Tuesday, November 8, 2016

PENGHISAB DADAH MENJADI GILA KEMUDIAN MENINGGAL DUNIA ADAKAH DIAMPUN DOSANYA DAN ADAKAH DIA TETAP AKAN DIAZAB?


Bagi orang ini dia ada tiga fasa. 1) Fasa normal. 2) Fasa gila. 3) Fasa Kematian

Fasa Normal:
Jika dia orang kafir maka dia tidak termasuk dalam perbincangan. Jika dia orang Islam maka dia akan dibebankan dengan salah satu dari lima(5) hukum, sama ada wajib, haram, sunat, makruh atau harus dengan syarat dia mukalaf. Perbuatan mengambil dadah itu adalah perbuatan yang dilarang dan termasuk dalam hukum haram, maka pelakunya berdosa besar dan diancam dengan azab oleh Allah subhanahu wata’ala.

Dadah adalah haram hukumnya dari segi syara'. Dalil pengharaman itu berdasarkan kepada keterangan nas kerana ia termasuk dalam pengertian umum "benda-benda yang memabukkan' atau dengan berqias kepada "arak" kerana kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama, iaitu "memabukkan' atau kerana terdapat dalam dadah keburukan-keburukan terhadap individu dan masyarakat.

Sebagai orang Islam kita boleh memohon ampun untuknya semoga dosa-dosanya diampunkan oleh Allah. Malah penggunaan dadah itu sendiri bergantung pada keadaan, jika untuk ubat atau rawatan maka ia dibolehkan, dan tidak dihukum berdosa bagi orang yang dipaksa untuk mengambilnya. Sabda Rasulullah saw:

”Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla memaafkan kesalahan (yang tanpa sengaja) dan (kesalahan kerana) lupa dari umatku serta kesalahan yang terpaksa dilakukan.” (HR Ibnu Majah)

Fasa Gila:
Hukum yang lima ini ada pengecualian pada keadaan tertentu. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah solallahu alaihi wasalam bersabda:

“Telah diangkat pena dari tiga golongan: dari orang gila sampai dia sedar, dari orang tidur hingga dia bangun, dan dari anak kecil hingga dia baligh.” (HR Tirmizi)

”Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla memaafkan kesalahan (yang tanpa sengaja) dan (kesalahan kerana) lupa dari umatku serta kesalahan yang terpaksa dilakukan.” (HR Ibnu Majah)

Firman Allah: “…Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan…” (al-Baqarah:286)

Oleh itu tidak dicatatkan pahala atau dosa baginya dalam keadaan seperti di atas. Dosa pahala dicatat hanya dalam keadaan mukalaf, apabila dia gila maka catatan akan terhenti. Sebagai saudara Islam kita boleh berdoa supaya Allah terima amalan solehnya ketika dia masih waras dan berdoa semoga dosa-dosanya diampunkan.

Fasa Kematian:
Sesungguhnya kita tidak mengetahui nasib seseorang di alam barzakh, kecuali apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Tidak boleh menghukum seseorang yang hanya Allah tahu nasibnya. Seseorang itu boleh sahaja diampunkan segala dosanya kerana luasnya Rahmat Allah berbanding murka-Nya.  Allah berfirman dalam hadith qudsi:

“Bahawasanya kerahmatan-Ku itu dapat mengalahkan kemurkaan-Ku.” (Muttafaq ‘Alaih)

Memberi harapan kepada seseorang lebih mendekati taqwa
Menakutkan seseorang hanya menjauhkan dia dari taqwa


Wallahu a’lam

No comments: