Showing posts with label zakat. Show all posts
Showing posts with label zakat. Show all posts

Wednesday, June 29, 2016

ZAKAT FITRAH


Zakat Fitrah ialah harta yang wajib dikeluarkn oleh setiap mukalaf dan orang yang di bawah tanggungannya.

Daripada Ibnu Umar berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memfardhukan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam”.

Wajib dgn 3 syarat:
1.         Islam dan merdeka, maka tidak wajib zakat atas orang kafir.

2.         Terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan
Dikenakan zakat bagi orang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan. Tidak dikenakn zakat bagi bayi yang lahir selepas terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan.

Tidak dikenakan zakat bagi orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan. Dan dikenakn zakat bagi bayi yang lahir sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Tidak wajib zakat atas orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan dan tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Kesimpulanya, wajib keluarkan zakat bagi orang yang hidup pada dua tempoh masa iaitu pada masa Ramadhan dan masa Syawal.

3. Memiliki harta yang melebihi keperluan diri dan tanggungannya
Harta dikira melebihi keperluan jika cukup untuk perbelanjaan diri dan tanggunganya pada hari raya. Anak yang sudah baligh dan mampu bekerja tidak dikira sebagai di bawah tanggungan.

Jenis Dan Kadar Bayaran Zakat Fitrah
Jenis zakat yang dikeluarkan ialah berdasarkan makanan asasi sesebuah negeri seperti beras. Kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang (4 cupak) Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram). Nilai bagi kadar ini adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah
Waktu Harus: Sepanjang bulan Ramadhan bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.

Waktu Wajib: Selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.

Waktu Afdhal/Sunat: Selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri.

Waktu Makruh: Selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.

Waktu Haram: Selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri. Berdosa jika terbenam matahari pada hari raya tapi masih tdk kluarkn zakat dan wajib qadha.

Tempat Zakat Fitrah Dikeluarkan
Terdapat dua pandangan, pertama ialah di negeri (tempat) harta itu berada sama seperti zakat harta. Pendapat yang paling sahih ialah di negeri orang yang mengeluarkan harta berada. Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya dan waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama. 

Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama). Ini kerana, zakat fitrah berkait dengan 'badan' (diri seseorang mukallaf-zakat badan) maka pembayarannya dibuat di tempat di mana 'badan' itu berada.

Syaikh al-Qaradhawi menyatakan  : “Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).”

Namun bukan menjadi kesalahan mengeluarkan zakat fitrah di tempat lain pada waktu lebih awal, perkara ini cuma dari segi keutamaan sahaja.

Zakat Fitrah Dalam Bentuk Wang Tunai
Menurut Syeikh Dr. Ali Jum’ah, boleh membayar zakat fitrah dalam bentuk wang tunai. Al-Hasan al-Basri berkata, “Boleh memberikan Dirham dalam zakat Fitrah”. Meriwayatkan dari Zuhair berkata: Saya mendengar Abu Ishaq berkata, “Saya bertemu dengan mereka, mereka membayar zakat Fitrah dalam bentuk Dirham senilai harga makanan”

Pada zaman dahulu yang masih menggunakan sistem barter, iaitu berlaku tukar-menukar transaksi jual beli. Walau bagaimanpun pada zaman kita sekarang ini transaksi jual beli  dengan wang adalah menjadi keutamaan. Mengeluarkan zakat Fitrah dalam bentuk wang tunai lebih utama untuk memberikan kemudahan kepada fakir miskin untuk membeli apa saja yang mereka inginkan pada hari raya. Dan mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk makanan asasi lebih utama jika makanan sukar diperolehi atau lebih penting dari wang tunai, ini kerana setiap orang berbeza-beza keperluanya.

Hukum Pembayaran Zakat Fitrah Melalui Pembayaran Elektronik
Hukum menggunakan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui pembayaran elektronik adalah harus, sama ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) secara prabayar atau pascabayar adalah harus, melalui Internet, mesin ATM dan e-Debit. Pihak yang menyediakan khidmat ini bertindak sebagai wakil bagi pihak amil bagi mengutip zakat.

Niat Membayar Zakat
Membayar fitrah dengan wang adalah TIDAK SAH mengikut MAZHAB SYAFIE jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan “Wang ini fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku”. Tetapi HARUS digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini".
Wallahualam.


Sumber: Fiqhul Manhaji; Majlis Agama Islam Negeri Johor(http://www.maij.gov.my/); Syekh DR. Ali Jum’ah, Al-Bayan li ma Yusyghil al-Adzhan; Ustaz Abdul Somad, Fatwa 20 Ramadhan; Fatwa Zakat Negeri Selangor; http://al-fanshuri.blogspot.com; http://warisan-semasa.blogspot.my/;

Friday, August 2, 2013

HUKUM MENGALIH ZAKAT

Diriwayatkan oleh sebilangan ahli hadis bahawa ketika Rasulullah Saw mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman, Rasulullah Saw berkata kepadanya, “Jika mereka taat kepadaku, maka ajarkanlah kepada mereka bahawa Allah Swt mewajibkan zakat kepada mereka dalam harta mereka. Diambil dari orang-orang yang mampu di antara mereka dan diserahkan kepada orang-orang yang fakir di antara mereka”.

Berdasarkan riwayat-riwayat ini para fuqaha(ahli Fiqh) berdalil bahawa zakat dibahagikan kepada orang-orang fakir yang berada di dalam negerinya. Ulama berbeza pendapat tentang hukum mengalihkan zakat ke negeri lain. Ijmak ulamak bahawa boleh mengalihkan zakat ke negeri lain jika negeri tempat pengutipan zakat tersebut tidak memerlukannya.

Menurut Mazhab Hanafi, makruh mengalihkan zakat kecuali jika pengalihan tersebut kepada saudara mara yang memerlukan, kerana ia dapat menyambung silaturahim, atau kepada kelompok masyarakat yang lebih memerlukan daripada fakir di negeri tempat pemungutan zakat. Juga boleh mengalih zakat di sebabkan oleh maslahat bagi kaum muslimin, untuk para penuntut ilmu, atau zakat tersebut dibayar sebelum masanya diwajibkan, ertinya dibayarkan sebelum Haul. Maka dalam semua keadaan ini tidak dimakruhkan mengalihkan zakat.

Menurut Mazhab Syafie, tidak boleh mengalihkan zakat dari suatu negeri ke negeri lain, wajib dibahagi ke negeri tempat zakat tersebut dipungut dari muzakki(pengeluarkan zakat) yang telah sampai haul. Jika tidak ada mustahik(penerima zakat), maka dialihkan ke negeri yang di negeri tersebut terdapat mustahik zakat. Dalil mereka dalam masalah ini adalah hadis Muaz diatas.

Abu Ubaid meriwayatkan bahawa Muaz datang dari Yaman setelah Rasulullah Saw meninggal dunia, Muaz mengirimkan sebahagian harta zakat tetapi Umar tidak menerimanya. Umar menolaknya lebih dari sekali meskipun Muaz menjelaskan bahawa tidak ada mustahik zakat yang mengambilnya.

Menurut Mazhab Maliki, tidak boleh mengalihkan zakat ke negeri lain kecuali jika sangat diperlukan, maka Imam mengambil zakat tersebut dan menyerahkannya kepada orang-orang yang memerlukannya.

Menurut Mazhab Hanbali, tidak boleh mengalihkan zakat ke negeri lain yang jaraknya sejauh jarak Qasar solat. Zakat dibahagikan di negeri zakat tersebut dikutip dan negeri sekitarnya yang berada di bawah jarak Qasar solat. Ibnu Qudamah al-Hanbali berkata, “Jika seseorang menentang pendapat ini dan ia mengalihkan zakatnya, zakatnya tetap sah menurut pendapat majoriti ulama.

Jika seseorang tinggal di suatu tempat dan hartanya di tempat lain, maka zakatnya dibahagi di negeri tempat hartanya berada kerana para mustahik di tempat tersebut melihatnya. Jika hartanya berada di beberapa tempat, maka zakatnya ditunaikan di setiap negeri tempat harta tersebut berada. Ini berlaku pada zakat Mal.

Sedangkan zakat Fitrah dibahagikan di tempat orang-orang yang berzakat, kerana zakat tersebut adalah zakat dirinya, bukan zakat hartanya. Jika ada mustahik zakat di tempat ia tinggal, maka zakat dibahagikan kepada mustahik yang ada di tempat tersebut, demikian menurut jumhur fuqaha.

Fatwa Syeikh ‘Athiyyah Saqar.

Tuesday, August 28, 2012

BOLEHKAH MEMBAYAR ZAKAT FITRAH DALAM BENTUK MATA WANG?



Fatwa Syekh DR. Ali Jum‟ah.

Boleh membayar zakat fitrah dalam bentuk wang. Ini adalah mazhab sekelompok ulama yang diamalkan, juga mazhab sekelompok Tabi‟in, diantara mereka adalah al-Hasan al-Bashri. Diriwayatkan bahwa ia berkata, “Boleh memberikan Dirham (wang perak) dalam zakat Fitrah”. (Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf, juz. III, hal. 174).

Abu Ishaq as-Sabi‟i meriwayatkan dari Zuhair, ia berkata: saya mendengar Abu Ishaq berkata, “Saya bertemu dengan mereka, mereka membayar zakat Fitrah dalam bentuk dirham sama nilai dengan harga makanan”.

Umar bin Abdul Aziz, dari Waki‟, dari Qurrah, ia berkata, “Surat dari Umar bin Abdul Aziz datang kepada kami tentang zakat Fitrah, “Setengah Sha’ untuk setiap orang. Atau nilainya

setengah Dirham”. Demikian juga menurut pendapat ats-Tsauri, Abu Hanifah dan Abu Yusuf.

Membayar zakat dalam bentuk uang adalah mazhab Hanafi, mereka melaksanakannya dalam semua zakat, kafarat, nazar, kharaj dan lainnya. Juga menurut mazhab Imam an-Nashir dan al-Mu‟ayyid Billah dari kalangan imam Ahli Bait golongan az-Zaidiyyah.

Demikian juga menurut Ishaq bin Rahawaih dan Abu Tsaur, cuma mereka mengaitkanya dengan keadaan darurat, sebagaimana mazhab sebagian lain dari kalangan Ahli Bait.

Membayar zakat fitrah dalam bentuk wang adalah pendapat sekelompok ulama dari kalangan Mazhab Maliki seperti Ibnu Habib, Ashbagh, Ibnu Abi Hazim, Ibnu Dinar dan Ibnu Wahab, diriwayatkan dari mereka tentang boleh hukumnya membayar zakat dalam bentuk wang, apakah zakat Mal maupun zakat Fitrah.

Berbeza dengan yang diriwayatkan dari Ibnu al-Qasim dan Asy-hab, mereka berdua membolehkan membayar zakat dengan wang, kecuali pada zakat Fitrah dan kafarat sumpah.

Berdasarkan riwayat diatas kita dapat mengetahui sejumlah imam dan Tabi‟in serta para ahli Fiqh berpendapat bahwa boleh membayar zakat dalam bentuk wang, ini pada masa mereka di zaman dahulu yang masih menggunakan system barter (pertukaran barang), ini bermaksud semua benda layak dijadikan perantara tukar-menukar transaksi jual beli, khususnya biji-bijian.

Mereka menjual gandum jenis Qamh dengan gandum jenis Sya’ir, jagung dengan gandum dan lainnya. Sedangkan pada zaman kita sekarang ini perantara transaksi jual beli hanya terbatas pada wang saja. Maka menurut kami pendapat ini lebih tepat dan lebih kuat. Bahkan kami nyatakan, andai ulama yang tidak sependapat dengan ini pada masa silam hidup di zaman sekarang ini, pastilah mereka akan berpendapat seperti pendapat Imam Abu Hanifah.

Jelas bagi kita begitu mendalam pemahaman dan kekuatan akal mereka. Mengeluarkan zakat Fitrah dalam bentuk wang lebih utama untuk memberikan kemudahan kepada fakir miskin untuk

membeli apa saja yang mereka inginkan pada hari raya, ini kerana boleh jadi mereka tidak memerlukan biji-bijian, akan tetapi memerlukan pakaian, atau daging, atau selain itu. Sedangkan dalam keadaan lain mungkin membayar zakat fitrah dalam bentuk bijian lebih baik.

Hukum asal disyariatkan zakat Fitrah adalah untuk kepentingan fakir miskin dan mencukupkan keperluan mereka pada hari raya, hari kebahagiaan kaum muslimin. Imam al-Allamah Ahmad bin ash-Shiddiq al-Ghumari menyusun satu kitab dalam masalah ini berjudul Tahqiq al-Amal fi Ikhraj Zakat al-Fithr bi al-Mal, dalam kitab ini beliau menguatkan pendapat Mazhab Hanafi dengan dalil-dalil dan pendapat yang banyak, sehingga mencapai tiga puluh dua pendapat. Oleh sebab itu pendapat kami mentarjihkan pendapat yang menyatakan mengeluarkan zakat Fitrah dalam bentuk nilai/harga/wang ini lebih utama di zaman sekarang ini.

Wallahu Ta’ala A’la wa A’lam.

Sumber : Ustaz Abdul Somad

Thursday, July 5, 2012

ZAKAT WANG BAGI KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP)




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 di Kuala Lumpur telah membincangkan Zakat Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).  Muzakarat telah memutuskan bahawa: 
Wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat bila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Shafie.
  
1.  Mazhab Syafie menetapkan bahawa zakat harta wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan tempoh haulnya. Wang KWSP adalah harta simpanan. Wang KWSP apabila dikeluarkan adalah diwajibkan zakat apabila sempurna kedua-dua syarat iaitu cukup nisab dan haul yang ditetapkan. Walau bagaimanapun jumhur ulama berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya. 

2.  Berdasarkan pandangan   tersebut,   Muzakarah   memutuskan   bahawa   Keputusan  Jawatankuasa Fatwa yang bersidang kali ke-5 pada 16-17 November 1982 dipinda seperti 
berikut: 

Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun. 
Syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat harta adalah seperti berikut; 
a.    Islam (pemilik harta tersebut), 
b.   merdeka (bukan hamba tebusan), 
c.    cukup nisab (kadar yang ditetapkan), 
d.   haul (genap setahun), dan 
e.    sempurna milik. 

Syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak KWSP menunjukkan pencarum tidak mempunyai kuasa ke atas wang simpanan tersebut untuk dibelanjakan bagi keperluan dirinya kecuali apabila telah tiba masa yang ditetapkan atau dengan tujuan yang telah  ditetapkan  oleh  pihak kerajaan. Ini  bererti  bahawa  pencarum  tidak memiliki hartanya (caruman) sebagai pemilikan sempurna di mana pemilikan sempurna merupakan salah satu syarat wajib zakat. Jika dilihat pada akhirnya wang caruman itu akan menjadi milik sempurna pencarum, namun ia berlaku apabila sampai tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Syarat yang tidak terdapat dalam KWSP yang hendak dikenakan zakat keatasnya adalah sempurna milik. Ertinya harta yang hendak dikenakan zakat itu telah menjadi milik sempurna pencarum KWSP. Pencarum tersebut bebas untuk membelanjakan harta tersebut mengikut kehendaknya pada bila-bila masa. 
Berdasarkan peraturan KWSP iaitu wang yang dicarumkan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali dalam keadaan yang telah ditetapkan seperti berikut: 
a.    Genap umur 55 tahun (umur bersara bagi kakitangan awam), sekarang 60 tahun.
b. Pencarum boleh mengeluarkan kadar tertentu sahaja daripada wang  caruman itu apabila genap umur 50 tahun untuk tujuan tertentu dengan  syarat-syarat yang telah ditetapkan,  
c.    Pencarum  boleh  mengeluarkan kadar  yang  telah  ditetapkan  oleh  kerajaan dengan tujuan membeli rumah, dan 
d. Wang  caruman tersebut boleh  dikeluarkan oleh waris pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia. 


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
".....Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (dengan balasan) azab seksa yang tersangat pedihnya. (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan hartabenda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselarkan dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (lalu dikatakan kepada mereka):"Inilah apa yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, oleh itu rasakanlah azab dari) apa yang kamu simpan itu" (At-Taubah: 34-35)

Jumhur Ulama' Fiqh sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang. Mata wang tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh orang-orang Arab terdahulu dalam berurusniaga sebelum kedatangan Islam. Mata wang emas dikenali sebagai dinar dan mata wang perak sebagai dirham. Setelah Rasulullah S.A.W diutus menjadi Rasul, maka dinar dan dirham telah diiktiraf sebagai mata wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurusniaga. 

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Tiadalah bagi pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya untuk menunaikan zakat keduanya, melainkan di hari kiamat ia didudukkan di atas pedang batu yang lebar dalam neraka, maka dibakar di dalam neraka jahanam, diselar di pipi, kening dan punggungnya. Setiap kali api itu padam maka dipersiapkan lagi baginya (hal serupa) untuk jangka waktu 50 ribu tahun, sehingga selesai pengadilan semua umat manusia, maka dia melihat jalannya, adakah ke syurga atau neraka". (Riwayat Muslim).

Wang KWSP ialah wang simpanan milik individu yang disimpan dalam KWSP sepanjang tempoh perkhidmatan dan ianya telah mencukupi kesemua syarat-syarat wajib kecuali syarat "Sempurna Milik". Syarat "Sempurna Milik" akan dipenuhi sebaik sahaja wang tersebut dikeluarkan dari KWSP. Majlis fatwa kebangsaan membolehkan apabila menerima wang KWSP, seseorang bolehlah terus mengeluarkan zakat 2.5% tanpa menunggu tempoh setahun kerana dikhuatiri wang tersebut akan berkurangan dari segi nisabnya yang tidak wajib dikenakan zakat lagi atau tetap menunggu haul.. Pengeluaran boleh dibuat semasa berkhidmat ataupun bersara.

Contoh:
Jumlah pengeluaran = RM 20,000
Zakat = RM 20,000 x 2.5% = RM 500


Wednesday, March 2, 2011

PELBAGAI CARA MENCUCIKAN DIRI DAN HARTA MELALUI PENSYARIATAN JENIS-JENIS ZAKAT


Zakat terbahagi kepada dua
i. Zakat nafs (jiwa), juga disebut zakat Fitrah
ii. Zakat maal (Harta)

Zakat Fitrah
Pembayaran zakat fitrah dibayar pada bulan Ramadhan bermula pada 1 Ramadhan hingga 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri. Zakat Fitrah wajib dikeluarkan dengan kadar yang tertentu daripada makanan asasi dengan sebab jatuhnya matahari pada akhir Ramadhan dengan syarat yang tertentu, firman Allah Taala.
“Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan diri (mengeluarkan fitrah) dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama tuhan (ucap takbir) serta mengerjakan sembahyang.”
Surah Al A'laa : 14-15

Kata Abdullah bin Omar, “Bahawasanya Rasulullah mewajibkan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia satu gantang tamar, atau syair, ke atas tiap-tiap orang merdeka, hamba, lelaki atau perempuan dari kalangan orang Islam.
[H.R. Bukhari dan Muslim}


Zakat Harta
Zakat harta boleh ditunaikan pada bila-bila masa, setelah cukup nisab dan cukup haul. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari keseluruhan jumlah harta. Secara umumnya zakat harta terdiri dari Naqdan iaitu matawang, binatang ternakkan, tanaman dan buah-buahan, barang-barang perniagaan, barang-barang galian dan rikaz, Al-khalitain dan zakat hutang.

i. Naqdaan (matawang)
Harta ini adalah dari emas dan perak sama ada telah dicetak menjadi matawang atau dalam bentuk ketulan emas. Termasuk juga dalam kategori ini ialah saham-saham yang mempunyai jaminan tetap yang disandarkan nilainya kepada emas atau perak. Dalilnya adalah firman Allah taala.

“Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai Dengan cara Yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang Yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka Dengan (balasan) azab seksa Yang tidak terperi sakitnya”.
(At-Taubah:34)


ii. Binatang Ternakan
Binatang ternakan adalah termasuk unta, lembu atau kerbau dan kambing.

iii. Tanaman dan Buah-buahan
Tanaman dan buah-buahan yang dikenakan zakat hanyalah tanaman dan buah yang menjadi makanan asasi manusia di kawasan tertentu berdasarkan kebiasaan. Tanaman dan buah-buahan tersebut mestilah dari jenis yang boleh disimpan dan tahan lama. Di antara tanaman yang dikenakan zakat ialah biji gandum, barli, beras, kacang, jagung dan sebagainya. Di antara buah-buahan pula ialah kurma dan anggur kering.

iv. Barang-barang Perniagaan
Perniagaan ialah suatu aktiviti pertukaran harta dengan barang tertentu dengan tujuan untuk mendapatkan untung.

v. Barang-barang Galian dan Rikaz
Barang-barang galian dan Rikaz ialah emas dan perak yang dikeluarkan dari perut bumi. Barang galian ialah benda yang dikeluarkan dari perut bumi dan kemudian diproses. Barang rikaz ialah barang yang terpendam di dalam perut bumi sejak sebelum munculnya Islam.

vi. Zakat Al-Khalitain
Al-Khalitain ialah dua harta zakat yang telah bercampur dan dimiliki oleh dua orang dengan tujuan melakukan perkongsian atau seumpamanya.


vii. Zakat Hutang
Zakat hutang ialah zakat yang dikenakan keatas harta yang berada di dalam keadaan berhutang. Zakat hutang dikenakan keatas pemberi hutang apabila pemberi hutang mampu mengambil kembali semua jumlah hutang yang diberikannya apabila telah sampai tempoh pembayaran dalam keadaan orang yang berhutang telah mampu untuk membayar hutangnya. Zakat tetap dikenakan walau bayaran hutang masih belum dijelaskan. Zakat dikenakan apabila jumlah hutang itu telah cukup nisabnya setelah dicampur dengan harta yang ada disisinya serta telah berlalunya haul.

Monday, February 21, 2011

Tujuan Zakat di Dilaksanakan


Islam menekankan pembinaan sebuah masyarakat yang adil, berperikemanusiaan dan bersatu padu. Zakat melindungi manusia dari kelaparan, menjamin keselamatan sosial dan menjaga maruah dan kehormatan insan adalah elemen-elemen yang perlu dalam peraturan masyarakat yang kuat dan berperikemanusiaan. Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa kelaparan adalah satu bentuk tekanan masyarakat yang paling teruk. Oleh itu, Islam mencadangkan institusi zakat sebagai satu mekanisma yang menyelamatkan manusia dari kelaparan, menjamin keadilan sosio ekonomi dalam masyarakat dan menyediakan satu suasana yang membolehkan manusia memelihara kehormatan dan melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah.

Dengan meningkatkan produktiviti masyarakat, zakat menghilangkan rasa iri hati sesama ahli masyarakat, dan seterusnya menghasilkan masyarakat muslim yang aman dan bersatupadu. Oleh itu, zakat telah dirangka untuk memenuhi matlamat yang jelas dalam masyarakat. Secara ringkasnya, zakat telah ditetapkan oleh Allah dengan matlamat utama sebagai satu bentuk jaminan keselamatan sosial bagi mereka yang miskin dan memerlukan dalam masyarakat, membangunkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat, dan juga sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan spiritual

Tidak dapat dinafikan bahawa zakat adalah asas kepada perkembangan ekonomi. Selain itu, zakat juga merupakan suatu cara atau kaedah pengagihan kekayaan dan penyelesaian kepada kemiskinan dan kefakiran yang harus dilaksanakan secara sepenuhnya. Dengan kewajipan zakat, ia dilihat mampu melatih pengeluarnya agar bersifat dengan sifat pemurah dan memupuk sifat-sifat yang mulia serta membuang sifat kedekut dalam diri. Tujuan disyariatkan zakat juga adalah untuk menguatkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang. Apabila setiap org Islam melaksanakan kewajipan zakat dengan mengeluarkan sebahagian hartanya kepada orang-orang yang berhak, ini menggambarkan betapa mesra dan akrabnya hubungan antara orang Islam.

Zakat juga mampu mengurangkan jurang tingkat sosial antara orang miskin dan golongan kaya. Sumbangan zakat mampu membuka peluang-peluang rezeki dan menutup pintu kemiskinan. Zakat juga mampu mengatasi masalah pengangguran, ini kerana antara sebab berlakunya pengangguran ialah golongan miskin tidak mempunyai harta yang mencukupi untuk memulakan perniagaan. Oleh itu, zakat dilihat mampu mmbantu individu untuk memulakan perniagaan dengan kepakaran dan keupayaannya. Tujuan zakat juga ialah untuk membersihkan hati dari perasaan dengki, hasad dan iri hati terhadap orang lain.

Tuesday, November 2, 2010

Peranan Zakat Dalam Pembangunan Ekonomi



Zakat memainkan peranan yang penting khususnya dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan. Zakat merupakan rukun Islam yang keempat dalam Islam, ia merupakan suatu asas yang wajib ditunaikan tanpa sebarang alasan. Kewajipan zakat merupakan suatu tanggungjawab yang membawa berkat dan memberi kesan yang berterusan bukan sahaja kepada mereka yang mengeluarkannya, tetapi juga mereka yang menerimanya. Pelaksanaan zakat member kesan bukan sahaja kepada individu, juga member kesan kepada seluruh lapisan masyarakat. Zakat turut berperanan dalam mempertingkatkan kebajikan masyarkat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi.

Zakat merupakan suatu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T ke atas setiap muslim. Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran bahawa menunaikan zakat adalah sebahagian daripada ciri-ciri penting umat Islam yang membezakannya dari penganut-penganut agama lain.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah At-Taubah: 71)

Dapat difahami bahawa Islam amat mementingkan kewujudan masyarakat yang adil, bersatu-padu, tolong-menolong, bantu-membantu dalam mengharmonikan kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara. Negara yang aman, tenteram dan masyarakatnya hidup bersatu-padu akan mewujudkan suasana ekonomi yang stabil dan seimbang seiring dengan peningkatan produktiviti masyarakat Islam keseluruhannya dengan agihan kekayaan dalam masyarakat. Zakat dilihat mampu mengikis rasa sombong golongan kaya dan mengelak golongan fakir iskin dari meminta-minta. Harta yang diperoleh golongan kaya sebenarnya terdapat sebahagian hak golongan fakir dan menjadi kewajipan golongan kaya menunaikan hak tersebut.

Allah S.W.T telah mewajibkan Zakat sebagai salah satu jaminan sosial kepada masyarakat terutama kepada golongan yang amat memerlukan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat dan sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan rohani setiap muslim. Zakat juga bertindak sebagai satu mekanisma yang penting kepada sesebuah negara Islam bagi menjamin kemaslahatan rakyat seluruhnya. Zakat juga mempunyai keupayaan dan kekuatan bagi membasmi kemiskinan dan menjamin keseimbangan jurang antara golongan kaya dan miskin melalui mekanisma agihan semula kekayaan dalam masyarakat.

Zakat merupakan suatu pendapatan yang tetap dan menjadi kewajipan untuk sentiasa dilaksakan oleh sesebuah negara Islam dan ianya tidak akan terhenti. Oleh itu, negara Islam dapat menggunakan sumber zakat bagi membina kekuatan ekonomi, sosial, pendidikan dan akhirnya dapat membina kekuatan Umat Islam secara tidak langsung membina kesatuan Ummah yang jitu. Masalah membasmi kemiskinan merupakan tujuan utama sistem zakat dalam Islam melalui penyediaan saraan hidup dan modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat. Saraan hidup daripada zakat ini diperuntukkan kepada golongan yang tidak mampu bekerja dengan sebab-sebab cacat anggota atau sebagainya.


Modal pula diperuntukkan kepada golongan yang mampu bekerja tetapi tidak mempunya modal untuk menjalankan pekerjaan. Kedua-dua peruntukkan ini diberi dengan kadar yang mencukupi sesuai dengan keadaan ekonomi, masa, tempat dan keperluan fakir miskin itu. Saraan hidup ini hendaklah mencukupi untuk makan, minum , pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan kesihatan. Manakala modal pula hendaklah mencukupi kadar modal sesuatu projek yang hendak dijalankan. Pemberian saraan hidup dan modal serta tujuan-tujuan lain adalah dengan kadar mencukupi. Kadar mencukupi untuk saraan hidul yang diambil kira daripada lima keperluan asas hendaklah diberi selama mana dihajati dan difikirkan perlu oleh golongan tersebut walaupun untuk sepanjang hidupnya atau dengan cara bulanan dan sebagainya. Selain dari alat membasmi kemiskinan, zakat juga merupakan alat untuk memerangi masalah riba yang dilaknat oleh Allah ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam proses perlaksanaan riba.

Dengan penyediaan modal bererti tertutuplah pintu sistem pinjaman yang dikenakan riba. Modal daripada zakat boleh diberikan kepada fakir miskin yang berhajat untuk membuka sesuatu pekerjaan yang termampu olehnya, sama ada sebagai pemberian tunai atau sebagai pinjaman tanpa faedah. Zakat juga merupakan alat yang berkesan untuk menghapuskan pembekuan harta dalam masyarakat Islam, ini kerana sistem zakat itu sendiri bukanlah satu sistem yang boleh dikompromi dengan pembekuan harta. Oleh itu, zakat dikenakan terhadap jumlah harta sama ada dilaburkan atau di simpan beku yang membolehkan masyarakat Islam menggerakkan seluruh sumber yang ada di dalam negara Islam untuk tujuan produktif.

Pengertian zakat itu sendiri merupakan musuh utama kepada pembekuan harta. Islam mencadangkan dua saluran pilihan harta yang berlebihan harus diarahkan iaitu membelanjakannya atau melaburkannya dalam perniagaan atau industri. Dari sini permintaan terhadap semua jenis barangan pengguna akan bertambah dan pengusaha serta pengeluar berpeluang mengembankan lagi pengeluaran mereka. Urusniaga akan bertambah maju dan peluang pekerjaan akan meningkat, hasilnya negara akan menjadi mewah. Selain daripada itu, zakat juga memainkan peranan untuk mendekatkan jurang perbezaan yang jauh di antara anggota masyarakat dan mengagihkan semula pendapatan. Ini jelas dari kutipan sebahagian harta orang kaya untuk dibahagi-bahagikan kepada mereka yang kurang berada.

Zakat juga dapat memupuk sifat tolong-menolong, membantu dan membina aktiviti ekonomi yang baik dan memandu kearah kehidupannnya yang lebih baik dan lebih sejahtera, sehingga mereka dapat memenuhi keperluan hidupnya dengan secukupnya, dapat beribadah kepada Allah SWT, terhindar dari bahaya kekufuran, sekaligus memeberantas sifat iri hati, dengki dan hasad yang mungkin timbul ketika orang-orang fakir miskin melihat orang kaya yang berkecukupan hidupnya tidak memperdulikan mereka. Zakat juga berperanan Sebagai sumber dana bagi pembangunan, untuk prasarana yang diperlukan oleh ummat Islam, seperti tuntutan ibadah, pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi, sekaligus keperluan pengembangan kualiti modal insan muslim. Keadaan ini akan mewujudkan keseimbangan dalam pemilikan dan pembahagian harta, sehingga melahirkan masyarakat marhammah diatas prinsip ukhuwah Islamiyyah dan takaful ijtima'I dan menyebarkan dan membudayakan etika perniagaan yang baik dan benar.

Saturday, August 7, 2010

HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT



Ditengah-tengah berbagai krisis yang sedang melanda umat kita sekarang ini telah menjadi bukti bahawa syariat islam itu adalah benar dan sesuai untuk menyelesaikan masalah umat. Salah satunya adalah dengan kewajipan zakat, infak dan sadaqah (ZIS).

Zakat adalah ibadah maaliyah ijtima'iyah yang memiliki yang sangat penting, dalam membina pembangunan ummat. Sebagai suatu ibadah pokok, zakat termasuk salah satu rukun Islam yang lima, seperti diungkapkan hadits nabi (Mus'id As-Sa'dani Al Arba'in An-Nawawiyyah, 1994), yang merupakan menjadi sebahagian rukun keislaman seseorang.
zakat dapat mewujudkan individu yang mendapat kebahagiaan (QS. 23:4), mewujudkan

seorang yang akan mendapatkan rahmat dan pertolonganNya (QS.9: 71 dan QS. 22: 40-41). Juga sebagai orang yang mengambil berat hak fakir miskin dan para mustahik (orang yang berhak mendapatkan zakat) (QS. 9:60), serta dipandang sebagai orang yang membersihkan, menyuburkan dan mengembangkan hartanya serta mencuci jiwanya (QS. 9:103 dan QS. 30:39).

Sebaliknya Al Qur'an dan hadits Nabi memberi amaran keras bagi orang yang engkar menunaikan zakat

Disamping zakat, islam juga turut mementingkan infaq dan sadaqah, kedua-duanya merupakan sebagian dari keimanan seseorang. Dalam al-Quran Allah berfirman bahawa infaq dan sadaqah itu merupakan ciri utama orang yang benar keimanannya (QS. 8: 3-4), cirri-ciri utama orang yang bertaqwa (QS. 2: 3 dan QS. 9: 134), cirri-ciri mu'min yang mengharapkan balasan yang abadi dari Allah SWT (QS. 35: 29).

Atas dasar itu, infaq dan sadaqah sangat dianjurkan dalam segala keadaan, dan sesuai dengan kemampuan (Qs 3: 134). Jika seseorang yang enggan berinfaq, maka dia seperti meletakkan dirinya dalam kebinasaan (QS. 2: 195). Infaq dan sadaqah tidak ditentukan jumlahnya (besar, kecil, banyak atau sedikit) tidak ditentukan pula sasaran penggunannya, ia adalah untuk semua kebaikan yang diperintahkan dalam ajaran Islam (QS. 2:213).

Kewajiban zakat dan dorongan untuk terus menerus berinfaq dan bersadaqah adalah mutlak dan tegas, ini karana di dalam ibadah ini terkandung berbagai hikmah dan manfaat yang besar, mulia, baik, bagi muzakki (orang yang harus berzakat), mustahik mahupun masyarakat keseluruhan, antara lain tersimpul sebagai berikut :

Pertama, Sebagai tanda beriman kepada Allah SWT, mensyukuri nikmat-Nya, mewujudkan akhlak mulia dengan memiliki rasa kemanusiaan yang tinggi, menghilangkan sifat kikir dan rakus, melahirkan ketenangan hidup, sekaligus mengembangkan harta yang dimiliki.

Kedua adalah Menolong, membantu dan membina kaum dhuafa (orang yang lemah secara ekonomi) maupun mustahik lainnya kearah kehidupannnya yang lebih baik dan lebih sejahtera, sehingga mereka dapat memenuhi keperluan hidupnya dengan secukupnya, dapat beribadah kepada Allah SWT, terhindar dari bahaya kekufuran, sekaligus memeberantas sifat iri hati, dengki dan hasad yang mungkin timbul ketika mereka (orang-orang fakir miskin) melihat orang kaya yang berkecukupan hidupnya tidak memperdulikan mereka.

Ketiga adalah Sebagai sumber dana bagi pembangunan, untuk prasarana yang diperlukan oleh ummat Islam, seperti tuntutan ibadah, pendidikan, kesihatan, sosial dan
ekonomi, sekaligus keperluan pengembangan kualiti modal insan muslim.

Keempat adalah, Untuk mewujudkan keseimbangan dalam pemilikan dan pembahagian harta, sehingga melahirkan masyarakat marhammah diatas prinsip ukhuwah Islamiyyah dan takaful ijtima'i.
Kelima, Menyebarkan dan membudayakan etika perniagaan yang baik dan benar.

Oleh Ustadz : DR. Didin Hafidudin, MSc Ketua Dewan Syariah LAZ YAUMIL