عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي
صلى الله عليه و آله قال: الساعي على الأرملة و المسكين كالمجاهد في سبيل الله و
أحسبه قال وكالقائم لا يفتر و كالصائم لا يفطر الساعي على الأرملة و المسكين
كالمجاهد في سبيل الله و أحسبه قال و كالقائم الذي لا يفتر و كالصائم الذي لا يفطر
(متفق عليه)
Dari Abu
Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Orang yang mengurus janda dan mengurus
orang miskin sama (pahala) seperti orang yang berjihad di jalan Allah.”
Dan sepertinya baginda bersabda: “Orang yang selalu solat sepanjang malam
tidak pernah letih dan seperti orang yang berpuasa tidak pernah berbuka
(setiap hari).” (Muttafaqun ‘Alaih)
قال (Rasulullah bersabda) الساعي (orang yang
mengurus) على الأرملة و المسكين (mengurus janda dan orang msikin) كالمجاهد في سبيل الله (adalah seperti orang
yang berjihad di jalan Allah) و أحسبه قال (dan sepertinya baginda bersabda) وكالقائم لا يفتر (seperti orang yang
bertahajud tanpa jemu dan penat setiap malam) و كالصائم (dan seperti orang yang berpuasa ) لا يفطر (tidak pernah berbuka).
KELEBIHAN
MENGAMBIL BERAT URUSAN MUSLIM
Dalam hadith
ini Rasulullah SAW menceritakan kelebihan orang Islam yang peduli dan prihatin dalam
hal berkaitan masalah dan keperluan sesama muslim, terutama golongan fakir
miskin. Dalam Hadith ini Rasulullah SAW menyamakan pahala orang yang mengurus,
orang yang menolong, dan orang yang memerhati keperluan janda dan orang miskin
akan memperolehi pahala sama seperti orang yang berjihad di jalan Allah SWT,
seperti orang yang melakukan tahajud tidak kenal penat dan seperti orang yang
berpuasa sepanjang masa.
Hanya dengan
mengurus keperluan, membantu, menyelesaikan masalah, menjaga kehormatan dan
melindungi janda dan orang miskin, seseorang itu akan mendapat pahala berjihad
di jalan Allah, mendapat pahala tahajud dan mendapatkan pahala puasa sepanjang
masa.
IBADAH KHUSUS
DAN IBADAH UMUM
Semua amal
soleh di nilai sebagai ibadah oleh Allah SWT. Ibadah tidak terhad hanya kepada
ibadah khusus seperti tahajjud, bertasbih, solawat, membaca al-Qur’an, solat
qobliyah ba’diyah, dhuha, witir, tasbih, taubat, hajat, dan istikharah sahaja, malah
memberi makan kepada binatang, memberikan pertolongan kepada wanita janda dan orang
miskin juga ada nilai pahalanya.
MAKSUD الساعي
Berdasarkan
Hadith ini, perkara pertama yang keluar
dari lisan Rasulullah SAW ialah الساعي على الأرملة و المسكين iaitu orang yang memerhati, orang yang ambil
peduli, orang yang menghulurkan pertolongan, melindungi, membantu, dan mengurus
janda dan juga orang miskin. Perkataan الساعي dalam hadith
bukan merujuk kepada orang yang memberi duit atau mengeluarkan belanja, ini
kerana sebahagian orang tidak mempunyai kemampuan membantu dari segi kewangan
namun dia mampu menolong dari segi tenaga. Perkataan الساعي memberi maksud pertolongan dari segi ilmu, idea,
atau memberi makanan.
MAKSUD الأرملة
Perkataan الأرملة bermaksud
janda, iaitu seorang perempuan yang suaminya meninggal dunia. Pada zaman dahulu
wanita yang kematian suami bukan hanya hilang tempat bergantung malah dia akan
hilang punca pendapatan, makanan, keperluan untuk anak-anak dan lain-lain
keperluan. Dalam keadaan begini sudah tentu jiwanya lemah, memerlukan keperluan
dan bantuan bagi meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anaknya.
MAKSUD ORANG MISKIN
Imam Nawawi
berkata bahawa orang miskin itu ialah seseorang yang mencari nafkah tetapi apa
yang dia perolehi tidak mencukupkan keperluannya. Mengambil berat terhadap
orang miskin adalah tanda kita mencintai mereka, dan dengan mencintai mereka
bermaksud kita telah mencontohi baginda Nabi SAW dan membenci mereka bererti
kita tidak mengikuti akhlak Rasulullah, ini kerana Rasulullah sangat mencintai
orang Miskin sehingga Nabi SAW berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan
miskin dan kelak di hari kiamat Nabi SAW berdoa agar dibangkitkan bersama dengan
orang-orang miskin.
MUSLIM ITU
BERSAUDARA
Muslim
dengan muslim yang lain adalah bersaudara, mereka seperti satu jasad. Jika
salah satu organ dalam jasad kita sakit maka seluruh jasad akan merasa sakit. Oleh
itu, jika ada Muslim yang mengemis dan hidup melarat, hati kita pasti akan
merasa kasihan dan hancur.
Dalam sebuah
Hadith riwayat Muslim, orang miskin yang mulia itu ialah orang miskin yang
tidak mengemis walaupun dia sangat memerlukan. Namun kerap kali orang yang
jahil menganggap orang yang tidak mengemis ini adalah orang yang kaya dan
sombong kerana tidak mahu meminta-minta. Allah berfirman di dalam al-Qur’an:
يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ
مِنَ التَّعَفُّفِ
Maksudnya: “Orang-orang
yang bodoh menganggap orang-orang yang miskin seperti orang kaya kerana mereka
miskin tetapi tidak pernah mengemis.”
Berbeza
dengan orang yang berakal, mereka melihat orang Miskin dari aspek pakaiannya,
kehidupan sehariannya dan rumahnya, orang yang berakal itu cukup hanya dengan melihat
isyarat atau tanda.
Rasulullah
SAW bersabda: كالمجاهد في سبيل الله
(seperti
orang yang berjihad di jalan Allah). Bahkan kata Nabi SAW, seperti orang yang tahajjud
tidak pernah berhenti, seperti orang yang berpuasa tak putus-putus. Bukan semua
dari kita mampu untuk berjihad di jalan Allah, melakukan tahajjud setiap malam,
dan berpuasa setiap hari, akan tetapi melalui Allah memberi jalan kemudahan untuk
mendapatkan pahala Jihad, pahala Tahjjud, dan pahala puasa iaitu dengan mengambil
perhatian urusan Janda dan orang Miskin.
Nabi Muhammad
Saw pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Thabrani: “Mengurus dan mengambil
berat, menghulurkan pertolongan dan membantu saudaraku yang Muslim itu lebih
aku sukai berbanding beritikaf di Masjid selama sebulan.”
Sumber:
Majelisrasullullah.com; kitab Qutuful Falihin; Hadis yang ke 58; Sayyidil Habib
Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz
No comments:
Post a Comment