Tuesday, March 14, 2017

SETIAP HAMBA AKAN DIBANGKITKAN SESUAI DENGAN KEADAANNYA KETIKA MENINGGAL



يُبْعَثُ كُلُّ عَبْدٍ عَلَى مَا مَاتَ عَلَيْهِ
“Setiap hamba akan dibangkitkan sesuai dengan keadaannya ketika meninggal.” (HR. Muslim)

Hadis ini menerangkan keadaan hamba yang dibangkitkan oleh Allah SWT selepas kematian. Keadaa seorang hamba saat dibangkitkan selepas kematian adalah tergantung pada bagaimana keadaannya saat dia meninggal dunia. Jika dia meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah seperti sedang beribadah, sujud, membaca Al-Qur’an, atau dalam keadaan mendapat redha daripada ibunya maka kelak dia dibangkitkan dalam keadaan yang bahagia. Tetapi jika dia meninggal dalam keadaan su’ul khotimah seperti sedang melakukan maksiat, mabuk, berzina, atau dalam keadaan ibunya murka kepadanya maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan yang penuh dengan penderitaan.

Kematian adalah al-Maut, perkataannya pendek terdiri dari beberapa huruf sahaja tetapi sangat memberi bekas terhadap manusia. Setiap penyakit Allah turunkan bersamanya penawar, kecuali kematian. Sesungguh mana pun kita melupakan kematian namun kematian tidak pernah melupakan kita, sejauh mana pun kita lari dari kematian tetapi kematian itu tetap akan mengejar kita, sejauh mana pun kita bersembunyi dari kematian namun kematian tetap menjumpai kita. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ
“Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu. (Al-Jumu’ah: 8)

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walau kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa’:78) 

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ اْلمـَوْتِ
Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Ali Imran:185, al-Anbiya:35 dan al-Ankabut: 57).

Perkataan “setiap” dalam ayat bermaksud semua kehidupan termasuk malaikat yang meniup sangkakala, apa yang membezakan kita adalah amal yang kita lakukan. Berdasarkan hadis ini kita dianjurkan untuk memperbaiki amal agar amalan kita diterima oleh Allah SWT. Mintalah kepada Allah agar kita meninggal dalam keadaan Khusnul Khotimah, kerana meninggal dalam keadaan Khusnul Khotimah itu hakikatnya bukan kemahuan kita tetapi kemahuan Allah SWT. Mohonlah kasih sayang dan belas kasihan dari Allah SWT, jika Allah sayang pada seseorang hamba, maka hamba tersebut akan diberi Taufiq untuk beramal Soleh sebelum dia meninggal dunia sehingga dia meninggal dalam keadaan khusnul khotimah. Seseorang yang masanya dipenuhi membaca Al-Qur’an, kemungkinan dia meninggal adalah dalam keadaan membaca Al-Qur’an, demikian seseorang yang istiqomah di masjid maka kemungkinan nyawanya dicabut ketika dia berada di masjid.  

Dalam kita banyak beramal jangan kita menghina pelaku maksiat dan pendosa. Mungkin sahaja dia masuk syurga dengan hanya melakukan satu amalan kebajikan dan kita dimasukan ke neraka hanya dengan melakukan sekali perbuatan maksiat. Nabi SAW bersabda bahawa ada orang yang amalanya bagus, beramal dengan amalan ahli syurga dan beribadah siang dan malam, lalu dia melakukan maksiat dan dalam keadaan melakukan maksiat itu nyawanya di cabut lalu dia kelak ditempatkan di neraka. Tanda orang yang dikhuatirkan meninggalnya dalam keadaan Su’ul Khotimah ada empat: Pertama ialah orang yang melalaikan solat, yang kedua ialah orang yang selalu mabuk, yang ketiga ialah orang derhaka kepada ibu dan bapa, dan yang keempat ialah orang yang melakukan kejahatan kepada manusia terutama pada orang yang beriman.  

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Saiyidina Abdullah Bin Umar ketika dia masih kecil, Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Umar: “Jadilah kamu hidup di dunia seperti orang asing atau musafir, apabila engkau berada di petang hari, janganlah kamu menunggu hingga ke pagi hari. Dan apabila kamu berada di pagi hari maka janganlah menunggu hingga ke petang hari. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu. Dan gunakanlah hidupmu sebelum datang kematianmu." (HR. Al-Bukhari)


Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi