Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Friday, January 20, 2017

SOLAT MAGHRIB DI SURAU DALAM PASARAYA

1. IMAM perlu elak membaca surah yang panjang siap berlagu nahwan+bayati, berwirid panjang dan berzikir panjang seperti ustaz Abdullah Fahmi atau berdoa panjang seperti Syeikh Sudais.

2. MAKMUM perlu terus bangun dan beredar apabila sudah solat, cukup dengan hanya berzikir dan berdoa secara ringkas.

3. MAKMUM perlu pastikan waktu maghrib masih belum berakhir, nanti ada pula yang niat solat maghrib berimamkan solat isyak.

4. MAKMUM jangan pisahkan saf solat dengan barang yang dibeli, cuba letak di hadapan atau berbetulan di bawah perut ketika sujud.

5. MAKMUM please jangan biar jemaah lain beratur tunggu hang habis balas whatsap.

6. Cuba duduk secara IFTIRASY (seperti duduk pada tahiyat awal) apabila jumlah jemaah padat, jangan duduk secara tawarruk (duduk pada tahiyat akhir) nanti hampa terduduk atas kaki jemaah sebelah tambah jika kita berbadan besar, kang patah kaki beliau.


7. Bagi LELAKI, jangan lepak depan surau wanita kerana sudah tentu ada wanita yang sedang tukar pakaian, dalam surau pun nak skodeng?

Sunday, July 6, 2014

KEDUDUKAN SOLAT QABLIYYAH JUMAAT




Solat sunat Qabliyah Jumaat merupakan amalan yang secara lazimnya dilakukan oleh masyarakat kita khususnya di Tanah Melayu dan mazhab Syafie’ secara umumnya. Amalan ibadat ini telah berlaku khilaf antara para Ulamak tentang sabitnya dari Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam. Ia termasuk masalah ijtihadiyah, walau bagaimanapun jumhur Ulamak khususnya dalam mazhab Syafie’ menerima amalan ibadat ini. Berikut merupakan antara dalil dan penerangan Ulamak berkaitan masalah ini.


Hujah Pendapat yang Membolehkan Solat Sunat Qabliyah Jumaat
Dari Abdullah bin az-Zubair, Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada satu solat fardhu itu melainkan disunatkan solat sunat qobliyah dua rakaat.” (Riwayat Ibn Hibban)

Hadis ini secara umumnya menerangkan adanya solat sunat qobliyah di setiap solat fardhu termasuklah solat fardhu Jumaat. Hujjatul Islam al-Imam Ibn Hajar menjelaskan berdasarkan hadis di atas, beliau berkata:
“Yang terkuat untuk dijadikan dalil bagi solat Qabliyyah jumaat adalah merupakan hujjah umum sebagaimana hadits yang disohihkan oleh Ibn Hibban dari hadits Abdullah bin Zubair dengan riwayat Marfu’: “Tiadalah solat fardhu melainkan sebelumnya terdapat solat sunat Qabliyah.” (Fathul Baari al-Masyhur Juz 2 hal 426).

Hadith di atas disokong pula dengan hadith-hadith lain, antaranya ialah hadith berikut:
Abu Hurairah Radhiallahu’anhu berkata: “Adalah Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam solat sebelum jumaat empat rakaat dan selepasnya empat rakaat.” (Riwayat al-Bazzar)

Ibbnu Abbas berkata:“Adalah Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam solat sebelum jumaat empat rakaat, tidak dipisahkannya di antara rakaat-rakaatnya dengan sesuatu.” (Riwayat at-Tabarani)

Imam at-Tarmidzi meriwayatkan bahawa Ibnu Mas'ud RadhiAllahu'anhu solat empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya. Perbuatan sahabat Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam zahirnya adalah perbuatan yang diikuti daripada Rasulullah SallALlahu ‘alaihu wasallam. Malah sahabat Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam sehebat Ibnu Mas’ud ini adalah merupakan ikutan yang paling utama untuk kita ikuti selepas Baginda Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam.

Al-Imam al-Bukhari berkata dalam Sohihnya mengatakan, "Bab ini menjelaskan solat sunat Ba'diah dan Qobliyah jumaat...dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SallAllahu 'alaihi Wassalam selalu menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum zuhur dan sesudahnya." (Riwayat al-Bukhari) 

Dari Abdullah Radhiallahu’anhu, dia berkata, Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Di antara azan dan Iqamah ada solat bagi sesiapa yang ingin melakukannya.” Kemudian Baginda SallALlahu ‘alaihi wasallam mengulangi mengatakannya sebanyak tiga kali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Status Hadith ini adalah sohih, maksud hadis ini adalah umum, merangkumi semua solat fardhu yang ada padanya azan dan iqamah, termasuk juga solat Jumaat.

Dari Ummu Habibah Radhiallahu’anha berkata bahawa Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersembahyang empat rakaat sebelum solat zohor dan empat rakaat selepasnya, Allah akan haramkan api neraka ke atasnya (dijauhi daripada api neraka).”

Ulamak menegaskan bahawa solat Jumaat sama dengan solat zohor kerana solat Jumaat adalah pengganti kepada solat zohor. Oleh itu disunatkan juga melakukan solat sunat empat rakaat sebelumnya.

Dari Abu Hurairah Radhiallahu’anhu, berkata: Sulaik al-Ghathofani datang (ke Masjid) ketika Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah, lalu Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah kamu sudah solat sebelum datang ke sini?” Sulaik menjawab: “Belum.” Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Solatlah dua rakaat dan ringankan (membaca surah yang pendek).” (Sunan Ibnu Majah)

Al-Hafiz al-Iraqi mengatakan hadis ini Sohih. Manakala Syeikh Syihab ad-Din al-Qalyubi menyatakan bahawa dari hadis ini jelas menunjukkan bahawa solat yang dimaksudkan adalah solat sunat Qabliyah Jumaat. Solat ini bukan solat sunat Tahiyatul Masjid kerana pertanyaan Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam ialah “…sebelum datang kesini (Masjid)?”. Solat sunat Tahiyatul Masjid hanya dilakukan di Masjid, tidak boleh dilakukan di rumah atau di luar masjid.

Imam Syaukani dalam kitabnya Nail al-Authar menerangkan berkaitan hadis di atas mengatakan bahawa sabda Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam, “sebelum kedatanganmu” menunjukkan bahawa dua rakaat dimaksudkan itu ialah solat sunat sebelum Jumaat (Qobliyah), bukanlah solat sunat Tahiyyatul Masjid.

Berdasarkan hadis-hadis di atas, Imam Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab berkata: “Menerangkan solat sunat sebelum dan sesudah solat Jumaat. Disunatkan solat sunat sebelum dan sesudah solat Jumaat. Paling sedikit adalah dua rakaat sebelum dan sesudah solat Jumaat. Walau bagaimanapun yang paling sempurna ialah solat sunat dengan empat rakaat sebelum dan sesudah solat Jumaat.”
 
Berkata al-Allamah al-Muhaddith Mulla Ali al-Qari, “dan sesungguhnya telah datang dengan sanad yang bagus sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Iraqi bahawa sesungguhnya Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam bersolat sebelum Jumaat empat rakaat.”

Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Tidaklah seseorang mandi pada hari jumaat, lalu wuduk dengan sempurna, memakai wangi-wangian, lalu keluar menuju Masjid tanpa memisahkan dua orang yang duduk berdampingan, kemudian mengerjakan solat sunat beberapa rakaat yang dia mampu, lalu dia diam saat Imam berkhutbah, lalu diampuni dosa-dosanya yang terjadi antara jumaat itu dan jumaat lainnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Dapat difahami dari perkataan Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam “…kemudian mengerjakan solat sunat beberapa rakaat yang dia mampu…” membawa maksud terdapat solat sunat yang dianjurkan untuk kita lakukan sebelum Imam berkhutbah yang dikenali dengan solat sunat Qobliyah (sebelum) Jumaat. Malah solat sunat Tahiyyatul Masjid itu juga adalah sunat Qobliyah kerana solat sunat Tahiyyatul Masjid itu maksudnya ialah solat sunat yang dilakukan sebelum duduk setiap kali apabila masuk ke dalam Masjid.

Dalam Fiqhul Manhaji menerangkan bahawa solat sunat Tahiyyatul Masjid terhasil dengan solat fardhu atau dengan mana-mana solat sunat yang lain kerana maksud daripada Tahiyyatul Masjid ialah seseorang itu tidak duduk dalam Masjid tanpa menunaikan solat.

Dalil Pendapat yang Menolak Solat Sunat Qabliyyah Jumaat
Di sini dibawakan juga dalil pendapat yang menolat adanya solat sunat Qabliyyah Jummat, berdasarkan hadith Saib bin Yazid:
“Pada awalnya azan jumaat dilakukan pada ketika Imam berada di atas mimbar iaitu pada zaman Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan Umar. Dan setelah zaman Uthman dan manusia semakin Ramai, maka Uthman menambah azan menjadi tiga kali (memasukan iqamat).” Dalam riwayat Bukhari “..menambah azan menjadi dua kali (tanpa memasukkan iqamat).” (Riwayat semua Imam kecuali Imam Muslim)

Dari hadith ini Ibn al-Qayyim berpendapat bahawa Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam keluar dari rumah dan terus naik ke mimbar kemudian bilal mengumandangkan azan. Setelah azan Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam terus berkhutbah tanpa adanya pemisah antara azan dan khutbah. Oleh itu Ibnu al-Qayyim membuat kesimpulan bahawa Nabi SallALlahu ‘alaihi wasallam dan para Jemaah tidak melakukan solat sunat Qabliyyah Jumaat.

Juga terdapat penghujahan terhadap hadith-hadith di atas bagi menafikan adanya solat sunat qabliyah. Penghujahan itu juga mempunyai asas dengan pemahaman yang berbeza walaupun berpandukan hadith yang sama. Perbezaan ini melibatkan penilaian martabat hadith, kaedah memahami ayat sama ada bersifat umum atau khusus, perbezaan dalam memahami maksud Imam hadith yang memberi komen pada matan hadith dan lain-lain.

Kesimpulan
Mengenai solat dua rakaat sebelum jumaat hukumnya adalah sunat, sebagaimana sabit dari belasan hadits sohih yang menjelaskan bahawa Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam melakukan solat sunat qabliyyah zuhur dan ba’diyah zuhur, para ulama dan muhadditsin berpendapat bahawa solat jumaat adalah pengganti solat zuhur. (Fathul Baari al-masyhur Juz 2 hal 426)

Berkata al-Muhaddits al-Imam Ibn Majah ra : “mengenai solat Qabliyah Jumat merupakan hal yang kuat untuk dilakukan (tsabitah), walaupun diingkari oleh sebahagian Muhadditsin” (Sunan Ibn Majah hadits No.1130 juz 1 hal 79).

Demikian hal ini merupakan Ikhtilaf para Muhadditsin. Dan disunatkan untuk melakukannya adalah pendapat Imam Abu Hanifah, mazhab Syafi’ dan sebahagiaan Ulamak mazhab Hanbali. Manakala di sisi Imam Malik dan sebahagian Ulamak mazhab Hanbali mengata solat sunat qobliyah tidak disunatkan. Namun demikian tidaklah dikatakan solat sunat qabliyah ini suatu perkara bid'ah dholalah, haram dan si pelakunya melakukan perkara mungkar.

Pendapat Ulamak tentang sunatnya solat qobliyah sebelum Jumaat adalah lebih sorih (hujah yang tegas dan jelas) dan rajih (lebih kuat dan unggul). Cukuplah beratus ribu Ulamak yang membolehkan solat sunat qabliyah dilakukan, malah ia dianjurkan tanpa ada larangan oleh ulamak di Tanah Melayu sejak dahulu lagi sama ada dalam masyarakat secara lisan atau dalam kitab-kitab turath, dan juga pihak berkuasa Malaysia seperti JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan juga membolehkan solat sunat Qabliyah dilakukan.

Sumber: al-Fiqhu al-manhaji ‘ala mazhabil Imam as-Syafie’, Khilafiyah:Persolan dan Penjelasan, kenalilah aqidahmu 2. Mukhtasar Riadh as-Sholikhiin. http://www.idrusramli.com/2013/adakah-shalat-sunnah-qabliyah-jumat/

Thursday, July 3, 2014

MASALAH BERKAITAN DUA KALI WITIR DAN QADHA WITIR



Fatwa Syekh Athiyyah Shaqar

Abu Daud, an-Nasa‟i dan at-Tirmidzi meriwayatkan dalam sebuah hadits hasan, sesungguhnya Ali ra berkata, “Saya mendengar Rasulullah Saw bersabda: “Tidak ada dua Witir dalam satu malam”.
Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmidzi meriwayatkan dari Ummu Salamah, “Sesungguhnya Rasulullah Saw melaksanakan solat dua rakaat setelah solat Witir, beliau melaksanakan dalam keadaan duduk”.

Para ulama berpendapat, siapa yang melaksanakan solat Witir setelah solat Isyak, kemudian dia ingin melaksanakan Qiyamullail, maka dia boleh melaksanakan solat malam sebanyak mungkin, akan tetapi tidak boleh lagi melaksanakan solat Witir, kerana dia telah melaksanakan solat Witir sebelumnya.
Sebagaimana diketahui bahawa solat Witir dapat dilaksanakan pada waktu malam, setelah solat Isyak hingga terbit fajar (solat Shubuh). Jika seseorang khawatir tertinggal melaksanakan solat Witir, maka dianjurkan agar dia melaksanakannya di awal malam. Berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah:

“Siapa yang khawatir tidak terbangun di akhir malam, maka hendaklah ia melaksanakan solat Witir di awal malam. Siapa yang sangat ingin bangun tengah malam, maka hendaklah dia melaksanakan solat Witir di akhir malam, kerana solat di akhir malam itu disaksikan (para malaikat) dan itu lebih utama”.

Ketika Rasulullah Saw bertanya kepada Abu Bakar ra, “Bila kamu melaksanakan solat Witir?”. Beliau menjawab, “Di awal malam, setelah solat Isyak.” Ketika Rasulullah Saw bertanya kepada Umar ra, dia menjawab, “Di akhir malam”. Rasulullah Saw berkata, “Adapun engkau wahai Abu Bakar, engkau bersikap hati-hati. Sedangkan engkau wahai Umar, engkau bersikap kuat”. Maknanya tekad yang kuat untuk bangun melaksanakan Qiyamullail. 
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, dinyatakan sohih oleh Imam al-Hakim, menurut syarat Muslim. 
Jika solat Witir tertinggal, maka dapat diqadha’, demikian menurut jumhur ulama, berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, dinyatakan sohih oleh al-Hakim, menurut syarat al-Bukhari dan Muslim: “Apabila salah seorang kamu bangun pada waktu subuh, dan dia belum melaksanakan Witir, maka hendaklah dia melaksanakan solat Witir”. 
Abu Daud meriwayatkan:“Siapa yang tertidur (hingga tidak melaksanakan) solat Witir, atau terlupa. Maka hendaklah dia melaksanakannya ketika dia mengingatnya”. Sanadnya sohih, demikian dinyatakan oleh al-Iraqi.

Waktu mengadha’ solat Witir adalah terbuka, malam atau pun siang, demikian menurut Imam Syafi‟i. Imam Abu Hanifah pula melarang pelaksanaannya pada waktu-waktu terlarang untuk melaksanakanya. Imam Malik dan Ahmad berkata, “Diqadha’ setelah fajar, selama belum melaksanakan solat Shubuh”.

Sumber: Fatawa al-Azhar, juz. IX, hal. 154 [Maktabah Syamilah], somadmorocco.blogspot.com