Tuesday, April 12, 2016

NOTA AKIDAH - CARA MENGENAL ALLAH, IMAN DAN ISLAM



WAJIB MENGENAL ALLAH TA'ALA
Awal agama adalah makrifah (mengenal) Allah

Wajib makrifah dan cukup syarat dengan hanya taklid (yakin tanpa tahu dalil) akan sahnya Iman. Mengenal Allah itu dengan mengenal sifat-sifat Allah, bukan mengenal zat (diri) Allah ini krn tiada siapa dpt mengenal zat Allah.


"Janganlah kamu berfikir tentang Zat Allah tp berfikirlah tentang ciptaan Allah. " (HR. Abu Nu'aim)


CARA MENGENAL ALLAH TA'ALA
Mengenal Allah ta'ala adalah dengan cara berfikir, mengkaji, melihat ciptaan alam ini bermula dengan melihat ciptaan pada diri sendiri kemudian ciptaan di langit dan bumi.

Maksud melihat ialah mendapatkan sesuatu melalui mata.

Maksud berfikir ialah gerakan jiwa pada suatu yang dapat difahami.

Terciptanya alam ini adalah dalil/bukti akal bahawa ada Pencipta yang Maha Agong iaitu Allah ta'ala.


ALAM SEMESTA
Alam ini telah diciptakan tanpa ada contoh sebelumnya, bermakna sebelumnya ia tiada dan kemudian wujud dan akan binasa pada suatu hari nanti, maka sifatnya adalah baharu (berubah-rubah). Alam ini sifatnya jirim dan jisim dan boleh binasa/musnah, bagi setiap perkara yang boleh berubah dan boleh musnah bermakna adanya Pencipta baginya iaitu Allah ta'ala yang bersifat sedia ada tanpa ada permulaan dan pengakhiran(Qidam) serta tidak akan binasa (Baqa).


IMAN
Iman adalah membenarkan, mempercayai, meyakini ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw di hati kemudian menzahirkannya dengan ucapan dan amalan.

Menzahirkan dengan ucapan adalah dengan mengucapkan kalimah syahadah kecuali bagi orang yang bisu. Orang yang bisu boleh guna bahasa isyarat untuk menzahirkan keimanannya.

Sah iman anak-anak orang Islam tanpa mengucap, dan bagi anak-anak orang kafir (secara keturunan) disyaratkan mengucap.


IMAN MENINGKAT DAN BERKURANG
Iman boleh meningkat dan berkurang disebabkan oleh amalan. Amalan menyempurnakan iman. Jika iman tidak berubah maka iman orang soleh adalah sama dengan iman pelaku maksiat, ini adalah mustahil. Manakala Iman malaikat tidak berubah. Yang berubah-rubah adlh iman manusia dan jin.


ISLAM
Maksud Islam ialah patuh, taat, tunduk. Iaitu taat dan patuh pada semua ajaran Nabi saw. Islam berbeza dengan iman tetapi ia saling melazimi iaitu tanda keimanan adalah dengan Islam dan tanda Islam adalah dengan keimanan. Islam itu menyatakan / menzahirkan keimanan.

Iman tanpa Islam: Iman tanpa Islam menjadikan seseorang fasik sebagai contoh orang yang beriman tetapi tidak menunaikan solat.

Islam tanpa iman: Islam tanpa iman menjadikan seseorang tergolong dalam golongan munafik iaitu orang yang zahirnya Islam tetapi hatinya kufur, sebagai contoh dapat lihat seseorang itu menunaikan solat tetapi hatinya tidak beriman.


No comments: