Friday, January 26, 2018

ISTERI YANG DIREDHAI



عن أمّ سلمة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه و آله و سلم أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ
(رواه الترمذي وقال حديث حسن)

Dari Ummu Salamah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Wanita yang meninggal dunia, dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka dia akan masuk syurga” (HR Tirmidzi, berkata Tirmidzi hadith hasan)

SIAPAKAH UMMU SALAMAH?
Hadith ini diriwayatkan oleh seorang wanita yang dipanggil Ummu Salamah. Ummu Salamah adalah Ummahatul Mukminin, iaitu salah seorang isteri Rasulullah SAW. Nama sebenar beliau ialah Hindun binti Abu Umayyah Al-Quraisy Al-Makhzumiyyah. Beliau diberi gelaran Ummu Salamah kerana beliau mempunyai anak lelaki yang bernama Salamah.

Beliau bernikah dengan Rasulullah SAW setelah 4 tahun menjadi janda kerana kematian suami. Ummu Salamah merupakan antara isteri Rasulullah yang  cantik. Ummu salamah juga adalah salah seorang isteri Rasulullah SAW yang pernah melihat malaikat Jibril bentuk rupa manusia.  Beliau meninggal dunia pada tahun 62 Hijrah pada usia 90 tahun. Beliau banyak meriwayatkan Hadith, jumlah hadith yang diriwayatkan beliau adalah lebih kurang 378 hadith.

WANITA YANG TAAT PADA SUAMI DAN TAAT PADA ALLAH
Rasulullah SAW bersabda bahawa para wanita dan isteri yang mempunyai suami, kemudian wanita atau isteri tadi meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya maka wanita itu akan dimasukan ke dalam syurga. Namun ini bukan bermakna wanita berkenaan masuk syurga cukup hanya dengan redha suaminya, ia tetap terikat dengan syariat iaitu wanita berkenaan tetap melakukan perkara yang diwajibkan ke atasnya. Ini bermakna wanita tadi bukan hanya taat pada suaminya, dia juga taat pada Allah dan ketaatan pada Allah itulah lebih utama.

HARUS BAGI ALLAH MEMASUKKAN SIAPA SAHAJA KE SYURGA
Namun boleh sahaja Allah untuk memasukan siapa saja ke dalam syurga tanpa di hisab, itu haknya Allah, kehendak Allah dan ia harus bagi Allah. Mungkin maksud hadith ini sama seperti peristiwa yang berlaku pada 313 orang ahli perang Badar dan peristiwa Saiyidina Uthman yang menginfakkan hartanya untuk perang khandak, di mana 313 orang yang menyertai perang Badar itu diampunkan semua dosa-dosa mereka yang akan datang, demikian Rasulullah SAW bersabda kepada Saiyidina Uthman setelah Uthman menginfakkan hartanya, “lakukanlah apa sahaja yang kamu suka.”

REDHANYA ALLAH ADA PADA REDHANYA SUAMI
Hadith ini juga boleh difahami bahawa redhanya Allah itu adalah pada redhanya suami, bermakna wanita itu seorang yang taat sehingga suaminya redha kepadanya lalu menjadi sebab wanita tadi dimasukan ke syurga. Jika wanita yang buruk akhlaknya dan menderhakai suaminya sehingga suaminya tidak redha kepadanya maka ia menjadi sebab dia diseksa di neraka.  
    
Dalam riwayat Imam Baihaqi Rasulullah SAW berkata pada seorang wanita: “bagaimana hubungan kamu dengan suami kamu? Bagaimana tingkah laku kamu dengan suami kamu? Perhatikan wahai isteri, suami kamu itu adalah syurga dan neraka kamu.”

Dalam hadith riwayat al-Hakim Sayyidah Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak yang paling besar untuk para wanita?” Baginda menjawab, “hak yang paling besar bagi wanita ialah suaminya.”

Dalam hadith riwayat Imam Ibnu Majah dan Imam At-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda, “sekiranya dibolehkan manusia sujud kepada makhluk maka akan aku perintahkan para isteri untuk sujud kepada suami mereka.”  

Rasulullah SAW bersabda bahawa baginda melihat neraka dan ramai penghuni neraka adalah dari kalangan perempuan. Perempuan paling ramai di neraka adalah disebabkan oleh mereka tidak berterima kasih kepada keluarga atau suami dan mereka tidak pernah berterima kasih kepada Allah atas apa yang telah Allah anugerahkan dalam Rumah Tangga.

Seorang perempuan bernama Asma’ binti Yazid Al-Anshoriyyah. Dalam riwayat Imam Bazzar datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, “Adakah hanya lelaki yang mendapat keutamaan jihad?” Rasulullah SAW  bersabda: “ketaatan kepada suami dan menunaikan hak-hak suami itu menyamai pahala ibadah semuanya. Tetapi sedikit sekali perempuan yang mengamalkannya.”

SUMBER: Majelisrasulullah.org, Kitab Qutuful Falihin, Hadits yang ke 65.