Monday, February 21, 2011

Tujuan Zakat di Dilaksanakan


Islam menekankan pembinaan sebuah masyarakat yang adil, berperikemanusiaan dan bersatu padu. Zakat melindungi manusia dari kelaparan, menjamin keselamatan sosial dan menjaga maruah dan kehormatan insan adalah elemen-elemen yang perlu dalam peraturan masyarakat yang kuat dan berperikemanusiaan. Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa kelaparan adalah satu bentuk tekanan masyarakat yang paling teruk. Oleh itu, Islam mencadangkan institusi zakat sebagai satu mekanisma yang menyelamatkan manusia dari kelaparan, menjamin keadilan sosio ekonomi dalam masyarakat dan menyediakan satu suasana yang membolehkan manusia memelihara kehormatan dan melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah.

Dengan meningkatkan produktiviti masyarakat, zakat menghilangkan rasa iri hati sesama ahli masyarakat, dan seterusnya menghasilkan masyarakat muslim yang aman dan bersatupadu. Oleh itu, zakat telah dirangka untuk memenuhi matlamat yang jelas dalam masyarakat. Secara ringkasnya, zakat telah ditetapkan oleh Allah dengan matlamat utama sebagai satu bentuk jaminan keselamatan sosial bagi mereka yang miskin dan memerlukan dalam masyarakat, membangunkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat, dan juga sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan spiritual

Tidak dapat dinafikan bahawa zakat adalah asas kepada perkembangan ekonomi. Selain itu, zakat juga merupakan suatu cara atau kaedah pengagihan kekayaan dan penyelesaian kepada kemiskinan dan kefakiran yang harus dilaksanakan secara sepenuhnya. Dengan kewajipan zakat, ia dilihat mampu melatih pengeluarnya agar bersifat dengan sifat pemurah dan memupuk sifat-sifat yang mulia serta membuang sifat kedekut dalam diri. Tujuan disyariatkan zakat juga adalah untuk menguatkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang. Apabila setiap org Islam melaksanakan kewajipan zakat dengan mengeluarkan sebahagian hartanya kepada orang-orang yang berhak, ini menggambarkan betapa mesra dan akrabnya hubungan antara orang Islam.

Zakat juga mampu mengurangkan jurang tingkat sosial antara orang miskin dan golongan kaya. Sumbangan zakat mampu membuka peluang-peluang rezeki dan menutup pintu kemiskinan. Zakat juga mampu mengatasi masalah pengangguran, ini kerana antara sebab berlakunya pengangguran ialah golongan miskin tidak mempunyai harta yang mencukupi untuk memulakan perniagaan. Oleh itu, zakat dilihat mampu mmbantu individu untuk memulakan perniagaan dengan kepakaran dan keupayaannya. Tujuan zakat juga ialah untuk membersihkan hati dari perasaan dengki, hasad dan iri hati terhadap orang lain.

No comments: