Tuesday, November 2, 2010

Peranan Zakat Dalam Pembangunan Ekonomi



Zakat memainkan peranan yang penting khususnya dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan. Zakat merupakan rukun Islam yang keempat dalam Islam, ia merupakan suatu asas yang wajib ditunaikan tanpa sebarang alasan. Kewajipan zakat merupakan suatu tanggungjawab yang membawa berkat dan memberi kesan yang berterusan bukan sahaja kepada mereka yang mengeluarkannya, tetapi juga mereka yang menerimanya. Pelaksanaan zakat member kesan bukan sahaja kepada individu, juga member kesan kepada seluruh lapisan masyarakat. Zakat turut berperanan dalam mempertingkatkan kebajikan masyarkat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi.

Zakat merupakan suatu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T ke atas setiap muslim. Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran bahawa menunaikan zakat adalah sebahagian daripada ciri-ciri penting umat Islam yang membezakannya dari penganut-penganut agama lain.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah At-Taubah: 71)

Dapat difahami bahawa Islam amat mementingkan kewujudan masyarakat yang adil, bersatu-padu, tolong-menolong, bantu-membantu dalam mengharmonikan kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara. Negara yang aman, tenteram dan masyarakatnya hidup bersatu-padu akan mewujudkan suasana ekonomi yang stabil dan seimbang seiring dengan peningkatan produktiviti masyarakat Islam keseluruhannya dengan agihan kekayaan dalam masyarakat. Zakat dilihat mampu mengikis rasa sombong golongan kaya dan mengelak golongan fakir iskin dari meminta-minta. Harta yang diperoleh golongan kaya sebenarnya terdapat sebahagian hak golongan fakir dan menjadi kewajipan golongan kaya menunaikan hak tersebut.

Allah S.W.T telah mewajibkan Zakat sebagai salah satu jaminan sosial kepada masyarakat terutama kepada golongan yang amat memerlukan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat dan sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan rohani setiap muslim. Zakat juga bertindak sebagai satu mekanisma yang penting kepada sesebuah negara Islam bagi menjamin kemaslahatan rakyat seluruhnya. Zakat juga mempunyai keupayaan dan kekuatan bagi membasmi kemiskinan dan menjamin keseimbangan jurang antara golongan kaya dan miskin melalui mekanisma agihan semula kekayaan dalam masyarakat.

Zakat merupakan suatu pendapatan yang tetap dan menjadi kewajipan untuk sentiasa dilaksakan oleh sesebuah negara Islam dan ianya tidak akan terhenti. Oleh itu, negara Islam dapat menggunakan sumber zakat bagi membina kekuatan ekonomi, sosial, pendidikan dan akhirnya dapat membina kekuatan Umat Islam secara tidak langsung membina kesatuan Ummah yang jitu. Masalah membasmi kemiskinan merupakan tujuan utama sistem zakat dalam Islam melalui penyediaan saraan hidup dan modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat. Saraan hidup daripada zakat ini diperuntukkan kepada golongan yang tidak mampu bekerja dengan sebab-sebab cacat anggota atau sebagainya.


Modal pula diperuntukkan kepada golongan yang mampu bekerja tetapi tidak mempunya modal untuk menjalankan pekerjaan. Kedua-dua peruntukkan ini diberi dengan kadar yang mencukupi sesuai dengan keadaan ekonomi, masa, tempat dan keperluan fakir miskin itu. Saraan hidup ini hendaklah mencukupi untuk makan, minum , pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan kesihatan. Manakala modal pula hendaklah mencukupi kadar modal sesuatu projek yang hendak dijalankan. Pemberian saraan hidup dan modal serta tujuan-tujuan lain adalah dengan kadar mencukupi. Kadar mencukupi untuk saraan hidul yang diambil kira daripada lima keperluan asas hendaklah diberi selama mana dihajati dan difikirkan perlu oleh golongan tersebut walaupun untuk sepanjang hidupnya atau dengan cara bulanan dan sebagainya. Selain dari alat membasmi kemiskinan, zakat juga merupakan alat untuk memerangi masalah riba yang dilaknat oleh Allah ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam proses perlaksanaan riba.

Dengan penyediaan modal bererti tertutuplah pintu sistem pinjaman yang dikenakan riba. Modal daripada zakat boleh diberikan kepada fakir miskin yang berhajat untuk membuka sesuatu pekerjaan yang termampu olehnya, sama ada sebagai pemberian tunai atau sebagai pinjaman tanpa faedah. Zakat juga merupakan alat yang berkesan untuk menghapuskan pembekuan harta dalam masyarakat Islam, ini kerana sistem zakat itu sendiri bukanlah satu sistem yang boleh dikompromi dengan pembekuan harta. Oleh itu, zakat dikenakan terhadap jumlah harta sama ada dilaburkan atau di simpan beku yang membolehkan masyarakat Islam menggerakkan seluruh sumber yang ada di dalam negara Islam untuk tujuan produktif.

Pengertian zakat itu sendiri merupakan musuh utama kepada pembekuan harta. Islam mencadangkan dua saluran pilihan harta yang berlebihan harus diarahkan iaitu membelanjakannya atau melaburkannya dalam perniagaan atau industri. Dari sini permintaan terhadap semua jenis barangan pengguna akan bertambah dan pengusaha serta pengeluar berpeluang mengembankan lagi pengeluaran mereka. Urusniaga akan bertambah maju dan peluang pekerjaan akan meningkat, hasilnya negara akan menjadi mewah. Selain daripada itu, zakat juga memainkan peranan untuk mendekatkan jurang perbezaan yang jauh di antara anggota masyarakat dan mengagihkan semula pendapatan. Ini jelas dari kutipan sebahagian harta orang kaya untuk dibahagi-bahagikan kepada mereka yang kurang berada.

Zakat juga dapat memupuk sifat tolong-menolong, membantu dan membina aktiviti ekonomi yang baik dan memandu kearah kehidupannnya yang lebih baik dan lebih sejahtera, sehingga mereka dapat memenuhi keperluan hidupnya dengan secukupnya, dapat beribadah kepada Allah SWT, terhindar dari bahaya kekufuran, sekaligus memeberantas sifat iri hati, dengki dan hasad yang mungkin timbul ketika orang-orang fakir miskin melihat orang kaya yang berkecukupan hidupnya tidak memperdulikan mereka. Zakat juga berperanan Sebagai sumber dana bagi pembangunan, untuk prasarana yang diperlukan oleh ummat Islam, seperti tuntutan ibadah, pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi, sekaligus keperluan pengembangan kualiti modal insan muslim. Keadaan ini akan mewujudkan keseimbangan dalam pemilikan dan pembahagian harta, sehingga melahirkan masyarakat marhammah diatas prinsip ukhuwah Islamiyyah dan takaful ijtima'I dan menyebarkan dan membudayakan etika perniagaan yang baik dan benar.

No comments: