Friday, June 3, 2016

KONSEP QARD HASAN


Penggunaan konsep qard hasan dengan maksud pemberian yang tidak perlu dibayar semula dan pembiayaan berasaskan qard hasan tidak begitu menepati keperluan institusi kewangan kerana tujuan qard hasan bukan untuk keuntungan, sebaliknya ia bersifat tabarru` atau kebajikan.

Oleh itu penggunaan prinsip qard hasan dalam produk pembiayaan dikhuatiri bertentangan dengan maksud sebenar qard mengikut Syarak. Oleh itu perkataan “hasan” hendaklah digugurkan daripada istilah “qard hasan” bagi menggambarkan bahawa qard yang diberikan perlu dibayar semula oleh peminjam kepada pemberi pinjaman atau pembiaya dan tanggungjawab ini akan ditanggung oleh waris peminjam sekiranya peminjam meninggal dunia sebelum beliau sempat melunaskan kesemua jumlah hutangnya.

Secara umumnya, qard hasan membicarakan perihal pemberian infak ke jalan Allah SWT dan Perkataan “hasan“ jika dirujuk kepada al-Quran memberi maksud infak yang diberikan secara ikhlas dan hanya mengharapkan ganjaran Allah SWT.


Disimpulkan bahawa penggunaan istilah qard hasan tidak tepat bagi merujuk kepada sesuatu pinjaman dalam konteks mua`malah. Ini kerana berdasarkan definisi qard oleh para ulama fiqah, sesuatu pinjaman(qard) hendaklah dilunaskan. Oleh itu, istilah qard dilihat lebih bertepatan dengan pinjaman tanpa faedah yang dipraktikkan oleh industri kewangan Islam semasa.

Sumber: Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, Edisi kedua; Bank Negara Malaysia

No comments: