“Kamu adalah umat terunggul (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar dan kamu beriman kepada Allah”...(Ali 'Imran:110)
Monday, November 22, 2010
Beradalah di Atas Jalan Yang Benar
Al-Asya'irah ialah para pengikut Imam Abu Hasan al Asya'ari yang mempunyai jasa besar dalam membersihkan aqidah ahli Sunnah wal jama'ah daripada kekeruhan yang dicetuskan oleh golongan Muktazilah. Kebanyakan pendokong dan ulama-ulama ulung umat ini adalah golongan asya'irah ini. Sedangkan golongan yang mempertikaikan mereka ini tidak pun mencapai separas buku lali mereka dari segi ilmu, warak dan takwa.
Di antara ulama Asya'irah ialah : Imam Al Haramain, Al Ghazali, Ibnu Hajar al Asqalani, Fakhruddin ar Razi dan lain-lain.
Apakah dosa yang telah mereka lakukan? Adakah kerana mereka bertungkus lumus untuk membuat penolakan ke atas kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan Musyabbihah berhubung dengan Zat ALlah? Golongan Musyabbihah ini cuba untuk menetapkan bahawa Allah Subahanahu wa ta'ala mempunyai jisim melalui ayat mutasyabihat dan hadith-hadith yang menyatakan secara zahirnya bahawa Allah mempunyai tangan, mata, siku, jari-jari dan sebagainya.
Lalu Ulama Asya'irah bangun membuat penolakan ke atas kekeliruan mereka itu dengan membawa ayat-ayat dan hadith-hadith tadi kepada makna majaz, kerana golongan musyabbihah ini tidak menerima prinsip 'taswidh' (penyerahan maknanya kepada ALlah), maka hujah Musyabbihah ini tidak dapat ditolak melainkan dengan menggunakan kaedah 'takwil'. Walaupun begitu, mereka (Asya'irah) tetap berpendapat, 'At tafwidh' dan tidak mendalami untuk mengetahui maksud sebenarnya adalah lebih selamat bagi aqidah.
Syubhat (kesamaran) yang digunakan oleh golongan yang mengkafirkan ulama' Asya'irah ini ialah dengan menuduh golongan tadi (Asya'irah) menolak sebahagian sifat ALlah kerana golongan tadi menganggap bahawa tangan, kaki, mata adalah sifat-sifat bagi ALlah sepertimana qudrat, iradat dan ilmu. Menurut mereka, sebagaimana ALlah ta'ala mempunyai qudrat yang bukannya seperti qudrat kita, ilmu yang bukannya seperti ilmu kita, maka begitu juga Dia mempunyai tangan tetapi bukannya tangan kita, mata bukannya seperti kita.
Sedangkan tidak sedikitpun tersembunyi bahawa lafaz tangan, mata dan jari-jari adalah nama-nama zat dan bukannya nama-nama sifat. Sekiranya kita menyebut 'tangan', maka akan tergambar di dalam benak fikiran kita tangan yang berjasad (mempunyai bentuk). Tetapi sekiranya kita menyebut 'qudrah' (berkuasa), tidaklah tergambar ke fikiran kita qudrah yang berjasad (yang boleh dirupakan dengan bentuk). Jadi qiyas yang digunakan oleh mereka gunakan itu adalah qias yang tidak tepat.
Oleh itu, melemparkan kejian ke atas ulama Asya'irah yang mentakwil ketika berhadapan dengan golongan Musyabbihah, bererti telah mencabul kemuliaan mereka dan melakukan kezaliman ke atas mereka dan menolak jasa yang mereka curahkan untuk menjaga aqidah. Apatah lagi sekiranya mereka ini dikafirkan. Mereka yang mengkafirkan golongan Asya'irah ini akan digolongkan ke dalam mereka yang dimaksudkan oleh hadith RasuluLLah yang bermaksud :
"Sekiranya seorang lelaki memanggil kepada saudaranya seIslam, "wahai kafir", maka kata-kata itu akan terkena kepada salah seorang daripada keduanya. Sekiranya benar seperti yang dikatakan, maka dia selamat. Jika tidak tepat, maka tuduhan itu akan kembali kepadanya. (Muttafaq 'Alaih)
Dan hadith :
"Sesiapa yang memanggil seorang lelaki dengan lafaz kekufuran atau memanggil, "Wahai musuh ALLah," sedangkan yang dituduh itu bukanlah seperti yang dikatakan, maka tuduhan itu kembali kepada penuduh," (Muttafaq 'Alaih)
Perumpamaan mereka yang mengkafirkan ulama 'Asya'irah atau Imam Abu Hasan Al Asy'ari sendiri bagaikan seorang pelatih baru yang ditempatkan di hospital untuk belajar dengan seorang doktor pakar yang mempunyai sijil yang tertinggi, sedangkan pelajar yang baru tadi sekadar membaca atau belajar cara membalut luka. Kemudian selepas belajar cara membalut luka itu, dia bangun mempertikaikan doktor pakar tadi dan melemparkan tuduhan doktor tadi tersilap dan jahil dan meragukan orang ramai pada maklumat yang dimiliki oleh doktor pakar tadi.
Dalam menelaah kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib DiPerbetulkan) karya al-Muhaddith Dr.Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki ialah tentang salah faham terhadap mazhab akidah Asya'irah. Asya'irah adalah gelaran kepada mereka yang mengikut pegangan mazhab akidah yang dirumuskan oleh al-Imam Abu al-Hassan al-Asy'ariy RH. Ia merupakan mazhab akidah majoriti besar umat Islam sepanjang zaman.
Pun begitu, masih ramai umat Islam tidak mengetahui tentang mazhab Asya'irah. Mereka tidak mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan al-Asya'irah dan kaedah mereka di dalam bidang akidah. Lantaran itu, sebahagian daripada mereka tidak berhati-hati meletakkan Asya'irah di dalam kesesatan dan melemparkan tuduhan bahawa Asya'irah telah terkeluar daripada agama Islam dan tergolong di dalam golongan mulhid (terpesong daripada kebenaran) di dalam menghuraikan sifat-sifat Allah.
Kejahilan inilah yang menyebabkan berlakunya perpecahan terhadap kesatuan Ahli Sunnah dan merobek kesatuan umat Islam sehingga sebahagian orang-orang jahil menganggap golongan Asya'irah tergolong di dalam golongan yang sesat.
Saya tidak tahu, bagaimana mereka menyamakan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang sesat, dan bagaimana mereka boleh menyamakan di antara golongan Ahli Sunnah dengan pelampau Muktazilah yang merupakan golongan Jahmiyyah? (pengikut Jaham ibn Sofwan yang berasal dari Khurasan. Mazhabnya dikenali dengan Jabariah yang berpendapat tidak ada ikhtiar bagi makhluk.)
Firman Allah SWT: Patutkah Kami (berlaku tidak adil dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat) sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur dan ingkar)." (Apa sudah jadi dengan akal kamu?) Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? (al-Qalam: 35-36)
Asya'irah ialah pemimpin-pemimpin ulama Islam yang membawa petunjuk dan ulama yang mempunyai ilmu meliputi timur dan barat. Kelebihan, keilmuan dan keagamaan mereka disepakati oleh manusia pada zaman mereka. Mereka merupakan tokoh-tokoh ulama Ahli Sunnah berwibawa tinggi yang berdiri teguh menentang kesesatan fahaman Muktazilah. Dalam mengupas tentang mazhab Asya'irah, Ibnu Taimiyyah berkata: Ulama ialah golongan pembantu ilmu-ilmu agama, manakala Asya'irah ialah golongan pembantu usul agama. (Al-Fatawa: H: 16, Juzu' 4)
Sesungguhnya mereka merupakan tokoh-tokoh hadis, fekah dan tafsir dari kalangan tokoh-tokoh imam yang utama seperti Syeikh al Islam Ahmad Ibnu Hajar al 'Asqalani RH; syeikh dan pakar hadis yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau juga merupakan pengarang kitab Fath al Bari 'ala Syarh al Bukhari yang tidak dapat tidak, diperlukan dan dipegang oleh semua ulama. Beliau berpegang dengan mazhab Asy'ari.
Begitu juga syeikh ulama Ahli Sunnah; Imam Nawawi RH, pengarang Syarah Sohih Muslim dan karya-karya lain yang masyhur, bermazhab Asy'ari. Syeikh Ahli Tafsir, Imam al Qurtubi RH pengarang kitab Tafsir al Jami' li Ahkam al Quran, bermazhab Asy'ari. Syeikh al Islam Ibnu Hajar al Haitami RH pengarang kitab al Zawajir 'an Iqtiraf al Kabair, bermazhab Asy'ari. Syeikh Feqah dan Hadith, al Imam al Hujjah al Thabat Zakaria al Ansari RH, bermazhab Asy'ari.
Imam Abu Bakar al Baqilani RH, Imam al Qustallani RH, Imam al Nasafi RH, Imam al Syarbini RH, Abu Hayyan al Nahwi RH pengarang tafsir al Bahr al Muhit, Imam Ibnu Juzaiy RH pengarang kitab al Tashil fi Ulum al Tanzil dan lain-lain lagi, kesemuanya merupakan tokoh-tokoh Asya'irah.
Sekiranya kita hendak mengira bilangan pakar ilmuwan dari kalangan ahli hadis, tafsir dan fekah yang bermazhab Asy'ari, pasti tidak muat untuk ditulis di dalam kitab ini dan tentunya memerlukan beberapa jilid kitab untuk memuatkan kesemua nama ulama ini yang ilmu mereka tersebar luas di timur dan barat dunia. Sesungguhnya menjadi kewajipan ke atas diri kita, menyifatkan mereka dengan sifat-sifat yang baik dan mengenali kelebihan ahli ilmu yang telah menaburkan khidmat mereka kepada syariat Rasulullah SAW.
Berkata Prof. Dr. Al-Qaradhawi,
Disebutkan dalam islamonline.net di bawah tajuk:“القرضاوي يدعو ماليزيا للتمسك بشخصيتها الإسلامية” (Maksudnya: Al-Qaradhawi mengajak Malaysia agar Berpegang dengan Jati Diri/Peribadi Keislamannya) antaranya:
الدوحة- دعا العلامة الشيخ يوسف القرضاوي ماليزيا إلى المحافظة على شخصيتها الإسلامية المتمثلة في مذهبها الشافعي وعقيدتها الأشعرية للوقوف أمام أي تسلل فكري من الخارج.
Maksudnya:
Dhoha- Al-Allamah As-Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyeru kepada negara Malaysia agar menjaga syakhsiyyah (peribadi, jati diri atau ciri-ciri) keislamannya yang terzahir daripada mazhabnya As-Syafi’e dan aqidahnya (masyarakat Islam Malaysia) yang Al-Asy’ari untuk berdiri menghadapi dan mendepani serangan pemikiran dari luar.
وخلال لقائه أمس مع رئيس الوزراء الماليزي نجيب تون رزاق، دعا الشيخ القرضاوي رئيس الوزراء والعلماء للتكاتف من أجل المحافظة على الشخصية الإسلامية الماليزية "أشعرية العقيدة شافعية المذهب" لمواجهة أي تسلل فكري ومذهبي وافد من الخارج يشتت وحدتهم ويفسد عقيدتهم.
Maksudnya:
Pada pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia semalam iaitu (Dato’ Seri) Najib Tun Razak, Sheikh Al-Qaradhawi mengajak Perdana Menteri dan para ulama’ agar bersatu padu untuk menjaga jati diri keislaman (Syahksiyyah Islamiyyah) Malaysia yang bersifat “Asy’ari dari sudut aqidah dan Syafi’e dari sudut mazhab” untuk menghadapi segala ancaman pemikiran dan mazhab dari luar yang memecah belahkan kesatuan mereka dan merosakkan aqidah mereka.
Kemudian disebutkan:
وعقب رئيس الوزراء الماليزي على كلام الشيخ القرضاوي، مؤكدا حرص حكومته على أن تبقى الشخصية الإسلامية الماليزية بعيداً عن الخلافات المذهبية التي تشتت ولا تجمع.
Maksudnya:
Perdana Menteri memberi ulasan terhadap perkataan Sheikh Al-Qaradhawi dengan menegaskan bahawasanya kerajaan akan terus mengekalkan jati diri (syakhsiyyah) keislaman negara Malaysia agar jauh daripada perselisihan mazhab yang memecah-belahkan umat dan tidak menyatukan mereka.
Rujukan:
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1260258249444&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout
Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur
http://jomfaham.blogspot.com/2008/12/huk....l-asyairah.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp....ma&pg=ba_02.htm(PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN)
Labels:
Aqidah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment