Wednesday, June 13, 2012

REZEKI - JANGAN DI BIMBANGI REZEKI UNTUK MU



Maksud Reseki
Rezeki bermaksud, sesuatu yang dianugerahkan oleh Allah kepada haiwan dan manusia. Kemudian, haiwan dan manusia dapat mengambil manfaat daripada pemberian Allah itu.

Setiap sesuatu adalah termasuk dalam kategori rezeki apabila dapat diambil manfaat. Dan sesuatu perkara itu bukanlah dinamakan rezeki apabila tidak dapat diambil manfaatnya. Sebagai contoh, jika seseorang memiliki sesuatu namun dia tidak dapat menggunakannya atau memanfaatkannya, maka ia tidaklah termasuk rezeki baginya. Benarlah kalam tokoh Ulamak pernah berkata, setiap orang akan disempurnakan rezeki baginya, dia tidak akan mendapat rezeki orang lain dan orang lain tidak akan mengambil rezekinya.

Dari Ibnu Mas’ud Radiallahu’anhu berkata dalam sebuah hadith marfu’

“sesungguhnya Malaikat Jibril telah melontarkan dalam hatiku bahawa seseorang tidak akan mati sehingga disempurnakan rezeki baginya, maka bertaqwalah kepada Allah dan perelokkanlah dalam mencari rezeki. Dan janganlah di sebabkan lambatnya rezeki itu membawa salah seorang dari kamu mencarinya dengan jalan maksiat kepada Allah, sesungguhnya apa-apa yang ada di sisi Allah itu tidak diperolehi melainkan dengan cara mentaatinya.”

Oleh kerana rezeki itu adalah sesuatu yang dapat diambil manfaat daripadanya, maka sesuatu yang halal, makruh atau haram juga termasuk dalam rezeki jika seseorang mendapat manfaat daripadanya.

Rezeki adalah hak Allah
Sekuat mana kita berusaha sekalipun jika Allah tidak mengizinkan rezeki kepada kita, maka kita tidak akan mendapat rezeki. Kita tidak mampu mendapat apa pun yang kita inginkan kecuali dengan pemberian dari Allah, firman Allah Ta’ala dalam surah al-Ankabuut:

60. Dan (ingatlah) berapa banyak binatang Yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah Yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Firman Allah Ta’ala dalam surah Thaahaa:

132. Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah Engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah Yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan Yang baik adalah bagi orang-orang Yang bertaqwa.

Jangan Menghina dan Merungut Dengan Rezeki yang Diperolehi
Kadang kita rezeki yang kita dapat bukan seperti yang kita harapkan, mungkin ia tidak memuaskan hati kita dan kita merasa tidak selesa dengannya. Menghina rezeki seperti kita merendahkan takdir Allah, dan merungut pula akan menjadikan hati hilang rasa syukur. 

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216:
216.  boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

 Rujukan: Jauharah at-tauhid, hikam

No comments: