Thursday, July 5, 2012

ZAKAT WANG BAGI KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP)




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 di Kuala Lumpur telah membincangkan Zakat Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).  Muzakarat telah memutuskan bahawa: 
Wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat bila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Shafie.
  
1.  Mazhab Syafie menetapkan bahawa zakat harta wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan tempoh haulnya. Wang KWSP adalah harta simpanan. Wang KWSP apabila dikeluarkan adalah diwajibkan zakat apabila sempurna kedua-dua syarat iaitu cukup nisab dan haul yang ditetapkan. Walau bagaimanapun jumhur ulama berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya. 

2.  Berdasarkan pandangan   tersebut,   Muzakarah   memutuskan   bahawa   Keputusan  Jawatankuasa Fatwa yang bersidang kali ke-5 pada 16-17 November 1982 dipinda seperti 
berikut: 

Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun. 
Syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat harta adalah seperti berikut; 
a.    Islam (pemilik harta tersebut), 
b.   merdeka (bukan hamba tebusan), 
c.    cukup nisab (kadar yang ditetapkan), 
d.   haul (genap setahun), dan 
e.    sempurna milik. 

Syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak KWSP menunjukkan pencarum tidak mempunyai kuasa ke atas wang simpanan tersebut untuk dibelanjakan bagi keperluan dirinya kecuali apabila telah tiba masa yang ditetapkan atau dengan tujuan yang telah  ditetapkan  oleh  pihak kerajaan. Ini  bererti  bahawa  pencarum  tidak memiliki hartanya (caruman) sebagai pemilikan sempurna di mana pemilikan sempurna merupakan salah satu syarat wajib zakat. Jika dilihat pada akhirnya wang caruman itu akan menjadi milik sempurna pencarum, namun ia berlaku apabila sampai tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Syarat yang tidak terdapat dalam KWSP yang hendak dikenakan zakat keatasnya adalah sempurna milik. Ertinya harta yang hendak dikenakan zakat itu telah menjadi milik sempurna pencarum KWSP. Pencarum tersebut bebas untuk membelanjakan harta tersebut mengikut kehendaknya pada bila-bila masa. 
Berdasarkan peraturan KWSP iaitu wang yang dicarumkan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali dalam keadaan yang telah ditetapkan seperti berikut: 
a.    Genap umur 55 tahun (umur bersara bagi kakitangan awam), sekarang 60 tahun.
b. Pencarum boleh mengeluarkan kadar tertentu sahaja daripada wang  caruman itu apabila genap umur 50 tahun untuk tujuan tertentu dengan  syarat-syarat yang telah ditetapkan,  
c.    Pencarum  boleh  mengeluarkan kadar  yang  telah  ditetapkan  oleh  kerajaan dengan tujuan membeli rumah, dan 
d. Wang  caruman tersebut boleh  dikeluarkan oleh waris pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia. 


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
".....Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (dengan balasan) azab seksa yang tersangat pedihnya. (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan hartabenda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselarkan dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (lalu dikatakan kepada mereka):"Inilah apa yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, oleh itu rasakanlah azab dari) apa yang kamu simpan itu" (At-Taubah: 34-35)

Jumhur Ulama' Fiqh sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang. Mata wang tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh orang-orang Arab terdahulu dalam berurusniaga sebelum kedatangan Islam. Mata wang emas dikenali sebagai dinar dan mata wang perak sebagai dirham. Setelah Rasulullah S.A.W diutus menjadi Rasul, maka dinar dan dirham telah diiktiraf sebagai mata wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurusniaga. 

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Tiadalah bagi pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya untuk menunaikan zakat keduanya, melainkan di hari kiamat ia didudukkan di atas pedang batu yang lebar dalam neraka, maka dibakar di dalam neraka jahanam, diselar di pipi, kening dan punggungnya. Setiap kali api itu padam maka dipersiapkan lagi baginya (hal serupa) untuk jangka waktu 50 ribu tahun, sehingga selesai pengadilan semua umat manusia, maka dia melihat jalannya, adakah ke syurga atau neraka". (Riwayat Muslim).

Wang KWSP ialah wang simpanan milik individu yang disimpan dalam KWSP sepanjang tempoh perkhidmatan dan ianya telah mencukupi kesemua syarat-syarat wajib kecuali syarat "Sempurna Milik". Syarat "Sempurna Milik" akan dipenuhi sebaik sahaja wang tersebut dikeluarkan dari KWSP. Majlis fatwa kebangsaan membolehkan apabila menerima wang KWSP, seseorang bolehlah terus mengeluarkan zakat 2.5% tanpa menunggu tempoh setahun kerana dikhuatiri wang tersebut akan berkurangan dari segi nisabnya yang tidak wajib dikenakan zakat lagi atau tetap menunggu haul.. Pengeluaran boleh dibuat semasa berkhidmat ataupun bersara.

Contoh:
Jumlah pengeluaran = RM 20,000
Zakat = RM 20,000 x 2.5% = RM 500


No comments: