Thursday, December 10, 2009

Kisah Taubat Malik Ibn Dinar




Diriwayatkan oleh Ibnu al Jauzi di dalam kitabnya al Tawwabin, daripada Malik ibn Dinar, bahawa beliau ditanya tentang sebab beliau bertaubat, maka katanya:

Semasa aku menjadi seorang anggota polis, aku telah berkahwin dan mendapat seorang anak perempuan yang amat aku sayangi. Namun, apabila umurnya telah genap dua tahun, anakku yang amat aku sayangi telah meninggal dunia. Kematiannya menyebabkan aku dirundung kesedihan.

Suatu malam, bertepatan malam nisfu sya’ban dan malam jumaat, aku bermimpi seolah-olah hari kiamat telah berlaku, ditiup sangka kala, mayat-mayat dibangkitkan dan semua makhluk dibangkitkan. Semasa aku berkumpul bersama mereka, tiba-tiba aku mendengar suatu suara di belakangku, lalu aku pun menoleh kearah suara tersebut. Alangkah terperanjatnya, apabila aku mendapati seekor ulat naga yang sangat besar dan berwarna hitam kebiru-biruan sedang membuka mulutnya dan dengan tangkas menuju kearahku. Aku berlari lintang pukang dan penuh ketakutan untuk menyelamatkan diri.kemudian aku menemui seorang tua ketika aku melalui jalan. Dia memakai baju yang bersih dan begitu harum. Aku memberi salam kepadanya lalu dia menjawab salamku.
“wahai tuan! Selamatkanlah aku dari ular ini, moga Allah akan menyelamatkan kamu pula,” kataku kepadanya.

Orang tua itu sambil menangis berkata, “aku terlalu lemah, sedangkan ular itu lebih kuat dariku. Pergilah kamu dengan segera. Mudah-mudahan Allah akan menemukan kamu dengan orang yang akan menyelamatkan kamu dari ular itu.”
Aku pun terus berlari dan mendaki sebuah tempat yang tinggi sehingga neraka berada di hadapanku. Hampir-hampir aku jatuh kedalamnya kerana terlalu takut. Kemudian aku mendengar suatu teriakan, “kembalilah kamu kerana kamu bukan dari kalangan ahli neraka”.

Aku merasa tenang mendengar kata-kata itu dan kembali semula. Aku kembali kepada orang tua tadi dan berkata,”Wahai orang tua! Aku benar-benar meminta pertolongan agar kamu menyelamatkan aku daripada ular itu, tetapi kamu tidak menolongku”.
Orang tua itu sambil menangis berkata, “sesungguhnya aku terlalu lemah. Pergilah kamu kebukit sana kerana di dalamnya terdapat barang-barang peninggalan kaum Muslimin. Jika barang kamu berada di dalamnya ia akan memberikan pertolongan kepadamu”.

Aku memandang kearah bukit yang dikatakannya. Bukit itu dikelilingi oleh perak, di dalamnya terdapat pintu-pintu gerbang dengan tabir. Lalu aku pun berlari kearah bukit itu. Ular itu masih mengekoriku sehinggalah aku berada hampir dengan bukit itu, aku mendengar sebahagian malaikat berteriak, “angkatlah tabir! bukalah pintu dan lihatlah! Moga-moga ada di antara kalian yang menjadi barang simpanan kepada orang yang berputus asa ini dan dapat menyelamatkannya dari musuhnya.”

Setelah pintu-pintu dibuka, aku melihat terdapat kanak-kanak yang bercahaya seperti bulan purnama. Ular tadi makin menghampiriku dan aku menjadi bingung.

Kemudian aku terlihat anak perempuanku, sambil menangis dia berkata kepadaku, “babaku, demi Allah.” Kemudian dia datang kepadaku dan berada di sisiku. Kemudian dia pun menghalau ular itu dengan tangan kanannya dan ular itu pun lari. Dia duduk di ribaku dan mengusap janggutku, lalu dia membaca sepotong ayat al-Quran,
“belum sampaikah lagikah masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah.” [al-Hadid: 16]

Aku menangis dan berkata, “wahai anakku! Kamu semua mengetahui al-Quran?
“kami lebih mengetahuinya daripada kamu”katanya…

Tanyaku,”beritahulah tentang ular yang ingin membinasakan aku tadi,
Jawabnya, “itulah amalan burukmu yang telah kamu berikan kekuatan kepadanya dan dia hendak menengelamkan kamu kedalam api neraka jahannam.

“siapa pula orang tua yang aku lihat tadi?” tanyaku lagi..
Jawanya,”dia ialah amalan solehmu yang telah kamu lemahkan sehingga dia tidak mampu untuk menewasklan amalan burukmu itu.”

Aku bertanya lagi,”wahai anakku! Apa yang kamu lakukan di dalam bukit ini.?”
Jawanya, ”anak-anak kecil kaum muslimin diletakkan disini sehingga hari kiamat untuk menunggu kalian supaya datang kepada kami dan kami akan memberikan pertolongan kepada kalian.”

Malik ibn Dinar berkata,”maka akupun terjaga. Mulai saat itu, aku meninggalkan semua perkara yang melalaikan dan perkara-perkara maksiat. Aku berjanji pada diriku untuk bertaubat kepada Allah dan Allah telah menerima taubatku.”

Sumber: Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban, Al Muhaddith Al Hafiz Syeikh Salim Al Sanhuri Al Maliki.

No comments: