Monday, January 23, 2017

KEHEBATAN KITAB SOHIH AL-BUKHARI

Sebelum zaman Imam Al-Bukhari, kitab-kitab hadis masih bercampur, maka sukar untuk mengenal pasti status hadis kecuali setelah mengkajinya. Imam Al-Bukhari merupakan pelopor dalam pengumpulan ilmu hadis. Beliau telah membuat pengasingan hadis-hadis sohih dengan hadis yang lain melalui pendekatan yang berbeza berbanding ulama-ulama hadis lain. Beliau telah menyusun hadis-hadis sohih dalam kitab yang diberi nama Al-Jami’ Al-Musnad Al-Sohih Al-Mukhtasar Min Umuri Rasulillah SAW wa Sunnatihi wa Aiyamihi, yang bermaksud “Himpunan sanad yang sohih lagi padat mengenai hadis Rasulullah SAW, sunnah dan kehidupannya”.

Al-jami’ bermakna kitab ini menghimpunkan perkara-perkara berkaitan hukum, kelebihan-kelebihan, sastera dan sirah. Perkataan Sohih bermakna tidak terdapat di dalam kitab ini hadis-hadis yang lemah atau dhaif. Manakala perkataan Al-Musnad bermaksud sanad hadis didalamnya bersambung kepada para sahabat sehingga Nabi SAW sama ada dalam bentuk percakapan, ucapan, perbuatan dan pengakuan nabi SAW.

Pendorong Untuk Menyusun Hadis
Pendorong utama Imam Al-Bukhari menyusun kitab sohihnya adalah disebabkan oleh ungkapan  gurunya  bernama  Ishak  bin  Rahawih.  Beliau merupakan guru Imam Al-Bukhari dan seorang yang alim dalam ilmu hadis dan fikah. Ibn Rahawih pernah berkata kepada Imam Al-Bukhari, “alangkah eloknya jika kamu boleh kumpulkan hadis-hadis sohih Rasulullah SAW dalam satu kitab”.

Pendekatan Imam Al-Bukhari Mengarang Sohihnya
Imam Al-Bukhari sebelum beliau menulis sesuatu dalam kitab Al-Jami’ Al-Sohih, terlebih dahulu beliau akan mandi kemudian melakukan solat sunat dua rakaat. Beliau tidak memasukkan hadis ke dalam kitabnya kecuali setelah beliau solat Istikharah dua rakaat terlebih dahulu untuk meminta pertunjuk daripada Allah SWT.

Jangka Masa Penyusunan Kitab
Ketika Imam Al-Bukhari selesai menyusun kitabnya Al-Jami’ Al-Sohih, beliau telah membentangkan kitab itu kepada para Ulama termasuk Yahya bin Mu’in, Ali bin Al-Madini dan Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Al-Bukhari menyusun kitabnya selama 16 tahun bermula pada umurnya 23 tahun.

Imam Al-Bukhari Tidak Memasukkan Semua Hadis Sohih
Walaupun kitab Al-Jami’ Al-Bukhari dimuatkan semua hadis sohih namun Imam Al-Bukhari menyatakan bahawa masih banyak hadis-hadis sohih yang beliau tidak masukkan kerana beliau tidak mahu kitabnya menjadi terlalu besar. Begitu juga Imam Muslim, walau beliau hanya meriwayatkan hadis-hadis yang sohih sahaja dalam kitab Sohihnya namun beliau tidak mengatakan bahawa hadis-hadis yang tidak beliau riwayatkan dalam kitabnya itu merupakan hadis dhaif.

Tujuan Imam Al-Bukhari Dalam Sohihnya
Imam Al-Bukhari begitu iltizam dengan hadis yang sohih sahaja, beliau tidak memasukkan dalam kitabnya kecuali hanya hadis-hadis yang sohih sahaja. Oleh kerana itu beliau menamakan kitabnya sebagai Al-Jami’ Al-Sohih. Dalam kitab ini juga mengandungi persoalan fikah yang menekankan ayat-ayat yang berkaitan dengan hukum-hukum, sirah dan tafsir dengan menghuraikan tentang hadis, fatwa para sahabat, tabi’in dan pendapat ulama tertentu, kemudian memasukkan matan hadis dan cara mendapatkannya dalam bab-bab kitabnya. Imam Al-Bukhari menumpukan usahanya untuk mengeluarkan pelbagai masalah daripada setiap hadis Rasulullah SAW. Oleh kerana itu kebanyakan pendapat ulama terkemuka mengatakan ianya sebagai fikah Imam Al-Bukhari.

Syarat Imam Al-Bukhari Dalam Kitab Sohihnya
Imam Al-Bukhari telah menetapkan suatu syarat bagi menentukan hadis yang diriwayatkan. Syarat yang ditetapkan oleh Imam Al-Bukhari ialah setiap hadis mesti datang dari para sahabat yang masyhur serta sanad perawinya bersambung dan dipercayai. Jika seseorang sahabat itu mempunyai dua riwayat atau lebih maka ia lebih kuat, jika hanya mempunyai satu riwayat sahaja dan cara penentuannya betul, itu sudah memadai. Perawinya juga bukan orang yang mudallis iaitu mereka yang tidak mendengar sendiri dari orang yang mereka riwayatkan atau orang yang banyak melakukan kesilapan kerana umur yang sudah lanjut, buta atau kehilangan nukilannya atau orang yang sezaman dengannya tetapi dia tidak berjumpa dengannya.

Syarat yang ditetapkan oleh Imam Al-Bukhari dalam sohihnya itu menunjukkan kitabnya berada ditahap yang paling tinggi dari segi kesahihan dan kepercayaan, pencarian menukil hadis sohih yang mantap, keprihatinan yang jitu oleh seorang mujtahid, amanah dari segi menukil nas dan perawi, seterusnya menetapkan syarat-syarat yang begitu ketat dalam bidang ini, dengan begitu kuat iltizamnya yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana penyusun dalam bidang ini.

Cara Penyusunan Kitabnya
Penelitian tentang urutan kitab dan bab-bab dalam Sohih Al-Bukhari menunjukkan ketelitian yang menakjubkan dalam menentukan kitab dan bab-bab di dalamnya, sehingga ia menjadi sebuah kitab yang sepadu, mantap dan lengkap, mengandungi simpulan yang tersusun untuk satu matlamat iaitu keindahan dan kesampurnaan. Al-Bukhari memulakan kitabnya dengan menekankan bagaimana permulaan turunnya wahyu. Dimulakan dengan demikian kerana ia sebagai sumber kebaikan, dengan wahyu berjalannya syariat   dan turunnya risalah.

Penyusunan Bab dan Riwayat Hidup Dalam Sohih Al-Bukhari
Dalam penyusunan kitabnya yang mengandungi bab-bab dan riwayat hidup itu merupakan sesuatu yang kompleks dan sukar difahami oleh kebanyakan pensyarah dan ahli-ahli hadis, sehingga pendekatan yang digunakannya itu tidak mampu dilakukan oleh bijak pandai di semua zaman oleh ulama yang hebat-hebat di mana-mana pun. Pengkaji hadis mengakui bahawa bab-bab dan riwayat hidup yang terkandung dalam Al-Jami’ Al-Sohih merupakan satu kajian yang amat mendalam dan memenuhi piawaian, sehingga ia menjadi lambang keistimewaan kitab ini berbanding dengan kitab-kitab yang serupa dengannya seperti Sohih Muslim, kerana ketinggian tahap kualiti dan kehebatan susunannya.

Huraian Al-Jami’ Al-Sohih
Kitab-kitab yang menghuraikan kitab Al-Jami’ Al-Sohih, antaranya:

1.         Kitab Fath Al-Bari bi Syarh Sohih Al-Bukhari
Ditulis oleh Syeikh Al-Islam Al-Hafiz Ahmad bin Ali Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Ahmad Al-Kannani Al-‘Asqolani Al-Masri Al-Syafi’i. Beliau dilahirkan di Mesir pada 13 Sya’ban pada tahun 773 Hijrah dan wafat pada 18 Zulhijjah tahun 852 Hijrah dan disemadikan di Kaherah. Kitab ini ditulis dengan tulisan tangan sebanyak 13 jilid. Pemerintah Al-Athraf meminta kepada Al-‘Asqolani untuk membuat salinan dan dibelinya dengan harga 300 dinar, dari situ kitab ini tersebar ke serata pelusuk dan rantau. Kitab ini terus mendapat sanjungan dari kalangan semua ulama hadis dari dahulu hingga masa kini dan kitab ini terus menjadi sandaran dan rujukan.

2.         Kitab ‘Umdatu Al-Qari fi Syarhi Al-Bukhari
Ditulis oleh Al- Syeikh Al-Allamah Badruddin Mahmud bin Ahmad Al-‘Aini Al-Hanafi. Jangka masa beliau menyiapkan kitabnya itu mengambil masa selama 19 tahun.

3.      Irsyadu Al-Sari Ila Syarhi Sohih Al-Bukhari
Ditulis oleh Syeikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad Al-Khathib Al-Qastholani Al-Qahiri Al-Syafi’i (wafat pada tahun 922 Hijrah). Kitab ini merupakan ringkasan bagi syarah tFathul  Bari  dan Al-Umdah,  kitab  ini juga  terkenal  dengan  Al-Qastholani  sebagaimana  penulisnya. 

Kelebihan dan Pujian

Kitab Al-Jami’ Al-Sohih diperakui merupakan kitab yang paling sohih, hebat dan unggul sekali selepas Al-Quran dan diiktiraf oleh semua ulama hadis di semua tempat dan zaman. Kitab ini membuktikan bahawa Imam Bukhari mempunyai kecekapan, kehebatan dan kepakarannya yang tinggi.

Rujukan: Jabatan Mufti Johor; Dr. Taqiyuddin Al-Nadawi Al-Madzahiri

No comments: