Tuesday, June 3, 2014

TIGA BULAN YANG MENGUNTUNGKAN


Daripada Uthman bin hakim al-Ansari, beliau(Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubair tentang puasa rejab. Said menjawab: “Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: “Adalah Rasulullah saw berpuasa (Rejab) sehingga kami menyangka Baginda saw tidak berbuka (berterusan) dan Baginda saw berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (HR. Muslim)

Imam Nawawi menyatakan bahawa, apa yang zahir dari ucapan Said bin Jubair itu menjadi bukti bahawa tiada tegahan berpuasa padanya(rejab) kerana bulan berkenaan. Tidak ada larangan (thabit) untuk melakukan ibadat puasa pada bulan rejab, dan tidak pula sunat kerana bulannya. Yang di sunatkan adalah kerana kesunnahan ibadat puasa itu.

Daripada Atha’, Urwah bin Zubair bertanya kepada Abdullah bin Umar: “Adakah Rasulullah saw berpuasa bulan Rejab?” Beliau menjawab: “Ya, dan Baginda saw melebihkannya.” Kemudian Ibnu Umar mengulangnya sebanyak tiga kali.
(HR. Abu Dawud dan lain-lainnya)

Daripada Usamah bin Zaid berkata: Aku bertnya: “Wahai Rasulullah, saya tidak pernah melihat Tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan seperti mana Tuan berpuasa pada bulan sya’aban?” Baginda saw menjawab: “Itulah bulan (Bulan sya’ban) yang lalai manusia daripadanya yang berada diantara Rejab dan Ramadhan. Dan ialah bulan(Sya’ban) yang diangkat dalamnya semua amal ke hadrat Rabbil ‘alamiin. Dan aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa.”
(HR. an-Nasa’i dan disohihkan oleh Ibnu Khuzaimah)

Dapat difahami dari hadis ini bahawa ramai orang sibuk dengan ibadat pada bulan Rejab dan Ramadhan sehingga kadang-kadang terlupa bulan Sya’aban. Ini menunjukkan bulan Rejab, Sya’aban dan Ramadhan telah menjadi bulan yang diperbanyakkan amalan.

No comments: