Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Tuesday, June 3, 2014

TIGA BULAN YANG MENGUNTUNGKAN


Daripada Uthman bin hakim al-Ansari, beliau(Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubair tentang puasa rejab. Said menjawab: “Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: “Adalah Rasulullah saw berpuasa (Rejab) sehingga kami menyangka Baginda saw tidak berbuka (berterusan) dan Baginda saw berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (HR. Muslim)

Imam Nawawi menyatakan bahawa, apa yang zahir dari ucapan Said bin Jubair itu menjadi bukti bahawa tiada tegahan berpuasa padanya(rejab) kerana bulan berkenaan. Tidak ada larangan (thabit) untuk melakukan ibadat puasa pada bulan rejab, dan tidak pula sunat kerana bulannya. Yang di sunatkan adalah kerana kesunnahan ibadat puasa itu.

Daripada Atha’, Urwah bin Zubair bertanya kepada Abdullah bin Umar: “Adakah Rasulullah saw berpuasa bulan Rejab?” Beliau menjawab: “Ya, dan Baginda saw melebihkannya.” Kemudian Ibnu Umar mengulangnya sebanyak tiga kali.
(HR. Abu Dawud dan lain-lainnya)

Daripada Usamah bin Zaid berkata: Aku bertnya: “Wahai Rasulullah, saya tidak pernah melihat Tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan seperti mana Tuan berpuasa pada bulan sya’aban?” Baginda saw menjawab: “Itulah bulan (Bulan sya’ban) yang lalai manusia daripadanya yang berada diantara Rejab dan Ramadhan. Dan ialah bulan(Sya’ban) yang diangkat dalamnya semua amal ke hadrat Rabbil ‘alamiin. Dan aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa.”
(HR. an-Nasa’i dan disohihkan oleh Ibnu Khuzaimah)

Dapat difahami dari hadis ini bahawa ramai orang sibuk dengan ibadat pada bulan Rejab dan Ramadhan sehingga kadang-kadang terlupa bulan Sya’aban. Ini menunjukkan bulan Rejab, Sya’aban dan Ramadhan telah menjadi bulan yang diperbanyakkan amalan.

Friday, July 19, 2013

RINGKASAN BAB PUASA

Sejarah Puasa
Amalan puasa telah diketahui dan diamalkan sejak zaman sebelum Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dan para ahli kitab yang hidup sezaman dengan Nabi saw, ia telah menjadi ijmak(kesepakatan) kaum muslimin. Di dalam al-Quran Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang Beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

Puasa bagi umat Islam telah difardhukan pada bulan sya’ban tahun kedua hijrah.

Takrif
Dari segi bahasa bermaksud menahan dari sesuatu. Dari segi istilah syarak ialah menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari di sertai dengan niat.

Penetapan Puasa
1      Rukyah al-Hilal(melihat anak bulan Ramadhan) pada hari 29 sya’ban malam 30 Sya’ban. Dilihat oleh seorang saksi yang adil dan bersaksi di depan qadi bahawa dia telah melihatnya. Jika anak bulan tidak dapat dilihat mungkin kerana awan terlalu tebal atau tiada saksi yang melihatnya maka di cukupkan 30 hari pada bulan sya’ban. Ini kerana pada asalnya bilangan hari pada bulan sya’ban adalah 30 hari.

Apabila satu negeri itu telah menetapkan hari bermulanya puasa, maka negeri-negeri yang berhampiran dengannya juga diwajibkan berpuasa kecuali bagi negeri-negeri yang jauh maka tidak diwajibkan. Ukuran jarak jauh adalah berdasarkan kepada matla’(tempat terbitnya anak bulan).

Kaedah penetapan berdasarkan ilmu falak telah berlaku khilaf, namun ia dipersetujui oleh ramai Ulama moden termasuk Syeikh Ahmad Muhammad Syakir, Syeikh Rashid Redha dan Syeikh Mustafa al-Zarqa.

Puasa bagi Orang yang Berpindah Negeri
Seseorang telah melihat anak bulan puasa kemudian bermusafir ke luar negeri, dia perlu berpuasa seperti mana puasanya orang di negeri tersebut walaupun dia telah menyempurnakan 30 hari puasa. Ini kerana dia dianggap sebahagian dari penduduk di negeri tersebut.

Jika seseorng yang berada dalam negeri yang masih tidak kelihatan anak bulan, kemudian dia bermusafir ke negeri yang telah melihat anak bulan maka dia juga perlu berpuasa dan berhari Raya ‘Aidil Fitri bersama penduduk di negeri tersebut walaupun bilangan puasanya 28 hari atau 29 hari. Dan dia perlu qadha puasa 1 hari jika bilangan puasanya adalah 28 hari dan tidak perlu qadha jika bilangan puasanya adalah 29 hari.

Jika seorang berada pada 1 syawal dan menyambut Hari Raya di suatu negeri kemudian dia bermusafir ke negeri yang mana penduduknya masih berpuasa maka dia perlu menahan dirinya kerana mengikut penduduk tersebut.

Syarat wajib
1  Islam: Orang kafir tidak diwajibkan berpuasa, maka tidak boleh memaksa mereka supaya berpuasa.

2      Taklif (berakal dan baligh): Tidak diwajibkan puasa kepada orang Islam yang tidak berakal dan masih belum baligh. Namun dibolehkan kepada kanak-kanak yang masih belum baligh berpuasa sebagai mendidik dan membiasakan mereka dengan puasa.

3     Tiada keuzuran yang menghalang, seseorang dikira uzur apabila:
i.                  Dalam keadaan haid atau nifas.
ii.        Pengsan atau gila sepanjang hari. Jika tidak sepanjang hari walaupun satu saat masih diwajibkan puasa.
iii.       Sakit atau rasa bimbang yang ada kemungkinan mendatangkan mudharat yang besar jika meneruskan puasa, maka diharuskan baginya berbuka. Jika sakit makin teruk atau bimbang akan mati maka wajib berbuka dengan segera.
iv.    Musafir dengan jarak tidak kurang dari 83km dan memenuhi syarat untuk musafir. Namun jika pada waktu pagi dia berpuasa dalam keadaan dia bermukim kemudian dia bermusafir, maka dia tidak dibenarkan berbuka.
v.                Tidak mampu berpuasa kerana tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh.

Syarat sah/sempurna Puasa
1   Islam: Tiada pahala dan ganjaran bagi orang kafir namun digalakan agar mereka berpuasa bersama sebagai satu kaedah dakwah dan bukan niat menghina atau bermain-main.

2      Berakal: Berpuasa hanya sah dengan niat, orang yang tidak berakal seperti orang gila dan kanak-kanak yang belum mumaiyiz mereka tidak mempunyai niat.

3      Tidak uzur

     Rukun Puasa
1    Niat: Menahan diri dari perkara yang membatalkan dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Niat
Niat di hati, tidak cukup dilafaz dengan lidah sahaja. Dan tidak di syaratkan untuk melafazkannya. Niat perlu dialakukan pada waktu malam sebelum terbitnya fajar. Jika tidak niat sehingga terbit fajar maka puasanya adalah tidak dikira. Perlu menetapkan puasa di bulan Ramadhan tatkala berniat, tidak sah tidak ditetapkan puasa ramadhan.

Perlu diniatkan pada setiap malam Ramadhan kerana puasa adalah ibadat yang berulang-ulang, bukan ibadat yang satu untuk sepanjang bulan Ramadhan. Ini berbeza dengan puasa sunat yang tidak disyaratkan untuk niat sebelum terbit fajar malah boleh niat pada siang hari dan tiada penetapan tertentu, cukup dengan hanya niat untuk berpuasa.

Namun ada pendapat dari sebahagian ulamak yang membolehkan niat dilakukan untuk sebulan.


Menahan diri dari perkara yang membatalkan dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Perkara-perkara yang membatalkan
1.       Makan dan minum
Batal jika dilakukan dengan sengaja walaupun sedikit. Jika tidak disengajakan atau terlupa tidak akan batal walaupun banyak.

2.       ‘Ain(sesuatu) masuk melalui liang yang terbuka dan sampai ke dalam al-Jauf(rongga).
Sesuatu yang mampu dilihat oleh mata adalah ‘ain. Liang yang terbuka termasuklah mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur bagi lelaki dan wanita. Mata dan kulit tidak termasuk dalam liang yang terbuka. Air dari dalam badan yang sentiasa ditelan, maka ia tidak membatalkan puasa.

Namun jika air liurnya bercampur dengan darah akibat luka dari dalam mulut lalu dia menelannya tanpa berusaha membersihkannya terlebih dahulu, maka batal puasanya.
Berkaitan dengan kahak mengikut Mazhab Syaf’i jika kahak yang berada di dalam dada naik hingga melepasi kerongkong jika sengaja ditelan maka akan membatalkan puasa.

Bagi perbuatan bersiwak(memberus gigi) ia dianjurkan menggunakan Siwak sebelum Zawal (tergelincir matahari). Adapun setelah tergelincir matahari, sebahagian Ulama mengatakan ia adalah makruh. Dalilnya adalah hadits Rasulullah Saw :
“Demi jiwaku berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah Swt daripada semerbak kasturi”.
(HR. al-Bukhari dari Abu Hurairah).

Harum semerbak kasturi tidak baik jika dihilangkan, atau makruh dihilangkan, selama bau tersebut diterima dan dicintai Allah Swt, maka orang yang berpuasa membiarkannya. Ini sama seperti darah dari luka orang yang mati syahid. Rasulullah Saw berkata tentang para syuhada:
“Selimutilah mereka dengan darah dan pakaian mereka, kerana sesungguhnya mereka akan dibangkitkan dengannya di sisi Allah Swt pada hari kiamat, warnanya seperti warna darah dan harumnya harum semerbak kasturi”.

Oleh sebab itu orang yang mati syahid tetap dengan darah dan pakaiannya, tidak dimandikan dan bekas darah tidak dibuang.

Bagi sebahagian Ulamak pula membolehkan memberus gigi di siang hari  berdalilkan hadis Sebagian shahabat yang meriwayatkan:
“Saya seringkali melihat Rasulullah saw bersiwak ketika baginda sedang berpuasa”.

Oleh itu bersiwak ketika berpuasa dianjurkan dalam setiap waktu, pada pagi mahupun petang hari. Juga dianjurkan sebelum atau pun setelah berpuasa. Bersiwak juga adalah sunnah, Rasulullah Saw bersabda:
“Siwak itu kesucian bagi mulut dan keridhaan Allah Swt”.
(HR. an-Nasa’I, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam kitab Shahih mereka. Diriwayatkan al-Bukhari secara mu’allaq bahawa Rasulullah Saw tidak membezakan antara puasa atau tidak berpuasa.)

3.       Muntah dengan sengaja.
Puasa batal jika disengajakan. Puasa tidak batal jika tidak disengajakan walaupun dia yakin sebahagian dari muntahnya masuk kembali ke dalam perut.

4.       Bersetubuh
Batal puasa walaupun tidak keluar mani. Jika terlupa maka puasa tidak batal. Bersetubuh dengan sengaja ini adalah haram dan berdosa. Maka wajib bertaubat dan dikenakan kaffarah dengan memerdekakan hamba, atau berpuasa selama dua bulan berturut-turut atau pun memberi makan kepada 60 orang fakir miskin. Jika dia bersetubuh sebanyak dua hari, maka dia dikenakan dua kali kaffarah kerana puasa adalah ibadat berasingan dan berulang-ulang. Bagi orang yang bermusafir kemudian dia bersetubuh maka dia tidak dikenakan kaffarah.

5.       Al-Istimna’
Keluar mani disebabkan ransangan seperti bercumbu atau menggunakan tangan maka batal puasanya. Jika ia diluar kawalannya maka itu tidak membatalkan.

6.       Haid dan nifas
Jika ia keluar disiang hari maka terbatallah puasa dan wajib diqadha.

7.       Gila dan murtad
Hilang kelayakan untuk berpuasa. Puasa juga akan terbatal jika seseorang melakukan perkara-perkara di atas atas sangkaan fajar belum terbit atau matahari sudah terbenam. Namun dia harus menahan diri dari makan dan minum bagi menghormati bulan Ramadhan dan wajib mengqadhanya.

Sumber: Fiqh al-Manhaji, Q&A Dr. Zulkifli al-Bakri, al-Ustaz isu no-4, Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa Mu’ashirah

Monday, August 27, 2012

PUASA ENAM SYAWAL - PERBINCANGAN DAN KUPASAN


Fatwa Syekh ‘Athiyyah Shaqar.

Puasa enam hari di bulan Syawal sangat dianjurkan tetapi tidak wajib melakukannya. Terdapat hadis menyatakan kelebihan puasa enam di bulan syawal: “Siapa yang melaksanakan puasa Ramadhan, kemudian di iringi dengan enam hari di bulan Syawal, maka seperti dia berpuasa sepanjang tahun”. (HR. Muslim).

Dalam hadis riwayat at-Thabrani, maksudnya “Siapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dan ia mengiringinya dengan enam hari di bulan Syawwal, ia akan keluar dari dosanya seperti hari ia dilahirkan ibunya”.

Kelebihan puasa enam syawal diperolehi sama ada dilaksanakan pada awal bulan, pertengahan atau pun di akhir bulan Syawal, dilaksanakan berturut-turut atau pun terpisah-pisah. Meskipun afdhal dilaksanakan di awal bulan dan dilaksanakan berturut-turut. namun kelebihan ini hilang bersama berakhirnya bulan Syawal.

Bagi mereka yang wajib mengadha puasa Ramadhan dapat melaksanakan puasa enam hari di bulan Syawwal ini dengan niat puasa Qadha’. Cukup dengan puasa Qadha’, maka ia mendapatkan pahala puasa enam hari di bulan Syawal dengan niat melakukan puasa qadha dan puasa enam. Jika puasa Qadha’ dilaksanakan tersendiri dan puasa enam hari di bulan Syawwal dilaksanakan tersendiri iaitu dilakukan secara berasingan, maka itu adalah lebih afdhal.

Akan tetapi para ulama Mazhab Syafie berpendapat, “Pahala puasa enam hari di bulan Syawwal dapat diperoleh dengan melaksanakan puasa Qadha’, meskipun tidak diniatkan, hanya saja pahalanya lebih sedikit dibandingkan dengan niat. Disebutkan dalam Hasyiyah asy-Syarqawi ‘ala at-Tahrir karya Syekh Zakariya al-Anshari, juz. I, hal. 427, teksnya: “Jika seseorang melaksanakan puasa Qadha’ di bulan Syawal, sama ada Qadha’ puasa Ramadhan, atau menqadhapuasa lain, atau nazar, atau puasa sunnat lainnya, dia akan mendapat pahala puasa enam hari di bulan Syawal. Kerana intinya adalah adanya puasa enam hari di bulan Syawwal,  
Pahalanya diperoleh meskipun tidak diniatkan, demikian menurut pendapat yang dijadikan pedoman sebagaimana yang dinyatakan pengarang al-Bahjah. Pahalanya tetap diperoleh apakah dengan fardhu atau pun dengan sunnat, yang penting tidak menafikan niatnya, tujuannya tercapai apakah diniatkan atau pun tidak diniatkan.

Berdasarkan pendapat diatas, bagi seseorang yang merasa berat untuk melaksanakan puasa qadha’ Ramadhan dan sangat ingin melaksanakan puasa qadha tersebut pada bulan Syawal,
ia juga ingin mendapatkan pahala puasa enam hari di bulan Syawal, maka bolehlah berniat melaksanakan puasa qadha’ dan puasa enam hari di bulan Syawwal, atau berniat puasa qadha’ saja tanpa niat puasa enam hari di bulan Syawwal, maka puasa sunnat sudah termasuk ke dalam puasa wajib. Ini merupakan kemudahan dan keringanan syarak sepertimana tidak boleh terikat dengan mazhab tertentu, juga tidak boleh menyatakan mazhab lain batil.

Sumber : Ustaz Abdul Somad

Thursday, July 26, 2012

ANTARA QADHA PUASA DAN FIDYAH WANITA HAMIL DAN MENYUSU - MASIH KELIRU?



Fatwa Syekh ‘Athiyyah Shaqar.
Pertanyaan:
Boleh atau tidak wanita hamil dan menyusu berpuasa di bulan Ramadhan dan adakah wajib membayar Fidyah, dan tidak wajib qadha’ puasa.  

Jawapan:
Allah Swt berfirman:
“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” -  (Qs. Al-Baqarah [2]: 183).

Firman Allah SWT:                                                                                                                                     
“(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Qs. Al-Baqarah [2]: 184).

Dan pada ayat ini,
“dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin.”. (Qs. Al-Baqarah [2]: 184).

Ada dua pendapat ulama tentang tafsir ayat ini.
Pendapat pertama
Mengatakan bahawa pada awalnya puasa itu adalah ibadah pilihan, siapa yang mampu untuk melaksanakan puasa maka bolehlah berpuasa atau tidak berpuasa. Bagi yang tidak berpuasa maka sebagai gantinya membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin. Daripada dua pilihan ini, berpuasa adalah lebih utama. Kemudian hukum ini di-nasakh (dimansuhkan), dengan diwajibkan berpuasa bagi yang mampu, tidak boleh meninggalkan puasa dengan sengaja dan jika meninggalkan puasa dengan sengaja maka perlu memberikan makanan kepada orang miskin sebagai fidyah. Ini berdasarkan firman Allah:

“Oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain.”  (al-Baqarah: 185)

Demikian diriwayatkan para ulama kecuali Imam Ahmad. Dari Salamah bin al-Akwa, ia berkata, “Ketika ayat ini turun, sebelumnya orang yang tidak mau berpuasa boleh tidak berpuasa dan membayar fidyah, sampai ayat setelahnya turun dan menghapus hukumnya”.

Satu pendapat mengatakan bahwa puasa itu diwajibkan bagi orang-orang yang mampu saja, dibolehkan tidak berpuasa bagi orang yang sakit, musafir dan orang yang tidak terdaya melakukannya. Mereka menafsirkan makna al-Ithaqah dengan tidak terdaya melaksanakan puasa, iaitu orang-orang yang telah lanjut usia. Bagi orang yang sakit dan musafir diwajibkan qadha’. Sedangkan bagi orang yang lanjut usia diwajibkan membayar fidyah saja, tanpa perlu melaksanakan puasa qadha’ karana semakin tua maka semakin sukar mereka melaksanakannya, demikian juga orang yang menderita penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan tidak mampu melaksanakan puasa qadha’, mereka dibolehkan tidak berpuasa namun wajib membayar fidyah.

Imam al-Bukhari meriwayatkan dari  Atha, ia mendengar Ibnu Abbas membaca ayat:
dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin.”. (Qs. Al-Baqarah [2]: 184). Imam al-Bukhari berkata, “Ayat ini tidak di-nasakh. akan tetapi ayat ini bagi orang yang lanjut usia yang tidak mampu melaksanakan puasa, maka mereka memberi makan satu orang miskin untuk satu hari tidak berpuasa”.

Sebahagian ulama kontemporari seperti Syekh Muhammad Abduh mengiaskan para pekerja berat yang kehidupan mereka bergantung pada pekerjaan yang sangat berat seperti mengeluarkan batu bara, mereka dikiaskan kepada orang tua yang lemah dan orang yang berterusan menderita dengan penyakit. Demikian juga dengan orang yang terpaksa melakukan kerja berat secara terus menerus.

Sedangkan wanita hamil dan ibu menyusu, jika mereka tidak berpuasa karana risaukan diri mereka, atau karana risau anak mereka, maka menurut Ibnu Umar dan Ibnu Abbas, mereka boleh tidak berpuasa dan wajib membayar fidyah saja, tidak wajib melaksanakan puasa qadha’, mereka disamakan dengan orang tua yang telah lanjut usia.

Abu Daud dan Ikrimah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, ia berkata tentang ayat: dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin.(Qs. Al-Baqarah [2]: 184). Ibnu Abbas berkata, “Ini keringanan bagi orang tua yang telah lanjut usia bagi lelaki mahupun perempuan yang tidak mampu berpuasa, mereka boleh tidak berpuasa dan wajib memberi fidyah memberi makan satu orang miskin untuk satu hari puasa yang ditinggalkan.

Wanita hamil dan ibu menyusu, jika risaukan anaknya, maka boleh tidak berpuasa dan wajib membayar fidyah”. Diriwayatkan oleh al- Bazzar dengan tambahan di akhir riwayat: Ibnu Abbas berkata kepada seorang ibu hamil, “Engkau seperti orang yang tidak mampu berpuasa, maka engkau wajib membayar fidyah, tidak wajib qadha’ bagiku”. Sanadnya dinyatakan shahih oleh ad- Daraquthni.

Imam Malik dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Nafi bahwa Ibnu Umar ditanya tentang wanita hamil jika risaukan anaknya, ia menjawab, “dia dibolehkan tidak berpuasa dan wajib membayar fidyah satu orang miskin untuk satu hari, membayar satu Mudd gandum”. Dalam hadits disebutkan: Sesungguhnya Allah Swt tidak mewajibkan puasa bagi musafir dan menggugurkan setengah kewajiban shalat (shalat Qashar). Allah Swt menggugurkan kewajiban puasa bagi wanita hamil dan ibu menyusu”. Diriwayatkan oleh lima imam, Imam Ahmad dan para pengarang kitab as-Sunan.

Berdasarkan dalil diatas maka wanita hamil dan ibu menyusu, jika risaukan dirinya atau anaknya, maka dibolehkan tidak berpuasa. Apakah wajib melaksanakan puasa qadha’ dan membayar fidyah? Menurut Ibnu Hazm: tidak wajib qadha’ dan fidyah. Menurut Ibnu Abbas dan Ibnu Umar: wajib membayar fidyah saja tanpa kewajiban qadha’. Menurut Mazhab Hanafi, wajib qadha’ saja tanpa kewajiban fidyah.

Menurut Mazhab Syafii dan Hanbali, wajib qadha’ dan fidyah jika yang dirisaukan anaknya saja. Jika yang dirisaukan  adalah dirinya saja, atau yang dirisaukan itu diri dan anaknya, maka wanita hamil dan ibu menyusu wajib melaksanakan qadha’ saja, tanpa wajib membayar fidyah. (Nail al-Authar, juz. 4, hal. 243 – 245).

Dalam Fiqh empat mazhab dinyatakan:
Menurut Mazhab Maliki:
wanita hamil dan ibu menyusu, jika melaksanakan puasa dikhuatirkan akan sakit atau bertambah sakit, apakah yang dikhawatirkan itu dirinya, atau anaknya, atau dirinya saja, atau anaknya saja. Bagi wanita hamil mereka boleh berbuka dan wajib melaksanakan qadha’, tidak wajib membayar fidyah bagi wanita hamil, berbeza dengan ibu menyusu, ia wajib membayar fidyah. Jika puasa tersebut dikhuwatirkan menyebabkan kematian atau mudharat yang sangat parah bagi dirinya atau anaknya, maka wanita hamil dan ibu menyusui wajib tidak berpuasa.

Menurut Mazhab Hanafi:
Jika wanita hamil dan ibu menyusu bimbang akan mudharat, maka boleh berbuka, apakah kebimbangan tersebut terhadap diri dan anak, atau diri saja, atau anak saja. Wajib melaksanakan qadha’ ketika mampu, tanpa wajib membayar fidyah.

Menurut Mazhab Hanbali:
Wanita hamil dan ibu menyusu boleh berbuka, jika bimbangkan mudharat terhadap diri dan anak, atau diri saja. Dalam keadaan seperti ini mereka wajib melaksanakan qadha’ tanpa membayar fidyah. Jika yang dibimbangkan itu anaknya saja, maka wajib melaksanakan puasa qadha’ dan membayar fidyah.

Menurut Mazhab Syafi’i:
Wanita hamil dan ibu menyusu, jika bimbang mudharat terhadap diri dan anak, atau diri saja, mereka wajib berbuka dan mereka wajib melaksanakan qadha’. Jika yang dibimbangkan anaknya saja, maka wajib melaksanakan qadha’ dan membayar fidyah.

Pendapat Mazhab Syafii sama seperti Mazhab Hanbali dalam hal qadha’ dan fidyah, hanya saja Mazhab Hanbali menharuskan berbuka jika bimbangkan mudharat, sedangkan Mazhab Syafii mewajibkan berbuka. Dalam salah satu pendapatnya Imam Syafii mewajibkan fidyah bagi wanita menyusu, tidak wajib bagi ibu hamil, seperti pendapat Mazhab Maliki.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan saya merujuk keputusan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
 Mereka yang dikenakan fidyah adalah:
·  Orang yang uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghadapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa, atau kedua-duanya sekali.

·  Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikuatiri berlaku keguguran. Golongan ini diwajibkan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

·  Ibu yang menyusukan anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

·  Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

·  Orang yang melambatkan ganti puasa (Qada)’
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

 Sumber: http://www.maiwp.gov.my: somadmorocco.blogspot.com