Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun inilah umat Islam akan menyambut Maulidul Rasul dengan diadakan
pelbagai acara seperti: Membaca al-Quran dan berceramah mengenai sirah baginda
S.A.W. ataupun beselawat serta berzanji dan pelbagai acara lagi dan pada
akhirnya kadang-kala diadakan sedikit jamuan. Mimbar-mimbar Jumaat juga tidak terlepas
dari berkhutbah dengan penuh bersemangat untuk menyatakan cintanya umat ini
terhadap baginda S.A.W.
Rasulullah S.A.W. tidak pernah merayakan ulang tahun hari
kelahirannya secara khusus. Namun
baginda hanya berpuasa pada hari Isnin kerana baginda dilahirkan pada hari itu.
Dan perkara ini berlarutan (tidak merayakan sambutan Maulidur Rasul)
sehinggalah selepas 300 tahun baginda wafat.
Pelbagai kenyataan dan kajian telah
dinyatakan (berlaku sedikit khilaf) mengenai tarikh sebenar dan siapakah yang
mula-mula mengadakan sambutan Maulidur Rasul ini. Di antaranya dikatakan bahawa
bermula sambutan Maulidur Rasul ini secara besar-besaran pada zaman Fatimiyah
di Mesir di bawah penguasa Muiz Lidinillah (memerintah sekitar tahun 341 H
hingga 365 H). Dan pendapat lain ada menyatakan bahawa Sultan Atabeq Nuruddin
(meninggal pada 569 H) adalah penguasa yang pertama merayakan Maulidur Rasul.
Sebahagian ahli sejarah pula menyatakan bahawa Sultan Salahuddin Al-Ayubi
adalah tokoh yang pertama merayakan Maulidur Rasul ini (namun pendapat ini
disangsikan oleh pelbagai pihak). Pendapat lain lagi mengaitkan Abu Said
Kaukabri bin Zainuddin Aly bin Baktikin sebagai orang pertama merayakan
Maulidur Rasul ini.
Al-Hadis bermaksud:
"Diringankan Abu Lahab pada tiap-tiap hari
Isnin dengan sebab dia membebaskan hambanya Thaubiyah kerana menggembirakannya
dengan kelahiran al-Mustafa S.A.W." (Riwayat al-Bukhari).
Kegembiraan seorang penentang Islam di atas
kelahiran Rasulullah S.A.W. dapat meringankan siksanya di neraka pada setiap
hari Isnin. Jika orang kafir yang di neraka juga diringankan siksanya kerana
kegembiraan menyambut kelahiran baginda S.A.W. maka apatah lagi orang Islam
yang bergembira dengan kelahiran Rasulullah S.A.W.
Rasulullah S.A.W. sendiri membesarkan hari
kelahirannya serta mensyukuri segala nikmat pemberian Allah Taala ke atas
baginda pada hari tersebut. Semua ini dilahirkan melalui ibadat puasa sunat
baginda S.A.W. pada setiap hari Isnin.
Dari Abu Qatadah bermaksud:
"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ditanya
tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: Padanya aku dilahirkan dan padanya
diturunkan (al-Quran) ke atasku." (Riwayat Muslim).
Bergembira dengan Rasulullah S.A.W. adalah
dituntut. Firman Allah Taala bermaksud:
"Katakanlah dengan kelebihan Allah dan
rahmatNya maka demikian hendaklah mereka bergembira." (Surah Yunus: Ayat 58).
Allah Taala menyuruh kita supaya bergembira
dengan rahmatNya maka Rasulullah S.A.W. adalah sebesar-besar rahmat. Firman Allah Taala bermaksud:
"Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali
sebagai rahmat kepada sekalian alam." (Surah Al-Anbiya: Ayat 107).
Maulidur Rasul akan menganjurkan kita untuk
sentiasa berselawat dan salam yang sangat dituntut ini kepada baginda S.A.W. Firman Allah Taala bermaksud:
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat
(memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai
orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam
sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."(Surah al-Ahzab: ayat 56).
Sambutan maulid adalah satu amalan baik yang
diterima ulama dan umat Islam di serata tempat. Ia dilakukan di setiap penjuru
dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai
dari sebuah hadis Ibnu Masud:
"Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga
baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di
sisi Allah." (Riwayat Ahmad).
ANTARA PENDAPAT ULAMA MENGENAI MAULID
Imam Jalaluddin Al-Sayuti (Lihat kitab:
Husnul Maqsad Fi Amal Maulid).
Beliau ditanya tentang hukum perayaan Maulid
pada bulan Rabiulawal: Apakah orang yang merayakannya mendapat pahala? Beliau
menjawab: Perayaan Maulid pada hakikatnya ialah mengumpulkan kebanyakkan orang
untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menjelaskan jalan-jalan dakwah
sejak mula diutuskannya Rasulullah. Acara itu diisi dengan menghidangkan
makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak
berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bidaah hasanah
yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan
Nabi S.A.W. dan menyatakan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad
S.A.W. sebagai penghulu umat.
Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah (Lihat kitab:
Iqtidha as-Shirath al-Mustaqin).
Berkata Syeikh Islam Ibnu Taimiyah:
Memuliakan Maulid dan merayakannya setiap tahun seperti yang dilakukan oleh
sesetengah orang akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Taala kerana
niatnya baik dan memuliakan Rasulullah S.A.W.
Terdapat ramai lagi ulama yang turut
membolehkan sambutan Maulidur Rasul ini antaranya seperti: Imam Ibnu Hajar
al-Asqalani, Al-Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad al-Khazraji,
al-Muhaddith Syeikh Dr. Al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid Alawi al-Maliki,
Syeikh Atiyah Saqar, Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi, Syeikh Prof. Dr. Ali
Jumaah dan lain-lain lagi.
Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:
Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang
berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara
mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya. (Sila lihat kitab al-Asybah Wa al-Nazair Fi
Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).
Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih
jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau menuduh bidaah lagi
sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam
perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika
dilihat fenomena hari terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan
dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini. Mereka dengan sewenang-wenangnya
mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang berpegang dengan perkara
khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan mengkafirkan, memfasiqkan
dan membidaahkan golongan tersebut. Malah mereka hanya menyeru orang lain
supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak
melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah
antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam
semenjak sekian lama.
Sumber: http://jomfaham.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment