Showing posts with label Fiqh. Show all posts
Showing posts with label Fiqh. Show all posts

Thursday, December 15, 2016

BAGAIMANA GAJI DAN PENDAPATAN DIBELANJAKAN


Kemana Gaji dan Pendapatan Harus Dibelanjakan
Kepada siapa patut diberikan perbelanjaan kita? Mulakanlah pada diri sendiri, kemudian kepada tanggungan kita, kemudian kepada ibu bapa dan saudara mara, kemudian kepada orang miskin dan orang-orang lain yang memerlukan. Firman Allah: 

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”  (al-Isra': 26)

Rasullullah saw bersabda: “Mulakan (nafkah itu) dengan dirimu, maka nafkahkanlah ke atas dirimu, jika ada lebih, maka kepada isterimu, dan jika ada lebih daripada isterimu, maka berikanlah kepada kerabatmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Apa Perlu Dilakukan Jika Ada Lebihan Gaji dan Pendapatan?
Apakah yang perlu dilakukan jika ada perbelanjaan lebih? Maka belanja yang lebih itu sebaiknya disedekahkan kepada yang memerlukan. Firman Allah:

“Mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah apa-apa yang lebih dari keperluan (kamu).” (al-Baqarah: 219)

Pada Gaji dan Pendapatan Kita Ada Hak Yang Perlu Ditunaikan
Apabila bersedekah jangan sedekah semua belanja yang dimiliki, perlu simpan untuk diri sendiri dan keluarga kerana diri dan keluarga juga memiliki hak yang perlu ditunaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Dari Jabir bin Abdullah, ia berkata: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba ada seorang laki-laki datang membawa emas sebesar telur. Kemudian dia berkata kepada Nabi: Ya Rasulullah! Ambillah ini sebagai sedekah, tetapi demi Allah saya tidak memiliki kecuali ini. Kemudian Rasulullah s.a.w. berpaling, tetapi dia berikan dari hadapan Nabi. Kemudian Nabi berkata: bawalah kemari, Nabi saw kelihatan marah dan kemudian diambilnya, kemudian dilemparkan yang jika ketul emas itu terkena sesiapa maka akan melukainya. Kemudian Rasulullah saw berkata: salah seorang di antara kamu datang kepadaku dengan membawa wangnya padahal dia tidak mempunyai kecuali itu, kemudian dia duduk menanti pemberian orang. Ketahuilah, bahwa sedekah itu dari lebihan harta. Ambillah ini, saya tidak memerlukannya." (Riwayat Abu Daud dan Hakim)

Jangan Membazir dan Kedekut
Apabila berbelanja jangan pula terlalu boros dan jangan pula terlalu bakhil, berbelanjalah pada kadar sederhana. Islam adalah agama pertengahan dan adil, oleh itu Islam melarang umatnya berbelanja secara berlebih-lebihan dan kedekut.. Firman Allah:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (al-Furqan: 67)

Maksud Membazir dan Kedekut
Pembaziran adalah perbelanjaan secara berlebih-lebihan, manakala kedekut adalah dengan menyekat perbelanjaan pada perkara keperluan. Firman Allah:

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas (berlebih-lebihan).” (al-A'raf: 31)

Bentuk-Bentuk Pembaziran
Membazir berlaku apabila berbelanja pada perkara yang diharamkan Allah, seperti untuk membeli arak, dadah, dan sebagainya. Juga berbelanja pada perkara yang sia-sia dan tidak diperlukan. Termasuk dalam kategori membazir juga adalah berbelanja secara tidak terkawal sehingga tidak cukup untuk digunakan pada perkara keperluan. Yang terbaik ialah berada diantara berlebih-lebihan dan kikir. Terlebih berbelanja bererti boros, dan terlalu sedikit berbelanja bererti kikir. Syariat Islam adalah sederhana dalam semua hal. 

Sumber: Al-Halal wa Al-Haram Fil Islam; Syeikh Dr. al-Qaradawi

Monday, September 19, 2016

PELABURAN EMAS: SUATU PENGENALAN


Emas Pengganti Wang Kertas
Dahulunya para pelabur melihat matawang sebagai tempat selamat untuk kegiatan pelaburan, namun disebabkan kekuatan dan kekukuhan matawang adalah tertakluk kepada situasi ekonomi dan politik sesebuah kerajaan, para pelabur mula menyedari risiko yang ada dalam pelaburan matawang, dan mencari beberapa alternatif lain yang lebih menjamin perlindungan, antaranya ialah beralih kepada pelaburan emas.

Perlu Patuh Syarak
Produk-produk dan teknik-teknik pelaburan emas hendaklah dipastikan ia menepati prinsip dan hukum Islam, supaya aktiviti kewangan masyarakat Islam tidak terkeluar dari landasan syarak. Tinjauan terhadap produk pelaburan emas mendapati sebahagiannya tidak menepati prinsip dan hukum asasi jual beli emas walau ada sebahagian syarikat perniagaan dan pelaburan emas mengisytiharkan bentuk pelaburan ‘Islamik’.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah memperakukan ‘Parameter Pelaburan Emas’ yang mengandungi sejumlah garis panduan untuk dipatuhi oleh pelabur Muslim dalam aktiviti pelaburan emas.

Pelaburan Emas Dari Sudut Maqasid (matlamat) Syarak
Emas dan perak pada asasnya merupakan dua logam yang diiktiraf oleh syarak sebagai ‘thaman’ (Matawang). Al-Sarakhsi menegaskan:
“Kerana nilai al-thamaniyyah maka emas dan perak diciptakan, dan dengan nilai tersebutlah hidupnya segala harta benda lain”.

Dan terbukti sehingga kini bahawa emas dianggap sebagai logam yang paling berharga, dan nilainya telah digunakan sebagai piawai untuk banyak matawang dalam sejarah.

Pelaburan Emas Adalah Harus
Tidak ada halangan syarak untuk membeli emas pada harga rendah dengan niat untuk menjualnya pada harga tinggi, selagi syarat-syarat  jual beli emas yang digariskan syarak dipatuhi.  Hal ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W:
“(Jual beli atau pertukaran) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, dan garam dengan garam,hendaklah dengan kadar yang sama (timbangan atau sukatan), dan hendaklah beserta penyerahan bersama (oleh kedua-dua pihak). Sekiranya ia berlainan jenis, maka berjual belilah sebagaimana yang anda mahu jika dibuat secara penyerahan dari tangan ke tangan (oleh kedua-dua pihak)”. (Hadith Riwayat Muslim)

Juga berdasarkan prinsip asas dalam hukum hakam muamalat adalah harus selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya, maka aktiviti pelaburan emas adalah dibenarkan syarak secara umumnya selagi syarat-syarat dan garis panduan bay’ al-sarf dipenuhi.

Namun jika terdapat larangan oleh pihak berkuasa atau kerajaan terhadap sesetengah bentuk pelaburan emas bagi memelihara kemaslahatan umum dan mengelak sebarang kemudaratan awam, maka ia termasuk dalam ruang lingkup siasah shar’iyyah sebagaimana ditetapkan dalam kaedah:
“Sesuatu yang dilakukan pemerintah ke atas rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah (kepentingan umum)”.

Syarat Akad Jual Beli Emas Yang Bersifat Ribawi
Emas sebagai item ribawi, dan transaksi jual beli emas menggunakan matawang adalah termasuk dalam kategori bay’ al-sarf, maka di sana terdapat beberapa syarat bagi memastikan akad jual beli emas menepati hukum syarak, iaitu mesti berlaku serah terima (taqabud) kedua-dua item yang dijual beli di dalam majlis akad. Syarat ini adalah disepakati secara ijmak oleh seluruh ulama.

Syarat ini meliputi jual beli dua item yang sama jenis, atau yang berlainan jenis tetapi bersamaan ‘illah. Pertukaran yang sama jenis ialah seperti jual beli emas dengan emas, dan jual beli perak dengan perak. Manakala yang berlainan jenis tetapi bersamaan ‘illah pula ialah seperti pertukaran emas dengan perak. Hukum ini disepakati oleh ulama, sebagaimana Imam al- Nawawi menyebut:
“Perkataan ‘yadan bi yadin’ (penyerahan serentak/bersama) adalah hujah bagi seluruh ulama tentang kewajipan berlaku taqabud, walaupun berlainan jenis”.

Pembelian emas menggunakan matawang adalah termasuk dalam kategori bay’ al-sarf yang bersamaan ‘illah tetapi berlainan jenis. Oleh itu, akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada pensyaratan penangguhan. Syarat ini mewajibkan dua item (matawang emas atau perak) yang merupakan subjek bay’ al-sarf hendaklah diserahkan secara lani (spot), dan mana-mana pihak yang bertransaksi tidak boleh meletakkan syarat penangguhan serahan.

Abu Sa’id al-Khudr meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Dan jangan berjual beli item-item tersebut dengan salah satunya tiada (ketika akad) dan yang satu lagi ada (ketika akad)”. (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah S.A.W juga melarang jualbeli al-sarf secara hutang, seperti mana hadis berbunyi: “Rasulullah S.A.W. melarang jual beli emas dengan perak secara hutang” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Akad Jual Beli al-Sarf Mesti Bebas Daripada Khiyar al-Shart
Majoriti fuqaha berpendapat meletakkan syarat khiyar di dalam jual beli al-sarf adalah tidak sah, dan ia membatalkan syarat dan akad sekaligus.

Persamaan Kadar Antara Dua Item Yang Ditukar Jika Bersamaan Jenis
Syarat ini hanya khas bagi pertukaran dua item yang bersamaan jenis, contohnya jual beli atau pertukaran antara emas dengan emas, atau antara perak dengan perak. Di dalam transaksi pertukaran ini, kedua-dua item hendaklah bersamaan kadar dari sudut timbangan.


Sumber: 
International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia

JENIS PELABURAN EMAS DI PASARAN


Pelaburan emas boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama seperti berikut:
  1. Emas Fizikal
  2. Akaun Emas
  3. Emas Maya


Emas Fizikal
Emas fizikal adalah dalam dua bentuk berikut:
  1. Bentuk syiling emas dan jongkong emas
  2. Barang perhiasan.


Akaun Emas
Terdapat produk pelaburan emas berasaskan akaun simpanan emas. Kelebihannya ialah pemegang akaun dapat membuat keuntungan dengan kenaikan harga emas tanpa perlu menyimpan emas yang dibelinya secara fizikal. Dengan membuka akaun ini, pelanggan tidak diberikan emas fizikal, sebaliknya kuantiti emas yang dibeli beserta nilainya direkodkan dalam buku akaun pelanggan.

Emas Maya
Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya adalah menggunakan platform elektronik, seperti yang ditawarkan oleh sesetengah broker forex.

Pastikan Mematuhi Syarak
Terdapat pelbagai kaedah dan produk pelaburan emas dan semakin ramai orang Islam yang terlibat dalam aktiviti ini. Bagi yang terlibat atau baru hendak menceburkan diri dinasihatkan supaya mengambil perhatian dari sudut kepatuhan Syariah. Ini kerana keuntungan dari pelaburan tersebut sekiranya tidak memenuhi tuntutan syarak akan membiakkan sumber pendapatan haram yang dimurkai dan tidak diberkati oleh Allah.

Menjadi peranan kepada para Ustaz, Pendakwah dan pelajar Pengajian Islam untuk sentiasa peka dengan kewujudan pelbagai produk pelaburan emas, agar dapat memberi panduan kepada masyarakat Islam yang ingin melibatkan diri dengan aktiviti ini. Apatah lagi aktiviti pelaburan ini melibatkan item yang bersifat ribawi.

Pengguna Islam perlu berhati-hati dalam memilih produk pelaburan emas dan tidak hanya terpengaruh dengan janji-janji pulangan lumayan yang tidak dipastikan status halalnya.

Syarikat-syarikat perniagaan emas hendaklah peka dengan hukum-hakam syarak berkaitan pelaburan emas. Sewajarnya setiap syarikat pelaburan emas mewujudkan jawatankuasa syariah tersendiri bagi memastikan produk yang ditawarkan tidak menyalahi hukum syarak.


Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia

PELUPUSAN HARTA DARI SUMBER HARAM


Urus niaga yang bercanggah dengan Shariah, hukumnya samada fasid atau batal. Persoalan yang timbul adalah, bagaimana dengan manfaat atau keuntungan yang diperolehi oleh pelanggan dan apakah cara melupuskannya?

Haram Dimanfaatkan
Harta yang diperolehi dari sumber yang haram atau tidak sah mengikut syarak adalah haram digunakan untuk manfaat pemiliknya kerana harta itu tidak dimilikinya. Ia termasuklah manfaat atau keuntungan yang diperolehi dari hasil pinjaman dengan transaksi riba, harta curi, tipu, judi, pecah amanah, rasuah, hasil perniagaan haram, hasil jualan barang curi, dan hasil keuntungan pelaburan haram.
Nabi S.A.W. pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik.” (Hadith Riwayat Muslim)

Cara Pelupusan
Syeikh ‘Atiyyah saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berpendapat bahawa: “Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu).” (Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam)

Oleh itu, jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya, maka hendaklah dilupuskan dengan memulangkan kembali harta yang tidak sah itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian bertaubat. Sekiranya gagal dipulangkan kepada pemiliknya, maka hendaklah ia dipulangkan kepada warisnya, jika gagal juga, maka harta itu haruslah disalurkan kepada faqir miskin (sedeqah).

Al-Imam al-Ghazali mengatakan bahawa “Kita tidak bersedekah dengan harta melainkan dari harta yang baik [halal] adalah apabila kita mengharapkan pahala dari pemberian sedekah tersebut untuk diri kita. Perbincangan kita sekarang adalah pelupusan harta yang haram dari sisi kita bukan untuk kita mendapatkan pahala buat diri kita. Di antara melupuskan harta tersebut dengan dimusnahkan dan diinfaqkan maka kami cenderung pada pandangan untuk harta tersebut diinfaqkan”. (Ihya’ Ulum al-Din)

Imam Ibn Qayyim menyatakan bahawa “Jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah dengan memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian melakukan taubat kepada Allah swt. Sekiranya dia gagal memulangkan kepada tuannya maka hendaklah dia memulangkan kepada warisnya. Sekiranya dia gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedeqah”. (Zad al-Ma’ad)

Sheikh Dr Yusof al-Qardhawi di websitenya di dalam Fatawa wa Ahkam, Infaq al-mal al-muktasab min haram, mengatakan bahawa kebenarannya adalah bahawa harta tersebut adalah kotor (haram) dengan dinisbahkan kepada orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal akan tetapi ianya baik (halal) dengan dinisbahkan kepada faqir miskin untuk tujuan kebaikan. Ianya haram ke atas orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal tetapi dibolehkan kerana tujuan kebaikan tadi seperti menyedekahkannya. Ini kerana, harta tersebut tidak haram bagi zatnya akan tetapi ianya haram hanya kerana individu tertentu kerana sebab yang tertentu.


Secara kesimpulannya, menginfakkan harta dari sumber yang haram merupakan kewajipan untuk memisahkan diri pemilik dari harta yang haram. Ini kerana harta itu tidak dimiliki secara syarak dan tidak melayakkan seseorang yang mengambilnya sebagai harta secara milkiyyah. 

Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia

PELABURAN EMAS MAYA


Emas maya ialah emas yang diniagakan menggunakan platform elektronik seperti talian internet. Urus niaga ini dilakukan oleh syarikat-syarikat broker forex dengan menawarkan perdagangan emas dan perak dengan bersandarkan kepada harga semasa emas dan perak, ia tidak melibatkan urus niaga secara fizikal atau secara akaun bank. Pelaburan emas maya menggunakan platform elektronik adalah tidak menepati hukum syarak.

Isu leverage
Sebagaimana dalam forex secara online, operasi pelaburan emas maya juga dijalankan dengan adanya kemudahan leverage. Leverage telah ditakyifkan sebagai pinjaman kewangan (qard), dan dimaklumi bahawa setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat kepada pemberi pinjam adalah riba yang diharamkan. Unsur leverage juga menimbulkan isu pensyaratan akad jual beli di dalam akad qard.

Isu Qabd (Serah Terima)
Dalam operasi pelaburan emas maya menggunakan platform elektronik, isu qabd berlaku apabila emas yang dibeli oleh pelabur ketika membuka posisi tidak akan dikreditkan ke dalam akaunnya, sehingga dia menutup balik posisi dengan menjualnya kepada broker. Ini bermakna, tidak berlaku qabd samada hakiki atau hukmi ketika transaksi pembelian emas dijalankan.

Penjualan Sesuatu Yang Tiada Dalam Pegangan
Dalam konteks pelaburan emas maya, penjualan emas sebelum qabd berlaku dalam dua keadaan, pertama ketika pelabur membuat penutupan posisi (close position), dia akan menjual balik emas yang dibelinya dari broker, sedangkan dia belum lagi melakukan qabd terhadap emas tersebut. Kedua, ketika pelabur memulakan transaksi dengan membuka posisi short (menjual emas), dia telah membuat transaksi penjualan emas yang tidak dimilikinya dan tidak ada dalam pegangannya.


Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia.

PELABURAN MELALUI AKAUN EMAS



Tidak Memberikan Kemudahan Withdrawal Emas Fizikal
Terdapat aktiviti pelaburan emas melalui pembukaan akaun emas yang tidak melibatkan qabd (serah terima) terhadap emas fizikal yang dibeli oleh pelabur. Walaupun pihak bank menyatakan bahawa ia berasaskan kepada kewujudan emas fizikal, namun pihak bank tidak memberikan pilihan kepada pelabur untuk mendapatkan emas tersebut secara fizikal.

Jika bank meletakkan syarat bahawa emas tidak akan diserahkan secara fizikal kepada pelabur, sebaliknya akan ditukar kepada nilai dan diserahkan dalam bentuk tunai maka urus niaga ini adalah tidak sah. Ketiadaan penyerahan hakiki atau penyerahan muktabar yang menggantikan penyerahan hakiki ketika proses pembelian emas menyalahi syarak.

Apabila pelabur tidak dapat menuntut emas fizikal daripada belian emas, kemudian membuat pengeluaran ketika harganya telah naik, maka keuntungan yang diperolehi oleh pelabur adalah termasuk dalam larangan syarak berkenaan mengambil keuntungan dari jualan suatu yang belum berada dalam jaminannya.

Akaun Emas Yang Memberikan Kemudahan Withdrawal
Jika bank tidak meletakan sebarang syarat dan memberikan pilihan kepada pelabur samada untuk melakukan pengeluaran dalam bentuk nilai iaitu dengan menjual emas kepada bank pada harga semasa dan dikreditkan ke dalam akaun pelabur, ataupun dengan cara menuntut emas fizikal daripada bank dengan mengambilnya di cawangan tertentu maka transaksi ini dibolehkan.

Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk  Pelaburan Emas Di Malaysia.


PEMBELIAN EMAS MELALUI INTERNET


Urusan pembelian emas melalui internet tidak dapat memastikan pertukaran antara wang dan emas berlaku secara serta merta. Ini kerana, pembeli membayar wang terlebih dahulu, setelah penjual mengesahkan penerimaan wang ke dalam akaun, barulah penjual akan menghantar emas yang dibeli tadi melalui pos yang mengambil beberapa hari untuk sampai ke tangan pembeli. Dalam keadaan tertentu penjual emas kehabisan stok yang menyebabkan penangguhan berlaku dengan lebih lama.

Haram Jika Berlaku Penangguhan Serahan
Oleh kerana pembayaran wang dan penyerahan emas gagal dilaksanakan secara serta merta, maka transaksi jual beli emas melalui internet adalah haram.
Salah satu daripada syarat sah akad jual beli emas ialah serah terima antara emas dan wang mesti berlaku secara serta merta. Pembeli wajib membayar secara penuh manakala penjual mesti menyerahkan emas, di mana kedua-duanya mesti berlaku secara serta merta dalam satu majlis akad. Sekiranya berlaku penangguhan dalam urusan serah dan terima ini, maka transaksi tadi menjadi tidak sah.

Elak Penangguhan Dengan Melantik Wakil
Bagi mengelakkan penangguhan serahan ini maka pihak penjual perlu melantik pihak ketiga sebagai wakil kepada pembeli dengan persetujuan pembeli. Di mana urus niaga melibatkan wakil pembeli dan menjalankan transaksi dengan pihak penjual emas secara serta merta dalam satu majlis akad. Setelah emas diterima oleh wakil, dia bolehlah menyerahkan emas tadi kepada pembeli yang diwakilinya pada bila-bila masa yang dipersetujui.


Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia.

Thursday, September 15, 2016

PEMBELIAN EMAS MENGGUNAKAN KAD KREDIT


Kad kredit sering dikaitkan dengan hutang. Maka, apakah pembelian emas melalui pembayaran kad kredit dikira sebagai pembelian secara hutang?

Ulama Berbeza Pendapat
  1. Pendapat pertama: Tidak sah pembelian emas menggunakan kad kredit samada kad kredit tersebut ada sandaran (Akaun) atau tidak
  2. Pendapat kedua: Pembelian emas menggunakan kad kredit adalah sah samada ada sandaran atau tidak.
  3. Pendapat ketiga: Harus membeli emas menggunakan kad kredit yang ada sandaran manakala kad kredit yang tiada sandaran tidak boleh digunakan untuk membeli emas.


Hujah Pendapat Pertama: Terdapat Penangguhan Bayaran
Situasi lani (fawriyyah) tidak berlaku. Pemegang kad kredit tidak membuat pembayaran kepada penjual emas sebaliknya pihak yang membuat pembayaran penjualan emas ialah bank pengeluar selepas tempoh masa tertentu. Taqabud mesti sempurna dalam majlis akad yang diadakan di antara pemegang kad dengan penjual emas, bukannya hanya menyerahkan penyata bayaran. Kad kredit adalah alat pembayaran bertangguh kerana penjual emas tidak menerima pembayaran melainkan selepas berlalu tempoh masa tertentu.

Hujah pendapat kedua: Jaminan Bank dan Uruf
Penyata pembayaran yang terhasil melalui kad kredit dikira telah mewajibkan bank pengeluar kad untuk membuat pembayaran kepada penjual emas. Namun begitu, penjual emas perlu memastikan kad tersebut masih sah dan berfungsi. Bank bertindak sebagai penjamin terhadap pembayaran, keadaan ini lebih jelas dan tiada kebimbangan dalam kes kad kredit dicuri atau digunakan oleh orang lain, penjual emas tidak akan menanggung sebarang kesan daripada perkara di atas kerana haknya terhadap harga emas tersebut tidak tergugat. Syarat penting ialah penyata mesti dikeluarkan segera manakala pembayaran harganya tidak memberi kesan berbeza samada ia berlaku segera atau tertangguh. Manakala penjual tersebut menerima harga emas yang dijual samada harga emas tersebut dibayar oleh pembeli sendiri atau individu lain.

Bersandarkan urf semasa, kad kredit telah diterima pakai oleh masyarakat kerana ia sama seperti kertas-kertas note (tunai) terutamanya penjual pada masa sekarang lebih mengutamakan memegang kad kredit daripada tunai kerana ia lebih selamat dan teratur khususnya apabila transaksi yang dimeterai melibatkan wang berjumlah jutaan ringgit.

Pandangan ini juga merupakan resolusi yang dicapai oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia memutuskan bahawa produk kad kredit berasaskan konsep bay al-‘inah dan wadi’ah, serta pembelian emas, perak dan barangan lain yang halal menggunakan produk kad kredit secara Islam adalah dibenarkan.

Hujah pendapat ketiga: Akaun Tidak Wujud
Pendapat ketiga menyatakan bahawa pemegang kad kredit yang membeli emas menggunakan kad kreditnya kemungkinan tidak mempunyai akaun dalam bank pengeluar kad. Ini menyebabkan penebusan penyata kad kredit dibuat tanpa wujud akaun yang mengandungi wang pemegang kad kredit. Di antara contoh kad kredit tiada sandaran ialah MasterCard, American Express dan Visa.

Pembelian emas melalui kad kredit tanpa sandaran iaitu yang tidak mempunyai akaun pemegang kad tidak dibenarkan. Tiada tolakan daripada wang pemegang kad ketika kad kredit dilalukan di atas mesin laluan kad kredit sebaliknya situasi ini hanya menunjukkan bahawa penjual emas mendapat persetujuan daripada pemegang kad (pembeli) untuk menjual emasnya kepada pemegang kad tersebut.

Operasi kad kredit sebenarnya terbina di atas kontrak hutang dan kontrak kafalah. Pemegang kad ialah sebagai penghutang (madin). Penjual menerima pembelian secara hutang atau bertangguh kerana bank pengeluar kad memberi jaminan akan membayar harga emas tersebut.

Kesatuan Fiqh Sedunia OIC mengemukakan resolusi tidak harus membeli emas dan perak serta wang tunai (dalam pelbagai matawang) dengan menggunakan kad kredit yang tidak mughattah (uncovered) dan harus membeli emas atau perak atau mata wang dengan menggunakan kad kredit covered. Ini ialah resolusi yang dicapai oleh Kesatuan Fiqh Sedunia dan pendapat sebahagian ilmuan Islam seperti Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli.

Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia.

PELABURAN EMAS HIASAN


Kaedah pelaburan emas hiasan adalah dengan membeli emas perhiasan dan menyimpannya sehingga harganya naik untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan. Kebiasaannya barang perhiasan wanita adalah diperbuat daripada emas berketulenan 22 karat atau dipanggil emas 916. Namun pada akhir-akhir ini, syarikat-syarikat emas mula mengeluarkan produk emas hiasan berketulenan 24 karat atau 999.

Kelebihan dan Kekurangan Emas Perhiasan Dalam Pelaburan
Berbanding dengan emas berketulenan 999 dalam bentuk jongkong atau syiling, pelaburan emas perhiasan 916 memakan masa yang lebih lama untuk memberikan keuntungan. Ini kerana susut nilai barang kemas adalah tinggi iaitu dalam lingkungan 15-30%. Harga emas perhiasan juga perlu mengambil kira kos pertukangan yang bergantung kepada kesenian dan kesukaran membentuknya. Namun kelebihannya ialah emas perhiasan diterima untuk diletakkan di pusat pajak gadai untuk memperoleh pinjaman dengan mudah.

Emas Perhiasan Adalah Item Ribawi
Pendapat majoriti ulama dan sebahagian menukilkan bahawa ia merupakan ijmak bahawa emas perhiasan tetap dikira sebagai item ribawi. Maka tidak boleh ditukar antara emas perhiasan dengan emas lain samada emas perhiasan atau bukan hiasan kecuali dengan persamaan kadarnya (timbangan). Antara yang menukilkan ijmak ialah Ibn Abd al-Barr di dalam kitabnya al-Kafi. Oleh itu, pembelian emas perhiasan perlulah memenuhi syarat jual beli emas ketika majlis akad.

Unsur Pertukangan Sebagai Tambahan Harga
Manakala ada segelintir ulama seperti Ibnu Taymiyyah yang mengharuskan pertukaran emas dengan emas perhiasan dengan tidak bersamaan timbangan, iaitu dengan mengira bahawa lebihan timbangan adalah sebagai harga bagi pertukangan emas hiasan dan selama mana tidak ada maksud menjadikannya sebagai matawang. Berdasarkan pendapat kedua ini, maka emas perhiasan tidak dianggap sebagai item ribawi sebaliknya sebagai barangan dan hukum jual beli emas perhiasan boleh dilakukan secara tangguh dan ansuran.

Walau bagaimanapun, perlu diteliti dari sudut adakah ‘illah yang menjadi sandaran pendapat tersebut iaitu dengan mengambil kira nilai pertukangan masih wujud? Berdasarkan tinjauan terhadap beberapa iklan jualan emas hiasan, didapati bahawa unsur pertukangan tidak diambil kira. Jika demikian, ia adalah sama dengan emas jongkong yang merupakan item ribawi. Ini kerana pendapat yang menafikan unsur riba dalam emas hiasan adalah bersandarkan kepada harga pertukangan.

Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia.



TEKNIK JUAL EMAS, JAMIN BELI BALIK, DAN PEMBERIAN HIBAH


Terdapat skim pelaburan emas menawarkan pelan yang berasaskan kepada elemen hibah dan jaminan beli balik.

Jamin/Janji Beli Balik Menyalahi Syarak
Jika sekiranya terdapat perjanjian antara dua pihak (muwa’adah) untuk membeli balik emas pada masa tertentu, maka ia menyalahi syarak, dan menyamai jual beli emas bertempoh yang dilarang syarak. Namun jika tidak memberikan apa-apa janji untuk membeli balik emas pada tempoh tertentu, maka dari sudut hukum asalnya ia adalah tidak menyalahi syarak.

Hibah Boleh Menjadi Riba
Pemberian hibah atau diskaun yang dilakukan secara sukarela dan tidak membawa kepada unsur riba adalah dibenarkan. Pemberian hibah akan menjadi riba sekiranya pembelian emas hanya helah bagi menutup pinjaman yang dijamin dipulangkan. Dalam kes sebegini, emas adalah helah yang dimasukkan untuk menghalalkan transaksi riba.

Kemasukan helah dalam transaksi jual beli boleh diketahui jika sekiranya kewujudan emas sebagai subjek jual beli adalah tidak dimaksudkan. Sebaliknya yang dimaksudkan oleh para pelabur ialah jaminan penerimaan sejumlah wang daripada pelaburan. Namun demikian, untuk mengatakan bahawa kemasukan emas adalah sebagai helah bagi menutup transaksi riba, ia memerlukan kepada bukti atau qara’in.


Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia.

PEMBELIAN EMAS DENGAN KAEDAH PENJUAL MEMAJAK EMAS DI ATAS NAMA PEMBELI


Satu lagi kaedah yang digunakan ialah penjual emas ialah dengan memajak emas miliknya di pusat pajak gadai untuk mendapatkan pinjaman bagi pihak pembeli. Pembeli akan mendapat pinjaman dari pusat pajak gadai dan dengan duit pinjaman itu pembeli gunakan untuk membayar harga emas kepada penjual emas tadi.

Kaedah ini dilakukan kerana pembeli tidak mempunyai modal mencukupi untuk membeli emas. Melalui kaedah ini, pajak gadai dilakukan atas nama pembeli dan emas adalah milik penjual. Pinjaman yang diperolehi pembeli akan diberikan kepada penjual sebagai bayaran emas lalu emas yang digadai tadi bertukar milik kepada pembeli.

Analisis Syariah:
Perkara penting yang perlu dikenalpasti ialah bilakah berlakunya kontrak jual beli emas antara penjual dan pembeli. Dua kemungkinan yang ada iaitu:
  1. Berlaku sebelum akad gadaian dengan pusat pajak gadai atau
  2. Berlaku selepas akad gadaian.

Sekiranya akad jual beli emas berlaku sebelum akad gadaian, kemudian pembeli meletakkan emas di pusat pajak gadai untuk mendapatkan pinjaman wang, bermakna  terdapat penangguhan dalam serahan bayaran yang tidak dibenarkan syarak. Ini menyalahi syarat jual beli emas.

Jika sekiranya akad jual beli emas berlaku selepas pembeli mendapat pinjaman dari pajak gadai, maka emas tadi dikira sebagai pinjaman dari pembeli kepada penjual oleh itu pinjaman emas adalah sama hukumnya dengan hutang kerana pembeli tidak akan memulangkan semula emas kepada penjual, sebaliknya membayar harga dengan wang tunai. Dalam keadaan ini urus niaga menjadi riba kerana setiap hutang yang membawa manfaat (kepada pemberi hutang) maka ia adalah riba.


Walau bagaimanapun ia adalah masalah teknikal, kaedah ini masih boleh menjadi patuh syariah jika caranya dilakukan dengan betul. Antaranya dengan cara pembeli membuat pinjaman dari pajak gadai, tetapi emas masih tidak digadaikan kepada pusat pajak gadai. Pada ketika itu, pembeli boleh membuat perjanjian dengan pusat pajak gadai untuk menggadaikan emasnya. Kemudian pembeli bolehlah membeli emas dari penjual dengan menggunakan wang pinjaman dari gadaian. Apabila selesai akad jual beli emas, barulah pembeli menyerahkan emasnya kepada pusat pajak gadai untuk disimpan.

Sumber: International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). Analisis Syariah Terhadap Produk-Produk Pelaburan Emas Di Malaysia.

Thursday, August 4, 2016

CELAKA TUMIT





Kerap kali melihat orang mengambil wudhuk tanpa menggosok sehingga terabai bahagian tumit. Perlu diperhatikan perkara ini kerana tidak sah solat jika tidak sah wudhuk, wudhuk merupakan syarat sah untuk menunaikan solat.

Dari Abdullah bin 'Amr, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Celakalah tumit-tumit (yang tidak terkena air wudhu, akan terkena oleh) api neraka, hendaklah kalian menyempurnakan wudhu."

Sempurnanya ialah dengan membasuh dan menggosok kaki sehingga 1/2 betis, gosok di bahagian bawah telapak kaki dan selati celahan jari kaki dengan menggunakan jari kelingking tangan.

Wudhuk yang sempurna akan diampunkan dosa-dosa yang lalu. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Tidaklah seorang muslim berwudhu dan menyempurnakan wudhunya kemudian mengerjakan solat melainkan Allah akan mengampuni dosa-dosanya sejak saat itu sampai solat yang berikutnya.’ (HR. Muslim)

Wednesday, June 29, 2016

ZAKAT FITRAH


Zakat Fitrah ialah harta yang wajib dikeluarkn oleh setiap mukalaf dan orang yang di bawah tanggungannya.

Daripada Ibnu Umar berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memfardhukan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam”.

Wajib dgn 3 syarat:
1.         Islam dan merdeka, maka tidak wajib zakat atas orang kafir.

2.         Terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan
Dikenakan zakat bagi orang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan. Tidak dikenakn zakat bagi bayi yang lahir selepas terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan.

Tidak dikenakan zakat bagi orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan. Dan dikenakn zakat bagi bayi yang lahir sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Tidak wajib zakat atas orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan dan tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Kesimpulanya, wajib keluarkan zakat bagi orang yang hidup pada dua tempoh masa iaitu pada masa Ramadhan dan masa Syawal.

3. Memiliki harta yang melebihi keperluan diri dan tanggungannya
Harta dikira melebihi keperluan jika cukup untuk perbelanjaan diri dan tanggunganya pada hari raya. Anak yang sudah baligh dan mampu bekerja tidak dikira sebagai di bawah tanggungan.

Jenis Dan Kadar Bayaran Zakat Fitrah
Jenis zakat yang dikeluarkan ialah berdasarkan makanan asasi sesebuah negeri seperti beras. Kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang (4 cupak) Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram). Nilai bagi kadar ini adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah
Waktu Harus: Sepanjang bulan Ramadhan bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.

Waktu Wajib: Selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.

Waktu Afdhal/Sunat: Selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri.

Waktu Makruh: Selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.

Waktu Haram: Selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri. Berdosa jika terbenam matahari pada hari raya tapi masih tdk kluarkn zakat dan wajib qadha.

Tempat Zakat Fitrah Dikeluarkan
Terdapat dua pandangan, pertama ialah di negeri (tempat) harta itu berada sama seperti zakat harta. Pendapat yang paling sahih ialah di negeri orang yang mengeluarkan harta berada. Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya dan waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama. 

Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama). Ini kerana, zakat fitrah berkait dengan 'badan' (diri seseorang mukallaf-zakat badan) maka pembayarannya dibuat di tempat di mana 'badan' itu berada.

Syaikh al-Qaradhawi menyatakan  : “Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).”

Namun bukan menjadi kesalahan mengeluarkan zakat fitrah di tempat lain pada waktu lebih awal, perkara ini cuma dari segi keutamaan sahaja.

Zakat Fitrah Dalam Bentuk Wang Tunai
Menurut Syeikh Dr. Ali Jum’ah, boleh membayar zakat fitrah dalam bentuk wang tunai. Al-Hasan al-Basri berkata, “Boleh memberikan Dirham dalam zakat Fitrah”. Meriwayatkan dari Zuhair berkata: Saya mendengar Abu Ishaq berkata, “Saya bertemu dengan mereka, mereka membayar zakat Fitrah dalam bentuk Dirham senilai harga makanan”

Pada zaman dahulu yang masih menggunakan sistem barter, iaitu berlaku tukar-menukar transaksi jual beli. Walau bagaimanpun pada zaman kita sekarang ini transaksi jual beli  dengan wang adalah menjadi keutamaan. Mengeluarkan zakat Fitrah dalam bentuk wang tunai lebih utama untuk memberikan kemudahan kepada fakir miskin untuk membeli apa saja yang mereka inginkan pada hari raya. Dan mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk makanan asasi lebih utama jika makanan sukar diperolehi atau lebih penting dari wang tunai, ini kerana setiap orang berbeza-beza keperluanya.

Hukum Pembayaran Zakat Fitrah Melalui Pembayaran Elektronik
Hukum menggunakan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui pembayaran elektronik adalah harus, sama ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) secara prabayar atau pascabayar adalah harus, melalui Internet, mesin ATM dan e-Debit. Pihak yang menyediakan khidmat ini bertindak sebagai wakil bagi pihak amil bagi mengutip zakat.

Niat Membayar Zakat
Membayar fitrah dengan wang adalah TIDAK SAH mengikut MAZHAB SYAFIE jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan “Wang ini fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku”. Tetapi HARUS digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini".
Wallahualam.


Sumber: Fiqhul Manhaji; Majlis Agama Islam Negeri Johor(http://www.maij.gov.my/); Syekh DR. Ali Jum’ah, Al-Bayan li ma Yusyghil al-Adzhan; Ustaz Abdul Somad, Fatwa 20 Ramadhan; Fatwa Zakat Negeri Selangor; http://al-fanshuri.blogspot.com; http://warisan-semasa.blogspot.my/;