Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Tuesday, February 28, 2017

DOA IBNU MAS’UD R.A



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
عَنْ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ بَقُوْلُ: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى) رواه مسلم

Dari Ibn Mas’ud ra, Rasulullahullah SAW bersabda: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, penjagaan diri dari maksiat serta kekayaan.” (HR Muslim)

Hadis ini diriwayatkan oleh sahabt Nabi SAW Ibn Mas’ud, nama penuh beliau ialah Abdullah Ibn Mas’ud. Beliau diantara sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dalam perjalanan bersama Sayyidina Abu Bakar Assiddiq dan beberapa orang sahabat pada waktu panas terik matahari di siang hari. Dalam kehausan Rasulullah SAW dan para sahabat terjumpa seorang anak kecil yang mengembala unta, anak kecil itu bernama Abdullah Ibn Mas’ud.

Nabi SAW bertanya kepada Ibn Mas’ud: “Wahai anak kecil, adakah di antara unta-unta ini mempunyai susu yang boleh diminum oleh saya dan sahabat saya?” Ibnu Mas’ud menjawab “Ya, ada. Tetapi saya hanya diamanahkan untuk menjaganya.” Kemudian Rasulullah bertanya: “Apakah ada unta tua yang tidak mempunyai susu?” Ibn Mas’ud menjawab: “Ada seekor unta yang paling tua yang sudah tidak mengeluarkan susu.” Nabi SAW terus memegang kantung susu unta tua tadi, dengan izin Allah SWT kantung susu unta tua tadi membesar dan mengeluarkan susu dengan banyak. Rasulullah SAW bersama Abu Bakar dan para sahabat yang ada waktu itu meminum susu tersebut sehingga kenyang. Setelah itu Nabi SAW memegang sekali lagi kantung susu unta tua tadi dan berkata: “kempislah!” saat itu juga kantung susu unta tua tadi kempis dengan serta merta. Ibn Mas’ud yang melihat kejadian yang menakjubkan itu terus memeluk Islam mendapat hidayah dari Allah SWT berkat Mu’jizat Nabi Kita Muhammad SAW.

Sayyidina Ibn Mas’ud antara sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullahullah SAW dan nama beliau tercatat dalam buku-buku sejarah. Beliau banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW sehingga melebihi 800 hadis, ini kerana beliau sentiasa berada di samping Rasulullah SAW. Oleh kerana Ibnu Mas’ud sentiasa bersama Rasulullah SAW saat turunnya ayat Al-Qur’an maka beliau mengetahui sabab turunnya ayat-ayat Al-Quran. Banyaknya masa beliau bersama Rasulullahullah saw menjadikan beliau sahabat yang paling dekat dengan Rasulullahullah SAW sehingga baginda Nabi SAW menzahirkan cinta baginda kepada beliau dalam bentuk doa: “Allahumma atstsir maalahu wa waalada waa barik fii umrih, (Yaa Allah panjangkan umurnya dia, limpahkan harta dan anak cucu keturuannya).”

Doa baginda Nabi SAW itu dikabulkan Allah SWT, Ibnu Mas’ud wafat pada umur lebih dari 100 tahun. Beliau sempat hidup pada zaman khalifah Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar sehingga Sayyidina Utsman Bin Affan. Anak beliau berjumlah lebih dari 100 orang. Hartanya berlimpah, beliau mempunyai kebun-kebun kurma. Beliau meninggal dikota Madinah, dan dikuburkan bersama puteri-puteri Rasulullahullah SAW.”

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Wednesday, April 18, 2012

Biografi Guru Mulia al-Habib Umar bin Hafidz



Nasab

Nasab beliau yang mulia ialah al-Habib ‘Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abd-Allah bin Abi Bakr bin‘Aidrus bin al-Hussain bin al-Shaikh Abi Bakr bin Salim bin ‘Abd-Allah bin ‘Abd-al-Rahman bin ‘Abd-Allah bin al-Shaikh ‘Abd-al-Rahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Daweela bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Sahib al-Mirbat bin ‘Ali Khali‘ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidallah bin al-Imam al-Muhajir to Allah Ahmad bin ‘Isa bin Muhammad bin ‘Ali al-‘Uraidi bin Ja'far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin Hussain cucu Nabi, putera kepada pasangan ‘Ali bin Abu Talib dan Fatimah al-Zahra puteri Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa alihi wa sohbihi wasallam



Kehidupan

Beliau dilahirkan sebelum waktu fajar hari Isnin, 4 Muharram 1383 H bersamaan 27 Mei 1963M di Kota Tarim, Hadramaut, salah satu kota tertua di Yaman yang menjadi sangat terkenal di seluruh dunia dengan ramainya para ilmuwan dan para alim ulama yang dihasilkan dari kota ini selama berabad-abad lamanya. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang memiliki tradisi keilmuan Islam dan kejujuran moral dengan ayahnya yang merupakan seorang pejuang syahid yang terkenal, ahli intelektual, penda'wah yang ulung, iaitu Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Shaikh Abu Bakr bin Salim yang juga merupakan Mufti Kota Tarim al-Ghanna.

Demikian juga kedua-dua datuk beliau, al-Habib Salim bin Hafiz dan al-Habib Hafiz bin Abd-Allah yang juga merupakan para intelektual Islam yang sangat dihormati kaum 'ulama dan intelektual Muslim pada zamannya. Allah seakan-akan telah menyediakan kondisi dan persekitaran yang sesuai bagi al-Habib ‘Umar melalui hubungannya dengan para intelektual muslim di sekitarnya serta kemuliaan yang muncul daripada kalangan keluarganya sendiri dan lingkungan masyarakat di mana beliau dibesarkan.





Beliau telah mampu menghafal Al Qur’an pada usia yang sangat muda dan beliau juga menghafal banyak teks dan matan dalam ilmu Fiqh, Hadith, Bahasa Arab dan berbagai-bagai lagi cabang ilmu lain. Beliau turut serta dalam halaqah ilmu yang dikendalikan oleh ramai ulama-ulama tradisional seperti al-Shaikh Muhammad bin ‘Alawi bin Shihab, al-Shaikh Fadl Baa Fadl dan juga para ulama lain yang mengajar di Ribat, Tarim yang terkenal itu. Maka beliau pun mempelajari ilmu-ilmu agama dan kerohanian dari ayahnya yang meninggal syahid, al-Habib Muhammad bin Salim, yang daripadanya beliau dapatkan cinta dan perhatian yang mendalam pada da'wah dan bimbingan keagamaan mengikut cara yang dikehendaki Allah SWT. Ayahnya begitu memperhatikan al-Habib ‘Umar sewaktu kecil yang sentiasa berada di sisi ayahnya di dalam halaqah ilmu dan zikir.

Satu ketika berlaku peristiwa tragis saat al-Habib ‘Umar sedang menemani ayahnya untuk menunaikan solat Jum‘at, ayahnya diculik oleh golongan komunis, dan beliau yang masih kecil ketika itu pulang bersendirian ke rumahnya dengan masih membawa syal (kain berupa selendang) milik ayahnya, dan sejak saat itu ayahnya tidak lagi kelihatan. Ini menyebabkan beliau menganggap bahwa tanggung jawab untuk meneruskan pekerjaan yang dilakukan ayahnya iaitu dalam bidang da‘wah disampaikan melalui syal ayahnya, ibarat sebuah bendera perjuangan yang diberikan kepadanya sebelum ayahnya mati syahid. Sejak itu, dengan bendera tersebut yang dikibarkannya tinggi-tinggi, ia memulakan secara bersemangat perjalanan penuh perjuangan, mengumpulkan orang-orang, membentuk majlis-majlis ilmu dan berda’wah. Perjuangan dan usahanya yang gigih demi meneruskan perjuangan ayahnya mula membuahkan hasil. Kelas-kelas mulai dibuka bagi golongan muda mahupun orang-orang tua di masjid-masjid setempat di mana ditawarkan pelbagai peluang untuk menghafal Al Qur’an dan untuk belajar ilmu-ilmu agama.


Sesungguhnya al-Habib ‘Umar ialah seorang ulama' yang benar-benar memahami kitab suci al-Quran sehingga ia telah diberikan sesuatu kurnia yang khusus daripada Allah, meskipun ketika usianya yang masih muda. Namun hal ini mula menyebabkan timbulnya kekhuatiran akan keselamatannya dan akhirnya diputuskan supaya beliau dihantar ke kota al-Bayda’ yang terletak di tempat yang disebut Yaman Utara. Ini menjadikannya jauh dari jangkauan mereka yang berniat jahat ingin mencelakakan beliau.


Di sana bermula babak baru yang penting dalam perkembangan ilmu beliau. Dengan memasuki sekolah Ribat di al-Bayda’ beliau mula belajar ilmu-ilmu tradisional dibawah bimbingan mereka yang ahli iaitu al-Habib Muhammad bin ‘Abd-Allah al-Haddar, semoga Allah mengampuninya, dan juga dibawah bimbingan seorang 'alim mazhab Shafi‘i al-Habib Zain bin Sumait, semoga Allah melindunginya. Janji beliau terpenuhi ketika akhirnya beliau diangkat sebagai seorang guru tak lama kemudian. Beliau terus melanjutkan perjuangannya yang tak mengenal erti lelah dalam bidang da‘wah.

Kali ini tempatnya adalah al-Bayda’ dan kota-kota serta desa-desa disekitarnya. Tiada satu pun yang tertinggal dalam usahanya untuk memperkenalkan kembali cinta kasih Allah dan Rasul-Nya s.a.w dalam hati manusia seluruhnya. Kelas-kelas dan majlis didirikan, pengajaran dimulakan dan masyarakat dibimbing. Usaha beliau yang demikian gigih menyebabkan dirinya sentiasa kekurangan tidur dan istirehat. Namun usaha beliau mula menunjukkan hasil yang besar apabila manusia tersentuh dengan ajaran yang disampaikan beliau, terutamanya para pemuda yang sebelum itu terjerumus dalam kehidupan yang kosong dan sia-sia, namun kini telah mengalami perubahan mendalam hingga mereka akhirnya sedar bahawa hidup ini memiliki tujuan, mereka bangga dengan indentiti baru mereka sebagai Muslim, mengenakan serban dan selendang (rida') sebagai cara pakaian umat Islam dan mula menumpukan perhatian mereka demi meraih sifat-sifat luhur dan pekerti mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.




Sejak saat itu, sekelompok besar masyarakat yang telah terkesan dengan da'wah beliau mula berkumpul mengelilingi beliau dan membantunya dalam perjuangan da‘wah di bermacam-macam kota, baik besar maupun kecil di Yaman Utara. Pada masa ini, beliau mula mengunjungi banyak tempat mahupun masyarakat di seluruh Yaman, mulai dari kota Ta'iz di utara, untuk belajar ilmu daripada mufti Ta‘iz al-Habib Ibrahim bin Aqil bin Yahya yang mula menaruh perhatian dan kasih-sayang yang besar terhadap beliau sebagaimana yang didapatkan daripada Shaikh al-Habib Muhammad al-Haddar sehingga guru beliau itu menawarkan puterinya untuk dinikahi setelah menyaksikan bahwa dalam diri beliau terdapat sifat-sifat kejujuran dan kepintaran yang luar biasa.

Tak lama kemudian, beliau melakukan pengembaraan yang melelahkan untuk menunaikan ibadah Haji di Makkah dan menziarahi makam Rasulullah SAW di Kota Madinah. Dalam perjalanannya ke tanah Hijaz, beliau dikurniakan kesempatan untuk mempelajari beberapa kitab daripada para ulama yang terkenal di sana, terutama daripada al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad al-Saqqaf yang telah menyaksikan bahawa di dalam diri al-Habib ‘Umar, terdapat semangat pemuda yang penuh kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya SAW dan seorang yang bersungguh-sungguh dalam menyebarkan ilmu dan keadilan kepada umat manusia, sehingga beliau benar-benar dicintai al-Habib Abdul Qadir selaku salah-seorang gurunya yang utama. Beliau turut dikurniakan kesempatan untuk menimba ilmu dan mendapatkan bimbingan daripada kedua-dua simbol keadilan di Hijaz, yakni al-Habib Ahmed Mashur al-Haddad dan al-Habib 'Attas al-Habashi.




Sejak itulah nama al-Habib Umar bin Hafiz mula tersebar luas disebabkan kegigihan usaha beliau dalam menyeru manusia kepada agama Islam dan memperbaharui ajaran-ajaran awal yang tradisional. Namun kepopularan dan kemasyhuran yang besar ini tidak sedikit pun mengurangkan usaha pengajaran beliau, bahkan sebaliknya. Tiada waktu yang terbuang sia-sia, setiap saat dipenuhi dengan mengingati Allah dalam pelbagai manifestasi dan cara, dalam pelbagai situasi dan lokasi yang berbeza. Perhatiannya yang mendalam dalam usaha menyuburkan keimanan terutamanya terhadap mereka yang berada di sampingnya, telah menjadi salah satu dari perilaku beliau yang paling dilihat jelas sehingga membuat nama beliau tersebar luas bahkan hingga sampai ke seantero dunia masa kini.


Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau. Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-

1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka
2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak
3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah.

Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.

Al-Allamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak menbuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu syarak ke negara-negara Islam lain seperti Syria. Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Negara kita Malaysia saban tahun

Karya


Di samping seorang pendakwah, Habib Umar juga seorang penulis yang produktif. Karya-karyanya tidak terhad kepada ilmu Fiqh sahaja, bahkan beliau juga mengarang beberapa kitab Tasawuf dan Maulid. Kitab yang ditulis antara lain:

• Dhiya'ul Lami' (Maulid Nabi Muhammad SAW)
• Dhakhira Musyarofah (Fiqh)
• Muhtar Ahadits (Hadits)
• Nurul Iman (Aqidah)
• Durul Asas (Nahu)
• Khulasah Madad an-Nabawi (Zikir)
• Tsaqafatul Khatib (Panduan Khutbah)


Sumber: http://www.darulmurtadza.com

Sunday, February 5, 2012

Biografi Al-Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid


Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 12 April 1974, selepas solat Jumaat di Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia. Beliau anak ke-2 dari 6 adik-beradik (4 lelaki dan 2 perempuan). Beliau daripada keluarga sederhana yang hidup di sebuah perkampungan yang didiami oleh ramai para ulama' dan terdapat juga beberapa buah pondok pesantren di situ.

Sewaktu membesar, beliau berguru dengan:

Ustadz Hasan Baharom
Ustadz Soleh Bal As'ad
Ustadz Abdul Hamid
Ustadz Soleh Bin Agil
Ustadz Ahmad Barakwan
Ustadz Husin Bin Abu Bakar
dan ramai lagi para asatizah. Beliau berguru dengan kesemuanya berbagai-bagai kitab dalam bidang agama.

Pada usia beliau 21 tahun, dengan restu Ayahanda, Al Habib Abu Bakar bin Salim Al Hamid, dan Bonda, beliau pergi ke Hadhramaut, Yemen untuk meneruskan pengajian. Di Hadhramaut, beliau berguru dengan:

Al Habib Umar bin Hafidz (pemimpin Dar Al Mustafa)
Al Habib Ali Masyhur
Al Habib Salim As Syatiri
Al Habib Hasan As Syatiri
Al Habib Abdullah Bin Syihab
Al Habib Abdul Qadir Jailani Al Masyhur
Al Habib Abdullah bin Syeikh Al Idrus
Syeikh Fadal Ba Fadal
Al Habib Musa Al Kazim As Saqqaf
Syeikh Umar Husain Al Khatib
Syeikh Umar Abu Bakar Al Khatib
Al Habib Ali Abdul Rahman Al Jufri

Beliau juga adalah antara anak murid Al Habib Umar bin Hafidz yang pertama di Dar Al Mustafa. Bakat semulajadi beliau sebagai seorang pendakwah mula diasah oleh Al Habib Umar bin Hafidz.

Selepas pengajian beliau di Hadhramaut, Yemen, beliau pergi ke Mesir pula. Selama 5 tahun di Universiti Al Azhar, beliau terus berguru mendalami ilmu-ilmu agama dengan:

1. Dr. Abdul Badi' Abu Hashim
2. Dr. Saad Jawish
3. Dr. Ali Jum'ah
4. Dr. Muhammad Jibril

Di sini juga beliau, seiring dengan belajar, telah terus mengasah kemahiran berdakwah beliau dengan mengajar dan mendidik pelajar-pelajar dari pelbagai kaum dan bangsa.

Setelah menerima ijazah (degree) dalam jurusan 'Islamic Legislation and Law' dari Universiti Al Azhar, beliau meneruskan kembara ilmunya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Malaysia, dalam jurusan Al Quran dan Sunnah.

Dalam tahun 2004, beliau bernikah dan sejak itu, beliau serta isteri telah dianugerahkan dengan 3 orang puteri.

Setelah selesai kuliahnya di peringkat Sarjana (Masters), beliau sekarang sedang giat berusaha menyempurnakan Doktor Falsafah (PhD) beliau dalam jurusan Al Quran dan Sunnah.

Dalam tahun 2004, Al Habib Abdul Qadir Al Jufri, pengasas Darul Murtadza berpindah ke Kota Tinggi, Johor. Oleh kerana itu, Al Habib Abdul Qadir Al Jufri telah memohon Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid untuk mengambil alih.


Alhamdulillah, sejak dari itu, Darul Murtadza telah berkembang dari awalnya sebagai pengajian di rumah Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dengan jemaah 10 – 20 orang ke sekarang, di Surau Al Hidayah (AU3) dengan jemaah yang makin bertambah.

Latarbelakang pendidikan dan pembangunan diri Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid yang dinamik dan menyeluruh, diregukan dengan bakat semulajadi dan kemahiran berdakwah yang telah diasah dan dibentuk oleh guru-guru beliau, menjadikan beliau seorang pendidik dan pendakwah yang bukan sahaja dikenali dengan kehebatan beliau di medan ilmu dan dakwah, tetapi juga sama dikenali kerana akhlak dan adab beliau yang mulia.

Sumber : http://www.darulmurtadza.com/

Saturday, March 5, 2011

TUAN GURU HAJI SALLEH MUSA AL-MAKKI SIK - PENGHORMATAN DARIKU KEPADA BELIAU


Terdetik hatiku ingin memberi penghormatan kepada Guruku dari kalangan Ulamak iaitu Tuan Guru Haji Salleh Musa al-Makki Sik. Penghormatan ini aku berikan melalui memperkenalkan beliau dengan segala maklumat yang aku ada dan dari sumber yang terhad. Dengan pertolongan dan Hidayah dari Allah s..w.t, maka aku menyiapkan usaha ini, semoga bermanfaat kepada diriku dan umat Rasulullah s.a.w. aku yang pernah bertalaqi hanya beberapa kali dengan beliau tapi menyedari ketinggian ilmu dan keberkatan beliau ketika di pondoknya iaitu Madrasah ar-Rahmaniah Sik, Kedah.

Beliau yang pernah belajar secara langsung dari Ulamak-ulamak terkenal di Mekah telah mendapat pelbagai sanad yang dekat dengan nabi Muhammad.

Beliau sentiasa diziarahi dari kalangan Ulamak antaranya dari dalam Negara, Indonesia, yaman, Mesir dan lain-lain tempat yang luar pengetahuanku.
Antara Tokoh Ulamak yang pernah menziarahi beliau dan kebanyakkan mereka adalah dari kalangan keturunan Saidina Nabi Muhammad s.a.w.

Al-Habib Musa al-Kazim bin Ja’far bin Muhammad as-Saggaf dari Yaman



Fadhilah Syeikh Mihammad Ibrahim Abd Ba'ith Al-Kittani Al-Husaini.



Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki



Sheikh Al-Habib Yusuf Al-Hasani



AL-HABIB ALI ZEINAL ABIDIN AL-HAMID



Habib Ahmad Al Habsyi -Jeddah




Beliau juga Aktif dalam aktiviti dalam membangunkan ummah, bayangkan umur beliau yang mencecah 84 tahun dengan kegigihan menyumbangkan bakti kepada umat nabi Muhammad.




Beliau turut menerima pelbagai anugerah dan gelaran dari masyarkat dan kerajaan. Sudah tentunya gelaran Ulamak adalah gelaran paling mulia disisi Allah.

Tn Guru Hj Salleh dinobatkan tokoh guru pondok peringkat negeri Kedah



Sedikit berkaitan latar belakang dan sejarah Beliau melalui biodata.
Nama :Tn Guru Hj Salleh bin Musa
Tarikh Lahir : 08.02.1929
Ayah: Tn Guru Hj Musa bin Salleh
Ibu:Khatijah bt Saad
Tempat lahir :Pekan Sik
Bil Adik beradik : 8 orang
Anak ke : 3
Pendidikan : - 1.Sek Rendah Keb Sik
(Dan ke Pondok Tn Hussin Kedah , kemudian ke Pondok Tn Guru Hj Mad Nawawi Gurun Kedah, ini kurang mashur kerana Tn Guru Sekejap sahaja disana )
2. Pondok Pak Chu Him Gajah Mati Pendang Kedah
,3.Darul Ulum Makkah dan menamatkan sijil kepujian Aliy '
4. Kemudian mendalami ilmu di Masjidil Haram Makkah bersama syeikh-syeikh terkemuka diantaranya Syeikh Ismail Fatani , Syeikh Yassin Al Fadani , Syeikh Abd Qadir Mandili , Syeikh Syed Alawi Al Malikki , Syeikh Syed Amin Qutubi dan syeikh muktabar lain .

Berkahwin dengan Hj Hatiah bt Hanafi
Mendapat 2 orang cahaya mata semasa berlajar di Makkah .
Tn Guru memiliki 11 orang cahaya mata semuanya .
Kini isteri beliau sudah meninggal dunia dan Tn Guru sekali lagi berkahwin dengan Hj Sofiah bt Hj Awang

Tahun 1964 Tn Guru pulang ke Tanah air dan terus berkhidmat membantu mengajar di pondok ayah beliau di Pekan Sik .
Tn Guru menggantikan ayah beliau sebagai mudir Madrasah Ar Rahmaniah hingga sekarang .
Sekarang Tn Guru dibantu oleh anak belaiu Syeikh Muslim sebagai Tim Mudir .

Tn Guru menumpukan dakwah sepenuh masa di Pondok hingga sekarang dan beliau menyampaikan dakwah di setiap daerah di sekitar negeri Kedah Darul Aman .

KDYMM Sultan Kedah telah anugerahkan beberapa pingat kebesaran , diantaranya
B.K.M , S.D.K dan Tokoh Pendakwah Negeri Kedah tahun 2009
Pada tahun 2010 MB Kedah YAB Ust Azizan Abd Razak meanugerahkan Tokoh Pondok Negeri Kedah
SEKARANG ULAMA ARAB TERUTAMNYA YAMAN ,INDONESIA JORDaN , MESIR SERING MENZIARAHI TUAN GURU KERANA TN GURU MERUPAKAN ULAMA YANG SEMPAT MENDALAMI ILMU DENGAN ULAMA MUKTABAR MASJIDIL HARAM MAKKAH SATU KETIKA DULU.

Sumber Utama : http://pondoktauhid.blogspot.com/

Thursday, October 15, 2009

Biodata Al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki



Lahir: Al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin Abdullah Thayyib حفظه الله dilahirkan pada tanggal 1 September 1960M di sebuah desa yang bernama Harus di Amuntai, Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia. Anak ketiga dari tujuh bersaudara. Lahir dari sebuah keluarga yang taat beragama. Bonda beliau bernama Hajjah Rahmah binti Haji Muhammad Sobri (meninggal dunia pada 1984) adalah puteri dari seorang tokoh ulama besar di Kalimantan Selatan.

Pendidikan: Beliau belajar membaca la-Quran dari nenek beliau, ibu saudara beliau (Rokiah dan Zainab) dan kakak beliau (Ruminah). Manakala perdidikan formal beliau dapati di sekolah rendah di kampung Harus. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di Pondok Pesantren Normal Islam – Rasyidiah Khalidiah - . Pengajian beliau disini tidak lama seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke tanah suci Makkah dan menetap disana.

Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Shaulathiah al-Hindiyah [sejarah penubuhan madrasah ini boleh didapati disini] sehingga tahun 1982. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian yang diadakan umum di Masjidiharam dan juga dirumah para masyaikh.

Pada tahun 1982 beliau telah menamatkan pengajiannya dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di Madrasah Shaulathiah. Di samping belajar, beliau juga beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau telah mengajarkan kitab Qatrunnada, Fathul Mu'in, 'Umdatussalik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas 'Aliyah.

Beliau merupakan murid kesayangan gurunya asy-Syaikh al-‘Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani رحمه الله . Dan guru inilah yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. Tuan guru beliau ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajak beliau untuk menemaninya ke Madinah bagi menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Sewaktu menceritakan pada abuzahrah perihal Tuan Guru yang dikasihinya ini … beliau kelihatan sebak dan matanya kemerahan menahan sedih.

Beliau mencurahkan segala usaha dan tenaganya serta dirinya mendekati para masyaikh untuk berkhidmat dan juga membekali diri dengan ilmu daripada guru-gurunya. Pernah beliau berkata kepada abuzahrah, apa yang beliau nikmati kini adalah hasil dari keberkatan doa para masyaikh yang beliau telah berkhidmat kepada mereka. Dan kini beliau dapati pula apa yang pernah beliau berikan kepada para guru beliau dahulu.

Beliau amat gigih dalam belajar, maka tidak hairanlah kalau beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut sahaja ulama' yang ada di Mekah khususnya pasti beliau pernah berguru dengan mereka. Siapa yang tidak mengenali tokoh ulama' yang harum nama mereka disebut orang semisal Syaikh al-Allamah Hasan al-Masyath yang digelar Syaikh-ul-Ulama', Syaikh al-Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, yang mendapat julukan Syaikhul Hadits wa Musnidud-dunya, Syaikh Ismail Usman Zin al-Yamani yang digelar al-Faqih ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Tholibin), Syaikh Abdul Karim Banjar, Syaikh Suhaili al-Anfanani, as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi al-Maliki, Syaikh Said al-Bakistani dan masih banyak lagi. Kata pepatah arab “cakap sahaja tanpa perlu khuatir”.

Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanadnya hingga kepada pengarang, masyaAllah betapa hebat dan beruntungnya umur beliau dan segala-galanya yang diberikan oleh Allah, tidak salah kalau dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.

Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar asy-Syarif dalam bidang syariah hingga mendapat gelar sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali Liddirasat al Islamiah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am “Dirasat 'Ulya” pada tahun 1990. Menurut beliau, perpindahan ke Mesir ini adalah kerana beliau dan beberapa orang lagi telah dihalang untuk mengajar pengajian di Masjidilharam kerana ketiadaan tauliah. Dan sekiranya mereka berkeras, maka mereka akan di tangkap oleh pihak berkuasa Saudi. Maka pada ketika itulah guru beliau menyarankan beliau untuk ke Mesir, belajar dan mengajar.

DiAntara guru-gurunya ketika belajar di Mekah adalah adalah:-

Syaikhul ‘Ulama al-‘Allamah asy-Syaikh Hasan bin Muhammad bin Abbas bin Ali bin ‘Abd al-Wahid al-Masyath رحمه الله (wafat pada hari Rabu, 7 Syawal 1399H) – Syaikh Nuruddin mengambil dari beliau secara wijadah dan munawalah kebanyakkan karangan beliau seperti Is’aaf ahl al-Iman, Is’aaf ahl Islam, Inarah ad-Duja fi Maghazi Khair al-Wara’, Tuhfah al-Sunniyah fi Ilm al-Faraid’, Nasaih Diniyyah wa Wasaya Hamah’ dan lain-lain. Syaikh Nuruddin juga sering menghadiri perhimpunan di dalam majlis-majlis yang diadakan di Ja’ranah, ‘Arafah, Tan’im dan Madinah. Syaikh Nuruddin menceritakan bahwa beliau sering bersama gurunya al-‘Allamah Syaikh Ismail Utsman Zain berziarah ke rumah al-‘Allamah Syaikh Hasan Masyath pada petang setiap hari Khamis. Mereka akan bersholat Maghrib bersama ulama tersohor ini dan tidak akan pulang melainkan setelah mendapat doa dan nasihat dari al-‘Allamah Syaikh Hasan Masyath. Dari Syaikh inilah beliau mendapat nasihat dan wasiat untuk sentiasa mengamalkan Sholawat Masyisiah.

Al-Faqih ad-Darakah al-‘Allamah al-Jalil asy-Syaikh Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki رحمه الله (wafat 20 Dhulhijjah 1414H) – Syaikh yang banyak mendidik dan mencorak Syaikh Nuruddin. Antara kitab yang dibacakan pada ulama besar ini adalah Umdah as-Salik. Beliau juga meriwayatkan kitab Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmidhi, Sunan Nasai, Sunan Ibn Majah dan lain-lain

Al-‘Allamah al-Jalil, al-Faqih al-Fahhamah asy-Syaikh ‘Abdullah bin Said bin Muhammad Ubadi al-Lahji رحمه الله (wafat di hospital an-Nur, Mekah, jam 10.50 hari Sabtu, 1410H) – dari ulama besar berasal dari Yaman ini, beliau belajar kitab Tafsir Ibn Katsir, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, al-Minhaj, Bulughul Maram, Matan Abu Syuja’, al-Idhoh, al-Qawaid al-Asasiyah dan lain-lain. Telah menjadi kebiasaan Syaikh ’Abdullah Said al-Lahji, selepas selesai pengajian akan bergaul dan beramah mesra dengan murid-muridnya. Beliau akan menceritakan kepada mereka kisah-kisah lucu dan hikayat-hikayat lama yang mana iainya memberi kesan besar ke dalam jiwa murid-murid beliau dan mereka yang mengasihi beliau.

Syaikhul Hadits wa Musnidud Dunya al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani رحمه الله (wafat 28 Dhulqaedah 1410H) – Syaikh Nuruddin mengambil daripada beliau secara riwayat, ijazah dan wijadah dari kebanyakkan karangan, tsabat dan musalsal beliau.

Menabur jasa dan menyandang gelaran ‘Azharus Tsani’. Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti al Azhar sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (Azhar ke Dua) satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat Universiti al Azhar sendiri.

Beliau mengadakan kelas pengajian yang diberi nama “Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin” semenjak tahun 1987 sehingga 1998 yang mana buat pertama kalinya diadakan di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di Masjid Jami’ al Fath di Madinah Nasr. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama' muda ini. Dan memanglah semenjak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta'lim beliau telahpun menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesihatan dan ke'afiaatan kepada beliau serta keluarganya dan memberikan kesempatan yang seluasnya untuk beliau terus mencurahkan ilmu dan terus menghasilkan karya ilmiah.

Menghasilkan Karya Ilmiyah. Beliau telah melibatkan diri dalam dunia penulisan semenjak tahun 1991. Beliau telah menghasilkan karangan dan juga mentahqiq kitab-kitab mu'tabar tidak kurang daripada 50 buah karangan kebanyakkannya dalam bahasa Arab.

Majlis pengajian beliau di Malaysia: Pada tahun 1998 beliau telah diperlawa untuk mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah (MTI), Derang Kedah, yang diasaskan oleh al-Marhum Ustaz Niamat bin Yusuf رحمه الله pada tahun 1980. Beliau tidak ubah umpama hujan yang menyuburkan bumi yang lama kehausan siramannya. Beliau menetap di MTI Derang hinggalah tahun 2002. Beliau merupakan tenaga pengajar yang utama lagi disegani yang banyak memperuntukkan masa beliau untuk para pelajar di Maahad 'Ali Littafaqquh Fiddin, Derang.

Di samping itu beliau juga dijemput mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah. majlis-majlis perayaan agama malah suara beliau telah lantang bergema menyampaikan syiar agama di hotel-hotel, di pejabat kerajaan sama ada di negeri Kedah Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terangganu. Setiap kali pengajian yang diadakan pasti akan bertambah jumlah hadirin yang tidak mahu ketinggalan menimba ilmu dan menerima siraman rohani daripada beliau.

Walaupun beliau sudah kembali ke Indonesia, namun sehingga kini majlis pengajian yang dipimpin beliau masih aktif di Selangor, Wilayah Persekutuan, Kedah, Pahang dan lain-lain. Dan beliau juga mengadakan daurah tahunan di Malaysia. Beliau juga di jemput untuk mengadakan majlis pengajian di Kalimantan dan Singapura.

Membuka pesantrennya sendiri. Selepas 4 tahun menabur bakti di bumi Kedah, akhirnya beliau pulang ke tempat asal kelahirannya untuk menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan dan seterusnya pada tahun 2004 beliau mengasaskan Ma’had az-Zein al-Makki al-‘Ali Litafaqquh Fiddin di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Nama pesantren ini adalah mengambil sempena nama guru kesayangan beliau al-Faqih ad-Darakah al-‘Allamah al-Jalil asy-Syaikh Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki رحمه الله. Konsep pesantren beliau adalah “اجتماع القديم الصالح والحديث النافع” yang bermaksud menghimpunkan ilmu-ilmu dulu yang benar (yang berkat) dan ilmu-ilmu baru yang bermanfaat. Disinilah beliau menetap bersama-sama keluarganya sehingga kini. Dan di pesantren inilah beliau mendidik mencurahkan ilmunya dan mendidik bakal-bakal ulama muda untuk meneruskan kesinambungan ilmu yang berteraskan kepada sistem pengajian bersanad.

Diantara Keistimewaan beliau

* Yang pertama dan utama adalah beliau istiqamah dan tekun serta gigih dalam apa jua yang dikerjakannya, terutamanya didalam menuntut ilmu. Sehinggakan walaupun beliau sudah terkenal ‘alim, namun beliau masih mencatit ilmu atau maklumat baru yang beliau pelajari atau dengari dari ulama-ulama lain. Ini telah beberapa kali abuzahrah saksikan sendiri, seperti ketika rauhah Habib Umar sewaktu Multaqa Ulama di Bogor juga di dalam beberpa majlis yang beliau hadiri.
* Beliau mempunyai semangat yang luar biasa tinggi, tegas dengan prinsip dan berdisiplin tinggi, berwibawa, bersemangat ketika menyampaikan ilmu dan tidak pernah kelihatan letih walaupun jauh dan lama masa mengajar.
* Dalam menyampaikan ilmu mengaitkan masalah semasa dengan apa yang disampaikannya sungguh amat luar biasa dan amat memberi kesan sekali kepada para hadirin.
* Sangat menekankan adab-adab ketika belajar kepada murid-murid beliau, yang mana agak sukar didapati sekarang ini guru yang tegas di dalam adab belajar. Bahkan abuzahrah menyaksikan sendiri adab-adab yang beliau tekankan itu dipraktikkan oleh beliau tatkala beliau bertalaqqi atau berada di dalam majlis ilmu yang dipimpin ulama lain.
* Beliau akan duduk iftirasy atau tawarruq ketika mengajar walaupun berjam-jam lamanya dan beliau tidak pernah duduk bersila ketika mengajar. Beliau pernah katakan pada abuzahrah, insyaallah ana tidak anak mengangkat atau meninggikan kaki di hadapan orang lain, melainkan ketika makan kerana mengikut akan sunnah.


Bergambar bersama sebahagian peserta Daurah Tafaqquh Fiddin -1 di Pondok Tuan Guru Haji Salleh, Sik, Kedah pada tahun 2007


Irsyadat al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nurruddin: (Petikan ucapan sulung al-Fadhil Syaikh Muhammad Nuruddin hari pertama pengajian di kelas al-Ma'hadul ‘Ali Lit Tafaqquh Fiddin Derang, Kedah - pada hari Itsnin 9 Ramadhan 1419H bersamaan 28 Disember 1998 M.)

* Jangan tersilau dengan gelar PhD atau MA dan sebagainya. Penubuhan al Ma’hadul 'All Littafaqquh Fiddin ini untuk mendapat redha Allah dan membawa misi dan visi Nasratu Dinillah Taala dan Adda‘watu ilallah Menuntut ilmu untuk menolong agama Allah, bukan untuk sijil, syahadah atau untuk dunia serta pangkat.
* Terlalu murah kalau dengan ilmu hanya untuk mendapat gaji lumayan. Kalau belajar hanya untuk duit akan terhenti dengan duit, dapat duit tinggal ilmu.
* Tanggungjawab kita lah terhadap ilmu di tanahair khususnya dan seluruh dunia umumya.
* Siapkan diri untuk berkorban demi ilmu, agama. Ilmu untuk agama dan akhirat.
* Bekerjalah untuk Islam, jangan biarkan musuh Islam mengukut tanah umat Islam dikeranakan ulama kita tidur sedang kita asyik bertengkar sesama sendiri.
* Jadilah 'abidan lillah (hamba kepada Allah jangan 'abidan li makhluk (hamba kepada makhluk). Menuntut ilmu harus ikhlas baru berkat.
* Berakhlaklah dengan guru yang kita mengaji dengannya. Mohon restu guru, dekati dan dampingi mereka merupakan kunci dan rahsia keberhasilan.
* Hormatilah kitab-kitab, susun dengan baik dan terhormat, jangan letak sesuatu di atas kitab, membawa kitab jangan seperti menenteng ikan sahaja, dakapkan ke dada.
* Akhlak juga harus besar sebagaimana besarnya kitab-kitab yang kita pelajari dan beramallah, jangan sampai belajar di kelas Tafaqquh tapi tak berminat untuk beramal.
* Saya bukan seperti kebanyakan guru silat yang menyimpan langkah-langkah atau jurus-jurus maut yang mematikan dari diketahui murid-murid.

SUMBER: http://al-fanshuri-kenaliulama.blogspot.com/