka dan sampai ke dalam al-Jauf(rongga).
Sesuatu yang mampu dilihat oleh mata adalah ‘ain. Liang yang terbuka termasuklah mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur bagi lelaki dan wanita. Mata dan kulit tidak termasuk dalam liang yang terbuka. Air dari dalam badan yang sentiasa ditelan, maka ia tidak membatalkan puasa.

Namun jika air liurnya bercampur dengan darah akibat luka dari dalam mulut lalu dia menelannya tanpa berusaha membersihkannya terlebih dahulu, maka batal puasanya.
Berkaitan dengan kahak mengikut Mazhab Syaf’i jika kahak yang berada di dalam dada naik hingga melepasi kerongkong jika sengaja ditelan maka akan membatalkan puasa.

Bagi perbuatan bersiwak(memberus gigi) ia dianjurkan menggunakan Siwak sebelum Zawal (tergelincir matahari). Adapun setelah tergelincir matahari, sebahagian Ulama mengatakan ia adalah makruh. Dalilnya adalah hadits Rasulullah Saw :
“Demi jiwaku berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah Swt daripada semerbak kasturi”.
(HR. al-Bukhari dari Abu Hurairah).

Harum semerbak kasturi tidak baik jika dihilangkan, atau makruh dihilangkan, selama bau tersebut diterima dan dicintai Allah Swt, maka orang yang berpuasa membiarkannya. Ini sama seperti darah dari luka orang yang mati syahid. Rasulullah Saw berkata tentang para syuhada:
“Selimutilah mereka dengan darah dan pakaian mereka, kerana sesungguhnya mereka akan dibangkitkan dengannya di sisi Allah Swt pada hari kiamat, warnanya seperti warna darah dan harumnya harum semerbak kasturi”.

Oleh sebab itu orang yang mati syahid tetap dengan darah dan pakaiannya, tidak dimandikan dan bekas darah tidak dibuang.

Bagi sebahagian Ulamak pula membolehkan memberus gigi di siang hari  berdalilkan hadis Sebagian shahabat yang meriwayatkan:
“Saya seringkali melihat Rasulullah saw bersiwak ketika baginda sedang berpuasa”.

Oleh itu bersiwak ketika berpuasa dianjurkan dalam setiap waktu, pada pagi mahupun petang hari. Juga dianjurkan sebelum atau pun setelah berpuasa. Bersiwak juga adalah sunnah, Rasulullah Saw bersabda:
“Siwak itu kesucian bagi mulut dan keridhaan Allah Swt”.
(HR. an-Nasa’I, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam kitab Shahih mereka. Diriwayatkan al-Bukhari secara mu’allaq bahawa Rasulullah Saw tidak membezakan antara puasa atau tidak berpuasa.)

3.       Muntah dengan sengaja.
Puasa batal jika disengajakan. Puasa tidak batal jika tidak disengajakan walaupun dia yakin sebahagian dari muntahnya masuk kembali ke dalam perut.

4.       Bersetubuh
Batal puasa walaupun tidak keluar mani. Jika terlupa maka puasa tidak batal. Bersetubuh dengan sengaja ini adalah haram dan berdosa. Maka wajib bertaubat dan dikenakan kaffarah dengan memerdekakan hamba, atau berpuasa selama dua bulan berturut-turut atau pun memberi makan kepada 60 orang fakir miskin. Jika dia bersetubuh sebanyak dua hari, maka dia dikenakan dua kali kaffarah kerana puasa adalah ibadat berasingan dan berulang-ulang. Bagi orang yang bermusafir kemudian dia bersetubuh maka dia tidak dikenakan kaffarah.

5.       Al-Istimna’
Keluar mani disebabkan ransangan seperti bercumbu atau menggunakan tangan maka batal puasanya. Jika ia diluar kawalannya maka itu tidak membatalkan.

6.       Haid dan nifas
Jika ia keluar disiang hari maka terbatallah puasa dan wajib diqadha.

7.       Gila dan murtad
Hilang kelayakan untuk berpuasa. Puasa juga akan terbatal jika seseorang melakukan perkara-perkara di atas atas sangkaan fajar belum terbit atau matahari sudah terbenam. Namun dia harus menahan diri dari makan dan minum bagi menghormati bulan Ramadhan dan wajib mengqadhanya.

Sumber: Fiqh al-Manhaji, Q&A Dr. Zulkifli al-Bakri, al-Ustaz isu no-4, Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa Mu’ashirah