Saturday, September 25, 2010

Menumpang Di Atas Kapal Yang besar Bhg 2



Maka siapa yang dapat memperkenalkan kita cara dan peraturan yang betul kalau bukan Ulamak. Ulamak menguasai ilmu Al-Quran, menghafal beribu hadis dan khilaf dari kalangan para sahabat nabi ada dalam minda mereka. Jika kita diberi kapal terbang untuk ke suatu tempat, maka biarlah kapal itu diterbangkan oleh juruterbang dan orang yang mempunyai keupayaan atau kepakaran dalam menerbangkan pesawat dan kita hanya menjadi penumpang sahaja. Begitu juga dalam beribadat, biarlah panduan, cara dan peraturan dalam ibadah diambil dari Al-Quran dan Hadis oleh para Ulamak dan kita hanya menjadi penumpangnya.

Oleh itu, seseorang itu tidak akan mampu berijtihad dengan hanya berpanduan terus dari Al-Quran dan Hadis kerana setiap orang tidak akan mampu menjadi juruterbang. Ini kerana, telah menjadi sunnatullah bahawa setiap manusia itu tidak mungkin sama sekali sama dari segi ilmu, keupayaan dan kepakaran. Manusia mempunyai ciri-ciri, sifat, dan kelakuan yang berbeza-beza, inilah keunikan pnciptaan dan kebesaran Allah. Dengan perbezaan ini akan mewujudkan interaksi, hubungan, dan saling melengkapi antara manusia.

Bukan semua orang mampu menjadi juruterbang, pasti ada yang menjadi penumpang, penbina kapal dan orang yang mentadbir. Bukan semua mampu menjadi alim dan bergelar Tuan guru, pasti ada yang menjadi anak murid dan penuntut. Maka orang yang tidak mempunyai kepakaran akan bertanya kepada orang yang ada kepakaran, bertanya kepada orang yang mengetahui jika kita tidak menetahui, seperti mana firman Allah “Tanyalah kepada ahli zikir”, iaitu ahli ulamak.

Seseorang yang ingin beribadah, dia akan bertanya kepada orang yang tahu bagaimana untuk beribadah. Tindakan ini bukanlah bermakna dia menafikan atau tidak menjadikan alQuran dan Hadis sebagai panduan, tetapi kerana perbezaan dan kepelbagaiaan manusia itu tidak memungkinkan agar dia mempelajari ilmu agama atau tidak dapat memahami apa yang sebenarnya dikehendaki oleh tuntutan agama.

Selayaknya Ulamak menjadi tempat kita bertaklid dan mengikut, ini kerana mereka mempunyai takwa kepada Allah yang tinggi, dilengkapi dengan zuhud dan tawadhuk, kesabaran, warak. Seperti imam Abu hanifah, dengan warak, keilmuan dan zuhudnya. Imam malik yang tidak pernah dalam keadaan berhadas ketika meriwayatkan Hadis-hadis Rasulullah, tidak mengampu pemerintah yang sangat berkuasa pada ketika itu, beribadah dengan pakaian yang sentiasa bersih, tawadhuk.

Kehebatan Ulamak-Ulamak terdahulu berbanding dengan kita di zaman moden di mana cara pkaian dan cara hidup yang tidak mengenal sunnah, begitu jauh bandingannya dengan kita sekarang, malahan ada diantara kita dizaman sekarang dengan hanya mendapat beberapa gelaran telah begitu berani bertindak menyalahkan ulamak-ulamak terdahulu. Seperti mana digambarkan di dalam sebuah hadis Nabi tentang terjadinya peristiwa akhir zaman di mana orang-orang yang di akhir zaman bertindak menyalahi orang-orang yang terdahulu.

Kita tidak taklid dan mengikut secara membuta, fanatik dan tidak menganggap Ulamak terdahulu maksum dan tidak terlepas dari kesalahan, tetapi kemungkinan mendapat kebenaran itu adalah lebih seribu kali ganda lebih besar dari mendapatkan kebenaran dari orang zaman sekarang.

Secara kesimpulannya, kita wajib bermazhab kerana orang yang tidak tahu mesti bertanya dan mengikut dari orang yang berilmu dan tahu kemana mahu membawanya pergi kearah kebenaran.

No comments: