Thursday, February 23, 2017

DOA KETIKA KELUAR RUMAH


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (مَنْ قَلَ يَعْنِيْ إِذَا خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى الله  وَ لاَ حَوْلَ وَ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ يُقَالُ لَهُ هُدِيْتَ وَ كُفِيْتَ وَ وُقِيْتَ وَتَنَحَّى عَنْهُ الشَّيْطَانُ) رواه أبو داود و الترمذي و النسائي و غيرهم و قال الترمذي حديث حسن

Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca ketika keluar dari rumahnya “Dengan Nama Allah, aku telah bertawakkal kepada Allah, tiada daya dan upaya terkecuali atas kuasa Allah”, maka kepada orang itu dikatakan: Kamu telah di beri petunjuk, telah dicukupkan, dan telah diberi penjagaan. Lalu syaitan pun akan menjauhi orang tersebut” (Hadis Hasan Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan An-Nasaai)

Hadis ini mengajar kita tentang dua perkara. Yang pertama ialah kemana sahaja kita pergi dan dimana sahaja kita berada, Allah S.W.T sentiasa ada bersama dengan kita. Yang kedua ialah bertawakal hanya kepada Allah S.W.T. Perkataan rumah dalam hadis juga termasuk tempat kerja, pondok, bangunan atau tempat yang didiami.

Doa yang diajarkan oleh Nabi SAW ini merupakan 3 zikir lengkap yang mengandungi makna dikasihi dan diberkati oleh Allah S.W.T, tawakkal memudahkan urusan, dan dilindungi oleh Allah S.W.T dari musibah.

Rasulullah SAW mengajar kita membaca بِسْمِ اللهِ (Dengan nama Allah S.W.T) pada setiap kali memulakan sesuatu aktiviti termasuklah saat mahu keluar dari rumah. Dengan membaca بِسْمِ اللهِ maka setiap tindakan dan perlakuan kita akan diberkati, diberi pertolongan dan sentiasa dalam jagaan Allah S.W.T. Dengan membaca, تَوَكَّلْتُ عَلَى الله bermakna kita menyerah dan menyandarkan segala urusan kita dan meminta perlindungan hanya kepada Allah S.W.T. Dengan membaca وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ bermaksud kita menginsafi kelemahan kita dan tiada daya dan upaya kecuali dari Allah S.W.T.


Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

No comments: