Friday, August 2, 2013

HUKUM MENGALIH ZAKAT

Diriwayatkan oleh sebilangan ahli hadis bahawa ketika Rasulullah Saw mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman, Rasulullah Saw berkata kepadanya, “Jika mereka taat kepadaku, maka ajarkanlah kepada mereka bahawa Allah Swt mewajibkan zakat kepada mereka dalam harta mereka. Diambil dari orang-orang yang mampu di antara mereka dan diserahkan kepada orang-orang yang fakir di antara mereka”.

Berdasarkan riwayat-riwayat ini para fuqaha(ahli Fiqh) berdalil bahawa zakat dibahagikan kepada orang-orang fakir yang berada di dalam negerinya. Ulama berbeza pendapat tentang hukum mengalihkan zakat ke negeri lain. Ijmak ulamak bahawa boleh mengalihkan zakat ke negeri lain jika negeri tempat pengutipan zakat tersebut tidak memerlukannya.

Menurut Mazhab Hanafi, makruh mengalihkan zakat kecuali jika pengalihan tersebut kepada saudara mara yang memerlukan, kerana ia dapat menyambung silaturahim, atau kepada kelompok masyarakat yang lebih memerlukan daripada fakir di negeri tempat pemungutan zakat. Juga boleh mengalih zakat di sebabkan oleh maslahat bagi kaum muslimin, untuk para penuntut ilmu, atau zakat tersebut dibayar sebelum masanya diwajibkan, ertinya dibayarkan sebelum Haul. Maka dalam semua keadaan ini tidak dimakruhkan mengalihkan zakat.

Menurut Mazhab Syafie, tidak boleh mengalihkan zakat dari suatu negeri ke negeri lain, wajib dibahagi ke negeri tempat zakat tersebut dipungut dari muzakki(pengeluarkan zakat) yang telah sampai haul. Jika tidak ada mustahik(penerima zakat), maka dialihkan ke negeri yang di negeri tersebut terdapat mustahik zakat. Dalil mereka dalam masalah ini adalah hadis Muaz diatas.

Abu Ubaid meriwayatkan bahawa Muaz datang dari Yaman setelah Rasulullah Saw meninggal dunia, Muaz mengirimkan sebahagian harta zakat tetapi Umar tidak menerimanya. Umar menolaknya lebih dari sekali meskipun Muaz menjelaskan bahawa tidak ada mustahik zakat yang mengambilnya.

Menurut Mazhab Maliki, tidak boleh mengalihkan zakat ke negeri lain kecuali jika sangat diperlukan, maka Imam mengambil zakat tersebut dan menyerahkannya kepada orang-orang yang memerlukannya.

Menurut Mazhab Hanbali, tidak boleh mengalihkan zakat ke negeri lain yang jaraknya sejauh jarak Qasar solat. Zakat dibahagikan di negeri zakat tersebut dikutip dan negeri sekitarnya yang berada di bawah jarak Qasar solat. Ibnu Qudamah al-Hanbali berkata, “Jika seseorang menentang pendapat ini dan ia mengalihkan zakatnya, zakatnya tetap sah menurut pendapat majoriti ulama.

Jika seseorang tinggal di suatu tempat dan hartanya di tempat lain, maka zakatnya dibahagi di negeri tempat hartanya berada kerana para mustahik di tempat tersebut melihatnya. Jika hartanya berada di beberapa tempat, maka zakatnya ditunaikan di setiap negeri tempat harta tersebut berada. Ini berlaku pada zakat Mal.

Sedangkan zakat Fitrah dibahagikan di tempat orang-orang yang berzakat, kerana zakat tersebut adalah zakat dirinya, bukan zakat hartanya. Jika ada mustahik zakat di tempat ia tinggal, maka zakat dibahagikan kepada mustahik yang ada di tempat tersebut, demikian menurut jumhur fuqaha.

Fatwa Syeikh ‘Athiyyah Saqar.

No comments: