Friday, February 17, 2017

MULAKAN DAN BUDAYAKAN SUNNAH YANG BAIK


Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa merintis (memulai) dalam agama Islam sunnah (perbuatan) yang baik maka baginya pahala dari perbuatan tersebut juga pahala dari orang yang melakukannya (mengikutinya) setelahnya tanpa berkurang sedikitpun pahala mereka, dan barang siapa merintis dalam Islam sunnah yang buruk maka baginya dosa dari perbuatan tersebut juga dosa dari orang yang melakukannya (mengikutinya) setelahnya tanpa berkurang dosa-dosa mereka sedikitpun” (HR Muslim)

Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang menjadi perintis, pengasas, pelopor, atau penggerak kepada orang lain melakukan kebaikan. Maksud “sesiapa sahaja” dalam hadis termasuk di sini adalah lelaki atau wanita, tua atau muda, Ustaz atau orang biasa yang menjadi sebab kepada orang lain melakukan kebaikan dalam urusan agama atau pun urusan dunia, maka baginya pahala seperti orang yang mengerjakan amal soleh yang dia anjurkan. Orang yang menyarankan orang lain untuk solat maka dia akan mendapat pahala seperti mana orang yang solat.

Jika yang melakukannya seorang maka orang yang menganjur akan mendapat pahala untuk seorang, jika yang melakukannya seramai sepuluh orang maka dia akan mendapat pahala untuk sepuluh orang, makin ramai yang melakukannya maka makin banyak pahala yang diperolehi.

Terdapat perbezaan pendapat ulama berkaitan kadar pahala yang diperolehi. Sebahagian ulama berpendapat bahawa pahala orang yang memulakan adalah berbeza dengan pahala orang yang mengerjakan suatu amalan. Ini berdasarkan kaedah fekah berikut: “Orang yang mengerjakan amalan lebih besar pahalanya”, “Amalan yang lebih banyak pengorbanan, lebih banyak keutamaan.” Rasulullah SAW bersabda: “pahalanya tergantung pada usaha yang dikorbankan.” (HR. Muslim)

Sebagaimana Rasulullah SAW pernah berkata kepada Sayyidah Aisyah: “Pahala kamu berdasarkan sejauh mana kesusahan amal yang kamu kerjakan.” Sayyidah Aisyah pernah bertanya: “Bagaimana jika saya pergi haji dengan berjalan kaki, apakah sama pahalanya dengan menunggang unta?” Nabi SAW menjawab: “Ya, yang lebih susah maka lebih besar pahalanya.” Imam Nawawi  berkata: “Bagi orang yang mengerjakan suatu amalan maka pahalanya lebih besar walaupun orang yang menganjurkan juga mendapat pahala.”

Dan sebahagian ulama berpendapat pahala mereka adalah sama secara hakikat. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa orang yang memberikan anjuran pahalanya adalah sama dengan orang yang mengerjakanya.

Ulama bersepakat bahawa maksud hadis ini melibatkan urusan dunia, jika perkara itu adalah baik maka tetap diberi pahala. Dalam riwayat Ibnu Mas’ud beliau meriwayatkan bahawa ada seseorang telah meminta unta kepda Rasulullah SAW untuk dijadikan tunggangannya. Rasulullah SAW menjawab: “Saya tidak mempunyai unta untuk dijadikan tunggangan.” Tiba-tiba ada seseorang mengangkat tangan dan berkata: “Ya Rasulullah, saya boleh menunjukan kepadanya orang yang boleh memberi kendaraan untuknya.” Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan, maka dia mendapatkan pahala sama seperti orang yang mengerjakannya.”(HR Muslim)

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Setiap ruas tulang manusia wajib bersedekah setiap hari, di mana matahari terbit. Selanjutnya beliau bersabda: Berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, membantu seseorang (yang kesulitan menaikkan barang) pada haiwan tunggangannya, lalu dia membantu menaikkannya ke atas haiwan tunggangannya atau mengangkat barang-barangnya adalah sedekah.” Rasulullah saw. juga bersabda: “Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang dikerahkan menuju salat adalah sedekah dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.” (HR Muslim)

Dalam hadis ini menunjukan bahawa pahala diberikan pahala walau tindakan itu dalam urusan dunia, maka lebih utama lagi jika perkara yang dimulakan itu berkaitan dengan urusan agama.


Sumber: Majelisrasulullah.com; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi

No comments: