بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال رسول
الله صلى الله عليه و آله و سلم (لَا يَفْرَكُ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً، إِنْ كَرِهَ
مِنْهَا خُلُقًا، رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ(أوقال (غَيْرَهُ) رواه مسلم
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda
“Janganlah seseorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri). Jika
dia tidak menyukai suatu kelakuan/perangai yang ada pada wanita (isterinya),
maka hendaklah dia melihat sisi lain yang dia redhai.” (HR Imam Muslim)
Rasulullah SAW mengajarkan agar kita tidak
melihat isteri kita dari sisi negatif sedangkan setiap manusia dari kalangan lelaki
dan perempuan pasti ada sisi positifnya. Jika seorang suami itu hanya melihat perkara
yang buruk di matanya, lama kelamaan ia akan mendorong suami melakukan tindakan
negatif. Oleh itu, suami yang memandang negatif kepada isterinya akan lebih
mudah memarahi dan memukul isterinya.
Tanggungjawab seorang isteri itu ialah berkhidmat
kepada suaminya dan mengurus anak-anak, manakala tanggungjawab seorang suami pula
adalah lebih besar, iaitu mengurus isteri, mengurus anak-anak dan mengurus
ibu-bapa. Keutamaan tanggungjawab bagi perempuan ialah suaminya, dan keutamaan bagi
suami ialah ibunya.
Siapa sahaja tidak kira suami atau isteri
pasti melakukan kesilapan. Oleh demikian, jika berlaku perselisihan dan
pergaduhan, siapa yang benar dan siapa yang salah? Orang yang benar itu ialah
orang yang bertaubat dari kesalahannya, dan orang yang salah pula ialah orang
yang hanya melihat keburukan pasangannya.
Allah SWT menyuruh para suami agar menggauli
isteri-isteri mereka dengan cara yang baik, iaitu melayani isteri dengan sabar.
Ulama berkata, memandang isteri dengan pandangan positif dan pandangan cinta
akan menutup kekurangan yang ada pada isteri, dan memandang isteri dengan pandangan
negatif akan membuka kekurangan dan kecacatan.
Dalam satu hadith menceritakan bahawa Nabi
SAW pada suatu hari pulang ke rumah dalam keadaan letih, tubuhnya kotor dengan
darah, dan debu, namun sebaik sahaja baginda masuk ke rumahnya, Nabi SAW akan
mengukirkan senyuman.
Sumber: Majelisrasullullah.com; kitab Qutuful Falihin; Hadis yang ke 58; Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz; Habib Alwi
bin Abdurrahman Al-Habsyi
No comments:
Post a Comment