Monday, August 15, 2011

MASALAH BERKAITAN DENGAN SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH


Solat Tarawih disyariatkan khusus pada bulan Ramadhan. Ia sunat dilakukan secara berjemaah namun tetap sah dilakukan bersendirian. Solat ini dinamakan Tarawih kerana mereka yang melakukannnya akan berhenti rehat setiap kali selesai empat rakaat. Solat ini juga dinamakan ‘ibadat malam Ramadhan’ (قيام رمضان)

Solat Tarawih ialah sebanyak 20 rakaat. Ia dilakukan pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan dengan cara setiap dua rakaat sekali salam. Waktu melakukannya adalah antara solat Isyak dan solat Subuh sebelum melakukan solat Witir.

Solat Tarawih tidak sah sekiranya dilakukan empat rakaat sekali salam kerana bertentangan dengan cara yang disyariatkan. Oleh itu, ketika berniat hendaklah ditentukan niat dua rakaat solat Tarawih atau qiam Ramadhan, dan solat tidak sah sekiranya diniatkan solat sunat sahaja.


Nama Solat Tarawih

Ketika Rasulullah SAW masih hidup, solat ini dinamakan “Solat mendirikan malam bulan Ramadhan” bukan dinamakan solat sunat Tarawih begitu juga di zaman Sayidina Abu Bakar RA. Nama ‘Tarawih’ hanya wujud di zaman Sayidina Umar RA.

Perkataan “Tarawih” berasal daripada kata “Rawwaha”, yang ertinya berehat. Ibn Manzur dalam kamus Lisan al-Arab berkata, perkataan “Tarawih” adalah kata jamak dari

“Tarwihah” yang ertinya sekali berehat. Maka dinamakan solat itu solat Tarawih kerana setiap 4 rakaat solat (iaitu dua rakaat-dua rakaat), disunatkan berehat kemudian diikuti dengan 4 rakaat berikutnya. Begitulah seterusnya sehingga habis bilangan rakaatnya.

Terdapat pandangan yang menyatakan, ia diambil daripada kalimah marawihah yang memberi maksud berulang-ulang dalam perbuatan sebagaimana pendapat Ibn Muflih.

Dalil Pensyariatan Solat Tarawih

Semua kenyataan yang tersebut adalah berdasarkan kepada beberapa hadis.

Pertama: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun beribadat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

Kedua: Hadis seterusnya dari Aisyah R.Anha pada suatu malam, Nabi SAW bersolat di masjid lalu diikuti oleh orang ramai. Pada malam yang berikutnya, Baginda bersolat lagi dan jemaah semakin ramai. Pada malam yang ketiga atau keempat orang ramai telah berkumpul, namun Baginda tidak kunjung tiba. Menjelang pagi Baginda bersabda yang bermaksud: “Aku tahu apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak datang semata-mata kerana bimbang solat tersebut difardukan atas kamu.”

Peristiwa tersebut berlaku dalam bulan Ramadhan.

Ketiga: Hadis daripada Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: “Pada malam bulan Ramadhan, aku pergi ke masjid bersama-sama Umar bin al-Khattab. Terdapat orang ramai berkelompok-kelompok, Ada yang bersolat sendirian dan ada pula yang bersolat berjemaah dengan kumpulan-kumpulan yang kecil. Umar berkata: Aku fikir alangkah baik jika aku kumpulkan mereka mengikut seorang qari sahaja sebagai imam. Lalu Umar pun berusaha mengumpulkan mereka supaya berimamkan Ubay bin Ka’ab. Pada suatu malam yang lain, aku keluar lagi bersama-samanya sedangkan kesemua orang ramai mengerjakan solat berjemaah dengan seorang imam sahaja. Umar berkata: Alangkah baiknya perbuatan bid’ah ini, namun orang yang tidur untuk bangun bersolat pada akhir malam adalah lebih baik daripada mereka yang mengerjakannya sekarang. Orang ramai ketika itu memang mengerjakan solat tersebut pada awal malam.”

Keempat: Dalam satu riwayat mengatakan: “Pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab RA orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat.”

Kelima: Di dalam satu riwayat yang lain pula menyatakan: “Pada zaman pemerintahan Umar orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 23 rakaat.”

Imam al-Baihaqi menyelaraskan kedua-dua riwayat tersebut bahawa maksud tiga rakaat lagi dalam riwayat yang kedua ialah solat Witir.

Hukum Solat Tarawih
Hukum solat Tarawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Inilah pendapat mazhab Hanafi, al-Syafie, Hanbali dan sebahagian Maliki. Hukum sunat ini termasuk bagi lelaki dan wanita. Solat Tarawih termasuk dalam menegakkan syiar agama yang zahir lagi nyata.

Mengikut riwayat Asad bin Amr daripada Abi Yusuf katanya: Aku bertanya Abu Hanifah tentang solat Tarawih dan apa yang dilakukan oleh Umar. Jawabnya: Solat Tarawih hukumnya sunat muakkad dan Umar tidaklah berbohong dan beliau bukanlah ahli bid’ah. Dia tidak menyuruh dengannya kecuali terdapat asal atau dalil disisinya dan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Sesiapa yang mendirikannya akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda tetapi tidak berdosa jika tidak mengerjakannya. Secara terperincinya, hukum solat Tarawih adalah seperti berikut:
Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan hukum solat Tarawih. Solat Tarawih adalah solat sunat yang hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja.

Pertama: Mengikut riwayat daripada Abu Hanifah, solat Tarawih hukumnya sunat muakkad.

Kedua: Mazhab Maliki pula berpendapat, hukumnya daripada Nawafil yang muakkadah.

Ketiga: Ulama al-Syafie berpendapat, sunat terbahagi kepada dua. Bahagian yang disunatkan berjemaah, antaranya solat Tarawih.

Keempat: Imam al-Tahawi berkata: Hukumnya wajib.


Hukum Solat Tarawih Berjemaah

Sepakat ulama disyariatkan solat Tarawih berjemaah kerana perbuatan Nabi SAW dan para sahabat dan siapa yang mengikuti mereka sejak zaman Umar RA. Ulama khilaf berkenaan dengan hukum dilakukan secara berjemaah kepada beberapa pendapat.

Pertama: Hanafiah berpendapat sunat Kifayah, mengikut pendapat yang asah.

Kedua: Ulama Maliki berpendapat sunat solat Tarawih di rumah jika tidak berlaku kepincangan atau tiada solat di masjid.

Ketiga: Ulama Syafie berpendapat, sunat berjemaah mengikut pendapat yang asah. Inilah juga pendapat yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah.

Keempat: Ulama Hanbali berpendapat, sunat berjemaah dan lebih afdhal dilakukan seorang diri. Ibn Qudamah berkata: Dan pendapat yang dipilih di sisi Abi Abdillah iaitu Imam Ahmad adalah afdhal dilakukan secara berjemaah.

Walaupun begitu, dinisbahkan kepada Imam al-Syafie, bahawa solat Tarawih secara bersendirian tanpa jemaah lebih afdhal seperti yang dinyatakan oleh al-Imrani dalam al-Bayan.

Sejarah Solat Tarawih
Maka disebabkan oleh kelebihannya yang amat besar itu, Nabi SAW menggalakkan umatnya menghidupkan bulan Ramadhan dengan beramal ibadat seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan malam bulan Ramadhan (dengan amal ibadah) kerana percaya dengan janji Allah dan ikhlas untuk mendapat pahala kerana Allah, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ijmak ulama feqah dan ulama hadis menyatakan bahawa Nabi SAW ialah orang pertama yang mengerjakan solat Tarawih di masjid bersama para sahabat. Tetapi ia hanya berlaku selama dua malam kerana pada malam-malam berikutnya Baginda tidak keluar daripada rumahnya.

Hal ini diceritakan oleh Aisyah R.Anha: “Pada suatu malam (malam pertama) Nabi SAW bersolat di masjid bersama sahabat-sahabat, pada malam kedua makin ramai, kemudian pada malam ketiga atau malam keempat, mereka berhimpun beramai-ramai menunggu Nabi, tetapi Nabi tidak keluar daripada rumahnya, maka apabila tiba waktu pagi, Nabi SAW bersabda kepada sahabat-sahabatnya: “Sesungguhnya aku nampak dan aku tahu apa yang kamu lakukan, maka tiada perkara yang menegah aku daripada keluar untuk bersolat bersama kamu di masjid melainkan kerana aku takut bahawa ia difardhukan ke atas kamu. Perkara ini berlaku di bulan Ramadhan.” Riwayat Muslim

Al-Qalyubi berkata: “Ini menunjukan bahawa solat Tarawih tidak disyariatkan melainkan pada akhir tahun hijrah kerana tiada kedapatan bahawa Rasulullah SAW telah solat kali keduanya dan juga tidak berlaku pertanyaan.

Kemudian pada zaman Khalifah Umar RA, beliau melihat ramai para sahabat yang solat Tarawih pada malam Ramadhan berseorangan, lantas beliau mengemukakan pendapat: “Alangkah baiknya jika dikumpulkan mereka dengan satu imam sahaja.” Kemudian dilantik Ubay bin Ka’ab RA untuk menjadi imam. Riwayat juga menyebut bahawa Sayidina Umar RA yang memulakan dua puluh rakaat sepertimana dalam hadis.

Setelah kewafatan Baginda, Sayidina Abu Bakar RA bersama para sahabat mengerjakan solat Tarawih secara bersendirian. Hanya segelintir sahaja yang mengerjakan secara berjemaah di masjid. Kemudian apabila Sayidina Umar bin al-Khattab RA memegang jawatan khalifah, beliau menghimpunkan satu jemaah solat Tarawih dengan diimamkan oleh Ubay bin Ka’ab.

Imam Ibn Abd al-Bar berkata: “Sayidina Umar bin al-Khattab RA tidak menyuruh sembahyang Tarawih melainkan Baginda SAW mengetahui perbuatan itu disukai oleh Rasulullah SAW, manakala yang ditegah oleh Rasulullah SAW dari bersolat Tarawih beramai-ramai adalah kerana Rasulullah SAW takut ia akan menjadi kefardhuan kerana Rasulullah SAW amat kasihan kepada orang-orang yang beriman.”

Setelah Sayidina Umar RA mengetahui yang demikian itu adalah dari Rasulullah SAW dan mengetahui bahawa perkara fardhu tidak bertambah dan tidak akan berkurang setelah Rasulullah SAW wafat, maka Sayidina Umar RA pun menghidupkan malam Ramadhan dengan solat Tarawih dan menyuruh umat Islam melakukannya pada tahun ke-14 Hijrah.

Ini merupakan suatu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya yang mana tidak dikurniakan kepada Sayidina Abu Bakar RA sekalipun Sayidina Abu Bakar RA lebih afdhal dan lebih utama dalam setiap perkara kebajikan: “Setiap kedua-duanya mempunyai kelebihan yang tersendiri dan Sayidina Ali RA bersetuju dan berkata baik kepada perbuatan Sayidina Umar RA dan memuji-muji akan kelebihannya seraya berkata: “Sayidina Umar cahaya bulan Ramadhan.”

Demikianlah secara ringkas apa yang dikatakan oleh Imam Ibn Abd al-Bar. Hal ini disebutkan dalam satu riwayat sebagaimana berikut: “Daripada Abdul Rahman bin Abdul Qariy, bahawasanya dia berkata: “Pada suatu malam di bulan Ramadhan, aku keluar ke masjid bersama Sayidina Umar Ibn al-Khattab. Didapati bahawa ramai orang yang mengerjakan solat Tarawih secara berasingan dan ada yang mengerjakan secara berjemaah dengan satu imam secara berkelompok.”

Lalu Sayidina Umar berkata: “Aku berpendapat, sekiranya aku himpunkan mereka ini mengerjakan solat dengan satu imam, sesungguhnya ia adalah terlebih afdhal dan terlebih dekat kepada kebaikan. Kemudian Sayidina Umar berazam dan menghimpunkan mereka itu bersolat di belakang Ubay bin Ka’ab. Kemudian pada satu malam yang lain, aku keluar bersam Sayidina Umar ke masjid dan kami melihat orang ramai mengerjakan solat Tarawih secara berimam kepada seorang imam (Ubay bin Ka’ab). Lalu Sayidina Umar berkata: “Sebaik-baik bid’ah ini.” Riwayat al-Bukhari

Di sini maksud Sayidina Umar RA yang memuji perbuatan bid’ah itu sudah tentu menunjukkan bahawa apa yang dilakukan oleh beliau itu baik, benar dan tidak bercanggah dengan syarak atau yang dikenali sebagai bid’ah hasanah yang dari segi bahasanya bermaksud “Perkara yang diada-adakan dengan tiada contoh terdahulu yang tidak bercanggah dengan syarak. Manakala pada pandangan hukum syarak ia adalah sunnah Hasanah iaitu sunnah yang di hasilkan daripada ijtihad mujtahid (sunnah Mustanbathah).

Hal ini disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat jalan di dalam Islam jalan yang baik, maka baginya pahala dan pahala mereka yang beramal selepasnya dengan tidak dikurangkan sedikit pun…” Riwayat Muslim dan Ibn Majah

Jelaslah di sini bahawa apa yang dilakukan oleh Sayidina Umar itu boleh diikuti kerana ia termasuk di dalam sunnah Khulafa al-Rasyidin yang diperintahkan oleh Baginda Rasulullah SAW supaya mengikutnya sebagaimana hadis berikut: “Hendaklah kamu sekalian berpegang teguh dengan sunnah ku dan sunnah khulafa al-Rasyidin selepas sepeninggalanku.” Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi

Begitu juga Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menjadikan kebenaran di atas lidah atau percakapan Umar dan hatinya.” Riwayat al-Tirmizi

Rasulullah bersabda lagi: “Sesungguhnya ada umat-umat yang sebelum kamu, mereka yang diberi ilham. Maka sekiranya ada di kalangan umatku seorang sahaja, maka sesungguhnya dia adalah Umar.” Riwayat al-Bukhari

Banyak lagi dalil yang menunjukkan bahawa Sayidina Umar diberi pengiktirafan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang yang benar dan boleh diikuti sehinggakan Nabi SAW memberi gelaran “al-Faruq” kepada Sayidina Umar yang ertinya:

“Orang yang membezakan antara perkara yang benar dan perkara yang batil.” Cara yang digunakan oleh Sayidina Umar RA itu diteruskan pula oleh Sayidina Uthman, Sayidina Ali para sahabat lain dan para ulama salafussoleh dan juga ulama yang kebelakangan ini (ulama khalaf).

Dalil-dalil tersebut sekaligus menyangkal segelintir pendapat yang menyatakan bahawa Sayidina Umar bertanggungjawab kerana melakukan perkara bid’ah sesat, iaitu meghimpunkan manusia mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat secara berjemaah sedangkan cara demikian tidak dikerjakan oleh Rasulullah SAW.

Waktu Solat Tarawih
Masanya ialah selepas solat Isyak dan selepas solat sunatnya sebelum membuat Witir sehingga naik fajar kedua. Ia tidak sah dilakukan sebelum solat Isyak. Sesiapa yang melakukan solat Isyak kemudian dia melakukan solat Tarawih kemudian teringat dia solat Isyak dalam keadaan berhadas, ia hendaklah mengulangi solat Tarawihnya kerana ia sunat dilakukan selepas sembahyang fardhu.

Oleh itu ia tidak dikira sah sebelum sembahyang fardhu, sama seperti sunat Isyak. Jika naik fajar, berakhirlah waktunya dan ia tidak boleh diqada’kan.

Jika dilakukannya selepas Maghrib dan sebelum Isyak, maka jumhur fuqaha dan yang paling sahih di sisi Hanafi, menyatakan tidak memadai solat Tarawih tersebut. Dalam mazhab Maliki, jadilah ia sunat semata-mata.
Pendapat Muqabil Asah di sisi Hanafi, ianya sah kerana termasuk di dalam qiamullail.

Bilangan Rakaat Solat Tarawih

Terdapat tiga pendapat tentang bilangan rakaat:

Pertama: Jumhur ulama memilih dan mengatakan bahawa solat Tarawih itu dikerjakan sebanyak 20 rakaat tidak termasuk solat Witir. Ini adalah seperi yang diamalkan oleh orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar.

Dalil mereka yang paling kuat ialah perbuatan Sayidina Umar al-Khattab di dalam riwayat daripada Abdul Rahman Abdul Qariy seperti yang disebutkan sebelum ini. Di samping itu terdapat banyak lagi dalil-dalil yang lain. Antaranya ialah athar yang bermaksud:

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan lainnya dengan sanad yang sahih daripada al-Sa’ib bin Yazid al-Sohabi berkata: “Adalah sahabat-sahabat mendirikan solat malam di bulan Ramadhan dengan 20 rakaat dan dengan bacaan 200 ayat, mereka berpegang atas tongkat mereka pada masa Uthman (jadi khalifah) kerana terlalu lama berdiri.”

Apa yang dikeluarkan oleh Malik pada kitab Muwatta’ daripada Yazid bin Ruman berkata “Adalah manusia di zaman Umar mendirikan solat malam sebanyak 23 rakaat.” (Ulama mengatakan bahawa solat Tarawih 20 rakaat dan Witir 3 rakaat). (rujuk al-Mizan al-Adil li Tamyizil Haq min al-Bathil, karya Abdul Qadir Isa Diyab, hal. 242).

Imam al-Tirmizi dalam kitabnya yang bertajuk “Sunan al-Tirmizi” mengatakan “Sebahagian besar ulama’ berpegang pada riwayat yang berasal dari Umar bin al-Khattab RA dan para sahabat Nabi lainnya, iaitu 20 rakaat.” Demikian juga yang dikatakan oleh Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak dan al-Syafie. Bahkan al-Syafie mengatakan: “Di negeri kita, Makkah, aku menyaksikan orang bersembahyang Tarawih 20 rakaat di luar witir.”

Banyak lagi “athar”, perkataan ulama salaf dan khalaf yang memilih solat Tarawih 20 rakaat dan 3 rakaat solat Witir kerana kekuatan dalil-dalilnya. Sesugguhnya begitu jumhur ulama juga berpendapat bahawa bilangan rakaat solat Tarawih itu tidak ditentukan. Ini disebabkan terdapat berbagai bilangan rakaat yang lebih dan kurang daripada 20 rakaat dikerjakan oleh sesetengah salafussoleh.

Imam Abu Hanifah dan pengikut-pengikutnya dan Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Daud dan lain-lain ulama dahulu berkata begitu dan Imam al-Qadhi Iyadh telah menaqalkan daripada kebanyakan ulama (al-jumhur) juga berkata begitu.
Dalam mazhab Hanbali menambah, tidak boleh kurang daripada dua puluh dan tidak mengapa jika lebih kerana ada nas.

Jika sahabat-sahabat dan para tabiin dan Imam Abu Hanifah serta pengikut-pengikutnya daripada ulama Hanafi, sekalian ahl al-Ra’y dan Imam Ahmad dan juga mazhab al-Syafie alh al-Hadis berpegang, beramal dan bersetuju di atas bilangan rakaat solat Tarawih itu, maka menunjukkan bilangan dua puluh rakaat itu adalah betul dan hak. Umat Islam tidak akan bersekutu dan berhimpun di atas perkara yang sesat.

Kedua: Bukan jumhur ulama mereka mengatakan bahawa solat Tarawih sebanyak 36 rakaat tidak termasuk solat Witir. Ini diamalkan di zaman Umar bin Abdul Aziz dan ahli Madinah. Antara dalil yang dipakai oleh mereka ialah:

Athar yang diriwayatkan oleh Ibn Wahab daripada al-Umri daripada Nafi’ berkata: “Aku tidak mendapati manusia melainkan mereka mendirikan solat Tarawih 39 rakaat termasuk 3 rakaat solat Witir.”

Di dalam kitab Syarh al-Muhazzab, Nafi’ meriwayatkan sebagai berikut: “Aku menyaksikan sendiri, ketika itu kaum Muslimin bersembahyang malam (solat Tarawih) di bulan Ramadhan sebanyak 39 rakaat, termasuk di dalamnya 3 rakaat Witir.”

Mengikut pandangan jumhur ulama, bahawa athar-athar yang dijadikan dalil oleh ulama golongan yang kedua ini, tidak kuat. Oleh itu, jumhur ulama tidak mengambil athar-athar tersebut sebagai dalil-dalil yang menegakkan hukum.

Ketiga: Satu golongan daripada ulama termasuk ulama wahabi seperti al-Albani dan mereka yang bersefahaman dengannya. Mereka mengatakan bahawa solat Tarawih itu hanya 8 rakaat dan solat Witir 3 rakaat. Antara dalil mereka:
Hadis daripada Jabir bin Abdillah RA berkata yang maksudnya: “Rasulullah SAW mengerjakan solat bersama kami pada bulan Ramadhan (solat Tarawih) sebanyak 8 rakaat dan Witir. Maka bila malam berikutnya, kami berhimpun di masjid dengan harapan Rasulullah datang ke masjid untuk solat bersama kami, kami menunggu sehingga waktu pagi, bila Rasulullah datang maka kami bertanya kepadanya: “Wahai Rasulullah! Kami berharap engkau keluar mengerjakan solat bersama kami di masjid, maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungghnya aku benci atau aku takut bahawa difardhukan ke atas kamu.”

Hadis yang maksudnya: “Telah mengkhabar kepada kami Abu Ya’la, telah mencerita kepada kami Abu al-A’la bin Hammad al-Narsi, telah mencerita kepada kami Jabir: “Ubay bin Ka’ab datang berjumpa Nabi SAW dia berkata: “Wahai Rasulullah! Pada suatu malam bulan Ramadhan berlaku kepada hamba suatu perkara, Rasulullah bertanya: “Apakah perkara itu wahai Ubay? Berkata Ubay: “Beberapa orang perempuan di rumah hamba berkata: “Kami tidak pandai membaca al-Quran, sebab itu kami mengerjakan solat secara berimamkan kamu, Ubay berkata: “Maka aku mengerjakan solat bersama beberapa orang perempuan itu 8 rakaat, kemudian aku mengerjakan solat Witir. Berkata Jabir: “Maka nampak seolah-olah Nabi redha, tetapi Nabi tidak berkata apa-apa.”

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: Daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman, bahawa dia bertanya kepada Aisyah R.Anha: “Bagaimana Rasulullah SAW mengerjakan solat di bulan Ramadhan? Lalu Aisyah menjawab: “Nabi mengerjakan solat di bulan Ramadhan atau lainnya tidak melebihi 11 rakaat, dia mengerjakan solat 4 rakaat maka jangan kamu bertanya tentang kebaikannya dan panjangnya, kemudian dia mengerjakan solat 4 rakaat maka jangan kamu bertanya tentang kebaikannya dan panjangnya, kemudian dia mengerjakan solat 3 rakaat. Berkata Aisyah: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah kamu tidur sebelum kamu mengerjakan solat Witir? Maka Rasulllah SAW bersabda: “Wahai Aisyah! Sesungguhnya kedua mata aku tidur tetapi hati aku tidak tidur.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sebelum dijadikan hadis ini sebagai dalil untuk solat Tarawih 8 rakaat dan solat Witir 3 rakaat, mestilah diteliti terlebih dahulu dari segi sanad dan matannya. Rujuk kitab Sahih Ibn Hibban dalam “Bab Solat Ramadhan.”

Ringkasnya, Ulama hadis bercanggah pendapat terhadap perawi-perawi bagi dalil-dalil yang dikemukakan olerh golongan ketiga ini.

Sebahagian mereka mengatakan bahawa perawi-perawi itu baik. Manakala sebahagian yang lain mengatakan perawi-perawi itu dhaif. Maka mengikut kaedah mustalah hadis yang ertinya: “Dan apabila bercanggah pendapat di antara orang yang mengatakan perawi itu adil dan orang yang mengatakan perawi itu cedera atau cacat sifatnya nescaya diambil pendapat orang yang mengatakan perawi itu cedera.

Kerana itulah Imam al-Qadhi Iyadh mengatakan: “Para ulama berpendapat bahawa semua hadis tersebut di atas, baik yang berasal dari Ibn Abbas, Zaid bin Khalid mahu pun yang berasal dari Aisyah R.Anha, masing-masing mengemukakan kesaksian peribadinya sendiri. Dalam semua hadis itu tidak terdapat perbezaan tentang batas jumlah rakaat yang tidak boleh ditambah atau dikurangi (iaitu tidak menetap jumlah rakaat secara pasti). Sebab solat malam itu adalah ibadah sunat, makin banyak dilakukan makin banyak pula pahala yang di dapati orang yang melakukannya. Perbezaan yang ada pada hadis-hadis tersebut di atas hanya mengenai beberapa jumlah rakaat yang di lakukan sendiri.”

Demikian pula yang dikatakan oleh Imam al-Hafiz Ibnu Al-Iraqi dalam kitab Tarhut Tathrib. Dia mengatakan, semua ulama sebulat suara bersepakat bahawa solat Tarawih tidak ada ketentuan batas jumlah rakaatnya. Perbezaan yang ada pada pelbagai riwayat hadis hanya mengenai soal berapa rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Syeikh Ibn Taimiyah juga mengatakan dalam kitabnya yang bertajuk al-Fatawa (1:148 dan 191) “Yang benar ialah bahawa semuanya itu (iaitu jumlah rakaat solat Tarawih yang disebutkan oleh beberapa hadis yang berlainan) adalah tidak menetapkan jumlah rakaat solat Tarawih. Banyak dan sedikitnya jumlah rakaat itu bergantung pada lama dan singkatnya cara orang melakukan solat Tarawih.”

Berdasarkan hadis-hadis sahih dapatlah dipastikan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat malam Ramadhan dalam masa yang agak lama sekali kerana dalam satu rakaat Baginda membaca surah-surah seperti Surah al-Baqarah, ali-Imran dan al-Nisa’.

Lamanya solat yang demikian itu tidak memerlukan tambahan rakaat yang lebih banyak. Sebaliknya pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab, Ubay bin Ka’ab mengimami solat Tarawih berjemaah dua puluh rakaat.
Untuk tidak berdiri lama sehingga memberatkan makmum, maka diperbanyakkan jumlah rakaat sehingga dua kali ganda sebagai menggantikan lamanya waktu solat Tarawih yang sebelumnya.

Keempat: Sepuluh rakaat. Ini merupakan pendapat Syafieyyah. Antaranya amalan tarikat Ahmadiah. Dalam Risalah al-Kasyh wa al-Tanfis menyebut bahawa solat Tarawih dengan empat riwayat:
Riwayat 11 rakaat beserta Witir.
Riwayat 13 rakaat.
Riwayat dua rakaat.
Riwayat empat rakaat.

Tujuan hadis-hadis tersebut dibentangkan adalah untuk memperlihatkan bagaimana Rasulullah SAW melakukan qiam dan untuk membuktikan bahawa istinbat ulama yang mengharuskan seseorang boleh berpada (istisar) dengan mengerjakan beberapa rakaat Tarawih sahaja seperti pendapat yang disokong oleh al-Imam Ibn Hajar dan ulama yang sependapat dengannya adalah pendapat yang telah diasaskan berpandukan kepada hadis-hadis ini.

Kelima: Bilangan rakaat sebanyak empat puluh rakaat mengikut pendapat al-Aswad bin Yazid. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam al-Majmu’.

Tarjih

Penulis cenderung kepada tanpa had bilangan Tarawih. Ini berdasarkan kepada hujah yang dikemukakan oleh Imam al-Sayuti dalam al-Masabih Fi Solat al-Tarawih berkata: Yang datang daripada hadis-hadis yang sahih dan hasan perintah melakukan qiam Ramadhan dan menggalakkannya tanpa menentukan bilangannya dan tidak thabit bahawa Nabi SAW melakukan solat Tarawih sebanyak dua puluh rakaat. Tetapi, Baginda solat yang tidak disebut bilangan rakaatnya pada tiga malam yang pertama dan tidak keluar pada malam yang keempat kerana dibimbangi berlaku kefardhuan ke atas mereka yang akhirnya mereka lemah untuk mengerjakannya.

Ibn Hajar al-Haithami seperti dalam al-Fatawa al-Kubra berkata: Tidak sah bahawa Nabi SAW solat Tarawih sebanyak dua puluh rakaat dan riwayat yang menyatakan Baginda solat dua puluh rakaat adalah amat lemah.

Berkenaan dengan solat Tarawih dua puluh rakaat, ia berlaku pada zaman Umar RA secara berjemaah. Justeru, diterima pakai oleh jumhur fuqaha di kalangan mazhab yang empat. Antara kenyataan mereka seperti berikut:

Al-Kasani berkata: Umar RA menghimpunkan sahabat Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan dan menjadikan Ubay bin Ka’ab sebagai imam.

Al-Dusuqi berkata: Inilah yang diamalkan oleh para sahabat dan tabi’in.
Ali al-Sanhuri berkata: Ia menjadi amalan orang ramai sampai ke zaman kita di seluruh pelusuk.

Mazhab Hanbali berkata: Ia menjadi tempat yang masyhur di mana dilakukan dihadapan sahabat dan menjadi ijma’


Akhirnya, penulis menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat Majma’ Fiqh Islam di dalam persidangannya kali yang ke-10 di Makkah al-Mukarramah yang bermula pada hari Sabtu, 24 Safar 1408 Hijrah bersamaan dengan 17 Oktober 1987 sehingga kepada hari Rabu 18 Safar 1408 Hijrah bersamaan 21 Oktober 1987 memutuskan antara lain: “Perbezaan mazhab-mazhab fiqh di dalam beberapa masalah mempunyai sebab-sebab ilmiah yang mengandungi hikmah-hikmah yang besar. Antaranya menunjukkan rahmat kepada hamba-hamba Allah SWT dan meluaskan lapangan hukum daripada nas-nas.

Di samping itu ia juga membentuk perbendaharaan perundangan fiqh yang sekaligus meletakkan umat Islam di kalangan keluasan agama dan syariat-Nya. Perlaksanaan syariat tidak hanya tertumpu kepada satu aspek sahaja bahkan boleh juga ditumpukan kepada aspek lain. Apabila mazhab seorang Imam tidak dapat menampung keperluan umat Islam pada waktu tertentu atau di dalam urusan tertentu, mereka akan menemui keluasan dan kemudahan di dalam mazhab imam lain pula, sama ada di dalam urusan ibadah, muamalah, keluarga, kehakiman, jenayah dan lain-lain lagi.”

Bacaan dalam Solat Tarawih
Imam Ahmad berpendapat bahawa seseorang imam dalam sembahyang Tarawih hendaklah membaca ayat yang ringan kepada orang ramai dan tidak menyusahkan mereka terutama pada malam-malam yang pendek dan terpulanglah kepada keupayaan orang ramai.

Mengikut Abu Ya’la: Tidak digalakkan mengurangkan daripada menghabiskan semua al-Quran (sekali khatam) dalam sebulan tersebut supaya semua orang dapat mendengar semua al-Quran. Tidak digalakkan melebihi daripada semua kandungan al-Quran (tiga puluh juzuk satu kali khatam) kerana menyusahkan makmum di belakang.

Pengarang kitab al-Mughni membuat komen dalam perkara itu bahawa kepada penilaian keadaan orang ramai adalah lebih baik, andainya orang ramai bersetuju dan mahu bacaan panjang adalah lebih baik, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Zar yang bermaksud: “Kami bersembahyang dengan Rasulullah SAW sehingga kami merasa bimbang kalau kami terlepas daripada makan sahur.”

Tarawih sunat dimulakan dengan bacaan surah al-Alaq kerana ianya surah yang pertama diturunkan. Apabila seorang itu sujud Tilawah pada akhir bacaannya dan sesudah bangkit (berdiri) hendaklah dibaca surah al-Baqarah.

Bacaan al-Quran dengan Melihat Mashaf ketika Solat Tarawih
Oleh kerana fenomena bacaan al-Quran dengan melihat mashaf ketika solat biasanya berlaku pada bulan Ramadhan ketika solat Tarawih. Ini kerana sebahagian imam yang tidak menghafaz al-Quran juga ingin membaca surah-surah yang panjang seperti al-Baqarah, al-Imran dan lain-lain.

Justeru, persoalan timbul apakah hukum imam membaca surah tersebut ketika solat sambil melihat mashaf? Dalam masalah ini penulis mengemukakan pandangan ulama.

Mengikut mazhab al-Syafie dan Hanbali, hukumnya harus bacaan al-Quran daripada mashaf ketika solat. Imam Ahmad berpendapat tidak mengapa menjadi imam dalam keadaan melihat mashaf pada solat malam. Kemudian ditanya padanya berkenaan solat fardhu? Jawabnya: “Aku tidak mendengar padanya sesuatu.”

Ditanya kepada Imam al-Zuhri berkenaan dengan hukum imam membaca surah tersebut ketika solat sambil melihat mashaf? Jawabnya: “Adalah mereka yang terbaik di kalangan kami membaca al-Quran dengan melihat mashaf.”

Dalam syarah Raudh al-Thalib oleh Syeikh Zakaria al-Ansari berkata: “Membaca dengan melihat mashaf sekalipun membalikkan lembarannya kadang-kadang tidaklah membatalkan solat kerana demikian itu sedikit dan tidak berterusan yang tidak dirasakan berpalingnya daripada solat. Tambahan pula sedikit daripada gerakan yang menyebabkan batal banyaknya jika disengajakan tanpa sebarang hajat maka hukumnya adalah makruh.
Mazhab Maliki memakruhkan bacaan daripada mashaf ketika solat fardhu sama ada bacaan pada awalnya atau pertengahannya. Mereka membezakan pada solat sunat antara bacaan melihat mashaf ketika pertengahan solat dan pada awalnya.

Mereka berpendapat hukumnya makruh ketika solat kerana menyibukkan dengannya. Sebaliknya jika hanya pada awal hukumnya harus tanpa makruh kerana dimaafkan pada yang sunat tidak pada yang fardhu.
Abu Hanifah berpendapat batal solat sama ada melihat mashaf banyak atau sedikit, imam atau berseorangan. Dan mereka bertanya kepada Abu Hanifah sebab rosaknya solat, lantas dijawab dengan dua sebab:

Pertama: Menanggung mashaf dan melihatnya serta membalikkan lembaran kertas atau helaian adalah perbuatan yang banyak.

Kedua: Hendaklah diajar daripada mashaf, maka jadilah sebagaimana yang diajar daripada yang lain. Atas dasar ini tiada perbezaan antara yang diletak atau ditanggung disisinya. Dan yang pertama di atas ada perbezaan.
Mengikut pendapat Abu Yusuf dan Muhammad, kedua-duanya murid kepada Imam Abu Hanifah, hukumnya adalah makruh bacaan daripada mashaf jika diniat mengikuti atau menyerupai dengan ahli al-Kitab. Lihat al-Mausuah al-Kuwaitiyah (22/14).

Permasalahan Hukum Solat Tarawih

Pertama: Sekiranya dilakukan Tarawih selepas sembahyang Isyak dan sebelum melakukan sunatnya, ia tetap sah. Tetapi adalah lebih afdhal jika dilakukan selepas daripada sunat Isyak mengikut pendapat yang dinaskan.

Kedua: Melakukannya di masjid adalah lebih afdhal kerana Nabi SAW melakukannya pada suatu malam selama tiga malam berturut-turut seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha dan pada masa yang lain Baginda melakukannya pada selama tiga malam berasingan seperti mengikut riwayat Abu Zar. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang turut bersama imam (melakukan sunat Tarawih) sehingga imam itu pulang ke rumah, ia dikira sebagai telah melakukan Tarawih selama satu malam.

Ketiga: Para sahabat Baginda melakukannya dalam masjid secara berkumpulan dalam jemaah yang berbeza dalam kumpulan yang berasingan. Sayidina Umar mengumpul orang ramai supaya mengikut Ubay. Amalan ini diteruskan oleh para sahabat dan orang yang terkemudian daripada mereka.

Keempat: Melakukan Tarawih dari awal malam Ramadhan adalah lebih afdhal kerana orang ramai dalam masa Sayidina Umar pernah melakukan dari awal malam Ramadhan.

Kelima: Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: Mengikut pendapat yang lebih sahih, menunaikan secara berjemaah adalah sunat kifayah, kalau semua ahli masjid tidak mengerjakannya berdosalah mereka semua. Setiap yang disyariatkan secara berjemaah, di masjidlah tempat yang afdhal dilakukan. Sekiranya mereka tidak pergi berjemaah apabila ada orang yang mendirikan jemaah, bererti meninggalkan fadhilat, kerana diriwayatkan ada sahabat yang tidak menyertai solat Tarawih berjemaah.

Keenam: Solat Tarawih boleh juga dilakukan berseorangan tetapi yang afdhalnya dilakukan berjemaah.

Ketujuh: Apabila ahli jemaah telah jemu, maka di sunatkan membaca al-Quran hingga sekadar tidak memberati mereka, misalnya membaca satu ayat yang panjang atau tiga ayat yang pendek. Tidak makruh membaca satu atau dua ayat sahaja dengan syarat dibaca dengan tertib atau sempurna, bertama’ninah dalam rukuk dan sujud berserta tasbih. Jangan pula meninggalkan doa, pujian kepada Allah SWT dan meminta perlindungan daripada-Nya serta selawat kepada Nabi SAW pada setiap kali tasyahhud.

Kelapan: Fuqaha berpendapat tiada azan dan iqamah bagi solat selain fardhu. Justeru, diseru dengan “الصلاة جامعة” Imam al-Nawawi Rahimahullah menaqalkan daripada Imam al-Syafie berkenaan hal ini.

Kesembilan: Menta’yinkan niat pada masa solat Tarawih adalah perlu dan tidak sah Tarawih dengan niat mutlak. Inilah pendapat Syafieyyah dan sebahagian Hanafiah.

Kesepuluh: Kalau seorang solat Tarawih selepas Maghrib dan sebelum Isyak, maka tidak sah atau memadai di sisi jumhur fuqaha dan pendapat yang kuat di sisi Hanafi.

Kesebelas: Jika luput Tarawih dengan masuknya waktu Subuh, di sisi mazhab Hanafi dan Hanbali tidak perlu diqada’. Tetapi al-Nawawi berkata: Jika luput sunat yang mempunyai waktu yang tertentu maka sunat qada’nya mengikut pendapat yang azhar.

Kedua belas: Dalam kitab Bughiyyah al-Mustarsyidin menyebut: “Adapun meringankan atau meringkaskan solat Tarawih ia termasuk dalam bid’ah yang tersebar luas kerana kejahilan imam-imam dan kemalasan mereka.

Ketiga belas: Mengikut ibarat dalam al-Tuhfah, sembahyang berseorangan dalam keadaan yang tenang dan lama lebih afdhal daripada berjemaah yang dalam keadaan gopoh gapah.

Keempat belas: Harus memisahkan antara rakaat Tarawih dengan mana-mana solat sunat tetapi perbuatan tersebut adalah khilaf afdhal.

Sumber: http://www.facebook.com/notes/drzulkifli-mohamad-al-bakri/persoalan-dan-kemusykilan-yang-sentiasa-timbul-setiap-kali-bulan-ramadhan-kami-d/246386872049896

No comments: