Thursday, February 18, 2016

ORANG ISLAM MEMBERIKAN HADIAH KEPADA ORANG BUKAN ISLAM, MENGUCAPKAN TAHNIAH DAN MELAWAT KETIKA SAKIT


Memberikan hadiah, ziarah menziarahi dan mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam adalah termasuk dalam kategori ihsan (berbuat kebaikan). Allah menyuruh kita bercakap dengan baik dan memerintahkan kita agar sentiasa berbuat baik kepada semua orang tanpa ada perbezaan. firman Allah:“dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.” (al-Baqarah: 83). Firman Allah: “sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.” (an-Nahl: 90)

Allah subhanahu wata’ala juga tidak menegah kita dari melakukan kebaikan kepada orang bukan Islam, menghubungkan tali persahabatan atau memberi dan menerima hadiah daripada mereka. Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah: 8)

Telah tsabit dalam hadis-hadis sohih yang membawa kepada taraf mutawatir bahawa Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam menerima hadiah daripada orang bukan Islam, dalam sebuah hadis menceritakan yang bermaksud: “Rasulullah Solla Allahu a’laihi wasallam telah mengutus Hathib ibn Balta’ah bersama sepucuk surat kepada raja al-Muqauqis pemerintah Iskandariah, maka diterima suratnya dan Hathib disambut sebagai tetamu dengan baik dan diberikan penghormatan. Kemudian beliau mengutuskan surat kepada Rasulullah Solla Allahu a’laihi wasallam dengan diberikan bersamanya hadiah yang berupa pakaian, seekor keldai dengan pelananya, dan dua orang hamba perempuan.”

Demikian juga hadis yang meriwayatkan kisah pengislaman Sulaiman al-Farisi r.a. Salman al-Farisi telah datang berjumpa dengan Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam ketika beliau berkunjung ke Madinah dengan membawa hidangan yang di dalamnya terdapat buah kurma lalu diletakkannya di hadapan Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam. Rasulullah bertanya: “apa ini wahai Salman?” Jawabnya: “Sedekah untukmu dan para sahabatmu”. Nabi bersabda: “Ambil buah ini, kerana kami tidak makan daripada hasil sedekah”. Lalu buah itu dibawa pergi olehnya. Pada keesokan harinya, Salman datang lagi dengan membawa buah kurma lalu diletakkannya di hadapan Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam. Rasulullah bertanya lagi: “apa ini wahai Salman?” Jawabnya: “Sedekah untukmu dan para sahabatmu”. Nabi bersabda: “Ambil buah ini kerana kami tidak makan daripada hasil sedekah”. Lalu buah itu dibawa pergi olehnya. Pada hari ketiga, Salman datang lagi dengan membawa buah kurma lalu diletakkannya di hadapan Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam. Rasulullah bertanya lagi: “apa ini wahai Salman?” Jawabnya: “Hadiah untukmu dan para sahabatmu.” Nabi bersabda: “Makanlah.”

Al-hafiz al-Iraqi mengulas tentang hadis tersebut, katanya: “Dalam hadis ini Baginda menerima hadiah daripada orang yang kafir, ini kerana Salman masih belum memeluk Islam ketika itu. Beliau memeluk Islam setelah mengetahui tiga tanda daripada tanda-tanda kenabian, iaitu tidak menerima sedekah dan hanya mengambil hadiah dan tanda khatam an-nubuwwah yang ada pada Nabi. Beliau melihat tanda Baginda sebagai khatam an-nubuwah selepas baginda menerima hadiah yang diberikannya.” (Tharnu at-Tathrib oleh al-Hafiz al-Iraqi, 4/35-36).

Telah diriwayatkan daripada Ali ibn Abi Talib r.a. katanya yang bermaksud: “Raja Kisra telah menghadiahkan sesuatu kepada Rasulullah Solla Allahu a’laihi wasallam, Baginda menerima hadiah tersebut, baginda juga menerima hadiah pemberian daripada Raja Qishar dan raja-raja yang lain.”

Oleh itu, menerima hadiah itu harus di sisi syarak, malahan ia merupakan sunnah Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam, malahan juga ia menjadi tanda kenabian baginda yang paling jelas dan disunatkan kerana termasuk dalam kategori ihsan (berbuat baik). Syeikh Zakaria al-Ansori berkata: “Harus menerima hadiah daripada orang kafir kerana mengikut sunnah.”

Pemahaman ini telah disokong oleh as-Sarakhsi, beliau menyebutkan daripada Abi Marwan al-Khuza’i katanya: “Aku bertanya kepada Mujahid, adakah seorang lelaki yang belum memeluk Islam mempunyai hubungan kerabat denganku, dan dia mempunyai sebahagian daripada hartaku, adakah boleh aku serahkan kepadanya? Jawab Mujahid: “Ya, sambungkanlah silaturrahim dengannya.”

Berdasarkan riwayat ini dapat kita fahami bahawa tidak mengapa menjalinkan hubungan antara seorang muslim dengan orang yang bukan muslim sama ada mempunyai hubungan keluarga jauh atau dekat, kafir harbi atau kafir zimmi.

Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah:8)

Berdasarkan ayat di atas Ibn al-Jauzi mengatakan ulama-ulama tafsir berkata: “Ayat ini merupakan ruhshah bagi menghubungkan silaturrahim kepada mereka yang tidak memerangi orang Islam dan harus berbuat baik kepada mereka sekalipun mereka tidak boleh menjadi wali dan menerima pusaka.”

Demikian juga al-Mardawi al-Hanbali menyebutkan mengenai hukum mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam, mengucapkan takziah kepada mereka dan menziarahi ketika sakit. Katanya: “Mengenai ucapan tahniah, ta’ziah dan menziarahi mereka semasa sakit ada dua riwayat yang telah disebutkan dalam kitab al-Hidayah…..pendapat ulama yang mengatakan mereka diziarahi untuk masuk Islam, kata al-Mardawi lagi: inilah yang sebetulnya.”

Telah disebut di dalam kitab fatwa al-Hindiah: Tidak mengapa untuk pergi menziarahi kafir zimmi, demikian dikatakan oleh Muhammad r.h tambahnya: Tidak mengapa menerima tetamu daripada orang kafir zimmi sekalipun hanya setakat kenalan sahaja, demikian yang disebutkan dalam kitab al-Multaqith, kemudian tambahnya lagi: Tidak mengapa orang Islam bersahabat dengan orang bukan Islam sama ada kenalan jauh atau rapat, kafir harbi atau zimmi.

Syeikh ‘Ulaisy ditanya mengenai mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam adakah ia dianggap sebagai murtad? dijawabnya: “Tidak menjadi murtad orang yang berkata kepada seorang Kristian, semoga Allah panjangkan umurmu setiap tahun, dengan sekira-kira bukan bertujuan untuk mengagungkan kekufurannya dan bukan kerana redha dengan kekufurannya.”

Daripada apa yang telah dijelaskan melalui ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam dan pendapat para ulama Islam, kita dapati bahawa termasuk di dalam ihsan kepada orang lain ialah menghubungkan silaturrahim dengan orang bukan Islam dalam semua keadaan seperti menziarahi bila sakit, ucapan takziah bila mendapat kesusahan dan ucapan tahniah bila mendapat kejayaan, memberi hadiah dan menerima hadiah, menerima tetamu dan sebagainya. cara ini merupakan satu pendekatan berdakwah kepada agama Allah dengan akhlak yang baik dan budi pekerti yang mulia. Wallahu a’lam.

Sumber: ‘Penjelasan mengenai persoalan yang menganggu pemikiran’; Syeikh Dr. Ali Jumaat, terjemahan al-Fadhil Ustaz Haji Jainal Sakiban al-Jauhari, terbitan Majlis Agama Islam Johor