Monday, November 9, 2015

KEWAJIPAN MEMULIAKAN DAN MENCINTAI AHLUL BAIT


Gambar: al-Habib Ali al-Jufri

Ahlul Bait Nabi salla Allahu a’laihi wassalam termasuklah keluarga sayyidina Ali, keluarga sayyidina Ja’far bin Abu Thalib, Keluarga sayyidina ‘Uqail bin Abu Thalib dan keluarga sayyidina al-Abbas.

Golongan Ahlul Bait mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam berasaskan nas-nas daripada Quran dan Sunah. Sebahagian ulama memperuntukkan bab khusus dalam kitab yang mereka karang mengenai kelebihan Ahlul Bait seperti Imam Ibnu Hajar dan Imam as-Suyuthi dalam kitabnya Ihya’ul Mayt fi Fadha’il Ahlil Bait. Sebahagiannya pula menulis kitab khusus mengenai kelebihan Ahlul Bait. Dalam mazhab Syafie, selawat ke atas keluarga Nabi salla Allahu a’laihi wassalam adalah sunah pada tahiyat akhir dan setengah pula mengatakannya sebagai wajib.

Kedudukan Ahlul Bait seperti yang disebutkan di atas adalah merupakan satu kepercayaan dan amalan yang menjadi pegangan umum di kalangan Ahlus Sunah. Oleh yang demikian persoalan mengenai kedudukan Ahlul Bait ini tidak pernah dibangkitkan selama ini. Para Ulamak mengatakan bahawa mencintai Ahlul Bait itu termasuk dalam bab usul Ahli Sunnah wal Jamaah.

Berasaskan daripada kitab-kitab lughah yang muktabar jelas bahawa “Ahlul Bait” bagi seseorang dalam Bahasa Arab bermaksud isteri, anak, menantu dan orang yang sama keturunan dengannya.

Menurut Ibnu Hajar, ayat 33 surah Al-Ahzab menunjukkan kelebihan Ahlul Bait, kerana Allah menyatakan secara khusus keinginan membersihkan mereka daripada dosa atau syak dalam perkara-perkara berkaitan iman, dan juga membersihkan mereka daripada akhlak yang keji. Setengah riwayat mengatakan maksudnya ialah mengharamkan mereka daripada api neraka iaitu dengan ilham daripada Allah kepada mereka untuk bertaubat dan mengekalkan amal soleh.

Dalam sunah Rasulullah salla Allahu a’laihi wassalam terdapat hadis-hadis yang menyatakan kewajipan mengasihi Ahlul Bait dan menjaga kepentingan mereka. Nabi salla Allahu a’laihi wassalam bersabda:
Sesiapa yang kasih kepada Allah pasti dia kasih kepada Al-Quran, sesiapa yang kasih kepada Al-Quran pasti dia mengasihi aku, barangsiapa yang mengasihi aku, pasti dia mengasihi sahabat-sahabat dan kaum kerabatku”. (H.R al-Dailami)

“Kasihlah akan Allah kerana segala nikmat yang dikurniakan kepada kamu, kasihilah aku kerana kasihkan Allah, dan kasihilah keluargaku kerana kasihkan aku.” (diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim)

“Orang yang paling tetap perjalanannya di atas (titian di hari Kiamat) ialah orang yang paling kasih kepada Ahlul Bait aku dan sahabat-sahabatku”.

“Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara, mencitai Nabimu, mencintai Ahli Baitku dan membaca al-Quran.” (Riwayat Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan at-Tabarani)

Berasaskan nas-nas di atas para ulama Ahlus Sunah sependapat mengatakan bahawa kewajipan umat Islam terhadap Ahlul Bait ialah menaruh rasa kasih sayang terhadap mereka, menjaga kepentingan serta berbuat baik terhadap mereka. Inilah ajaran dan pegangan Ahlus Sunah tentang Ahlul Bait. Saidina Abu Bakar mengatakan :
“Sesungguhnya menghubungkan kerabat Rasulullah s.a.w lebih aku kasihi daripada kerabat aku sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)

Qadi ‘Iyadh berkata:
“Hadis –hadis yang lalu menunjukkan wajib mengasihi Ahlul Bait dan haram yang sangat berat jika membenci mereka”. Ini juga adalah pendapat Baihaqi, Baghawi dan lain-lain, malah imam Syafie telah menyatakan dengan jelas tentang hukum ini dengan katanya:
“Wahai Ahlul Bait Rasulullah! Sesungguhnya kasihkan kamu adalah fardu yang diturunkan Allah di dalam Al-Quran”.

Imam Syafie sangat terkenal dengan kecenderungan dan kasihnya kepada keturunan Saidina Ali r.a sehingga beliau dituduh sebagai Syiah atau Rafidhah. Menjawab tuduhan tersebut, beliau dengan tegas menyatakan:
“Sekiranya kasihkan keluarga Muhammad salla Allahu a’laihi wassalam itu sebagai Rafidhah, maka biarlah jin dan manusia menyaksikan bahawa saya seorang Rafidhah”. (Riwayat Muslim)


Sumber: “Ahlul Bait Menurut Pandangan Sunah dan Syiah”; Datuk Haji Wan Zahidi Bin Wan The (Matan Mufti Wilayah Persekutuan). “Khilafiah: Persoalan & Penjelasan”; Muhadir bin Haji Joll.

1 comment:

JJ said...

Assalaamualaikum wbt
Alhamdulillaah jzkk atas perkongsian ilmu mohon share dalam pelbagai cara
Moga diterima sebagai amal soleh Aamiin Allahumma Aamiin