Wednesday, December 9, 2009

Agamamu Dalam Bahaya

Di dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud,
“perpaduan umat islam laksana satu tubuh badan. Apabila salah satu anggota tubuh badan sakit, bahagian yang lain turut merasa sakit dan sama-sama berjaga malam.”




Di dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud,
“pada akhir zaman, umatku berpecah pada 73 golongan. Daripada 73 golongan itu hanya satu golongan diterima Allah, iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

Berdasarkan hadis tersebut sudah cukup bagi kita untuk berfikir betapa umat islam diingatkan dengan keras agar jangan berpecah belah. Hadis itu juga mengingatkan kita supaya bersatu padu dan menjaga perpaduan.

Melalui hadis yang kedua itu, umat islam diingatkan supaya kembali bersatu ke dalam golongan yang diterima oleh Allah s.w.t, iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah jika berlaku perpecahan.
Kini perpecahan umat Islam semakin hari semakin tenat. Wujudnya pelbagai aliran pemikiran dan gerakan. Timbulnya Islam liberal, Islam Plural, anti hadis, Islam Sekular, Wahabiah/salafi, syiah dan aliran-aliran pemikiran yang banyak terpesong dari nilai Sunnah sebenar.

Walaupun ada antara aliran ini sudah hidup agak lama, tetapi di Malaysia keadaannya semakin meruncing. Persamaan antara aliran-aliran ini ialah mereka cuba membawa satu gerakan dengan bertujuan melakukan perubahan dalam pemikiran umat Islam. Bagi mereka, gerakan mereka itu adalah sebagai mensucikan kembalikan agama Islam. Dalam mereka tidak sedar mereka telah meniup angin perpecahan dan menyesatkan orang yang tidak tahu.

Pendapat mereka yang ketara ialah ingin melakukan perubahan kerana telah berlaku banyak kesilapan dalam amalan Islam sebelum ini. Maka berlakulah tindakan mentafsir semula ayat al-Quran dan hadis, menolak hadis kerana hanya berpandukan pada al-Quran, menyamakan semua agama dengan agama Islam, mengkafirkan para Sahabat Nabi s.a.w dan para ulamak tabi’ dan tabi’in serta ahli sunnah Wal Jamaah secara keseluruhannya, mengasingkan agama dari sistem kehidupan yang lain seperti politik dan ekonomi.

Terdapat pula golongan yang merendahkan ulamak-ulamak terdahulu, mengatakan ulamak silam telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan fatwa, merendahkan ulamak dari pengajian pondok, mempertikaikan amalan-amalan yang telah sekian lama diamalkan oleh ulamak terdahulu, lebih parah lagi apabila mereka menuduh amalan yang diamalkan ulamak terdahulu sebagai syirik, bid’ah dan tidak ada landasannya dalam syariat Islam.

Mari kita kembali bersatu dengan merendah diri mengatakan diri kita sebenarnya masih terlalu rendah tahap ilmu kita, apa yang kita tidak tahu dan tidak faham, segeralah kita bertanya pada orang yang tahu. Jangan kita menuduh orang lain salah atau perbuatannya sesat tanpa kita bertanya terlebih dahulu. Sesungguhnya, Islam yang sebenar itu adalah dengan ulamak-ulamak sebelum kita, ulamak itu bersambung kepada Tok Guru-tok guru mereka yang terus bersambung kepada para Sahabat Nabi s.a.w dan sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. marilah sama kita merenungi sebuah hadis Nabi s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud,
“Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali -Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.”
[Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim. Daripada Abu Hurairah r.a.]

No comments: