Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Tuesday, March 14, 2017

SETIAP HAMBA AKAN DIBANGKITKAN SESUAI DENGAN KEADAANNYA KETIKA MENINGGAL



يُبْعَثُ كُلُّ عَبْدٍ عَلَى مَا مَاتَ عَلَيْهِ
“Setiap hamba akan dibangkitkan sesuai dengan keadaannya ketika meninggal.” (HR. Muslim)

Hadis ini menerangkan keadaan hamba yang dibangkitkan oleh Allah SWT selepas kematian. Keadaa seorang hamba saat dibangkitkan selepas kematian adalah tergantung pada bagaimana keadaannya saat dia meninggal dunia. Jika dia meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah seperti sedang beribadah, sujud, membaca Al-Qur’an, atau dalam keadaan mendapat redha daripada ibunya maka kelak dia dibangkitkan dalam keadaan yang bahagia. Tetapi jika dia meninggal dalam keadaan su’ul khotimah seperti sedang melakukan maksiat, mabuk, berzina, atau dalam keadaan ibunya murka kepadanya maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan yang penuh dengan penderitaan.

Kematian adalah al-Maut, perkataannya pendek terdiri dari beberapa huruf sahaja tetapi sangat memberi bekas terhadap manusia. Setiap penyakit Allah turunkan bersamanya penawar, kecuali kematian. Sesungguh mana pun kita melupakan kematian namun kematian tidak pernah melupakan kita, sejauh mana pun kita lari dari kematian tetapi kematian itu tetap akan mengejar kita, sejauh mana pun kita bersembunyi dari kematian namun kematian tetap menjumpai kita. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ
“Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu. (Al-Jumu’ah: 8)

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ
“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walau kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa’:78) 

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ اْلمـَوْتِ
Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Ali Imran:185, al-Anbiya:35 dan al-Ankabut: 57).

Perkataan “setiap” dalam ayat bermaksud semua kehidupan termasuk malaikat yang meniup sangkakala, apa yang membezakan kita adalah amal yang kita lakukan. Berdasarkan hadis ini kita dianjurkan untuk memperbaiki amal agar amalan kita diterima oleh Allah SWT. Mintalah kepada Allah agar kita meninggal dalam keadaan Khusnul Khotimah, kerana meninggal dalam keadaan Khusnul Khotimah itu hakikatnya bukan kemahuan kita tetapi kemahuan Allah SWT. Mohonlah kasih sayang dan belas kasihan dari Allah SWT, jika Allah sayang pada seseorang hamba, maka hamba tersebut akan diberi Taufiq untuk beramal Soleh sebelum dia meninggal dunia sehingga dia meninggal dalam keadaan khusnul khotimah. Seseorang yang masanya dipenuhi membaca Al-Qur’an, kemungkinan dia meninggal adalah dalam keadaan membaca Al-Qur’an, demikian seseorang yang istiqomah di masjid maka kemungkinan nyawanya dicabut ketika dia berada di masjid.  

Dalam kita banyak beramal jangan kita menghina pelaku maksiat dan pendosa. Mungkin sahaja dia masuk syurga dengan hanya melakukan satu amalan kebajikan dan kita dimasukan ke neraka hanya dengan melakukan sekali perbuatan maksiat. Nabi SAW bersabda bahawa ada orang yang amalanya bagus, beramal dengan amalan ahli syurga dan beribadah siang dan malam, lalu dia melakukan maksiat dan dalam keadaan melakukan maksiat itu nyawanya di cabut lalu dia kelak ditempatkan di neraka. Tanda orang yang dikhuatirkan meninggalnya dalam keadaan Su’ul Khotimah ada empat: Pertama ialah orang yang melalaikan solat, yang kedua ialah orang yang selalu mabuk, yang ketiga ialah orang derhaka kepada ibu dan bapa, dan yang keempat ialah orang yang melakukan kejahatan kepada manusia terutama pada orang yang beriman.  

Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Saiyidina Abdullah Bin Umar ketika dia masih kecil, Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Umar: “Jadilah kamu hidup di dunia seperti orang asing atau musafir, apabila engkau berada di petang hari, janganlah kamu menunggu hingga ke pagi hari. Dan apabila kamu berada di pagi hari maka janganlah menunggu hingga ke petang hari. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu. Dan gunakanlah hidupmu sebelum datang kematianmu." (HR. Al-Bukhari)


Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Tuesday, February 28, 2017

DOA IBNU MAS’UD R.A



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
عَنْ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ بَقُوْلُ: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى) رواه مسلم

Dari Ibn Mas’ud ra, Rasulullahullah SAW bersabda: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, penjagaan diri dari maksiat serta kekayaan.” (HR Muslim)

Hadis ini diriwayatkan oleh sahabt Nabi SAW Ibn Mas’ud, nama penuh beliau ialah Abdullah Ibn Mas’ud. Beliau diantara sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dalam perjalanan bersama Sayyidina Abu Bakar Assiddiq dan beberapa orang sahabat pada waktu panas terik matahari di siang hari. Dalam kehausan Rasulullah SAW dan para sahabat terjumpa seorang anak kecil yang mengembala unta, anak kecil itu bernama Abdullah Ibn Mas’ud.

Nabi SAW bertanya kepada Ibn Mas’ud: “Wahai anak kecil, adakah di antara unta-unta ini mempunyai susu yang boleh diminum oleh saya dan sahabat saya?” Ibnu Mas’ud menjawab “Ya, ada. Tetapi saya hanya diamanahkan untuk menjaganya.” Kemudian Rasulullah bertanya: “Apakah ada unta tua yang tidak mempunyai susu?” Ibn Mas’ud menjawab: “Ada seekor unta yang paling tua yang sudah tidak mengeluarkan susu.” Nabi SAW terus memegang kantung susu unta tua tadi, dengan izin Allah SWT kantung susu unta tua tadi membesar dan mengeluarkan susu dengan banyak. Rasulullah SAW bersama Abu Bakar dan para sahabat yang ada waktu itu meminum susu tersebut sehingga kenyang. Setelah itu Nabi SAW memegang sekali lagi kantung susu unta tua tadi dan berkata: “kempislah!” saat itu juga kantung susu unta tua tadi kempis dengan serta merta. Ibn Mas’ud yang melihat kejadian yang menakjubkan itu terus memeluk Islam mendapat hidayah dari Allah SWT berkat Mu’jizat Nabi Kita Muhammad SAW.

Sayyidina Ibn Mas’ud antara sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullahullah SAW dan nama beliau tercatat dalam buku-buku sejarah. Beliau banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW sehingga melebihi 800 hadis, ini kerana beliau sentiasa berada di samping Rasulullah SAW. Oleh kerana Ibnu Mas’ud sentiasa bersama Rasulullah SAW saat turunnya ayat Al-Qur’an maka beliau mengetahui sabab turunnya ayat-ayat Al-Quran. Banyaknya masa beliau bersama Rasulullahullah saw menjadikan beliau sahabat yang paling dekat dengan Rasulullahullah SAW sehingga baginda Nabi SAW menzahirkan cinta baginda kepada beliau dalam bentuk doa: “Allahumma atstsir maalahu wa waalada waa barik fii umrih, (Yaa Allah panjangkan umurnya dia, limpahkan harta dan anak cucu keturuannya).”

Doa baginda Nabi SAW itu dikabulkan Allah SWT, Ibnu Mas’ud wafat pada umur lebih dari 100 tahun. Beliau sempat hidup pada zaman khalifah Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar sehingga Sayyidina Utsman Bin Affan. Anak beliau berjumlah lebih dari 100 orang. Hartanya berlimpah, beliau mempunyai kebun-kebun kurma. Beliau meninggal dikota Madinah, dan dikuburkan bersama puteri-puteri Rasulullahullah SAW.”

Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

Friday, January 20, 2017

SOLAT MAGHRIB DI SURAU DALAM PASARAYA

1. IMAM perlu elak membaca surah yang panjang siap berlagu nahwan+bayati, berwirid panjang dan berzikir panjang seperti ustaz Abdullah Fahmi atau berdoa panjang seperti Syeikh Sudais.

2. MAKMUM perlu terus bangun dan beredar apabila sudah solat, cukup dengan hanya berzikir dan berdoa secara ringkas.

3. MAKMUM perlu pastikan waktu maghrib masih belum berakhir, nanti ada pula yang niat solat maghrib berimamkan solat isyak.

4. MAKMUM jangan pisahkan saf solat dengan barang yang dibeli, cuba letak di hadapan atau berbetulan di bawah perut ketika sujud.

5. MAKMUM please jangan biar jemaah lain beratur tunggu hang habis balas whatsap.

6. Cuba duduk secara IFTIRASY (seperti duduk pada tahiyat awal) apabila jumlah jemaah padat, jangan duduk secara tawarruk (duduk pada tahiyat akhir) nanti hampa terduduk atas kaki jemaah sebelah tambah jika kita berbadan besar, kang patah kaki beliau.


7. Bagi LELAKI, jangan lepak depan surau wanita kerana sudah tentu ada wanita yang sedang tukar pakaian, dalam surau pun nak skodeng?

Thursday, January 12, 2017

MENJEMPUT KEBAIKAN


Kebaikan Adalah Dari Allah Ta’ala
Setiap hari kita berharap dan berdoa agar kita memperolehi kebaikan, namun ada sebahagian dari kita salah dalam cara menjemput kebaikan itu. Sebahagian orang manjemput kebaikan dengan cara memaksimumkan pendapatannya, ada yang mengumpul harta sebanyaknya, dan ada yang membeli insuran atau menabung sebagai jaminan. Namun kita sering terlupa bahawa kebaikan yang diharapkan itu hanyalah dari Allah Ta'ala, bukan dari harta, pangkat, duit atau skim perlindungan.

Firman Allah Ta’ala: “Katakanlah (wahai Muhammad)…Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja mempunyai segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.” (Ali Imran: 26)

Firman Allah Ta’ala: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah dari sisi Allah". (an-Nisa’: 78)

Oleh itu, cara menjemput kebaikan hanyalah dengan cara yang diajar oleh Allah Ta'ala iaitu dengan memastikan cara atau kaedah itu adalah patuh Shariah. Mengharapkan kebaikan itu datang dari makhluk dan bukannya Allah Ta'ala hanya akan membuat kita kecewa dan berputus asa, sesungguhnya Pencipta kita lebih tahu kebaikan yang terbaik untuk ciptaan-Nya.

Bagaimana Mendapat Kebaikan?
Islam telah mengajar cara menjemput kebaikan, iaitu dengan cara menuntut ilmu dan memahami agama Islam. 

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang Allah kehendak beroleh kebaikan kepadanya, maka Allah akan berikan kepadanya kefahaman di dalam urusan agama." (Riwayat al- Bukhari)

Firman Allah Ta’ala: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (al-Baqarah: 269)

Kebaikan Hilang Apabila Diangkatnya Ilmu
Di akhir zaman kelak, Allah Ta’ala akan datangkan kiamat dan kerosakan di bumi dengan mengangkat ilmu dengan dimatikan para ulama, maka bumi akan diurus oleh orang jahil lalu berlakulah kerosakan. 

Rasulullah saw bersabda: "Diantara tanda terjadinya hari kiamat ialah diangkat ilmu, kejahilan berleluasa, ramainya orang yang meminum arak, dan zina dilakukan secara terang-terangan." (HR Muslim)

Rasulullah saw bersabda: “'Allah Azza wa Jalla mengangkat ilmu agama bukan dengan cara mencabutnya dari hati umat manusia. Tetapi Allah akan mengangkat ilmu agama dengan mencabut nyawa para ulama, sehingga tidak ada seorang ulama pun yang akan tinggal. Kemudian akan dilantik orang yang jahil sebagai pemimpin. Apabila mereka, para pemimpin jahil itu diminta memberikan fatwa, maka mereka akan berfatwa tanpa berlandaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan.” (HR Muslim)

Ilmu Agama Memberi Kebaikan
Kefahaman dalam agama akan memandu kita dalam melakukan aktiviti harian. Aktiviti patuh Shariah berdasarkan kefahaman agama akan menjemput kebaikan datang kepada kita. Ini kerana agama itu mencegah kita dari melakukan kejahatan, keburukan, kemudaratan, menjaga maslahat, dan memandu kita agar sentiasa selamat di dunia dan akhirat. Semakin banyak kefahaman agama yang kita praktikkan dalam aktiviti harian kita maka semakin banyak kebaikan yang kita perolehi.

Agama juga membentuk pemikiran yang berprinsip dan berwawasan, membantu membuat keputusan, membantu membuat penilaian dan membuat pertimbangan dalam bertindak. Kebaikan dari ilmu itu umpama air hujan yang menghidupkan tumbuhan segar. 

Nabi saw bersabda: "Perumpamaan aku diutuskan oleh Allah Ta’ala menyampaikan petunjuk dan ilmu  bagaikan hujan yang jatuh ke bumi. Diantaranya ada yang jatuh ke tanah subur yang dapat menyerap air, maka tumbuhlah padang rumput yang subur.” (HR Muslim)

Agama juga mengajar merawat hati, mengawal hati dan membersihkan hati maka emosi dan semangat kita akan turut terjaga. Oleh itu kita sentiasa dalam keadaan selamat, tenang, selesa, gembira dan bermotivasi, bukankah ini merupakan kebaikan yang mahu dikecapi setiap manusia? Agama juga memberi kita panduan dalam semua hal termasuk bagaimana bergaul, menyelesaikan masalah harian, dari masalah peribadi sehingga masalah negara, dari masalah dunia sehingga masalah akhirat. Kesemuanya telah diberi panduan, tinggal saja untuk kita ambil dan dijadikan panduan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Berusaha Mendaptkan Ilmu dan Kefahaman Agama
Kita tidak dilahirkan bersama dengan kefahaman agama, kefahaman agama itu diperolehi melalui proses ilmu. Mungkin aktiviti harian kita adalah patuh Shariah kerana kita dilahirkan dalam komuniti yang mengamalkan ajaran Islam dan amalan Islam telah menjadi budaya masyarakat sekeliling. Namun kefahaman di dada adalah tidak sama dengan apa yang telah menjadi budaya dan kebiasaan, dengan kefahaman agama seseorang akan menjadi anjal dalam mengaplikasikan Shariat mengikut perubahan tempat, suasana dan keadaan. Manakala bagi orang yang terbiasa dengan budaya hidup, dia sukar untuk bersikap anjal dan sukar mengadaptasi perubahan.

Kefahaman agama perlu diusahakan untuk mendapatkannya, dengan mengambilnya dari ulama supaya ilmu yang diperolehi adalah mendekati kebenaran dan juga mendapat kefahaman yang sahih sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala dan yang diajar oleh baginda Nabi SAW. Abdullah bin Yahya bin Abu Katsir berkata, “aku mendengar Ayahku berkata; "Ilmu tidak diperolehi dengan beristirehat"

Ulama akan menunjukkan jalan dan kaedah yang betul dalam memperoleh ilmu agama, bermula dari sumber pertama iaitu al-Quran dan Assunnah, seterusnya memperkenalkan kepada kitab-kitab yang muktabar yang membahaskan ilmu agama dengan mengambil kira sumber sekunder seperti ijmak, qias, istihsan dan sebagainya selain sumber primer iaitu al-Quran dan Assunnah. Ulama juga akan mengajar kita tentang adab belajar termasuk tahap-tahap dalam mempelajari ilmu, adab ketika belajar, adab dengan guru dan juga adab dalam mengamalkan dan menyampaikan ilmu.

Berusaha Ikut Kemampuan
Fitrah manusia mempunyai keupayaan akal dan tahap pemahaman yang berbeza-beza, bukan semua penuntut ilmu itu menjadi ulama, ada menjadi pakar dalam bidang tertentu, ada yang menjadi pelaksana dan ada yang hanya menjadi penuntut ilmu. Namun bagi seseorang yang tidak mampu menjadi ulama dia mampu menjadi ahli ‘abid (ahli ibadah), jika tidak mampu sekurangnya ilmu itu menjaganya dari kecelakaan dan ilmu itu akan tetap memberinya kebaikan.

Firman Allah Ta’ala: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (al-Baqarah: 286)

Kebaikan Di Dunia Dan Akhirat
Benarlah sabda Nabi SAW di atas bahawa kebaikan itu diperolehi melalui kefahaman dalam agama, kebaikan tersebut bukan sahaja diperolehi di dunia malah juga di akhirat. Patuh shariah itu merupakan penyebab kita tenteram di alam barzakh, di padang mahsyar dan dimasukan ke syurga. 

Rasulullah saw bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfa'at baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya." (HR Muslim)

Rasulullah saw bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke surga baginya.” (HR Muslim)

Kefahaman agama itu mendekatkan kita kepada Allah Ta’ala, menjemput rahmat Allah kepada kita, meningkatkan iman kita dan menjadikan amalan kita diterima oleh Allah Ta’ala. dapat kita simpulkan bahawa faham dalam urusan agama itu akan memberi kita banyak kebaikan dari segi pemikiran, emosi, perlakuan, hubungan sosial dan aktiviti harian.

Firman Allah Ta’ala: Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (al-Baqarah: 157)

Tuesday, November 22, 2016

PENDAPAT DAN PESAN HABIB UMAR BERKAITAN DENGAN DEMONSTRASI




HARUS UNTUK BERDEMONTRASI
Telah sampai kepada kami pertanyaan dari masyarakat Indonesia, apakah patut turut serta berdemonstrasi atau tidak? Pada dasarnya segala sesuatu yang tidak dilarang oleh syariat dan tidak melanggar peraturan pemerintah, termasuk yang berlaku dalam urusan demonstrasi atau urusan lainnya, haruslah mengikut ketentuan syariat dan aturan pemerintah yang ada di negara tersebut. Namun janagan sampai memberi kesan negatif kepada agama dan negara yang akibatnya menimbulkan perpecahan serta permusuhan di antara sesama umat Islam.

DILAKUKAN SECARA AMAN
Dalam masalah ini, apa yang telah dijamin oleh undang-undang negara termasuk kebebasan masyarakat untuk menyampaikan aspirasi mereka, maka hendaklah dilakukan dengan cara yang aman tanpa menimbulkan kehancuran dan kerosakan. Umat Islam wajib bersepakat untuk mengagungkan syiar-syiar Allah dan ayat-ayat-Nya, dan umat Islam berada dalam sebuah agama yang mengajar umatnya agar tidak mencaci sembahan orang kafir agar orang kafir tidak membalas dengan mencaci Allah Yang Maha Benar.

TIDAK BOLEH SALING MENCACI
Bagi mereka yang memutuskan untuk berdemonstrasi, mereka tidak boleh melakukan penganiayaan terhadap orang lain baik terhadap anak kecil mahupun orang dewasa. Mereka tidak boleh merosakkan sesuatu yang dilarang untuk dirosakkan. Mereka juga tidak dibenarkan untuk mencaci orang-orang yang tidak turun berdemonstrasi dan orang yang tidak berdemonstrasi juga tidak dibolehkan mencaci orang yang berdemonstrasi.

TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN KEKERASAN
Dan hendaklah kedua-dua belah pihak menyedari bahawa mereka mempunyai prinsip dan landasan yang sama, hanya cara mengungkapkannya berbeza kerana memiliki pandangan dan pertimbangan yang berbeza. Demikian, tidak dibolehkan bagi pemerintah untuk mengekang kebebasan rakyatnya dalam menzahirkan aspirasi mereka dengan menggunakan kekerasan tanpa alasan yang benar atau menyakiti orang yang berdemonstrasi tersebut. Bagi mereka yang berdemonstrasi juga tidak boleh untuk saling menyakiti diantara mereka atau mencaci pihak pemerintah. Sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” (al-Baqarah: 190). Firman Allah SWT: "Dan tidak ada permusuhan kecuali terhadap orang orang yang zalim” (al-Baqarah: 193)

JAUHI KEBENCIAN DAN PERMUSUHAN
Dan kami sampaikan kepada mereka yang keluar berdemonstrasi, apabila demontrasi tersebut menimbulkan kebencian dan permusuhan diantara sesama umat Islam, serta cacian terhadap orang yang tidak berdemonstrasi dan berprasangka buruk terhadap agama mereka tanpa bukti nyata, maka lebih baik bagi kamu untuk tidak keluar berdemonstrasi demi menjaga kebaikan kaum Muslimin sehingga tidak menimbulkan keburukan. Kami sampaikan pula kepada mereka yang tidak turut berdemonstrasi apabila mereka mencaci orang-orang yang berdemonstrasi sehingga menimbulkan permusuhan, perpecahan dan pertengkaran (diantara kaum Muslimin), maka lebih baik bagi kalian untuk turut berdemonstrasi tanpa mencaci orang lain dan tidak menimbulkan kesan buruk.

TINDAKAN YANG BENAR DAN SELAMAT
Dan kami sampaikan kepada mereka yang turut berdemonstrasi dengan cara yang santun, aman dan tidak menimbulkan permusuhan dan penistaan, “Bagimu ijtihadmu dan niatmu, dan semua itu kembalinya kepada Allah SWT.” Kami sampaikan pula kepada mereka yang tidak turut berdemonstrasi dan tidak menjadi sebab timbulnya cacian, celaan dan perpecahan antara umat muslim, “Perbuatanmu sudah benar dan kau lebih dekat dengan keselamatan. Jangan lupa berdoa dengan penuh harap dan bersimpuh dihadapan Allah memohon kebaikan bagi umat dan negeri ini.”

MEMILIH PEMIMPIN
Dan apabila telah datang giliranmu untuk memilih pemimpin, hendaklah kamu tidak memilih pemimpin kecuali orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Ini kerana hak pilihanmu adalah amanah. Apabila jelas kepadamu bahawa diantara para calon ada orang yang bertakwa kepada Allah maka pilihlah dia. Namun apabila kau ragu, maka mintalah pendapat dari orang yang kau percayai dari orang-orang yang berilmu dan mempunyai rasa takut kepada Allah dan yang tidak memiliki sedikitpun kepentingan duniawi, agar dia mampu menunjukkan kepada kamu perkara yang lebih ringan diantara dua hal yang buruk tersebut. Atau pilihlah siapa yang lebih bermanfaat untuk kepentingan manusia. Namun jika masih samar bagimu hal itu maka tinggalkanlah semuanya. Inilah yang kami fahami dari ajaran Rasulullah, sahabat dan para tabi’in.

KEWAJIPAN ULAMA
Kepada pemerintah, parti atau rakyat, janganlah kamu menunggu dari kami untuk mengajak umat kepada kamu, kerana kami telah memiliki komitmen untuk tidak mengajak manusia kecuali kepada Allah semata-mata. Kami takut wajah kami akan dihitamkan apabila keluar ucapan dari kami yang bertujuan untuk mencari redha pemerintah, parti atau golongan manapun berbanding redha Allah. Sekali lagi, kami takut akan dihitamkan wajah kami kelak di hari kiamat. Dan inilah jalan ikutan kami, Nabi kami Muhammad SAW. “Katakanlah inilah jalanku, aku mengajak manusia kepada Allah.” (Yusuf: 108)

NASIHAT KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
Kami mengajak semua parti dan pemerintah dan rakyat hanya kepada Allah. Bahkan kami sampaikan kepada orang-orang yang bukan muslim untuk gunakan akal dan fitrah kamu, dan janganlah kamu mendahulukan kepentingan pribadi di atas kepentingan bangsa dan negara. Seandainya kamu sangat menginginkan dunia, dan tamak dalam meraihnya, maka jangan sampai menyakiti orang lain dan menimbulkan kesan negatif pada masyarakat. Kami sampaikan bahwasannya kamu (bukan muslim) hidup di negeri yang majoriti muslim semenjak berabad lalu. Dan ini adalah suatu kehormatan bagi kamu hidup di antara mereka, baik kamu sedar atau tidak, maka hendaklah kamu melakukan muhasabah diri.

Dan apabila kamu orang-orang kafir berusaha mengalahkan Islam yang menjadi majoriti, dan merendahkan orang-orang yang beriman, maka kalian pasti akan dihinakan oleh Allah di dunia ini sebelum datangnya akhirat. Dan ini adalah tugas tokoh agama untuk mengajak semua kepada Allah semata-mata, dan Ulama bukanlah barang dagangan yang boleh dibeli dengan harga murah ataupun mahal.

BERHARAPLAH PADA REDHA ALLAH SWT
Apakah manusia yang menanggung amanah wahyu dan amanah cahaya kenabian akan tertipu oleh jabatan duniawi seperti ini? Maka manfaatkanlah oleh kamu keberkatan majlis ini dan tujukkanlah hati kamu kepada Dzat yang telah mengumpulkan kamu semua, sehingga tidaklah seseorang dari kamu pulang kecuali hanya mengharapkan redha Allah SWT. Kami menghadap kepada-Mu Ya Allah dalam keadaan merendahkan diri kami untuk urusan negeri ini dan penduduknya dari fitnah-fitnah dan musibah. Berikanlah kepada mereka kemenangan dalam menjunjung kebenaran, petunjuk dan sunnah Rasulullah SAW dan sebarkanlah agama Islam kepada semua penduduk negeri baik di timur maupun di barat, dan jauhkanlah kami dari keburukan orang-orang yang dipenuhi dengan hawa nafsu. Jadikan hawa nafsu kami mengikuti apa yang dibawa oleh Nabi-Mu.

Barang siapa yang ingin menukil (mengutip) pernyataan kami tentang hal ini, hendaknya ia menukilnya dengan lengkap. Sebab orang-orang yang dikuasai hawa nafsu sentiasa memutar belit ucapan para Ulama malah firman Allah juga, dengan menghapus sebahagian dan menambah sebagian yang lain. Tidak lain untuk menciptakan gambaran sesuai keinginan mereka demi mewujudkan tujuan mereka. Kami sampaikan kepada semua, janganlah menunggu dari kami untuk mengajak umat kepada kamu. Akan tetapi, nantikanlah kami untuk mengajak kamu semua kepada Allah. Dan kami mendoakan kepada kamu semua. kita semua adalah hamba Allah, sangat memerlukan kepada-Nya, dan hanya kepada Allah kita kembali. “Sesungguhnya hanya kepada Kami mereka kembali, kemudian Kami yang akan menghisab mereka.” (al-Ghoshiyah : 25-26)


Diterjemahkan dan edarkan resmi oleh Majelis Al-Wafa' bi 'Ahdillah, disunting oleh Izhar



Friday, November 18, 2016

PERMATA YANG HILANG DI BARAT


Akhlak, adab, moral atau etika akan mencantikkan apa sahaja, dan akan membuat orang kagum melihat akhlak atau adab itu ada padanya walaupun pada seekor monyet. Hebat kan dapat lihat monyet berkelakuan menyambut atau bersalaman dengan seseorang.

Oleh itu kita akan kagum melihat akhlak yang diajar oleh baginda Nabi sallahu alaihi wasalam ada pada orang barat. Orang barat apabila berjumpa mereka mudah untuk senyum dan menyapa seperti "Helo! Hai!", mereka mudah menghargai orang seperti "Thanks! I really appreciate it! Welcome! Anytime!", mereka akan memberi semangat seperti "You are amazing! You are awesome! You are smart!". Demikian Nabi SAW mengajar supaya terlebih dahulu menyapa dengan memberi salam, bersalaman dengan muka manis, memberi salam pada orang yang dikenali atau tidak dikenali, berterima kasih sebagai tanda syukur dan penghargaan, dan memberi motivasi kepada yang putus harapan seperti Allah bersama kamu, janji syurga dan pahala.

Pernah saya batuk atau bersin di depan seorang 'mat saleh' yang kebetulan ada berhampiran, lalu dia menyapa dengan berkata "are you okay sir?". Demikian juga Nabi SAW mengajarkan supaya mengucapkan "Alhamdulillah" apabila mendengar seseorang yang bersin. Pernah satu event saya bertugas mengedarkan air mineral kepada VIP yang sedang berbual, seorang Prof dari United Kingdom sebagai keynote speaker waktu itu menghentikan perbualan dengan semua VIP berkenaan lalu mengucapkan "thank you" kepada saya hanya kerana saya memberinya sebotol air mineral walaupun waktu itu dia dikelilingi VIP dan perbualan sedang rancak. Malangnya VIP Islam yang ada bersama dengannya tidak ambil peduli kehadiran saya dan menyambung kembali perbualan.

Perkara sebegini tidak kelihatan dalam masyarakat Islam walau setiap hari hal ini diajar oleh para Ustaz dan didapati di dalam kitab. Kadang lagak gayanya sombong, bermuka masam, tidak menyapa, buat hal sendiri, orang kemalangan depa ambil gambar dari pergi menolong, orang sedang buat kerja depa tengok saja sambil goyang kaki, tiada sens of humor, simpati, perhatian, senyum sinis, jeling hujung mata, tiada penghargaan dan penghormatan.

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.” (HR al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)


Tulisan ini dituju untuk saya juga... :)

Tuesday, November 8, 2016

PENGHISAB DADAH MENJADI GILA KEMUDIAN MENINGGAL DUNIA ADAKAH DIAMPUN DOSANYA DAN ADAKAH DIA TETAP AKAN DIAZAB?


Bagi orang ini dia ada tiga fasa. 1) Fasa normal. 2) Fasa gila. 3) Fasa Kematian

Fasa Normal:
Jika dia orang kafir maka dia tidak termasuk dalam perbincangan. Jika dia orang Islam maka dia akan dibebankan dengan salah satu dari lima(5) hukum, sama ada wajib, haram, sunat, makruh atau harus dengan syarat dia mukalaf. Perbuatan mengambil dadah itu adalah perbuatan yang dilarang dan termasuk dalam hukum haram, maka pelakunya berdosa besar dan diancam dengan azab oleh Allah subhanahu wata’ala.

Dadah adalah haram hukumnya dari segi syara'. Dalil pengharaman itu berdasarkan kepada keterangan nas kerana ia termasuk dalam pengertian umum "benda-benda yang memabukkan' atau dengan berqias kepada "arak" kerana kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama, iaitu "memabukkan' atau kerana terdapat dalam dadah keburukan-keburukan terhadap individu dan masyarakat.

Sebagai orang Islam kita boleh memohon ampun untuknya semoga dosa-dosanya diampunkan oleh Allah. Malah penggunaan dadah itu sendiri bergantung pada keadaan, jika untuk ubat atau rawatan maka ia dibolehkan, dan tidak dihukum berdosa bagi orang yang dipaksa untuk mengambilnya. Sabda Rasulullah saw:

”Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla memaafkan kesalahan (yang tanpa sengaja) dan (kesalahan kerana) lupa dari umatku serta kesalahan yang terpaksa dilakukan.” (HR Ibnu Majah)

Fasa Gila:
Hukum yang lima ini ada pengecualian pada keadaan tertentu. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah solallahu alaihi wasalam bersabda:

“Telah diangkat pena dari tiga golongan: dari orang gila sampai dia sedar, dari orang tidur hingga dia bangun, dan dari anak kecil hingga dia baligh.” (HR Tirmizi)

”Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla memaafkan kesalahan (yang tanpa sengaja) dan (kesalahan kerana) lupa dari umatku serta kesalahan yang terpaksa dilakukan.” (HR Ibnu Majah)

Firman Allah: “…Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan…” (al-Baqarah:286)

Oleh itu tidak dicatatkan pahala atau dosa baginya dalam keadaan seperti di atas. Dosa pahala dicatat hanya dalam keadaan mukalaf, apabila dia gila maka catatan akan terhenti. Sebagai saudara Islam kita boleh berdoa supaya Allah terima amalan solehnya ketika dia masih waras dan berdoa semoga dosa-dosanya diampunkan.

Fasa Kematian:
Sesungguhnya kita tidak mengetahui nasib seseorang di alam barzakh, kecuali apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Tidak boleh menghukum seseorang yang hanya Allah tahu nasibnya. Seseorang itu boleh sahaja diampunkan segala dosanya kerana luasnya Rahmat Allah berbanding murka-Nya.  Allah berfirman dalam hadith qudsi:

“Bahawasanya kerahmatan-Ku itu dapat mengalahkan kemurkaan-Ku.” (Muttafaq ‘Alaih)

Memberi harapan kepada seseorang lebih mendekati taqwa
Menakutkan seseorang hanya menjauhkan dia dari taqwa


Wallahu a’lam

Thursday, October 6, 2016

DOA KETENTERAMAN, KEBAHAGIAAN DAN KETENANGAN


بسم الله الرحمن الرحيم
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي، وَوَسِّعْ لِي فِي دَارِي، وَبَارِكْ لِي فِي رِزْقِي

Maksudnya: "Ya Allah, ampunilah dosaku, luaskan rumahku, berkatilah rezekiku."

Rasulullah SAW selalu membaca doa ini dan bersabda: "Adakah doa yang lain dapat tenteramkanmu selain doa ini. ?" (Riwayat al-Nasaie)


Rumah yang luas dan lapang akan memberi kebahagiaan. Rasulullah SAW bersabda: "Empat perkara yang membahagiakan: Perempuan(isteri) yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa." (Riwayat Ibn Hibban)

Wednesday, March 16, 2016

MUNAFIK


Munafik atau nifaq adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab.
Dari segi bahasa, munafik membawa maksud berpura-pura. Manakala dari segi istilahnya, nifaq atau munafik ini bermakna golongan yang berpura-pura menjadi Islam atau bergelar Muslim tetapi sebenarnya tindakan, perkataan dan perbuatan mereka adalah bertujuan meruntuhkan Islam. Mereka menzahirkan Islam pada diri mereka tetapi menyembunyikan kekufuran dalam hati mereka.

Golongan munafik dalam istilah moden boleh disebut golongan subversif ataupun merosakkan dari dalam.

Menjelaskan sifat munafik yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w, sesiapa yang mempunyai tiga perkara ini, maka dia adalah seorang munafik walaupun dia berpuasa, sembahyang, menunaikan haji, umrah dan mengatakan dirinya seorang Muslim.

Para sahabat bertanya,``Apakah tiga perkara ini?'' Jawab baginda: Iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia tidak menepati janjinya dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya. (Riwayat Muslim)


Dalam riwayat yang lain Rasulullah saw menjelaskan tanda-tanda orang munafik iaitu apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia memungkiri janjinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya dan apabila berbalah (bertengkar) dia melampaui batas. (Riwayat al-Bukhari)

Tuesday, December 29, 2015

ORANG ISLAM YANG BERSYAHADAH ADALAH SELAMAT NYAWA DAN DIRINYA DARI DIPERANGI

Sesungguhnya memerangi sesama orang Islam adalah tindakan kufur jika menganggap tindakan tersebut sebagai halal.

Diriwayatkan bahawa ketika Saiyidina Khalid ibn Walid radhi Allahu a’nhu bersama pasukannya menuju kepada Bani Jadzimah untuk mengajak mereka memeluk Islam, telah berlaku peristiwa di mana Khalid ibn Walid mengarahkan supaya tawanan mereka dibunuh. Maka Banu Sulaim membunuh tawanan mereka. Namun kaum Muhajirin dan Ansar menolak perintah ini. Mereka malah melepaskan para tawanan. Ketika tindakan Khalid ini sampai kepada Nabi Salla Allahu a’laihi wasallam, baginda Nabi Salla Allahu a’laihi wasallam bersabda, “Ya Allah, saya tidak bertanggung jawab atas tindakan Khalid.” Baginda mengulang ucapan ini sebanyak dua kali.

Begitu juga peristiwa yang dialami oleh Saiyidina Usamah ibn Zaid berdasarkan hadits yang diriwayatkan al- Bukhari dari Abi Dzibyan. Abi Dzibyan berkata, “Saya mendengar Usamah ibn Zaid berkata, “Rasulullah Salla Allahu a’laihi wasallam mengirim kami ke desa al-Huraqah. Kemudian kami menyerang mereka di waktu pagi dan telah mengalahkan mereka. Saya dan seorang lelaki Ansar mengejar seorang lelaki bani Dzibyan. Ketika kami berdua mengepungnya tiba-tiba dia mengucapkan, “La Ilaaha illallah”. Ucapan lelaki ini membuat temanku orang Anshor membatalkan niatnya untuk membunuh lelaki tersebut namun saya telah menikamnya dan diapun mati. Ketika kami kembali ke Madinah, Nabi Salla Allahu a’laihi wasallam telah mendengar pengkhabaran tentang tindakan pembunuhan yang saya lakukan. Baginda pun berkata, “ Wahai Usamah! Mengapa engkau membunuhnya setelah dia mengucapkan “Laa Ilaaha illallah?!” “Dia hanya berpura-pura,” Jawabku. Nabi mengucapkan pertanyaannya berulang-ulang sampai-sampai saya berharap baru masuk Islam pada hari tersebut.

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Rasulullah Salla Allahu a’laihi wasallam berkata kepada Usamah, “Mengapa tidak engkau robek saja hatinya agar kamu tahu apakah dia berpura-pura atau tidak?”. Saiyidina Usamah berkata “Mulai saat itu saya tidak akan pernah lagi membunuh sesiapapun yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah”.

Saiyidina Ali radhi Allahu a’nhu pernah ditanya mengenai kelompok-kelompok yang menentangnya, “Apakah mereka kafir?”, “Tidak, mereka adalah orang yang menjauhi kekufuran,” jawab saiyidina Ali. “Apakah mereka kaum munafik?”. “Bukan, orang-orang munafik mengingat Allah hanya sesaat sedang mereka sentiasa mengingati Allah”. “jika demikian siapakah mereka?”. Saiyidina Ali menjawab, “Mereka adalah kaum yang terkena fitnah yang mengakibatkan mereka buta dan tuli”.


Sumber: Mafahim Yajibu an Tushokhah; Imam Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki