Kebaikan
Adalah Dari Allah Ta’ala
Setiap hari
kita berharap dan berdoa agar kita memperolehi kebaikan, namun ada sebahagian
dari kita salah dalam cara menjemput kebaikan itu. Sebahagian orang manjemput
kebaikan dengan cara memaksimumkan pendapatannya, ada yang mengumpul harta
sebanyaknya, dan ada yang membeli insuran atau menabung sebagai jaminan. Namun
kita sering terlupa bahawa kebaikan yang diharapkan itu hanyalah dari Allah
Ta'ala, bukan dari harta, pangkat, duit atau skim perlindungan.
Firman Allah
Ta’ala: “Katakanlah (wahai Muhammad)…Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja mempunyai
segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”
(Ali Imran: 26)
Firman Allah
Ta’ala: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan
bencana) adalah dari sisi Allah". (an-Nisa’: 78)
Oleh itu,
cara menjemput kebaikan hanyalah dengan cara yang diajar oleh Allah Ta'ala iaitu
dengan memastikan cara atau kaedah itu adalah patuh Shariah. Mengharapkan
kebaikan itu datang dari makhluk dan bukannya Allah Ta'ala hanya akan membuat
kita kecewa dan berputus asa, sesungguhnya Pencipta kita lebih tahu kebaikan
yang terbaik untuk ciptaan-Nya.
Bagaimana
Mendapat Kebaikan?
Islam telah
mengajar cara menjemput kebaikan, iaitu dengan cara menuntut ilmu dan memahami
agama Islam.
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang Allah kehendak
beroleh kebaikan kepadanya, maka Allah akan berikan kepadanya kefahaman di
dalam urusan agama." (Riwayat al- Bukhari)
Firman Allah
Ta’ala: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa
yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah
diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil
pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal
fikirannya.” (al-Baqarah: 269)
Kebaikan
Hilang Apabila Diangkatnya Ilmu
Di akhir
zaman kelak, Allah Ta’ala akan datangkan kiamat dan kerosakan di bumi dengan
mengangkat ilmu dengan dimatikan para ulama, maka bumi akan diurus oleh orang
jahil lalu berlakulah kerosakan.
Rasulullah saw bersabda: "Diantara
tanda terjadinya hari kiamat ialah diangkat ilmu, kejahilan berleluasa, ramainya
orang yang meminum arak, dan zina dilakukan secara terang-terangan." (HR Muslim)
Rasulullah saw
bersabda: “'Allah Azza wa Jalla mengangkat ilmu agama bukan dengan cara
mencabutnya dari hati umat manusia. Tetapi Allah akan mengangkat ilmu agama
dengan mencabut nyawa para ulama, sehingga tidak ada seorang ulama pun yang
akan tinggal. Kemudian akan dilantik orang yang jahil sebagai pemimpin. Apabila
mereka, para pemimpin jahil itu diminta memberikan fatwa, maka mereka akan
berfatwa tanpa berlandaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan.”
(HR Muslim)
Ilmu Agama
Memberi Kebaikan
Kefahaman
dalam agama akan memandu kita dalam melakukan aktiviti harian. Aktiviti patuh
Shariah berdasarkan kefahaman agama akan menjemput kebaikan datang kepada kita.
Ini kerana agama itu mencegah kita dari melakukan kejahatan, keburukan,
kemudaratan, menjaga maslahat, dan memandu kita agar sentiasa selamat di dunia
dan akhirat. Semakin banyak kefahaman agama yang kita praktikkan dalam aktiviti
harian kita maka semakin banyak kebaikan yang kita perolehi.
Agama juga
membentuk pemikiran yang berprinsip dan berwawasan, membantu membuat keputusan,
membantu membuat penilaian dan membuat pertimbangan dalam bertindak. Kebaikan
dari ilmu itu umpama air hujan yang menghidupkan tumbuhan segar.
Nabi saw bersabda: "Perumpamaan
aku diutuskan oleh Allah Ta’ala menyampaikan petunjuk dan ilmu bagaikan hujan yang jatuh ke bumi.
Diantaranya ada yang jatuh ke tanah subur yang dapat menyerap air, maka
tumbuhlah padang rumput yang subur.” (HR Muslim)
Agama juga
mengajar merawat hati, mengawal hati dan membersihkan hati maka emosi dan semangat
kita akan turut terjaga. Oleh itu kita sentiasa dalam keadaan selamat, tenang, selesa,
gembira dan bermotivasi, bukankah ini merupakan kebaikan yang mahu dikecapi
setiap manusia? Agama juga memberi kita panduan dalam semua hal termasuk
bagaimana bergaul, menyelesaikan masalah harian, dari masalah peribadi sehingga
masalah negara, dari masalah dunia sehingga masalah akhirat. Kesemuanya telah diberi
panduan, tinggal saja untuk kita ambil dan dijadikan panduan dan diaplikasikan
dalam kehidupan seharian.
Berusaha
Mendaptkan Ilmu dan Kefahaman Agama
Kita tidak
dilahirkan bersama dengan kefahaman agama, kefahaman agama itu diperolehi melalui
proses ilmu. Mungkin aktiviti harian kita adalah patuh Shariah kerana kita
dilahirkan dalam komuniti yang mengamalkan ajaran Islam dan amalan Islam telah
menjadi budaya masyarakat sekeliling. Namun kefahaman di dada adalah tidak sama
dengan apa yang telah menjadi budaya dan kebiasaan, dengan kefahaman agama
seseorang akan menjadi anjal dalam mengaplikasikan Shariat mengikut perubahan
tempat, suasana dan keadaan. Manakala bagi orang yang terbiasa dengan budaya
hidup, dia sukar untuk bersikap anjal dan sukar mengadaptasi perubahan.
Kefahaman
agama perlu diusahakan untuk mendapatkannya, dengan mengambilnya dari ulama
supaya ilmu yang diperolehi adalah mendekati kebenaran dan juga mendapat
kefahaman yang sahih sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala dan yang
diajar oleh baginda Nabi SAW. Abdullah bin Yahya bin Abu Katsir berkata, “aku
mendengar Ayahku berkata; "Ilmu tidak diperolehi dengan beristirehat"
Ulama akan
menunjukkan jalan dan kaedah yang betul dalam memperoleh ilmu agama, bermula
dari sumber pertama iaitu al-Quran dan Assunnah, seterusnya memperkenalkan
kepada kitab-kitab yang muktabar yang membahaskan ilmu agama dengan mengambil
kira sumber sekunder seperti ijmak, qias, istihsan dan sebagainya selain sumber
primer iaitu al-Quran dan Assunnah. Ulama juga akan mengajar kita tentang adab
belajar termasuk tahap-tahap dalam mempelajari ilmu, adab ketika belajar, adab
dengan guru dan juga adab dalam mengamalkan dan menyampaikan ilmu.
Berusaha
Ikut Kemampuan
Fitrah
manusia mempunyai keupayaan akal dan tahap pemahaman yang berbeza-beza, bukan
semua penuntut ilmu itu menjadi ulama, ada menjadi pakar dalam bidang tertentu,
ada yang menjadi pelaksana dan ada yang hanya menjadi penuntut ilmu. Namun bagi
seseorang yang tidak mampu menjadi ulama dia mampu menjadi ahli ‘abid (ahli
ibadah), jika tidak mampu sekurangnya ilmu itu menjaganya dari kecelakaan dan
ilmu itu akan tetap memberinya kebaikan.
Firman Allah
Ta’ala: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga
menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (al-Baqarah: 286)
Kebaikan Di
Dunia Dan Akhirat
Benarlah
sabda Nabi SAW di atas bahawa kebaikan itu diperolehi melalui kefahaman dalam
agama, kebaikan tersebut bukan sahaja diperolehi di dunia malah juga di
akhirat. Patuh shariah itu merupakan penyebab kita tenteram di alam barzakh, di
padang mahsyar dan dimasukan ke syurga.
Rasulullah saw bersabda: "Apabila
salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali
tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfa'at baginya dan anak soleh
yang selalu mendoakannya." (HR Muslim)
Rasulullah
saw bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah
akan memudahkan jalan ke surga baginya.” (HR Muslim)
Kefahaman
agama itu mendekatkan kita kepada Allah Ta’ala, menjemput rahmat Allah kepada
kita, meningkatkan iman kita dan menjadikan amalan kita diterima oleh Allah
Ta’ala. dapat kita simpulkan bahawa faham dalam urusan agama itu akan memberi
kita banyak kebaikan dari segi pemikiran, emosi, perlakuan, hubungan sosial dan
aktiviti harian.
Firman Allah
Ta’ala: “Mereka itu
ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari
Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk
hidayah-Nya.” (al-Baqarah: 157)
No comments:
Post a Comment