Saturday, September 12, 2015

RINGKASAN BAB QURBAN



Pengertian
Sembelihan binatang pada Hari raya Qurban (Aidil Adha) bertujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.

Hukum
Asalnya adalah sunat muakkad namun boleh menjadi wajib jika seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaanya yang memenuhi syarat qurban untuk dijadikan qurban atau dia berazam untuk melakukan qurban.  

Orang yang dituntut melakukan qurban
Orang yang dituntut melakukan qurban mestilah Islam, baligh dan berakal (mukalaf) serta berkemampuan.

Binatang Qurban
Qurban hanya sah dengan unta, lembu dan kambing. Binatang paling afdhol ialah unta, diikuti lembu dan kemudian kambing. Harus melakukan qurban seekor unta atau lembu untuk tujuh orang (dibahagi kepada tujuh orang).

Syarat binatang qurban
Umur unta hendaklah disyaratkan masuk tahun keenam. Umur lembu dan kambing telah masuk tahun ketiga, manakala umur bagi kambing biri-biri telah masuk tahun kedua dan telah tanggal gigi hadapannya walaupun umurnya belum cukup setahun. Binatang qurban tersebut mestilah tidak cacat (Terlalu kurus, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinga).


Waktu Melakukan Qurban
Waktu qurban bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Qurban sehingga terbenamnya matahari pada hari terakhir hari tasyriq iaitu pada 13 Zulhijjah. Waktu paling afdhol ialah selepas selesai solat hari raya.

Agihan Daging Qurban
Bagi qurban yang sunat harus bagi orang yang melakukan qurban untuk makan daging qurbannya dengan syarat sebahagiannya perlu disedekahkan. Afdhol baginya memakan sedikit dan memaksimumkan bahagian untuk sedekah.

Harus untuknya untuk makan 1/3 bahagian, menyedekahkan 1/3 bahagian kepada orang fakir dan 1/3 bahagian dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran walaupun mereka kaya.

Daging yang dihadiahkan tidak boleh dijual manakala daging yang disedekahkan boleh dilakukan apa sahaja keatasnya kerana telah menjadi haknya.

Tidak harus menjual kulit binatang qurban atau dijadikan upah, namun boleh jika disedekahkan atau gunakan untuk dirinya sendiri.

Bagi qurban yang wajib, orang yang melakukan qurban tidak harus memakannya atau diberikan kepada orang yang di bawah tanggungngannya. Jika termakan maka perlu digantinya dengan bayaran.

Sunat bagi orang yang hendak melakukan qurban dengan tidak menghilangkan bulu dan kuku di badannya bermula dari 1 Zulhijjah sehingga binatang qurbannya disembelih.

Sunat bagi orang yang hendak melakukan qurban dengan menyembelih sendiri binatang qurban, jika tidak mampu maka sunat menyaksikan qurbannya disembelih.

Sunat melakukan sembelihan di kawasan lapang berhampiran tempat orang berkumpul melakukan solat sunat hari raya.


Sumber: al-Fiqh al-Manhaji ala al-Mazhab al-Imam al-Syafie’, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, JAKIM