Showing posts with label Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Aqidah. Show all posts

Monday, June 27, 2016

IKHTIAR DAN TAWAKKAL


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

: عن عمر رضى الله عنه قال، سَمِعْتُ رَسُوْلُ الله صلّى الله عليه و سلّم يَقُوْلُ 
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَ كَّلْونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَعْدُو خِمَا صًا وِتَرُوحُ بِطَانًا  - رواه الترمذي و قال حديث

Dari Umar Ibn Khattab Ra berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Sekiranya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT dengan tawakal yang sebenar-benarnya, pasti kamu akan diberi rezeki (oleh Allah SWT), sebagaimana seekor burung diberi rezeki, di mana ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar, dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang” (HR. Tirmidzi)


لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَ كَّلْونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِه

“Sekiranya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT dengan tawakal yang sebenar-benarnya”

Sekiranya, kita semua (setiap orang yang beriman) benar-benar bertawakal kepada Allah SWT dalam setiap keadaan susah atau senang, di mana sahaja kita berada sama ada di dalam rumah atau di jalanan pasti Allah SWT akan memberikan rezeki kepada kita.


لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَعْدُو خِمَا صًا وِتَرُوحُ بِطَانًا

Pasti kamu akan diberi rezeki (oleh Allah SWT), sebagaimana seekor burung diberi rezeki, di mana ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar, dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang”

Secara pasti akan diberi rezeki oleh Allah sebagaimana seekor burung yang diberi rezeki oleh Allah SWT bermaksud Allah SWT memberi jaminan rezeki bagi orang bertawakal kepada-Nya. Hadis ini juga terdapat anjuran agar berusaha dan bersungguh-sungguh bekerja mencari rezeki dan bagi setiap usaha kita akan dicatit sebagai pahala ibadah amal soleh. Islam tidak mengajar umatnya hanya duduk di atas sejadah atau di dalam rumah tanpa berusaha dan mengharapkan rezeki dari Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda :“Orang yang di waktu petang hari keletihan kerana bekerja dari usahanya sendiri, keletihan dari usaha tangannya sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain, maka Allah SWT mengampuni dosanya”

Rasulullah SAW bersabda :“Tidaklah seseorang makan dari makanan yang lebih baik dari makanan hasil usaha keringatnya sendiri”

Rasulullah SAW bersabda :“Tidak ada kebaikan sedikit pun orang yang meninggalkan akhiratnya untuk dunia (tidak sholat, tidak puasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak peduli pada orang tuanya)”.

Tiada kebaikan kerana hanya mementingkan dunia sehingga mengabaikan akhirat dan sebaliknya tidak ada kebaikan orang yang hanya bangun dan duduk untuk solat dan berharap kepada makhluk, kerana sabda Nabi SAW “dunia ini merupakan jambatan menuju kejayaan di hari akhirat.

Firman Allah SWT :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. (Ath-Thalaaq:2)

Firman Allah SWT :

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

“Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”  (Ath-Thalaaq:3)

Lazimkanlah diri dengan takwa kepada Allah SWT dan elakkan dari melakukan perkara yang melalaikan, pasti Allah SWT akan memberikan rezeki dari jalan yang tidak di duga dan dari jalan yang tidak di sangka-sangka. Rezeki itu tidak diperoleh dengan kekuatan atau dengan kerja sepanjang hari siang dan malam. Rezeki tidak diperoleh disebabkan oleh kekuatan, bekerja di pejabat, atau disebabkan jawatan. Jika kekuatan dan jawatan itu penyebab memperoleh rezeki maka burung yang kecil tidak akan mempunyai bahagian rezekinya, semua rezeki diambil oleh burung gagak saja, atau burung-burung yang besar saja, akan tetapi rezeki Allah SWT diberikan kepada siapa saja.

Kita perlu sentiasa bertawakkal dengan keyakinan yang kuat pada Allah SWT dan jangan bersikap malas, kita perlu bekerja dan berikhtiar mencari rezeki yang halal, dengan tujuan Tholabul Rizq (mencari rezeki) seperti mana burung yang berusaha terbang keluar mencari rezeki, ia tidak duduk di sarang dan menunggu makanan sampai kepadanya.

Dalam diri Kita perlu ada tawakkal dalam mencari Anugerah Allah SWT dan dalam memohon perlindungan diri dari Musibah. Terdapat banyak ayat yang menyebut tentang tawakal di dalam al-Quran, sehingga ulama menjadikan ia satu syarat bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan di mana tidak akan sempurna imannya kecuali di dalam dirinya mempunyai sifat tawakkal.

Allah SWT berfirman :

وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ

“Dan hanya kepada Allah SWT hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal (Berserah Diri)” (Ibrahim:12)

Tawakal merupakan sebahagian dari iman sehingga tidak sempurna iman seseorang yang tidak bertawakkal. Maka iman seseorang juga boleh diukur berdasarkan sejauh mana rasa tawakalnya. Al-Imam Sahl bin Abdullah At-tussuri beliau mengatakan bahawa tanda orang yang tawakkal ada 3:

Pertama: Tidak pernah mengemis
Kedua   : Tidak pernah menolak pemberian
Ketiga   : Tidak pernah menyimpan harta/makanan untuk hari-hari besok.

Nabi kita Muhammad SAW  adalah ahli tawakal, namun Nabi SAW pernah bersabda “Sebelum kamu tidur pintu dikunci dan kalau ada api maka dipadamkan”

Ada seorang badawi yang tidak mengikat/tambat untanya dan dia berkata “saya tawakal wahai Rasulullah”, Rasulullah SAW bersabda “tidak, ikat dahulu kemudian tawakal”.

ALLAH SWT berfirman:

“Dan apabila kamu (Muhammad) berada di antara mereka (sahabatmu) lalu kamu hendak mendirikan solat bersama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat) bersamamu dan menyandang senjata mereka, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud, maka hendaklah mereka pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang sekumpulan yang lain yang belum solat, lalu mereka solat denganmu, dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjata mereka. Orang-orang kafir ingin agar kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu sekaligus. Dan tidak mengapa kamu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu sakit, dan bersiap sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang menghinakan bagi orang-orang kafir itu” (An-nisa:102)

Waktu melakukan solat siddatul khauf, pedang harus dipegang. Allah SWT masih menyuruh pegang pedang walau dalam keadaan solat, dalam solat siddatul khauf mengajar konsep tawakal iaitu adanya usaha dan ikhtiar.

Rasulullah SAW besabda “kalau ada yang sakit maka berubatlah, kerana Allah menciptakan penyakit pasti ada ubatnya”


حَسْبِيَ اللَّهُ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

Sumber: Majelis Rasulluah, Habib Alwi Bin Abdurahman AlHabsyi

Tuesday, May 10, 2016

NOTA AKIDAH - AYAT MUTASYABIHAT



Ayat-ayat al-Qur'an dan Ahadith ada yang muhkamat (jelas) dan mutasyabihat(samar). Samar di sini maksudnya ayat-ayat tersebut jika dibaca boleh membawa pelbagai makna dan pelbagai kefahaman yang tidak tepat, bahayanya di sini adalah kefahaman itu membawa kepada persamaan Allah ta'ala dengan makhluk maka ayat-ayat tersebut perlu diteliti dengan menggunakan kaedah-kaedah yang menepati penggunaan bahasa Arab agar maksud ayat-ayat al-Quran dan Ahadith tidak saling bertentangan dan memberi kefahaman yang salah sehingga menyamakan Allah dengan makhluk. 

Contoh ayat mutasyabihat ialah "...tangan Allah di atas tangan-tangan mereka." (Al-Fath: 10). Tangan di sini adalah terjemah sahaja, dalam bahasa arab 'Yad' boleh mengandungi pelbagai makna, oleh itu ayat ini perlu ditakwil supaya ia tidak bercanggah dengan dasar akidah.

Ayat mutasyabihat perlu ditakwil. Takwil ada dua cara, pertama dengan kaedah penerangan dan dalil. Kedua dengan memalingkan makna ayat dari zahirnya kemudian serahkan makna yang dikehendaki pada Allah ta'ala.

Takwil menjadi wajib jika pemahaman seseorang boleh membawa kepada pemahaman yang menjisimkan Allah atau menyamakan Allah dengan makhluk.


Dua kaedah dalam menafsirkan ayat mutasyabihat:

Kaedah tafwidh ma’a tanzih

Madzhab ini mengambil zahir lafaz dan menyerahkan maknanya kepada Allah swt, dengan i’tiqad tanzih (mensucikan Allah dari segala penyerupaan). Ditanyakan kepada Imam Ahmad bin Hanbal masalah hadis sifat, dia berkata "Kita percaya dengan hal itu, dan membenarkannya tanpa bertanyakannya bagaimana, dan tanpa makna". Kaedah inilah yang juga di pegang oleh Imam Abu hanifah.

Kaedah takwil
Kaedah ini melakukan takwil dan menafsirkan makna yang sesuai dengan keesaan dan keagungan Allah swt, dan kaedah ini arjah (lebih baik untuk diikuti) kerana terdapat penjelasan dan menghilangkan awhaam (khayalan dan syak wasangka) pada muslimin umumnya. Sebagaimana Imam Syafie, Imam Bukhari, Imam Nawawi dan lain-lain.


Wednesday, May 4, 2016

NOTA AKIDAH - SIFAT MA'NAWIYAH


Sifat ma'nawiyah adalah sifat hal/ahwal/keadaan yang melazimi sifat Ma'ani iaitu kesan perbuatan dari sifat Ma'ani. Contoh, sifat Qudrah (pekuasa) adalah sifat Ma'ani, dengan adanya sifat Qudrah ini maka Allah ta'ala sentiasa berkuasa (sifat Ma'nawiyah) mencipta alam ini. Dan sifat hayah (Pehidup) Allah keadaan hidup. Sifat Ma'nawiyah wujud di sebabkan adanya sifat Ma'ani.

Sifat ini sabit mengikut jalan al-Maturidiyah manakala al-Asya'irah menafikan sifat keadaan, namun kedua mazhab ini bersepakat bahawa sifat kesempurnaan adalah wajib bagi Allah.


Saturday, April 23, 2016

NOTA AKIDAH - SIFAT MA'ANI


Ma'ani berasal dari perkataan makna/maksud. Sifat Ma'ani dapat difahami dalam fikiran. Contoh sifat Ma'ani pada manusia ialah mendengar, dapat difahami mendengar itu dengan telinga. Mendengar itu adalah sifat Ma'ani. Sifat Ma'ani wujud dan sabit pada Zat Allah sejak azalli.

Dalam menghurai sifat Ma'ani ni saya menggunakan kaedah Tuan Guru HJ Soleh Musa pondok sik seperti yang beliau ambil dari Guru beliau iaitu Pak Dak Eil al-Fathoni dalam kitab Bakuroh al-Amani, maka akan sedikit berbeza dengan apa yang kta belajar di sekolah dan dalam buku-buku sekolah atau kitab-kitab jawi yang lain.

Sebagai contoh di sek dahulu kita belajar bahawa sifat Allah adalah berkata, mengikut kaedah Tuan Guru Hj Soleh beliau menggunakan perkataan pekata, pehidup, pelihat dan pedengar dengan imbuhan 'pe'. Kaedah penterjemahan ini menggunakan terjemahan kepada sifat dengan makna ismi bukan makna masdari berdasarkan alasan “barang yang menunjuk di atas zat”dan makna masdari itu menunjuk di atas perbuatan dan perbuatan itu setengah dari al-umur al-i’tibari (perkara yang difahami dan lebih kepada tiada).

1. QUDRAH (Maha Kuasa/pekuasa)
Qudrah dari segi bahasa bermaksud kekuatan /kemampuan. Kebiasaan orang kampung sebut 'ada kudrat'. Sifat Qudrah Allah wujud pada Zat Allah sejak azalli, bermaksud Qudrah adalah sifat dan ia bukan zat (diri) Allah ta'ala. Dgn sifat Qudrah Allah dapat mencipta sesuatu atau meniadakannya sesuai dengan iradat (kehendak)-Nya. Firman Allah ta'ala : "Dan tiada suatu pun yang dapat melemahkan Allah baik di langit atau di bumi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. " (Al-Fatir : 44)

2. IRADAH (Pekehendak)
Maksud dari segi bahasa ialah kehendak, mahu, ingin. Sifat Iradah sabit pada zat Allah sejak azalli. Apa yang ditakdirkn adalah dari kehendak Allah sama ada takdir yang baik dan jugak takdir yang buruk.

Kehendak berbeza dengan arahan, ada perkara Allah kehendaki lalu Allah memerintahknnya, ada perkara Allah kehendak tapi Allah tidak memerintahknnya. Contoh Allah tidak arahkan seseorang untuk jadi kafir tapi Allah kehendak dia jadi kafir. Iradah Allah hanya pada perkara harus sahaja. Contoh Allah kehendak kanak-kanak kecil mati atau trus hidup. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya perkataan kami terhadap sesuatu apabila kami mengkehendakinya kami hanya mengatakan kepadanya "kun"(jadilah), maka jadilah ia. " (an-Nahl:40)

3. ILMU (Pengetahu)

Ilmu Allah wujud pada azali dan meliputi setiap perkara yangg wajib, harus dan mustahil. Ilmu Allah tidak memerlukan usaha seperti belajar atau membaca dan tiada satu pun yang terlindung dari ilmu Allah ta'ala. Usaha untuk mendapatkan ilmu seperti belajar adalah sifat makhluk yang bersifat baharu di mana dulu jahil berubah mnjadi mengetahui. Firman Allah ta'ala: "Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan. " (Al-A'raf: 89)

Firman Allah ta'ala: “Dan Allah memiliki kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu basah atau kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)” (Al-An’aam:59)

Firman Allah ta'ala: "..Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya.." (al-Baqarah: 255).

4. HAYAH (Pehidup)
Hidup Allah kerana Zat-Nya, hidup manusia kerana roh. Bukti Allah ada sifat Pehidup adalah adanya sifat Qudrah. Sifat Pehidup Allah sabit sejak azali. Firman Allah ta'ala: "Tiada Tuhan melainkan Dia yang Hidup kekal dan berterusan mengurus makhluk-Nya " (Ali 'imran: 2)

Firman Allah ta'ala: "Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya." (al-Baqarah: 255).


5. KALAM (Pekata)
Pekata Allah Ta’ala iaitu sifat yang sedia adanya pada zat-Nya yang tiada berhuruf dan tiada bersuara tiada terdahulu dan tiada kemudian. Sekiranya Allah tidak bersifat dengan sifat kalam nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu bisu. Bisu itu sifat kekurangan maka adalah mustahil Allah bersifat dengan kekurangan wajiblah kita percaya Dia bersifat dengan kesempurnaan.

Lafaz al-Qur'an yang kita baca adalah kalam Allah dalam bentuk lafaz. Boleh dikatakan al-Qur'an yang dicetak itu baharu (makhluk) jika untuk mengajar, tetapi jika di tempat awam maka haram mengatakannya begitu.

kalam Allah terbahagi kepada dua: 

Pertamanya ialah Kalam Allah yang nafsi. Inilah kalam Allah yang tidak berhuruf dan bersuara dan merupakan kalam yang hakiki. Sifat Kalam ini sentiasa ada bagi Allah dan tidak pernah berpindah dari zat Allah kerana ia merupakan sifat Allah yang qadim lagi azali dan bukannya makhluk.

Keduanya ialah Kalam Allah yang lafzi. Iaitu kalam Allah yang tersurat di dalam mushaf, berhuruf dan bersuara dan yang dituturkan oleh malaikat Jibril kepada nabi Muhammad saw.

Kalam Allah yang nafsi itulah kalam-Nya yang hakiki yang tidak berhuruf dan tidak bersuara.Selama-lamanya bagi Allah dan tidak berpindah kepada yang lain. Al-Quran itu disebut kalam Allah kerana ianya menunjukkan kepada makna kalam Allah yang hakiki yang ada pada zat Allah yang mana Al-Quran itu berasal daripada kalam Allah yang nafsi yang hakiki itu, dan malaikat Jibril memahaminya daripada Allah hal keadaannya tidak berhuruf dan bersuara.

Firman Allah ta'ala: "Dan Allah telah berbicara kepada Musa secara langsung (tanpa perantaraan). " (al-Nisa': 164)

6. SAMA' (Pedengar)
Sifat yang azali pada Zat Allah ta'ala. Tugas sifat ini adalah meliputi semua yang wujud sama ada yang jelas atau tersembunyi, yang bersuara atau tidak. Sifat Pedengar Allah tidak sama dengan makhluk, sifat mendengar makhluk adalah dibatas oleh jarak dan boleh dihalang oleh sesuatu dari didengari. Sifat mendengar makhluk adalah dengan adanya gelombang pada urat dalam telinga yang sampai padanya gelombang suara.

Firman Allah ta'ala: "Aku Maha mendengar dan Maha Melihat " (Thaha: 46)

7. BASOR (Pelihat)
Sifat pelihat adalah azali pada Zat Allah ta'ala, Allah Maha melihat setiap sesuatu yang wujud, sama ada yang jelas atau tersmbunyi. Sifat Pelihat Allah tidak sama dengan makhluk. Makhluk melihat melalui perantara bola mata, perlukan cahaya dan serba Kelemahan. Sifat Pelihat Allah tidak dibatasi dengan jarak atau terhijab dengan sesuatu dan sifat Pelihat Allah tidak memerlukan anggota untuk melihat.

Firman Allah ta'ala: "...Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat " (As-Syura: 11)

Tuesday, April 19, 2016

NOTA AKIDAH - SIFAT NAFSIYYAH DAN SALBIYYAH


SIFAT NAFSIYYAH

Adalah sifat yang menetapkan adanya zat (diri) Allah ta'ala semata-mata tanpa ada sebarang tambahan pada zat Allah ta'ala. Sifat ini hanya ada satu iaitu sifat wujud Allah.

Adanya alam ini adalah dalil wujudnya Tuhan yang mencipta iaitu Allah ta'ala. Alam ini bersifat dengan sifat yang baharu (berubah-rubah, dahulu tiada sekarang ada) membuktikan Allah menciptakan alam ini dari tiada kepada ada, menciptakan perkembangan dan perubahan alam ini peringkat demi peringkat. 

Sifat Wujud Allah adalah wajib bermaksud sifat ini wajib ada dan mustahil tiada sifat wujud, malah jika alam ini tiada pun Allah tetap wujud tanpa ada permulaan.

Wujud Allah tidak memerlukan sesuatu yang membantu-Nya untuk wujud seperti memerlukan tempat, udara, graviti, atau kerusi. Ini kerana jika Allah memerlukan bantuan yang lain untuk wujud maka Allah bersifat dengan sifat yang lemah iaitu memerlukan bantuan. Allah tidak memerlukan bantuan sesuatu malah Allah-lah Maha memberi pertolongan.


Firman Allah ta'ala: ”Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia beristawa di atas Arasy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam”.( Al-A’râf: 54).

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa makhluk ciptaan-Nya mengalami perubahan berperingkat dan Dia-lah yang mencipta alam ini.


SIFAT SALBIYYAH
Sifat salbiyyah tidak tetap dan tida ada pada Zat, perbahasan sifat ini hanya menolak sifat-sifat yang tidak patut dan layak kepada Zat-Nya Allah ta'ala. Sifat Salbiyyah adalah sifat yang tertelok/ternafi segala sifat-sifat yang tidak layak dan tidak patut bagi Allah ta'ala, sebab Allah Maha sempurna dan tidak memiliki sedikit pun kekurangan.


1. SIFAT QIDAM  (tiada awal bagi kewujudan Allah ta'ala).
Dalilnya ialah jika Allah tidak bersifat dengan sifat Qidam bermaksud wujud Allah ada permulaan, adanya permulaan pula bermakna ada pencipta lain yang mencipta Allah yang mana sifat ini sama seperti sifat makhluk lainya, maka ada Allah juga diciptakan dari tiada kepada ada, ini adalah mustahil bagi Allah ta'ala yang Maha Menguasai alam ini.


Firman Allah ta'ala: “Dialah yang Awal dan yang Akhir, yang Lahir dan yang Batin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu” (Al Hadiid:3)


2. BAQA (Tiada akhir bagi kewujudan Allah ta'ala)
Dalilnya ialah jika Allah tidak bersifat dengan Baqa maka akan ada pengakhiran atau bianasa pada suatu hari nanti, maka mustahil Allah bersifat dengan sifat binasa/musnah malah Allah tiada bagi-Nya tempoh masa tertentu, tiada batasan waktu dan tidak memerlukan masa untuk membatu kewujudan-Nya.

Bagi Allah ta'ala tiada akhir bermaksud kewujudan Allah adalah kekal tanpa ada had atau tempoh waktu tertentu walau alam ini musnah semuanya. 

Firman Allah: "...Manakala Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan tetap kekal. " (ar-Rahman: 26-27)


Firman Allah: "Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nya lah segala penentuan, dan hanya kepada-Nya kamu dikembalikan.” (al-Qashash: 88).


3. MUKHALAFATUHU LIL HAWADITH (Bersalahan Allah dengan yang baharu)
Semua makhluk yang telah diciptakan dan seluruh alam ini bersifat baharu yang berlaku dan terkesan dengan perubahan. Segala yang terlihat oleh mata dan yang tergambar/terlintas dalam fikiran atau bayangan adalah berlawanan dan tidak sama dengan Allah ta'ala.


Mukhalafatu Lil Hawadith ( Berbeda dengan yang baharu ) adalah sifat yang menolak adanya persamaan Zat, Sifat dan Perbuatan Allah dengan Zat, sifat dan perbuatan baharu, dengan makna lain Allah tidak seperti makhluknya.

Firman Allah SWT : "Dan tiada sesuatu pun yang sama dengan Dia (Allah)" (al-Ikhlas: 4)


Firman Allah SWT : "Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS. As-Syura : 11).


4. QIAMUHU BINAFSIHI (berdiri Allah dengan diri-Nya sendiri) 
Berdiri di sini dengan maksud wujud. Wujud Allah tanpa perlu bantuan, pertolongan atau kerjasama. Allah tidak perlukan zat (diri) selain-Nya untuk wujud. 

Allah tidak memerlukan tempoh masa, waktu, Allah tidak memerlukan graviti atau udara untuk wujud. 
Firman Allah SWT : "Sesungguhnya Allah ta'ala benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan yang lain) dari semesta alam " (al-Ankabut:6)



5. WAHDANIAH (Esa/Tunggal/tidak berbilang)
Esa Allah pada zat(diri)-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya tanpa ada persamaan dan bandingan dengan sesuatu pun yang lain.

Zat Allah tidak seperti jisim dan jirim yang tersusun dari gabungan unsur sehingga membentuk seperti ada anggota badan.

Jika Allah ada dua atau tiga (berbilang) maka tidak tercipta alam ini kerana akan ada perselisihan, akan ada satu Tuhan yang lebih kuat dari Tuhan kedua dan akan berlaku kuasa yang berasingan, ini adalah mustahil bagi Allah.

Firman Allah SWT : "Jika ada di langit dan bumi Tuhan-Tuhan selain Allah nescaya rosaklah langit dan bumi " (al-Anbiya':22) 

Wednesday, April 13, 2016

NOTA AKIDAH - SIFAT ALLAH TA'ALA


Sifat Allah terlalu banyak tidak terhitung. Namun hanya ada 20 sifat yang wajib dipelajari setelah dikaji secara mendalam oleh ribuan ulama sejak ratusan tahun yang dipelopori oleh Imam Abu Hasan al-Ash'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Sifat 20 terbahagi kepada empat (4) bahagian.
1. Sifat Nafsiyiah
2. Sifat Salbiyiah
3. Sifat Ma'ani
4. Sifat Ma'nawiyah.

Sifat Nafsiyah ada 1 sahaja iaitu sifat wujud Allah ta'ala.

Sifat Salbiyiah ada 5:
1. Qidam
2. Baqa
3. Mukhalafatuhu lil hawadith
4. Qiyamuhu binafsihi
5. Wahdahniyah

Sifat Ma'ani ada 7:
1. Qudrah
2. Iradah
3. Ilmu
4. Hayah
5. Sama'
6. Basar
7. Kalam

Sifat Ma'nawiyah ada 7:
1. Qadirun
2. Muridun
3. Ilmun
4. Hayyun
5. Sami'un
6. Basirun
7. Mutakallim


Tuesday, April 12, 2016

NOTA AKIDAH - CARA MENGENAL ALLAH, IMAN DAN ISLAM



WAJIB MENGENAL ALLAH TA'ALA
Awal agama adalah makrifah (mengenal) Allah

Wajib makrifah dan cukup syarat dengan hanya taklid (yakin tanpa tahu dalil) akan sahnya Iman. Mengenal Allah itu dengan mengenal sifat-sifat Allah, bukan mengenal zat (diri) Allah ini krn tiada siapa dpt mengenal zat Allah.


"Janganlah kamu berfikir tentang Zat Allah tp berfikirlah tentang ciptaan Allah. " (HR. Abu Nu'aim)


CARA MENGENAL ALLAH TA'ALA
Mengenal Allah ta'ala adalah dengan cara berfikir, mengkaji, melihat ciptaan alam ini bermula dengan melihat ciptaan pada diri sendiri kemudian ciptaan di langit dan bumi.

Maksud melihat ialah mendapatkan sesuatu melalui mata.

Maksud berfikir ialah gerakan jiwa pada suatu yang dapat difahami.

Terciptanya alam ini adalah dalil/bukti akal bahawa ada Pencipta yang Maha Agong iaitu Allah ta'ala.


ALAM SEMESTA
Alam ini telah diciptakan tanpa ada contoh sebelumnya, bermakna sebelumnya ia tiada dan kemudian wujud dan akan binasa pada suatu hari nanti, maka sifatnya adalah baharu (berubah-rubah). Alam ini sifatnya jirim dan jisim dan boleh binasa/musnah, bagi setiap perkara yang boleh berubah dan boleh musnah bermakna adanya Pencipta baginya iaitu Allah ta'ala yang bersifat sedia ada tanpa ada permulaan dan pengakhiran(Qidam) serta tidak akan binasa (Baqa).


IMAN
Iman adalah membenarkan, mempercayai, meyakini ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw di hati kemudian menzahirkannya dengan ucapan dan amalan.

Menzahirkan dengan ucapan adalah dengan mengucapkan kalimah syahadah kecuali bagi orang yang bisu. Orang yang bisu boleh guna bahasa isyarat untuk menzahirkan keimanannya.

Sah iman anak-anak orang Islam tanpa mengucap, dan bagi anak-anak orang kafir (secara keturunan) disyaratkan mengucap.


IMAN MENINGKAT DAN BERKURANG
Iman boleh meningkat dan berkurang disebabkan oleh amalan. Amalan menyempurnakan iman. Jika iman tidak berubah maka iman orang soleh adalah sama dengan iman pelaku maksiat, ini adalah mustahil. Manakala Iman malaikat tidak berubah. Yang berubah-rubah adlh iman manusia dan jin.


ISLAM
Maksud Islam ialah patuh, taat, tunduk. Iaitu taat dan patuh pada semua ajaran Nabi saw. Islam berbeza dengan iman tetapi ia saling melazimi iaitu tanda keimanan adalah dengan Islam dan tanda Islam adalah dengan keimanan. Islam itu menyatakan / menzahirkan keimanan.

Iman tanpa Islam: Iman tanpa Islam menjadikan seseorang fasik sebagai contoh orang yang beriman tetapi tidak menunaikan solat.

Islam tanpa iman: Islam tanpa iman menjadikan seseorang tergolong dalam golongan munafik iaitu orang yang zahirnya Islam tetapi hatinya kufur, sebagai contoh dapat lihat seseorang itu menunaikan solat tetapi hatinya tidak beriman.


Thursday, March 31, 2016

NOTA AKIDAH - MUKALLAF, HUKUM AKAL, TAKLID


Mukallaf
Seseorang yang atasnya ada hukum, sama ada wajib, haram, sunat, makruh atau harus. Setiap tindakan, perbuatan dan apa sahaja keadaan yang berlaku atas seseorang akan melibatkan hukum yang lima ini.

Syarat Mukalaf
1. Baligh (mengecualikan Budak kecil, orang mati sebelum baligh)
2. Berakal (mengecualikan orang gila, mabuk, pengsan atau pitam)
3. Sampai dakwah (orang yang jauh dalam hutan atau atas gunung yang tidak sampai dakwah)
4. Sempurna pancaindera (tidak buta atau tuli)

Manakala bagi golongan jin pula dikira Mukalaf sejak dijadikan


Hukum syarak melibatkan amalan ada lima
1. Wajib
2. Haram
3. Sunat
4. Makruh
5. Harus

Hukum Akal: Hukum syarak tanpa melibatkan amalan seseorang. Ia terbahagi kpd tiga :
1. Wajib pada akal
2. Mustahil pda akal
3. Harus pda akal

Wajib pada akal:
Sesuatu itu mesti ada dan mustahil ketiadaannya

Mustahil pada akal:
Sesuatu itu mesti tiada dan mustahil ia wujud/ada

Harus pada akal:
Sesuatu itu boleh ada, dan boleh juga tiada

Contoh: wajib adanya Tuhan yang mencipta alam ini, mustahil tiada Tuhan yang mencipta alam ini, dan harus bagi Tuhan mencipta alam ini.

Iman orang yang taklid
Taklid: Beriman dengan hanya melalui perkataan orang lain tanpa mengetahui dalil / bukti

Iman orang yang taklid mudah dipengaruhi fahaman sesat, Iman mudah goyah dan sntiasa ada keraguan dlm hati.

Orang yang taklid masih dikira beriman tetapi berdosa jika berkeupayaan mengkaji.



Friday, March 25, 2016

NOTA AKIDAH - DEFINISI ILMU TAUHID DAN IKHLAS





Ilmu
Bermaksud mendapatkan/memahami sesuatu perkara secara hakikatnya(yang sebenarnya). Lawan bagi ilmu adalah jahil(tidak mengetahui).


Jahil
Jahil ada dua jenis

1. Orang yang tidak mengetahui dan dia sedar dirinya jahil. 

2. Orang tidak mengetahui dan dia tidak sedar yang dia dalam keadaan jahil.


Ilmu Tauhid
Ilmu ini adalah ilmu yang paling utama, tauhid menjadi asas agar segala amalan diterima Allah. Wajib bagi setiap orang yang cukup syarat mempelajarinya dengan maksud mendapat pahala bagi orang yang mempelajarinya dan berdosa meninggalkannya(tidak mahu mempelajarinya).

Wajib mengetahui perkara akidah dan dalil-dalilnya secara umum bagi orang yang tidak mampu(tiada keupayaan mengkaji) dan secara terperinci bagi orang yang mampu(berkeupayaan mengkaji). Keyakinan akan kewujudan Allah itu memerlukan kita mengenal Allah dan mengenal Allah itu melalui ilmu tauhid. Ilmu tauhid membersihkan hati dari keraguan terhadap agama, menjadi benteng dari pemahaman yang sesat, khurafat, dan syirik serta terhindar dari tertipu dengan bisikan syaitan.

Dengan mempelajari ilmu tauhid dapat menetapkan akidah dalam diri yang diperolehi dari dalil-dalil/bukti bersumberkan dari al-Quran, as-Sunnah dan akal yang diyakini dan dapat mengenal Allah SWT serta mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Perbincangannya berkaitan dengan zat (diri) Allah SWT, zat para Rasul, perkara yang mungkin (boleh berlaku dan boleh tidak berlaku) dan perkara samiyyat (perkara diceritakan tetapi tidak pernah dilihat)

Ilmu ini disusun oleh Abu Hasan al-Asyari dan Abu Mansur al-Maturidi serta pengikut mereka berdua.


Ikhlas
Melakukan sesuatu perkara dengan mengharap balasan dari Allah SWT. Ikhlas ada pada 3 bahagian.
  1. Melakukan sesuatu kerana patuh pada suruhan dan larangan Allah
  2. Mengharapkan pahala/ganjaran dan selamat dari seksa/bencana/azab
  3. Mengharap Allah memuliakan kita di dunia dan dijauhkan dari bencana di akhirat

Thursday, March 24, 2016

NOTA AKIDAH - PERMULAAN PENYEBARAN ISLAM


Allah memberi petunjuk (agama) melalui Nabi Muhammad saw kepada semua manusia, jin dan makhluk lainnya secara umum. Kemudian disebarkan oleh para sahabat Nabi saw dan bersambung dari generasi ke generasi Seterusnya.


Nabi saw diutuskan sebagai rahmat seluruh alam bagi mewujudkan kebaikan, menjaga kepentingan / hak, membasmi kemudaratan, menegakkan tujuan agama (Jaga agama, nyawa, harta, akal dan maruah), dan mengajar cara beribadat menyembah Allah.



Para sahabat Nabi saw ialah orang yang pernah berjumpa / berkumpul bersama Nabi saw dan beriman pada kerasulan Nabi saw setelah baginda diangkat menjadi Nabi, walaupun mereka buta atau belum baligh.



Dipanggil mereka sahabat Nabi saw apabila wafatnya mereka dalam agama Islam walaupun pernah melakukan maksiat.



NOTA AKIDAH - AGAMA ISLAM


الدين ( Agama Islam):

Bermaksud sesuatu yang telah disyariatkan (hukum/peraturan) oleh Allah SWT melalui Nabi-Nya.

Perkara agama merangkumi 4 perkara:
1. Niat ikhlas
2. Melakukan perkara yang diwajibkan
3. Menjauhi perkara yang dilarang
4. Mempunyai aqidah yang mantap

Manusia yang hidup pada zaman tidak diutuskan Nabi (kecuali ahli kitab yahudi dan nasrani) mereka digelar ahli fatrah yang selamat dari azab neraka. Mereka termasuklah ibu bapa Nabi Muhammad saw.

NOTA AKIDAH - NABI DALAM ISLAM


Nabi ialah manusia dari jenis lelaki dari keturunan Adam alaihissalam yang merdeka (bukan hamba), diberikan wahyu syarak untuk diamalkan dan tidak diperintah untuk disampaikan.

Tidak menjadi Nabi dari kalangan wanita, hamba, orang yang buruk akhlak, kanak-kanak, jin dan malaikat.

Sebahagian Nabi diceritakan dan sebahagian lagi tidak diceritakan.

Manakala bagi Rasul bezanya adalah diperintahkan ntk menyampaikan wahyu. Semua Rasul adalah Nabi dan bukan semua Nabi adalah Rasul.

NOTA AKIDAH - MAKNA TAHMID DAN SOLAWAT


Alhamdulillah ada lima.
1. Hamid : org yg memuji
2. Mahmud: org yg dipuji
3. Mahmud bih: makna pujian
4. Mahmud alaih: sesuatu yg membangkitkn pujian
5. LafaZ memuji

Empat jenis pujian:
1. Puji Allah pada diriNya sendiri
2. Puji Allah pada para Nabi, Wali, orang soleh
3. Puji dari makhluk kpd Allah
4. Pujian makhluk kpd sesama makhluk

Tiga makna solawat:
1. Berdoa
2. Solat
3. Solawat dari Allah (Rahmat Allah) / solawat dari malaikat (istighfar malaikat) / solawat dari manusia (doa kebaikan)

Maksud Salam
1. Aman sejahtera
2. Mengucapkan selamat / sejahtera
3. Sifat Allah yg Maha memelihara (as-Salam)

Thursday, January 7, 2016

BAGINDA NABI MUHAMMAD SALLA ALLAHU A’LAIHI WASALLAM BUKAN MANUSIA BIASA


Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam adalah manusia biasa, Baginda mengalami apa yang dialami manusia umumnya seperti sifat-sifat yang ada pada manusia lainnya. Baginda juga boleh jatuh sakit namun sakit yang dialami tidak mengurangkan kedudukan Baginda, tidak menjadi hina dan tidak menyebabkan Baginda dijauhi masyarakat.

Seperti manusia biasa lainnya Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam juga tidak mampu memberi manfaat, bahaya, mematikan dan menghidupkan kecuali dengan izin dan kehendak Allah. Firman Allah yang ertinya : Katakanlah: "Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. dan Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".(al-A`raaf :188)

Baginda juga telah menyebarkan risalah, menyampaikan amanah, menyedarkan ummat, menghilangkan kesedihan dan berjihad fii sabilillah sehingga Baginda pulang ke hadrat Allah dalam keadaan redha dan mendapat keredhaan, seperti yang digambarkan dalam firman Allah, ertinya: Sesungguhnya kamu akan mati dan Sesungguhnya mereka akan mati (pula).” 
(Az-Zumar:30).

Kehambaan adalah sifat Baginda yang paling mulia. Kerana itu Baginda membanggakannya dan berkata : “Saya hanyalah seorang hamba”. Allah sifatkan Baginda dengan kehambaan namun dengan kedudukan tertinggi, firman Allah : Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.” (Al-Israa : 1).

Firman Allah yang lain : "Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadah), hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya."
(Al.-Jinn:19)

Baginda adalah manusia namun berbeza dengan manusia biasa. Baginda memiliki perbezaan yang tidak mungkin disamakan dengan manusia biasa. Sebagaimana penilaian Baginda tentang dirinya : Aku tidak sama dengan kalian. Sesungguhnya aku bermalam di sisi Allah diberi kekuatan sebagaimana orang yang makan dan minum”.

Maka jelaslah bahawa status kemanusian Baginda wajib disertai dengan sifat-sifat yang membezakannya dengan manusia umumnya. Keistimewaan ini bukan hanya diberikan khusus pada Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam sahaja namun juga diberikan pada rasul-rasul yang lain.



Penilaian ke atas para rasul jika dinilai hanya seperti manusia biasa tanpa membezakan keistimewaan yang ada pada mereka adalah merupakan penilaian jahiliyah yang musyrik. Dalam Al-Qur’an terdapat banyak dalil mengenai masalah ini. Diantaranya adalah ucapan kaum Nuh terhadap Nabi Nuh dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka, yang ertinya: “Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir dari kaumnya: "Kami tidak melihat kamu, melainkan (sebagai) seorang manusia (biasa) seperti Kami, dan Kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina dina di antara Kami yang cepat percaya saja, dan Kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apa pun ke atas Kami, bahkan Kami yakin bahawa kamu adalah orang-orang yang dusta". ( Hud : 27).

Ucapan kaum Nabi Musa dan Nabi Harun terhadap mereka berdua dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka, yang ertinya : “Dan mereka berkata: Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita (juga), padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?" (Al-Mu’minuun : 47 )

Ucapan kaum Tsamud kepada Nabi mereka Soleh dalam peristiwa yang diceritakan Allah tentang mereka yang ertinya, : “Kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti kami; Maka datangkanlah sesuatu mukjizat, jika kamu memang termasuk orang-orang yang benar". (Asy-Syu’araa’ : 154).

Ucapan Penduduk Aikah kepada Nabi mereka Syu’aib dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka yang ertinya : “Mereka berkata: "Sesungguhnya kamu adalah salah seorang dari orang-orang yang kena sihir. Dan kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti Kami, dan Sesungguhnya Kami yakin bahawa kamu benar-benar termasuk orang-orang yang berdusta”. (Asy-Syu’araa’ : 186).

Ucapan kaum musyrikin terhadap Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam yang memandang Baginda semata-mata sebagai manusia dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka: ”Dan mereka berkata: "Mengapa Rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang Malaikat agar Malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?” (Al-Furqaan : 7)

Nabi telah mengkhabarkan status dirinya  yang mempunyai sifat-sifat luhur dan hal-hal yang melampauai kebiasaan yang menjadikan Baginda berbeza dengan manusia lain. Sabda Baginda dalam sebuah hadits shahih : “Kedua mataku terpejam namun hatiku tetap terjaga”.

Baginda bersabda: “Saya mampu melihat kalian dari belakangku sebagaimana melihatmu dari depan”.

 Baginda bersabda: “Saya dianugerahkan pintu-pintu gudang dunia”.

Meskipun telah wafat, Rasulullah tetap hidup dalam bentuk kehidupan barzakh yang sempurna. Baginda mampu mendengar perkataan, membalas salam dan solawat orang yang bersolawat kepada Baginda. Amal perbuatan ummat disampaikan ole Allah kepada Baginda hingga Baginda berbahagia atas perbuatan orang-orang yang baik dan beristighfar terhadap orang-orang yang melakukan dosa. Allah juga mengharamkan bumi untuk memakan jasadnya. Jasad Nabi terlindungi dari hal-hal yang bersifat merosak dan dari apa pun yang berada dalam tanah.

Dari Aus ibn Aus R.A , ia berkata , “Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda :
Salah satu hari yang paling utama adalah hari Jum’at, pada hari itu Adam diciptakan dan wafat, Israfil meniup sangkakala dan matinya seluruh makhluk. Maka perbanyakkanlah bersalawat untukku pada hari Jum’at. Kerana salawat kalian disampaikan kepadaku”. Wahai Rasulullah, bagaimana shalawat kami sampai kepadamu padahal tubuhmu telah hancur?” tanya para sahabat. Jawab Rasulullah:“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan bumi untuk memakan jasad para Nabi.”. ( HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ibn Hibban dalam kitab shahihnya serta Al-Hakim yang menilai hadits ini shahih ).

Berkaitan hal ini, Al-Hafizh Jalaluddin As-Suyuthi menyusun sebuah risalah khusus yang berjudul ‘Inbaa’ul Adzkiyaa’ bi Hayaatil Anbiyaa’.

Dari ibnu Mas’ud Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda :
Hidupku lebih baik buat kalian. Kalian berbicara dan aku berbicara kepada kalian. Dan jika aku meninggal dunia maka kewafatanku lebih baik buat kalian. Amal perbuatan kalian disampaikan kepadaku. Jika aku melihat amal baik aku memuji Allah dan jika aku melihat amal buruk aku beristighfar buat kalian”. Al-Haitsami berkata, “Hadits ini diriwayatkan oleh Al-Bazzaar dan para perawinya sesuai dengan standar perawi hadits sahih.

Dari Abu Hurairah RA dari Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam, Baginda bersabda : “Tidak ada seorang pun yang memberi salam kepadaku kecuali Allah mengembalikan nyawaku hingga aku membalas salamnya”. (HR. Ahmad dan Abu Dawud).

Sebagian ulama menafsirkan hadith di atas dengan mengembalikan kemampuan berbicara Baginda.

Dari ‘Ammar ibn Yaasir, Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda : …tidak ada seorang pun hingga hari kiamat yang menyampaikan salawat untukku kecuali malaikat itu menyampaikan kepadaku namanya dan nama ayahnya ; ini adalah si fulan anak si fulan yang telah menyampaikan salawat untukmu”.

Dari Al-Bazzaar dan Abu al-Syaikh ibn Hibban, Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya terdapat malaikat Allah yang telah diberikan semua nama makhluk oleh Allah. Malaikat itu berdiri di atas kuburanku jika aku meninggal. Maka tidak ada seorang pun yang menyampaikan salawat kepadaku kecuali si malaikat berkata, “Wahai Muhammad! fulan bin fulan telah menyampaikan salawat untukmu”. Rasulullah berkata, “Rabb Tabaraka wa Ta’ala merahmatinya. Untuk satu shalawat dibalas 10 rahmat”.


Meskipun Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam telah wafat namun keutamaan, kedudukan dan darjatnya di sisi Allah tetap abadi. Mereka yang beriman tidak akan ragu akan fakta ini. Kerana itu, bertawassul kepada Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam pada dasarnya kembali kepada keyakinan dengan meyakini Baginda dicintai dan dimuliakan Allah serta keimanan kepada Baginda serta risalahnya. Dan tawassul bukanlah bererti beribadah kepada Nabi Salla Allahu A’laihi Wasallam. Kerana Baginda betapa tinggi darjat dan kedudukannya tetaplah seorang makhluk yang tidak mampu menolak bahaya dan memberi manfaat tanpa izin Allah. Allah SWT berfirman yang ertinya: “Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahawa Sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". (Al-Kahfi : 110)

Sumber: Mafahim Yajibu an Tushokhah; Imam Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki