Showing posts with label Sunnah. Show all posts
Showing posts with label Sunnah. Show all posts

Sunday, December 17, 2017

KELEBIHAN MENGAMBIL BERAT MASALAH SESAMA MUSLIM




عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و آله قال: الساعي على الأرملة و المسكين كالمجاهد في سبيل الله و أحسبه قال وكالقائم لا يفتر و كالصائم لا يفطر الساعي على الأرملة و المسكين كالمجاهد في سبيل الله و أحسبه قال و كالقائم الذي لا يفتر و كالصائم الذي لا يفطر (متفق عليه)

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Orang yang mengurus janda dan mengurus orang miskin sama (pahala) seperti orang yang berjihad di jalan Allah.” Dan sepertinya baginda bersabda: “Orang yang selalu solat sepanjang malam tidak pernah letih dan seperti orang yang berpuasa tidak pernah berbuka (setiap hari).” (Muttafaqun ‘Alaih)

قال (Rasulullah bersabda) الساعي (orang yang mengurus) على الأرملة و المسكين (mengurus janda dan orang msikin) كالمجاهد في سبيل الله (adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah) و أحسبه قال (dan sepertinya baginda bersabda) وكالقائم لا يفتر (seperti orang yang bertahajud tanpa jemu dan penat setiap malam) و كالصائم (dan seperti orang yang berpuasa ) لا يفطر (tidak pernah berbuka).

KELEBIHAN MENGAMBIL BERAT URUSAN MUSLIM
Dalam hadith ini Rasulullah SAW menceritakan kelebihan orang Islam yang peduli dan prihatin dalam hal berkaitan masalah dan keperluan sesama muslim, terutama golongan fakir miskin. Dalam Hadith ini Rasulullah SAW menyamakan pahala orang yang mengurus, orang yang menolong, dan orang yang memerhati keperluan janda dan orang miskin akan memperolehi pahala sama seperti orang yang berjihad di jalan Allah SWT, seperti orang yang melakukan tahajud tidak kenal penat dan seperti orang yang berpuasa sepanjang masa.

Hanya dengan mengurus keperluan, membantu, menyelesaikan masalah, menjaga kehormatan dan melindungi janda dan orang miskin, seseorang itu akan mendapat pahala berjihad di jalan Allah, mendapat pahala tahajud dan mendapatkan pahala puasa sepanjang masa.

IBADAH KHUSUS DAN IBADAH UMUM
Semua amal soleh di nilai sebagai ibadah oleh Allah SWT. Ibadah tidak terhad hanya kepada ibadah khusus seperti tahajjud, bertasbih, solawat, membaca al-Qur’an, solat qobliyah ba’diyah, dhuha, witir, tasbih, taubat, hajat, dan istikharah sahaja, malah memberi makan kepada binatang, memberikan pertolongan kepada wanita janda dan orang miskin juga ada nilai pahalanya.

MAKSUD الساعي
Berdasarkan Hadith ini, perkara  pertama yang keluar dari lisan Rasulullah SAW ialah الساعي على الأرملة و المسكين  iaitu orang yang memerhati, orang yang ambil peduli, orang yang menghulurkan pertolongan, melindungi, membantu, dan mengurus janda dan juga orang miskin. Perkataan  الساعي dalam hadith bukan merujuk kepada orang yang memberi duit atau mengeluarkan belanja, ini kerana sebahagian orang tidak mempunyai kemampuan membantu dari segi kewangan namun dia mampu menolong dari segi tenaga. Perkataan الساعي  memberi maksud pertolongan dari segi ilmu, idea, atau memberi makanan.

MAKSUD الأرملة
Perkataan الأرملة bermaksud janda, iaitu seorang perempuan yang suaminya meninggal dunia. Pada zaman dahulu wanita yang kematian suami bukan hanya hilang tempat bergantung malah dia akan hilang punca pendapatan, makanan, keperluan untuk anak-anak dan lain-lain keperluan. Dalam keadaan begini sudah tentu jiwanya lemah, memerlukan keperluan dan bantuan bagi meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anaknya.

MAKSUD ORANG MISKIN
Imam Nawawi berkata bahawa orang miskin itu ialah seseorang yang mencari nafkah tetapi apa yang dia perolehi tidak mencukupkan keperluannya. Mengambil berat terhadap orang miskin adalah tanda kita mencintai mereka, dan dengan mencintai mereka bermaksud kita telah mencontohi baginda Nabi SAW dan membenci mereka bererti kita tidak mengikuti akhlak Rasulullah, ini kerana Rasulullah sangat mencintai orang Miskin sehingga Nabi SAW berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan miskin dan kelak di hari kiamat Nabi SAW berdoa agar dibangkitkan bersama dengan orang-orang miskin.

MUSLIM ITU BERSAUDARA
Muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara, mereka seperti satu jasad. Jika salah satu organ dalam jasad kita sakit maka seluruh jasad akan merasa sakit. Oleh itu, jika ada Muslim yang mengemis dan hidup melarat, hati kita pasti akan merasa kasihan dan hancur.
Dalam sebuah Hadith riwayat Muslim, orang miskin yang mulia itu ialah orang miskin yang tidak mengemis walaupun dia sangat memerlukan. Namun kerap kali orang yang jahil menganggap orang yang tidak mengemis ini adalah orang yang kaya dan sombong kerana tidak mahu meminta-minta. Allah berfirman di dalam al-Qur’an:

يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ
Maksudnya: “Orang-orang yang bodoh menganggap orang-orang yang miskin seperti orang kaya kerana mereka miskin tetapi tidak pernah mengemis.”

Berbeza dengan orang yang berakal, mereka melihat orang Miskin dari aspek pakaiannya, kehidupan sehariannya dan rumahnya, orang yang berakal itu cukup hanya dengan melihat isyarat atau tanda.

Rasulullah SAW bersabda: كالمجاهد في سبيل الله (seperti orang yang berjihad di jalan Allah). Bahkan kata Nabi SAW, seperti orang yang tahajjud tidak pernah berhenti, seperti orang yang berpuasa tak putus-putus. Bukan semua dari kita mampu untuk berjihad di jalan Allah, melakukan tahajjud setiap malam, dan berpuasa setiap hari, akan tetapi melalui Allah memberi jalan kemudahan untuk mendapatkan pahala Jihad, pahala Tahjjud, dan pahala puasa iaitu dengan mengambil perhatian urusan Janda dan orang Miskin.

Nabi Muhammad Saw pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Thabrani: “Mengurus dan mengambil berat, menghulurkan pertolongan dan membantu saudaraku yang Muslim itu lebih aku sukai berbanding beritikaf di Masjid selama sebulan.”

Sumber: Majelisrasullullah.com; kitab Qutuful Falihin; Hadis yang ke 58; Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz



Friday, December 30, 2016

MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KIRI


Mentaati Perintah dan Anjuran Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Perintah, anjuran atau larangan dari Rasulullah SAW pasti ada hikmahnya. Kita perlulah menghormati, tunduk dan patuh pada perintah Nabi SAW. Firman Allah Ta’ala: “Barangsiapa yang menta’ati Rasulullah, sesungguhnya dia telah mentaati Allah”. (An-Nisa’:80)

Larangan Makan dan Minum Dengan Tangan Kiri
Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam menegah kita dari makan atau minum dengan menggunakan tangan kiri. Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, bersabda: "Janganlah kamu makan dengan menggunakan tangan kiri, kerana syaitan makan dengan menggunakan tangan kiri." (HR. Muslim)

Anjuran Makan dan Minum Dengan Tangan kanan
Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam menganjurkan agar kita menggunakan tangan kanan untuk makan dan minum. Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Jika seseorang diantara kamu makan, hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika dia minum maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dan minum dengan menggunakan  tangan kiri." (HR. Muslim)

Salamah bin umar Al-Aqwa meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki yang sedang makan bersebelahan dengan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dengan menggunakan tangan kirinya. Maka Rasulullah bersabda: “Makanlah dengan tangan kananmu!” Dia menjawab, “Aku tidak boleh.” Baginda bersabda, “Semoga kamu tidak boleh?” padahal tidak ada yang mencegah dia makan dengan tangan kanan kecuali kerana sombong. Setelah itu tangannya tidak boleh diangkat sampai ke mulutnya.” (HR. Muslim)

Tegahan makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri adalah supaya kita tidak meniru sifat syaitan, dan kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan anjuran Nabi sollallahu 'alaihi wasallam supaya menggunakan tangan kanan.

Sunnah Mengutamakan Yang Kanan
Dalam kebanyakan perkara Nabi sollallahu 'alaihi wasallam sangat suka dan mengutamakan yang kanan, sepertimana yang diriwayat oleh Sayyidah Aisyah Ra bahawa Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suka melakukan sesuatu hal dengan memulakan dengan yang kanan. Demikian dalam kehidupan seharian Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam dan juga dalam perkara berkaitan ibadat Nabi sollallahu 'alaihi wasallam akan mengutamakan yang kanan. Nabi sollallahu 'alaihi wasallam bersiwak dengan memulakan pada gigi yang sebelah kanan, apabila masuk masjid maka didahului kaki kanan, bersuci, menyisir rambut, bersalaman, mengucapkan salam di dalam solat, angkat tangan ke Hajar Aswad, dan memakai baju, semuanya didahului dengan yang kanan.

Allah Ta’ala Mengutamakan Yang Kanan
Didalam Al-Qur’an Allah ‘azzawajalla mengkhabarkan keutamaan yang kanan. Firman Allah Ta’ala: “(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.” (Al-Israa':71)

Firman Allah Ta’ala: “Maka ketika dia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat..” (Al-Qasas:30)

Firman Allah Ta’ala: “Iaitu goongan kanan; alangkah bahagianya keadaan golongan kanan itu?” (Al-Waaqi'ah:8) 

Firman Allah Ta’ala: “Maka (akan dikatakan kepadanya):" Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari golongan kanan". (Al-Waaqi'ah:91)

Golongan Kanan Adalah Ahli Syurga
Pihak sebelah kanan itu dinamakan Ashabul Yamin “penghuni tempat yang kanan”, dan pihak yang  kiri dinamakan Ashabussima “penghuni tempat yang kiri”. Penghuni tempat yang kanan itu adalah penghuni syurga dan penghuni tempat yang kiri itu ialah penghuni Neraka. Oleh sebab itu Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suka kepada yang kanan kerana yang kanan ialah Ashabul Yamin iaitu penghuni syurga.

Bentuk Larangan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Apa yang aku larang maka jauhilah”. Larangan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam terbahagi kepada dua iaitu yang pertama larangan dengan maksud haram dan berdosa, dan yang kedua larangan dengan maksud makruh.

Contoh larangan yang menjadi haram dan berdosa ialah sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam dalam Riwayat Abu Daud: “Jangan kau siksa orang dengan api, kerana siksa dengan api ialah Hak Allah SWT”. Dan contoh larangan yang menjadi makruh adalah seperti dalam riwayat imam Baihaqi: “Jangan makan bawang yang masih mentah”.

Bentuk Suruhan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam
Suruhan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam pula terbahagi kepada dua iaitu yang pertama adalah dengan maksud Wajib dan yang kedua dengan maksud Sunnah. Contoh suruhan yang membawa maksud wajib ialah sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam “Lakukanlah bagi kamu ummatku 6 perkara, aku jamin kamu akan dimasukan ke syurga. Iaitu Solat, Zakat, menjaga amanah, menjaga kemaluan, menjaga perut dari makanan yang haram, menjaga lisan. Saya jamin kamu masuk surga, maka kerjakanlah”.

Suruhan Nabi sollallahu 'alaihi wasallam yang membawa maksud Sunnah, ialah seperti sabda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam “banyakan mengingati mati, maka Allah SWT akan hapuskan dosanya dan Allah SWT jadikan dirinya Ahli Zuhud di dunia”.

Hukum Makan dan Minum Menggunakan Tangan Kiri
Bagi larangan makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri, larangan ini tidak sampai kepada hukum haram tetapi ia hanyalah makruh.

Oleh itu, apa yang Nabi sollallahu 'alaihi wasallam suruh maka berusahalah kita untuk melakukannya. Makan dan minumlah menggunakan tangan kanan dan makan menggunakan tangan adalah lebih afdhol daripada menggunakan sudu atau garfu.

Wallahu’alam

Sumber: Majelisrasulullah.org 

Thursday, January 7, 2016

BAGINDA NABI MUHAMMAD SALLA ALLAHU A’LAIHI WASALLAM BUKAN MANUSIA BIASA


Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam adalah manusia biasa, Baginda mengalami apa yang dialami manusia umumnya seperti sifat-sifat yang ada pada manusia lainnya. Baginda juga boleh jatuh sakit namun sakit yang dialami tidak mengurangkan kedudukan Baginda, tidak menjadi hina dan tidak menyebabkan Baginda dijauhi masyarakat.

Seperti manusia biasa lainnya Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam juga tidak mampu memberi manfaat, bahaya, mematikan dan menghidupkan kecuali dengan izin dan kehendak Allah. Firman Allah yang ertinya : “Katakanlah: "Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. dan Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".(al-A`raaf :188)

Baginda juga telah menyebarkan risalah, menyampaikan amanah, menyedarkan ummat, menghilangkan kesedihan dan berjihad fii sabilillah sehingga Baginda pulang ke hadrat Allah dalam keadaan redha dan mendapat keredhaan, seperti yang digambarkan dalam firman Allah, ertinya: “Sesungguhnya kamu akan mati dan Sesungguhnya mereka akan mati (pula).” 
(Az-Zumar:30).

Kehambaan adalah sifat Baginda yang paling mulia. Kerana itu Baginda membanggakannya dan berkata : “Saya hanyalah seorang hamba”. Allah sifatkan Baginda dengan kehambaan namun dengan kedudukan tertinggi, firman Allah : “Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.” (Al-Israa : 1).

Firman Allah yang lain : "Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadah), hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya."
(Al.-Jinn:19)

Baginda adalah manusia namun berbeza dengan manusia biasa. Baginda memiliki perbezaan yang tidak mungkin disamakan dengan manusia biasa. Sebagaimana penilaian Baginda tentang dirinya : “Aku tidak sama dengan kalian. Sesungguhnya aku bermalam di sisi Allah diberi kekuatan sebagaimana orang yang makan dan minum”.

Maka jelaslah bahawa status kemanusian Baginda wajib disertai dengan sifat-sifat yang membezakannya dengan manusia umumnya. Keistimewaan ini bukan hanya diberikan khusus pada Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam sahaja namun juga diberikan pada rasul-rasul yang lain.



Penilaian ke atas para rasul jika dinilai hanya seperti manusia biasa tanpa membezakan keistimewaan yang ada pada mereka adalah merupakan penilaian jahiliyah yang musyrik. Dalam Al-Qur’an terdapat banyak dalil mengenai masalah ini. Diantaranya adalah ucapan kaum Nuh terhadap Nabi Nuh dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka, yang ertinya: “Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir dari kaumnya: "Kami tidak melihat kamu, melainkan (sebagai) seorang manusia (biasa) seperti Kami, dan Kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina dina di antara Kami yang cepat percaya saja, dan Kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apa pun ke atas Kami, bahkan Kami yakin bahawa kamu adalah orang-orang yang dusta". ( Hud : 27).

Ucapan kaum Nabi Musa dan Nabi Harun terhadap mereka berdua dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka, yang ertinya : “Dan mereka berkata: Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita (juga), padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang menghambakan diri kepada kita?" (Al-Mu’minuun : 47 )

Ucapan kaum Tsamud kepada Nabi mereka Soleh dalam peristiwa yang diceritakan Allah tentang mereka yang ertinya, : “Kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti kami; Maka datangkanlah sesuatu mukjizat, jika kamu memang termasuk orang-orang yang benar". (Asy-Syu’araa’ : 154).

Ucapan Penduduk Aikah kepada Nabi mereka Syu’aib dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka yang ertinya : “Mereka berkata: "Sesungguhnya kamu adalah salah seorang dari orang-orang yang kena sihir. Dan kamu tidak lain melainkan seorang manusia seperti Kami, dan Sesungguhnya Kami yakin bahawa kamu benar-benar termasuk orang-orang yang berdusta”. (Asy-Syu’araa’ : 186).

Ucapan kaum musyrikin terhadap Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam yang memandang Baginda semata-mata sebagai manusia dalam kisah yang diceritakan Allah tentang mereka: ”Dan mereka berkata: "Mengapa Rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang Malaikat agar Malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?” (Al-Furqaan : 7)

Nabi telah mengkhabarkan status dirinya  yang mempunyai sifat-sifat luhur dan hal-hal yang melampauai kebiasaan yang menjadikan Baginda berbeza dengan manusia lain. Sabda Baginda dalam sebuah hadits shahih : “Kedua mataku terpejam namun hatiku tetap terjaga”.

Baginda bersabda: “Saya mampu melihat kalian dari belakangku sebagaimana melihatmu dari depan”.

 Baginda bersabda: “Saya dianugerahkan pintu-pintu gudang dunia”.

Meskipun telah wafat, Rasulullah tetap hidup dalam bentuk kehidupan barzakh yang sempurna. Baginda mampu mendengar perkataan, membalas salam dan solawat orang yang bersolawat kepada Baginda. Amal perbuatan ummat disampaikan ole Allah kepada Baginda hingga Baginda berbahagia atas perbuatan orang-orang yang baik dan beristighfar terhadap orang-orang yang melakukan dosa. Allah juga mengharamkan bumi untuk memakan jasadnya. Jasad Nabi terlindungi dari hal-hal yang bersifat merosak dan dari apa pun yang berada dalam tanah.

Dari Aus ibn Aus R.A , ia berkata , “Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda :
“Salah satu hari yang paling utama adalah hari Jum’at, pada hari itu Adam diciptakan dan wafat, Israfil meniup sangkakala dan matinya seluruh makhluk. Maka perbanyakkanlah bersalawat untukku pada hari Jum’at. Kerana salawat kalian disampaikan kepadaku”. Wahai Rasulullah, bagaimana shalawat kami sampai kepadamu padahal tubuhmu telah hancur?” tanya para sahabat. Jawab Rasulullah:“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan bumi untuk memakan jasad para Nabi.”. ( HR. Ahmad, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ibn Hibban dalam kitab shahihnya serta Al-Hakim yang menilai hadits ini shahih ).

Berkaitan hal ini, Al-Hafizh Jalaluddin As-Suyuthi menyusun sebuah risalah khusus yang berjudul ‘Inbaa’ul Adzkiyaa’ bi Hayaatil Anbiyaa’.

Dari ibnu Mas’ud Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda :
“Hidupku lebih baik buat kalian. Kalian berbicara dan aku berbicara kepada kalian. Dan jika aku meninggal dunia maka kewafatanku lebih baik buat kalian. Amal perbuatan kalian disampaikan kepadaku. Jika aku melihat amal baik aku memuji Allah dan jika aku melihat amal buruk aku beristighfar buat kalian”. Al-Haitsami berkata, “Hadits ini diriwayatkan oleh Al-Bazzaar dan para perawinya sesuai dengan standar perawi hadits sahih.

Dari Abu Hurairah RA dari Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam, Baginda bersabda : “Tidak ada seorang pun yang memberi salam kepadaku kecuali Allah mengembalikan nyawaku hingga aku membalas salamnya”. (HR. Ahmad dan Abu Dawud).

Sebagian ulama menafsirkan hadith di atas dengan mengembalikan kemampuan berbicara Baginda.

Dari ‘Ammar ibn Yaasir, Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda : “…tidak ada seorang pun hingga hari kiamat yang menyampaikan salawat untukku kecuali malaikat itu menyampaikan kepadaku namanya dan nama ayahnya ; ini adalah si fulan anak si fulan yang telah menyampaikan salawat untukmu”.

Dari Al-Bazzaar dan Abu al-Syaikh ibn Hibban, Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam bersabda : “Sesungguhnya terdapat malaikat Allah yang telah diberikan semua nama makhluk oleh Allah. Malaikat itu berdiri di atas kuburanku jika aku meninggal. Maka tidak ada seorang pun yang menyampaikan salawat kepadaku kecuali si malaikat berkata, “Wahai Muhammad! fulan bin fulan telah menyampaikan salawat untukmu”. Rasulullah berkata, “Rabb Tabaraka wa Ta’ala merahmatinya. Untuk satu shalawat dibalas 10 rahmat”.


Meskipun Rasulullah Salla Allahu A’laihi Wasallam telah wafat namun keutamaan, kedudukan dan darjatnya di sisi Allah tetap abadi. Mereka yang beriman tidak akan ragu akan fakta ini. Kerana itu, bertawassul kepada Nabi Muhammad Salla Allahu A’laihi Wasallam pada dasarnya kembali kepada keyakinan dengan meyakini Baginda dicintai dan dimuliakan Allah serta keimanan kepada Baginda serta risalahnya. Dan tawassul bukanlah bererti beribadah kepada Nabi Salla Allahu A’laihi Wasallam. Kerana Baginda betapa tinggi darjat dan kedudukannya tetaplah seorang makhluk yang tidak mampu menolak bahaya dan memberi manfaat tanpa izin Allah. Allah SWT berfirman yang ertinya: “Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahawa Sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". (Al-Kahfi : 110)

Sumber: Mafahim Yajibu an Tushokhah; Imam Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki

Sunday, July 13, 2014

PERBAHASAN HUKUM BERKAITAN JANGGUT

Berkaitan dengan janggut, terdapat perintah membiarkan (tidak mencukur) dan memelihara janggut, Nabi SalAllahu ‘alaihi Wasallam  bersabda:
 “Bezakanlah diri kamu dengan orang-orang musyrik. Biarkanlah janggut dan potonglah misai”. (HR. al-Bukhari dan Muslim). 

Ulamak berbeza pendapat tentang maksud ayat perintah Rasulullah SalAllahu ‘alaihi Wasallam  ini sama ada ayat ini bermaksud wajib atau hanya anjuran. Jumhur ahli Fiqh berpendapat bahawa perintah ini membawa maksud wajib. Di sisi Mazhab Syafi’i pula berpendapat bahawa hadis ini hanyalah anjuran. 

Ulamak Mazhab Syafi‟i yang berpendapat demikian diantaranya adalah Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari (Asna al-Mathalib, juz 1,551). Imam ar-Ramli memberikan komen terhadap pendapat ini dalam Hasyiyah-nya terhadap kitab Asna al-Mathalib, “Makruh mencabutnya dengan maksudnya makruh mencabut janggut dan seterusnya. Perbuatan yang sama seperti itu adalah mencukur janggut.” 

Pendapat al-Hulaimi dalam Minhaj-nya mengatakan, “pendapat yang mengatakan tidak halal bagi seseorang mencukur janggut dan bulu mata, ini adalah pendapat yang lemah”. Al-‘Allamah Ibnu Hajar al-Haitami dalam Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj berkata, “mereka menyebutkan disini bahawa janggut dan sejenisnya, ada beberapa perbuatan makruh, diantaranya ialah mencabut janggut atau mencukur janggut. Demikian juga dengan dua bulu mata.”

Imam Ibnu Qasim al-‘Abbadi menekankan pendapat ini dalam Hasyiyah-nya terhadap Tuhfat al-Muhtaj dengan berkata, “Atau diharamkan, bertentangan dengan pendapat yang dijadikan sebagai pegangan‟. Dalam kitab Syarh al-‘Ubab dinyatakan, “Fa’idah: Dua Syekh (Imam ar-Rafi’i dan Imam an-Nawawi) berkata, “Makruh hukumnya mencukur janggut.”

Al-‘Allamah al-Bujairimi berkata dalam Syarh-nya terhadap al-Khathib, “Sesungguhnya mencukur janggut itu makruh dilakukan lelaki dewasa, bukannya haram”. Sebutan kata ar-Rajul (lelaki dewasa) dalam teks ini bukan sebagai lawan bagi kata perempuan, akan tetapi sebagai lawan kata asy-Syab ash-Shaghir (remaja) dengan makna makruh hukumnya mencukur janggut bagi remaja. 

Pendapat yang menyatakan makruh hukumnya mencukur janggut juga dinyatakan oleh ulama dari luar Mazhab Syafi’i. Diantara mereka adalah Imam al-Qadhi Iyadh pengarang kitab asy-Syifa, salah seorang ulama Mazhab Maliki. Beliau berkata, “Makruh hukumnya mencukur janggut, memotong dan membakar janggut”. 

Dapat difahami bahawa ahli Fiqh yang mewajibkan memelihara janggut dan mengharamkan mencukur janggut adalah kerana mereka menilai dari aspek lain. Terdapat unsur tambahan terhadap teks hadis, iaitu mencukur janggut itu sesuatu yang dianggap sebagai aib, bertentangan dengan bentuk wajah manusia saat itu, orang yang mencukur janggut pada zaman itu dipandang hina. 

Imam ar-Ramli berkata tentang hukum Ta’zir, bahawa hukum Ta’zir tidak dijatuhkan bagi orang yang mencukur janggut. Beliau berkata dalam Hasyiyah Asna al-Mathalib, “Tidak ada hukuman Ta’zir bagi orang yang mencukur janggut. Guru kami berkata,“Kerana mencukur janggut itu aib, orang yang melakukannya sangat dikecam, bahkan terkadang anak-anaknya pun ikut dikecam.”
 
Jika hal ini terkait dengan kebiasaan dan tradisi, maka itu menjadi sebab yang mengalihkan ayat perintah dari makna wajib kepada makna anjuran. Sebagaimana sabda Rasulullah SalAllahu ‘alaihi Wasallam :
“Ubahlah uban, janganlah kamu menyamakan diri dengan orang-orang Yahudi”. (HR. at-Tirmidzi). 

Bentuk kata perintah dalam hadis perintah mengubah uban menyerupai hadis perintah memelihara janggut. Akan tetapi kerana mengubah uban bukanlah suatu perbuatan yang diingkari di tengah masyarakat, maka ia tidak dilakukan. 

Para ahli Fiqh berpendapat bahawa mengubah uban itu hukumnya dianjurkan, mereka tidak mengatakan diwajibkan. Para ulama bersikap keras dalam hal pemakaian topi dan memakai tali leher, mereka menyatakan bahawa sesiapa yang memakainya itu adalah kafir. Bukanlah kerana perbuatan itu kafir pada zatnya. Akan tetapi kerana perbuatan itu mengandungi makna kekafiran pada masa itu.
Ketika pemakaian tali leher sudah menjadi tradisi, tidak seorang pun ulama mengkafirkan orang yang memakainya. Hukum janggut pada masa Salaf, seluruh penduduk bumi, baik yang kafir mahupun yang muslim, semuanya memanjangkan janggut. Tidak ada alasan untuk mencukurnya. Oleh sebab itu ulama berbeza pendapat antara jumhur yang mewajibkan memelihara janggut dan Mazhab Syafi’i yang menyatakan bahawa memelihara janggut itu sunnat, tidak berdosa bagi orang yang mencukurnya.

Oleh sebab itu menurut kami pada zaman ini perlu mengamalkan pendapat dari Mazhab Syafi’i, kerana tradisi telah berubah. Mencukur janggut itu hukumnya makruh. Memelihara janggut hukumnya sunnat, mendapat pahala bagi yang menyimpannya dan menjaga supaya rapi dan kemas. Wallahu Ta’ala A’la wa A’lam.

Sumber: Syekh DR. Ali Jum’ah, Al-Bayan li ma Yusyghil al-Adzhan. Ustaz Somad Moroco

Monday, February 3, 2014

HUKUM BERZIKIR MENGGUNAKAN BIJI TASBIH



Nabi saw membenarkan berzikir menggunakan biji tasbih
Daripada Ummul Mukminin Sofiah binti Huyai:
“Rasulullah saw datang kepadaku dan di tanganku ada empat ribu (4000) biji kurma yang aku bertasbih menggunakannya, lalu baginda bersabda: Apakah benda ini wahai anak perempuan kepada huyai? Lalu aku berkata: Benda ini telah aku gunakan untuk bertasbih. Baginda kemudian bersabda: Sesungguhnya aku telah bertasbih sejak aku meninggalkan kamu tadi lebih daripada ini. Kemudian aku berkata: Ajarkanlah kepada aku Rasulullah. Baginda bersabda: Sebutlah, Maha suci Allah sebanyak bilangan setiap sesuatu yang diciptakan oleh-Nya.”
Hadis Sohih Riwayat at-Tirmizi, al-Hakim dan at-Tabrani

Berkata al-Imam al-Hafiz al-Mubarakfuri di dalam Tuhfatul Ahwazi syarah kepada sunan Tirmizi, “telah berkata al-Qari: Hadis ini adalah dalil yang jelas menunjukan hukum harus menggunakan biji tasbih untuk berzikir dengan sebab ikrar(pengakuan) Nabi saw”.

Para Sahabat r.a dan Salafussoleh bertasbih Menggunakan biji tasbih
Ibnu Sa’ad meriwayatkan daripada Hakim bin ad-Dailami bahawa Sa’ad bin Abi Waqas r.a bertasbih menggunakan batu.

Ibnu Abi Syaibah di dalam “al-Musannaf” daripada hamba Sa’ad bahawa beliau bertasbih menggunakan batu atau biji-bijian.

Ibnu Sa’ad menyebutkan dalam at-Tobaqat terdapat seorang perempuan meriwayatkan kepada Jabir bahawa Fatimah binti al-Husain bin Ali bin Abi Talib bertasbih menggunakan benang yang disimpulkan.

Abdullah bin Imam Ahmad dalam “zawaid az-Zuhd” meriwayatkan dari jalur Nu’aim bin Mahraz bin Abi Hurairah r.a bahawa Abu Hurairah r.a memiliki untaian benang yang ada padanya seribu simpulan, beliau tidak akan tidur malam kecuali setelah beliau bertasbih dengannya.

Imam Ahmad dalam az-Zuhd meriwayatkan bahawa Abu ad-Darda r.a memiliki biji-bijian daripada kurma yang berada di dalam bekas, selesai solat subuh beliau akan keluarkan bijian tersebut untuk bertasbih dengannya.

Ibnu Sa’ad meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa beliau bertasbih menggunakan biji kurma berwarna hitam dan putih.

Ibnu Abi Syaibah telah meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a bahawa Abu Sa’id bertasbih menggunakan batu.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab az-Zuhd bahawa Yunus bin Ubaid meriwayatkan dari ibunya telah berkata: “Aku pernah memerhatikan Abu Sofiah sentiasa berzikir menggunakan batu. Abu Sofiah adalah salah seorang sahabat Nabi saw dan dia tinggal berjiran denganku.”

Penggunaan biji tasbih oleh beberapa orang Sahabat Nabi saw menunjukkan bahawa penggunaan biji tasbih adalah tidak salah dan ia adalah perbuatan yang mulia. Sesungguhnya para Sahabat Nabi saw adalah sangat benar dan adil. Berkata Imam Ibnu as-Solah, “bagi para Sahabat Nabi saw mempunyai keistimewaan iaitu tidak dipersoal akan keadilan, kebenaran dan kebaikan mereka berdasarkan al-Quran, sunnah dan Ijmak Ulamak”.

Kelebihan dan keistimewaan para Sahabat Nabi saw disebutkan banyak dalam al-Quran surah al-Fath ayat 29

Sabda Nabi saw:
“sebaik-baik umatku adalah pada kurun yang aku diutuskan kepada mereka.”

Para Ulamak muktabar menggunakan biji tasbih
Berkata al-Jalal al-Bulqini dalam kitabnya “Tuhfah al-Ibad”: Menghitung tasbih menggunakan jari lebih afdhal daripada menghitung menggunakan biji tasbih berdasarkan hadis Ibnu ‘Amr r.a, beliau meriwayatkan: “Aku melihat Nabi saw menghitung tasbih dengan menggunakan tangan baginda.”

Oleh itu menghitung tasbih menggunakan jari adalah lebih afdhal bagi mereka yang merasa aman daripada kesilapan dan mampu membilang dengan baik, bagi yang bimbang tersalah menggira jumlah tasbih maka lebih afdhal bagi mereka menggunakan biji tasbih terutama untuk bilangan yang banyak.

Al-Qadi Abu al-Abbas Ahmad bin Khilkan menyebutkan dalam wafaqat al-A’yan bahawa dilihat di tangan Abu al-Qasim al-Junaid bin Muhammad r.h.m terdapat seutas tasbih. Abu al-Qasim al-Junaid berkata, “ini adalah salah satu jalan yang menyebabkan aku sampai kepada Tuahanku, aku tidak akan berpisah dengannya”.

* Abu al-Qasim al-Junaid bin Muhammad r.h.m merupakan anak murid kepada Abu Thaur yang merupakan salah seorang anak murid Imam Syafie’, para Ulamak menggelar beliau ketua kepada Tasawuf.

Berkata Imam al-Hasan al-Basri apabila ditanya tentang tasbih: “Ini adalah sesuatu yang telah kami gunakan ketika permulaan(jalan menuju Allah), kami tidak akan meninggalkannya pada pengakhiran, aku suka untuk mengingati Allah dengan hatiku, tangan serta lidahku.”

Menggunakan biji tasbih bukan sahaja termasuk dalam meniru cara ibadat para Ulamak dan mengharapkan keberkatan mereka, tetapi ia adalah perkara penting dan sangat dituntut. Bertasbih adalah cara mengingati Allah swt, manusia apabila melihat biji tasbih mereka akan mengingati Allah dan ini adalah merupakan suatu faedah yang sangat besar.

Biji tasbih menjadi satu sebab untuk berterusan mengingati Allah swt sebagai “tali penyambung” atau “pengikat hati”. Malah tidak pernah diriwayatkan daripada golongan salaf atau khalaf akan larangan menggunakan biji tasbih atau melihatnya sebagai makruh, malah mereka berterusan menggunakannya.

Berkata I’maduddin al-Munawi mengenai tasbih, “biji-bijian disusun menjadi tasbih, apabila seorang yang pintar berkhalwah dengannya nescaya urusannya akan terhimpun(khusyuk), di saat dia mengingati Allah maka akan tercantum nama Allah pada tasbih sehingga dia ketakutan dengan pengaruhnya (pergerakkan tasbih).”

Sumber: Terjemahan kitab Rasail Hamah Wa mahabis Qayyimah, karangan Imam al-Hafidz Jalaluddin as-Suyuthi