Thursday, July 3, 2014

MASALAH BERKAITAN DUA KALI WITIR DAN QADHA WITIR



Fatwa Syekh Athiyyah Shaqar

Abu Daud, an-Nasa‟i dan at-Tirmidzi meriwayatkan dalam sebuah hadits hasan, sesungguhnya Ali ra berkata, “Saya mendengar Rasulullah Saw bersabda: “Tidak ada dua Witir dalam satu malam”.
Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmidzi meriwayatkan dari Ummu Salamah, “Sesungguhnya Rasulullah Saw melaksanakan solat dua rakaat setelah solat Witir, beliau melaksanakan dalam keadaan duduk”.

Para ulama berpendapat, siapa yang melaksanakan solat Witir setelah solat Isyak, kemudian dia ingin melaksanakan Qiyamullail, maka dia boleh melaksanakan solat malam sebanyak mungkin, akan tetapi tidak boleh lagi melaksanakan solat Witir, kerana dia telah melaksanakan solat Witir sebelumnya.
Sebagaimana diketahui bahawa solat Witir dapat dilaksanakan pada waktu malam, setelah solat Isyak hingga terbit fajar (solat Shubuh). Jika seseorang khawatir tertinggal melaksanakan solat Witir, maka dianjurkan agar dia melaksanakannya di awal malam. Berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah:

“Siapa yang khawatir tidak terbangun di akhir malam, maka hendaklah ia melaksanakan solat Witir di awal malam. Siapa yang sangat ingin bangun tengah malam, maka hendaklah dia melaksanakan solat Witir di akhir malam, kerana solat di akhir malam itu disaksikan (para malaikat) dan itu lebih utama”.

Ketika Rasulullah Saw bertanya kepada Abu Bakar ra, “Bila kamu melaksanakan solat Witir?”. Beliau menjawab, “Di awal malam, setelah solat Isyak.” Ketika Rasulullah Saw bertanya kepada Umar ra, dia menjawab, “Di akhir malam”. Rasulullah Saw berkata, “Adapun engkau wahai Abu Bakar, engkau bersikap hati-hati. Sedangkan engkau wahai Umar, engkau bersikap kuat”. Maknanya tekad yang kuat untuk bangun melaksanakan Qiyamullail. 
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, dinyatakan sohih oleh Imam al-Hakim, menurut syarat Muslim. 
Jika solat Witir tertinggal, maka dapat diqadha’, demikian menurut jumhur ulama, berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, dinyatakan sohih oleh al-Hakim, menurut syarat al-Bukhari dan Muslim: “Apabila salah seorang kamu bangun pada waktu subuh, dan dia belum melaksanakan Witir, maka hendaklah dia melaksanakan solat Witir”. 
Abu Daud meriwayatkan:“Siapa yang tertidur (hingga tidak melaksanakan) solat Witir, atau terlupa. Maka hendaklah dia melaksanakannya ketika dia mengingatnya”. Sanadnya sohih, demikian dinyatakan oleh al-Iraqi.

Waktu mengadha’ solat Witir adalah terbuka, malam atau pun siang, demikian menurut Imam Syafi‟i. Imam Abu Hanifah pula melarang pelaksanaannya pada waktu-waktu terlarang untuk melaksanakanya. Imam Malik dan Ahmad berkata, “Diqadha’ setelah fajar, selama belum melaksanakan solat Shubuh”.

Sumber: Fatawa al-Azhar, juz. IX, hal. 154 [Maktabah Syamilah], somadmorocco.blogspot.com

No comments: