Pujian Para
Ulama Muktabar Terhadap Kitab Ihya Ulumuddin
Setiap ulama
besar zaman berzaman pasti akan mengenali kitab Ihya Ulumuddin karya agung Imam
al-Ghazali yang wafat pada tahun 505H. Kitab Ihya’ telah dijadikan sebagai
rujukan dalam bidang fekah, manakala para sufi pula menjadikan kitab ini sebagai
panduan mendalami ilmu tasawuf. Dalam bidang Tauhid juga telah menjadikan Ihya’
sebagai bahan dasar kajian.
Al-Imam
Al-Faqih Al-Hafiz Abu Zakaria Muhyiddin An-Nawawi: Beliau lebih
dikenali dengan nama Imam Nawawi dan mendapat gelaran Mufti dalam mazhab Syafi’e,
kata beliau: “Kedudukan kitab Ihya’ hampir menandingi Al-Qur’an”, yang
bermaksud kitab Ihya telah dibaca oleh umat Islam sejak zaman berzaman.
Al-Imam
Al-Faqih Al-Hafîz Abul Fadhl Al-Iraqi: Beliau merupakan ulama yang mengkaji kitab
Ihya’, beliau turut menempatkan Ihya’ sebagai salah satu kitab teragung di
tengah-tengah khazanah keilmuan Islam. Beliau mengatakan: “Kitab Ihya’
Ulumuddin termasuk antara kitab Islam paling agung dalam mengetahui halal dan
haram, menghimpun hukum hakam zahir, dan mencungkil rahsia-rahsia yang sangat mendalam
pemahamannya”. (Ta’rif al-Ahya bi Fadhail al-Ihya)
Al-Hafiz
Ibnu Katsir: Beliau berkata tentang kitab Ihya’: “Ia adalah kitab yang bagus,
terdiri dari ilmu-ilmu syari’at yang banyak, berisi perkara-perkara lembut dari
ilmu tasawwuf dan amalan hati. Akan tetapi di dalamnya banyak hadis gharib,
munkar dan palsu, sebagaimana juga terdapat dalam kitab-kitab furu’
lainnya yang dijadikan dalil atas perkara halal dan haram. Adapun kitab Ihya
Ulumuddin itu, objektifnya adalah dalam isu Raqaiq, targhib dan tarhib yang
urusan hadisnya lebih ringan”. (Al-Bidayah wa an-Nihayah)
Kritikan
Terhadap Ihya’: Mengandungi Hadis Palsu
Seperti
kitab-kitab lain, Ihya’ juga turut tidak terlepas dari kritikan terutama berkaitan
hadis-hadis yang terdapat di dalamnya. Al-Hafiz Abul Faraj Abdurrahman Ibnu
Al-Jauzi terkenal sebagai ulama yang banyak mengkritik Ihya’. Menurut beliau,
kitab Ihya’ mengandungi banyak hadis-hadis palsu. Al-Hafiz Ibnul Jauzi
dalam Talbis al-Iblis berkata: “Dia memenuhi kitabnya (Ihya’
Ulumiddin) dengan hadis-hadis batil yang dia sendiri tidak mengetahui
kebatilannya”.
Imam
Tajuddin as-Subki juga mengatakan bahawa dalam Ihya’ terdapat
hadis-hadis yang lemah, ini kerana menurut beliau al-Ghazali diketahui bukan seorang
pakar dalam bidang hadis. Daripada nukilan kedua ulama tersebut maka orang yang
mempunyai penyakit dan kekotoran dihatinya bertindak menghina al-Ghazali dan
mempertikai kemampuan dan kualiti al-Ghazali dalam bidang ilmu hadis. Hal ini
seterusnya membawa kepada tohmahan mengatakan Imam al-Ghazali pemalsu hadis dan
lebih teruk lagi ada yang menyeru supaya tidak dibaca dan dibakar kitab Ihya’.
Ancaman
Rasulullah saw kepada pemalsu hadis hanya tertuju kepada pemalsu yang dengan
sengaja memalsukan hadis bukan kepada mereka yang meriwayatkan atau menulis
secara tidak sengaja.
Imam
Al-Ghazali Lemah Dalam Bidang Hadis
Pengkritik
juga menjadikan pengakuan Imam al-Ghazali untuk mengatakan beliau lemah dalam
ilmu hadis. Al-Ghazali juga pernah berkata: “Kekayaanku dalam ilmu hadis sangat
sedikit”. Menurut anak murid Imam al-Ghazali bernama Al-Hafizh Abdul Ghafir,
Imam al-Ghazali pada akhir hidupnya memberi banyak tumpuan dalam bidang
hadis. Al-Hafiz Ibnu Katsir berkata dalam al-Bidayah wan Nihayah: “Kemudian
dia kembali ke daerah asalnya di Thus, dan bermuqim disana. Dan banyak masa
beliau membaca al-Qur’an dan menghafal hadis-hadis sohih. Dikatakan bahawa di
akhir hayatnya, dia lebih suka mendengar hadis dan menghafal Sohih al-Bukhari
dan Sohih Muslim”. Pengkritik kemudian menjadikan cerita ini sebagai hujah
mengatakan Imam al-Ghazali tidak menguasai bidang hadis.
Pembelaan Ulama
Terhadap Ihya’
Al-Hafizh
Al-Iraqi: Al-Hafizh
Al-Iraqi telah melakukan takhrij lebih dari 4500 hadis di dalam kitab Ihya’
dan menurut beliau hanya ada tiga hadis sahaja yang dikatakan maudhu’. Menurut beliau,
selain dari hadis-hadis itu hadis-hadis lainnya ada yang sohih, hasan, dan
dhaif. Juga ada hadis-hadis di mana Al-Imam Zainuddin Al-Iraqi tidak mengetahuinya,
beliau berkata: “saya belum menjumpai asal usulnya. “ Hadis yang tiada asal
menurut al-Iraqi tidak bererti hadis tersebut palsu, ini kerana al-Iraqi belum
mengetahui atau belum menjumpainya. Jika dibuat perbandingan hadis-hadis dalam
Ihya’, hadis yang diterima jauh lebih banyak sehingga menyamai kitab-kitab
hadis seperti Sunan Abu Dawud dan Sunan Nasa’ie. Menurut Al-Hafizh al-Iraqi
juga kebanyakan yang disebutkan al-Ghazali bukanlah hadis palsu dan jika ia hadis
yang dhaif maka ia dapat diamalkan dalam perkara fadhail. Al-Hafizh
al-Iraqi juga menjumpai sanad hadis-hadis yang tidak dijumpai oleh Imam
Tajuddin as-Subki.
Imam Ibnu al-Jauzi: Beliau
tetap mengiktiraf kitab Ihya’, beliau berkata: “Ketahuilah, bahawa
kitab Ihya Ulumuddin di dalamnya terdapat banyak penyimpangan yang
tidak diketahui kecuali oleh para ulama”. Kemudian Imam Ibnu Jauzi berkata
lagi: “Kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali memiliki beberapa kekurangan
yang hanya ahli ilmu menyedarinya. Seperti pada riwayat yang disandarkan kepada
Nabi S.A.W namun ternyata maudhu’ atau tidak sohih. Oleh kerana itu, aku
menyusun sebuah kitab yang bebas dari masalah tersebut, dengan tetap mempertahankan
keutamaan dari kitab aslinya. Dalam kitabku ini, aku bersandar hanya pada riwayat
yang asli dan terkenal, dan aku hilangkan atau tambahkan dari kitab aslinya
(Al-Ihya) apa yang dirasa perlu.” (Mukhtasar Minhajul Qashidin)
Dari
keterangan ini, Ibnul Jauzi mengakui kehebatan kitab Ihya’ dan tidak cuba
menjauhkannya dari umat. Ibnu al-Jauzi dalam penulisannya hanya mengutamakan
hadis-hadis yang sohih menurutnya, menggugurkan hadis-hadis yang maudhu, dhaif
dan mauquf dan kemudian beliau gantikan dengan dalil yang sohih dan hasan. Dan
beliau tidak mengatakan kitab tersebut sesat, atau harus disingkirkan.
Imam Muhammad
Murtadho Az-Zabidi: Beliau menulis sebuah kitab syarah bagi kitab Ihya’ Ulumuddin
setebal sepuluh jilid. Al-Imam Muhammad Az-Zabidi berkata: “Al-Iraqi pernah
menyatakan tentang hadis ini dan beliau berkata tidak mengetahui asal usulnya,
tetapi saya sudah mendapatkan sumber dan asal usulnya”. Ini bermakna hadis-hadis
yang dinilai lemah oleh al-Iraqi atau tidak mempunyai sanad secara marfu’
tetapi ternyata mempunyai sanad dan marfu’. Al-Imam Az-Zabidi juga menjawab
kritikan-kritikan ke atas Imam al-Ghazali dan beliau juga menjelaskan beberapa
ucapan dalam Ihya’ yang dikatakan bertentangan dengan syari’at.
Jika menilai
hadis-hadis dalam Ihya’ melalui takhrij al-Hafizh al-Iraqi, maka akan didapati
hanya ada tiga hadis atau lebih yang disepakati kepalsuannya. Berbeza apabila menilai
hadis-hadis Ihya melalui takhrij al-Hafizh Ibnu al-Jauzi yang menurut beliau terdapat
sekitar dua puluh lima hadis yang dikatakan maudhuk. Ibnul Jauzi termasuk ulama
hadis yang mudah memalsukan sesebuah hadis. Al-Hafiz Al-Iraqi, al-Hafizh
Jalaluddin as-Suyuthi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani telah membuat
sanggahan khusus terhadap hadis-hadis yang dikatakan palsu oleh Ibnul Jauzi.
Setelah diteliti dan dikaji maka para ulama membuat kesimpulan bahawa
kebanyakan hadis yang dikatakan palsu oleh Ibnul Jauzi ada yang hadis sohih,
hasan atau dhaif.
Imam
al-Ghazali Adalah Pakar Hadis
Pengakuan
al-Ghazali bahawa beliau mempunyai ilmu yang sedikit dalam bidang hadis
menunjukan sikap beliau yang tawadhuk. Pendapat ulama yang mengataka al-Ghazali
mempunyai kekurangan dalam ilmu hadis tidak bermakna beliau bukan pakar hadis
atau bukan seorang penghafal hadis. Kitab Ihya’ Ulumiddin merupakan
bukti bahawa beliau telah menghafal ribuan hadis dan juga takrij hadis Ihya’
yang dilakukan oleh ulama-ulama selepas beliau.
Di akhir
usia Imam al-Ghazali, beliau banyak menghabiskan waktunya dengan membaca
al-Qur’an dan menghafal hadis. Namun, ini tidak bermakna sebelumnya beliau
tidak tidak menghafal atau belajar hadis. Sebanyak 4000 lebih hadis yang
dimuatkan dalam Ihya’ Ulumiddin juga terdapat dalam kitab sohih
al-Bukhari, sohih Muslim, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah dan lain-lain. Jika
dilihat pada kaedah penulisan Ihya’ oleh Imam al-Ghazali, hadis-hadis yang
dikatakan lemah atau palsu bukanlah menjadi keutamaan dalam penulisan Imam
Ghazali. Hadis-hadis tersebut hanyalah sekadar tambahan dan penyokong bagi
dalil sohih dan bilangan hadis-hadis tersebut sangatlah sedikit.
Imam al-Ghazali
juga diiktiraf sebagai seorang ulama yang pakar dalam bidang usul fikih, falsafah,
akidah dan lain-lain. Bagaimana mungkin seorang ulama yang pakar dalam pelbagai
bidang ilmu tetapi tidak mempunyai pengetahuan tentang hadis. Malah, seseorang
yang mempelajari ilmu usul fiqh perlu menguasai ilmu hadis. Kitab al-Mustasfa
merupakan karya Imam al-Ghazali membicarakan tentang usul fikih, penulisan
beliau dalam kitab ini membuktikan bahawa beliau juga pakar dalam bidang hadis.
Dalam kitab tersebut, Imam Ghazali telah membahasakan secara panjang lebar berkaitan
kajian hadis, terutamanya berkenaan proses istinbat hukum dan tarjih hadis.
Rujukan:
- Ibnu Abdillah al-Katibiy, Kota Santri-Pasuruan,
- Ustaz Nur Hidayat; http://www.aswj-rg.com/
No comments:
Post a Comment