Tuesday, November 29, 2011

TUJUAN MENULIS MELAUI SALURAN BLOG



Sebagai seorang pelajar dan sampai habis umur pun akan bergelar sebagai seorang pelajar, adalah lebih baik setiap apa yang hendak ditulis untuk disampaikn kepada orang ramai adalah hasil dari pengajian, kajian, pemahaman hasil dari pertanyaan kepada guru, dan juga setelah berusaha gigih dalam menambah ilmu.

Apabila ilmu telah dituntut, adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap orang yang menuntut ilmu bagi menyampaikannya bagi mencapai matlamat menuntut ilmu seperti yang telah digariskan oleh para Ulamak iaitu tujuan menuntut ilmu itu adalah untuk menghilangkan kejahilan, untuk diamalkan dan untuk disampaikan.

Malah tanggungjawab bagi penuntut ilmu bagi menerangkan, memperbetulkan dan memahamkan orang ramai akan sesuatu masalah terutama perkara yang penting tapi dipesongkan oleh orang. Apabila ilmu yang kita pelajari, tiba-tiba kita melihat akan seperti ada orang yang cuba menyebarkan kefahaman ilmu yg kita pelajari dengan kefahaman yang berbeza, maka dalam keadaan ini kita patut melakukan beberapa perkara.

Pertama ialah dengan memahami terlebih dahulu apa isi kandungan kefahaman yang kita rasakan ada kesilapan tadi, kedua ialah dengan membezakan dan membuat perbandingan antara text kefahaman tadi dengan kefahaman yang kita pelajari. Ketiga ialah dengan melakukan keseimbangan dalam menilai di mana kita menyatakan akan kebenarannya dan menyangkal kesilapan dengan tidak merendahkan pendapat dan kefahamannya.

Dalam pada itu, setelah saya mempelajari akan perbahasan berkaitan apa yang saya pelajari lalu memahami isu akan penentangan, perbezaan dalam menghuraikannya dan perdebatan yang berlaku, maka saya cuba menerangkan apa yang saya fahami dari pengajian dan penerangan guru-guru dan tokoh-tokoh berkaitan dengan masalah-masalah yang timbul.

Sudah tentulah tulisan yang saya tulis tidaklah seberapa dan langsung tiada kehebatannya jika di ukur tahap ilmu dan IQ yang saya miliki, tapi ini adalah keyakinan dan kefahaman saya hasil dari usaha keras memahaminya dan dari pertolongan Allah taala tentunya. Ini adalah sebahagian dari proses pembelajaran saya dengan niat memantapkan lagi ilmu yang ada, diperbetulkan jika ada salah faham, memperbetulkan salah faham yang ada dan niat yang utama adalah untuk berbakti dan memberi sumbangan dalam agama Allah taala serta bagi mendapatkan redha-Nya.

Semoga Allah menjahui saya dari kesesatan dan sentiasa memandu saya di jalan yang lurus, setiap apa yang saya tulis adalah untuk perbincangan dan bukan sebagai bukti dan hujah, ia hanya sebagai bahan tambahan bagi memantapkan pemahaman. Peringatan untuk diri bahawa kita bertanggungjawab dengan apa yang ditulis, cuba elakkan dari menulis sesuatu yang menyesatkan dengan melakukan kajian yang mendalam terlebih dahulu. Tiada daya usahaku melainkan dari pertolongan Allah taala..

Monday, November 14, 2011

HAID NIFAS DAN ISTIHADHOH BUKU TERBARU KELUARAN TELAGA BIRU - SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI


Solat itu adalah kewajipan kepada semua umat Islam. Namun ada ketikanya, sebahagian muslimah mempunyai cuti khas yang tersendiri yang diwajibkan mengasingkan diri daripada melakukan ibadah solat.

Ia jelas dengan permasalahan haid, nifas dan intifadah yang sememangnya menjadi sebahagian daripada kehidupan wanita.

Permasalahan-permasalahan ini melibatkan hukum-hakam yang telah termaktub untuk golongan wanita yang menghadapinya.

Para muslimah seharusnya mengetahuinya berikutan ia mempunyai hubungan langsung dengan menentukan kesahihan dan kerosakan amal ibadat.

Ketahuilah bahawa haid termasuk dalam bab fiqah yang agak sulit apatah lagi yang berkaitan dengan mutahayyirah yang telah menimbulkan kemusykilan dalam kalangan ulama-ulama ternama untuk menyelesaikannya.

Oleh itu, para pentahkikan dalam kalangan fuqaha telah memberikan perhatian terhadapnya. Antara petikan ayat al-Quran yang menerangkan mengenai haid yang harus diketahui untuk tujuan menjaga diri dan tuntutannya dalam menyucikan diri daripada kotoran seperti firman bermaksud: "Mereka bertanyakan kepadamu tentang haid, katakanlah haid ialah satu kotoran, maka jauhilah wanita-wanita pada waktu haid dan janganlah kamu mendekati mereka (jangan menyetubuhi) sebelum mereka suci (sudah habis haid dan sudah mandi wajib), apabila mereka telah suci maka datangilah mereka pada tempat yang diperintahkan oleh Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah 2: 222 )

Dalam proses menyucikan diri, hukum-hakam dan perkara-perkara yang melibatkan persoalan sahnya ibadat muslimah tersebut wajib diambil kira dan diketahui melalui ilmu yang dituntut bagi memberi keyakinan dan kesahihan terhadap ibadat dan amalan yang dilakukan.

Imam Nawawi telah mengumpulkan persoalan mengenai haid dalam kitabnya Syarh al-Muhazzab, satu jilid besar yang mencakupi persoalan berkaitan dengannya.

Beliau menyebut dalam kitab itu, seperti yang diketahui bahawa haid merupakan persoalan yang kerap kali diulang-ulang dan membuahkan hukum-hakam yang sangat banyak seperti hukum taharah, sembahyang, membaca al-Quran, talak, khulu', ila', idah, istibra' dan sebagainya.

Oleh itu, setiap umat Islam wajib mengetahui dan mengambil perhatian dan memperoleh penyelesaian kepada persoalan-persoalan yang berbagai-bagai bentuk serta mentahkikkan supaya dia sentiasa mempunyai pedoman dalam urusannya.

Berikutan daripada persoalan-persoalan tersebut, Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki telah meringkaskan daripada kitab-kitab fiqah ahli ulamak dan imam-imam terdahulu kepada sebuah buku yang bertajuk Darah-darah Haid, Nifas dan Istihadhah yang dikeluarkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd.

Beliau telah mengumpul dan menyusun persoalan-persoalan, perselisihan pendapat, bentuk-bentuk pandangan dan perbandingan antara mazhab tanpa melakukan pentarjihan kecuali sedikit sahaja.

Dalam buku ini juga, terdapat pengenalan istilah-istilah yang digunakan dalam Fiqah Imam Syafi'i. Contohnya adalah seperti Azhar, Mashur, Asah, Sahih, Wajah, Mazhab, Nas, Jadid dan Qadim. Asah dan Sahih merupakan fatwa yang lahir daripada ulama-ulama Syafi'i.

Buku ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana terhimpunnya perselisihan pendapat antara empat mazhab yang ada iaitu mazhab Hanafi, Hambali, Syafi'i dan Maliki.

Keempat-empat mazhab ini banyak membicarakan dan menerangkan hukum-hakam mengenai masalah haid, nifas dan istihadhah berserta persoalan-persoalan yang dihadapi oleh setiap muslimah.

Ia mengandungi huraian yang berkaitan mengenai haid, hukum-hakam berkaitan haid, istihadhah dan hukum-hakamnya, Mutahayyirah yang menggariskan keadaan-keadaan yang terlibat dan ringkasan hukumnya, bab nifas serta hukum-hakamnya dan permasalahan-permasalahan haid yang berlaku.

Melalui buku yang dikeluarkan ini, para muslimah dapat menambah ilmu pengetahuan sebagai persediaan dalam menghadapi saat-saat yang telah ditetapkan dapat dijalani dengan yakin dan penuh ketaqwaan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Tuesday, November 8, 2011

Peranan Tasawuf Dalam Memelihara Identiti Agama di Mesir



Oleh: al-Imam Syeikh ‘Ali Jum‘ah, Mufti Besar Mesir

Terjemah: al-Faqir Mohd. Khafidz Soroni

Sumber: Website Syeikh ‘Ali Jum‘ah

Tasawuf muncul untuk meletakkan para pengikutnya di tengah-tengah isu-isu sosial dan juga politik dalam masyarakat Islam, bukannya supaya mereka hanya duduk secara berasingan jauh daripada isu-isu berkenaan. Bahkan ia menggembleng usaha menyediakan mereka untuk berkhidmat terhadap agama, ummah dan juga tanah air.


Justeru, tasawuf mahupun ahli sufi tidak hanya setakat terhenti pada keadaan berzikir, zuhud dan beribadat secara individu ataupun secara jemaah, bahkan tasawuf telah membentuk institusi-institusi besar yang mempunyai jaringan di seluruh dunia dan berperanan dalam bidang pembangunan, politik serta sosial. Para ahli sufi di sepanjang zaman telah melahirkan para ulama, para pahlawan dan para idola yang mana sejarah Islam terisi dan dipenuhi dengan mereka, berdasarkan kepada populariti mereka yang masyhur dan kecintaan majoriti umat Islam kepada mereka. Mereka tidak mencapai kedudukan dan martabat sedemikian melainkan kerana tauladan dan tingkah laku yang baik menurut manhaj yang lurus lagi kukuh berdasarkan al-Quran dan Sunnah, menghormati para ulama ummah, serta berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan kesatuan mereka.

Oleh itu, mereka tidak menghadkan diri hanya kepada jihad nafsu semata-mata, sepertimana yang didakwa oleh orang yang tidak mengenal mereka, akan tetapi mereka menggabungkan kepada kekuatan tersebut dalam memerangi golongan musuh dan golongan yang zalim. Antara model-model mereka itu ialah Imam al-Ghazali (505H), Muhyiddin Ibn ‘Arabi (638 H), al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam (660 H) dan Imam al-Nawawi (676 H). Manakala dalam satu peristiwa sejarah yang belum jauh, para ahli sufi telah membawa panji-panji revolusi kebangsaan di Mesir dalam menghadapi pemerintah-pemerintah kerajaan Mamalik, di mana Imam al-Dardir (Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir al-Maliki, w. 1201H), seorang tokoh sufi besar telah mengetuai suatu revolusi besar menentang golongan Mamalik sebelum tercetusnya Revolusi Perancis dalam jarak tempoh tiga tahun. Ia telah memaksa golongan Mamalik mengakui bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan, serta berjaya menghalang mereka daripada mengenakan cukai-cukai baru melainkan dengan keputusan rakyat, dengan pengiktirafan penuh terhadap kebebasan dan maruah mereka.

Tasawuf mempunyai dasar-dasar dan prinsip-prinsip yang utama, iaitu: berpegang kepada kitab Allah, dan mengikuti sunnah Rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti/menganiaya, menjauhi maksiat, bertaubat, dan menunaikan hak-hak. Tasawuf terbentuk dengan bersabar atas perintah-perintah dan yakin pada hidayah. Firman Allah Taala:

(وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ) [السجدة:24]

Terjemahan: “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami” [al-Sajdah: 24].


Para ahli sufi telah menyatakan bahawa: Tidak layak untuk memimpin di jalan ahli sufi ini melainkan orang yang luas pengetahuannya dalam ilmu syariat serta mengetahui yang mantuq dan mafhum, yang khas dan ‘am, serta yang nasikh dan mansukh, dan berpengetahuan luas dalam bahasa Arab sehingga mengetahui soal majaz, isti’arah dan lain-lainnya, iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Arif biLlah Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H) dalam mukadimah kitab beliau al-Tabaqat al-Kubra (ms. 5). Beliau juga berkata: Sesungguhnya jalan kaum sufi ini diacuankan di atas al-Quran dan Sunnah sepertimana pengacuanan emas dan permata, maka si-saliknya memerlukan kepada neraca syarak dalam setiap pergerakan dan juga perhentian (Lata’if al-Minan wa al-Akhlaq, 1/2).


Ahli sufi telah berkembang pesat di Mesir atas dasar kesederhanaan dan keseimbangan. Ia telah diringi dengan penubuhan khanqah (ribat atau tempat berhimpun ahli sufi) pertama di Mesir dalam era al-Nasir Salah al-Din al-Ayyubi (532 - 589 H). Maka berkembanglah sesudahnya banyak khanqah dan madrasah sufi di seluruh Mesir. Ia telah berperanan dalam melahirkan murid-murid dan para pelajar yang bersiap sedia dari segi rohani, tarbiah dan juga akhlaknya untuk menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, politik dan sosial yang melanda masyarakat Islam dari semasa ke semasa.


Berpegang dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam, para ahli sufi di Mesir berada jauh daripada sifat melampau batas, mempunyai ciri keseimbangan dan juga jauh dari sikap keterlaluan. Tariqat-tariqat sufi di Mesir ini disatukan oleh suatu ciri khas, iaitu memberi tumpuan terhadap aspek ilmu dan juga akhlak.

Meskipun tasawuf di Mesir memiliki kehidupan rohani yang khusus, namun ia juga memberi pengaruh khusus ke atas banyak aspek kehidupan yang berada di sekelilingnya. Ia menjadi pendorong untuk terus berpegang kepada tasawuf dalam berdakwah kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia turut membantu ahli sufi dengan kuat dalam membentuk identiti agama yang sederhana di Mesir. Kaedah yang digunakannya ialah menyenangkan mesej yang dibawa dan memudahkan penyertaan di bawah panji-panjinya dalam mengharungi pelbagai tribulasi yang dihadapi oleh Mesir dalam tempoh-tempoh masa yang berbeza, di mana rumah-rumah kebajikan, zawiyah-zawiyah dan khanqah-khanqah menjadi tempat perlindungan yang selamat untuk golongan yang tertindas, golongan fakir-miskin dan juga golongan lemah. Pusat-pusat tersebut juga telah menjadi penyuluh agama yang moderat, yang mampu mengeluarkan muslim yang beramal dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya untuk berjihad demi negara dan agamanya. Dari situ, para ahli sufi telah membentuk sebahagian besar suasana agama di Mesir yang bersifat jauh dari ciri-ciri melampau dan keras.

Tasawuf juga berkait dengan mencintai Ahl al-Bayt, mengadakan majlis-majlis mawlid dan halaqah-halaqah zikir yang telah membantu untuk menarik murid-murid mengasihi masjid dan juga Ahl al-Bayt. Ia merupakan satu aspek yang telah menyumbang dalam membangunkan Islam yang sederhana dan juga membentuk identiti agama. Kecintaan ini tidak sekadar dikongsi oleh ahli sufi dan golongan Syiah semata-mata, bahkan semua umat Islam baik ahli Sunnah dan juga golongan Syiah berkongsi sama dalam kecintaan mereka terhadap Ahl al-Bayt r.a.


Ahli sufi telah dan masih terus menjadi fungsi yang aktif dan penting dalam masyarakat Islam di Mesir yang turut mendorong tariqat-tariqat sufi dalam setiap zaman supaya terus berpaksi pada usul-usul tasawuf dan berpegang kuat dengannya, serta kembali kepada peranan utamanya dalam berdakwah kepada Allah dan memimpin masyarakat dari segi agama, sosial dan juga politik, sebagaimana peranannya dahulu di sepanjang sejarahnya di Mesir. Tidak pun memudaratkannya kemunculan beberapa kumpulan dari kalangan orang-orang yang malas dan jahil yang hanya mengaut rezeki di sebalik dakwaan mereka sebagai ahli sufi dan sandaran diri mereka kepadanya. Hakikatnya, jalan tasawuf adalah jelas lagi kukuh yang tidak akan menyimpang dari jalan Allah yang lurus, meskipun menerima serangan golongan yang memusuhinya dan juga tuduhan golongan yang bermotif terhadapnya.

Sumber :http://sawanih.blogspot.com/2011/10/peranan-tasawuf-dalam-memelihara.html